Moga Istiqamah

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Nama aku, Fatimah (bukan nama sebenar). Aku seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak.

Kesemua anak-anakku masih kecil lagi, belum menginjak sekolah menengah pun. Aku rasa, aku adalah seorang ibu yang total gagal. Sebab apa? Mari aku ceritakan.

Aku dan suami berkahwin atas dasar cinta. Kami berkahwin hampir 10 tahun. Di awal perkahwinan, aku dan suami memang langsung tidak solat. Aku tegaskan, LANGSUNG TIDAK SOLAT. Kehidupan kami bahagia, tetapi sengsara. Sebab apa?

Bahagia di pandangan orang, tetapi derita di dalam. Kami asyik bergaduh, dalam rumah sentiasa panas. Anak-anak akan menangis bila kami bergaduh.

Malah kami bergaduh sampai tahap pukul memukul. Gaji masing-masing besar, tetapi tak pernah cukup. Tapi masih boleh meneruskan hidup.

Agaknya berkat dari doa ibu bapa yang masih hidup lagi, kami masih ada lagi sinar dalam hidup ini. Alhamdulillah terima kasih ibu dan ayah serta mertuaku.

Seawal kecil anak-anakku tak pernah melihat ibu dan ayahnya solat. Orang sibuk nak siap-siap solat maghrib, kami anak beranak sibuk keluar rumah pergi shopping mall, pergi makan dan sebagainya.

Mertuaku tahu kami tak pernah solat, tapi kami tak pernah ditegur. Yelah, kami dah besar panjang. Dah pangkat mak ayah pada anak-anak kami. Patut tahu fikir sendiri. Ibu dan ayahku pula orang kuat agama.

Aku sebenarnya sejak kecil lagi tak pernah solat dengan betul. Ibu ku suruh solat, aku akan pura-pura ambil wuduk dan masuk dalam bilik tetapi aku tak pernah solat. Betapa teruknya aku.

Pakaian aku pula, nama je pakai tudung. Tapi berseluar ketat, berbaju ketat, bertudung singkat. Suami aku tak pernah menegur malahan beliau bangga. Sebab isterinya ikut peredaran fashion semasa.

Puasa pula sehingga aku umur 20an tak pernah puasa yang betul. Mengaku puasa depan orang, tetapi hakikatnya tak pun. Masuk umur 20an (tak ingat berapa umur aku), baru aku cuba puasa yang sebetul-betulnya. Tapi harapkan puasa je lah. Solat langsung tak buat.

Hikmah PKP agaknya, aku duduk di rumah saja. Aku memang bekerja tapi sebab aku bukan frontliner, jadi aku duduk di rumah saja. Suamiku pula frontliner.

Memang beliau kerja 2 minggu selepas PKP tempoh pertama tu. Suatu hari tu aku tengah duduk saja-saja kat rumah sambil tengok anak-anak bermain sesama mereka. Memang bosan rasanya bila dah biasa bekerja, tiba-tiba kena duduk rumah tak boleh keluar.

Tiba-tiba azan zohor berkumandang. Entah kenapa, tiba-tiba aku rasa sayu. Aku pandang anak-anak aku. Kesian mereka dapat mak tak guna macam aku nie.

Hati rasa sayu, aku terus ke bilik air dan ambil wuduk yang sebenar-benarnya buat pertama kalinya dalam hidup aku yang nak menginjak 40 tahun ini.

Siap ambil wuduk, aku ambil telekung. Telekung memang gantung je dalam bilik, tapi entah dah berapa lama tak bercuci. Sengaja aku gantung jadi bila ibu ayah aku datang bertandang di rumah, aku boleh berpura-pura solat.

Aku ambil telekung, sarungkan, dan aku solat zohor yang sebenar-benarnya buat pertama kalinya.

Alhamdulillah masih ingat cara-cara dan bacaan solat. Anak-anakku pelik dengan kelakuanku, tetapi mereka tidak bertanya lebih. Hanya memerhatikan dan si paling kecil pula walaupun tidak pernah tengok aku solat, tapi dia ikut aku solat.

Lama kelamaan, aku rasa bila tidak solat, hati macam tak tenang. Macam ada sesuatu yang tak kena dalam hidup. Suamiku juga tidak bertanya. Tapi hari-hari aku berdoa agar dibukakan pintu hati suami untuk mengubah hidup ke arah lebih baik.

Doaku dimakbulkan, bila suatu hari aku sengaja mengajak suamiku solat jemaah bersama, dan suamiku tanpa banyak soal terus mengimamkan aku. Betapa bahagia aku rasa. Alhamdulillah.

Sejak dari hari itu, aku mula mengajar anak-anakku solat. Inilah hikmah PKP, aku boleh mengajar sendiri anak-anakku. Dan kami semua akan solat berjemaah bersama-sama jika suamiku tidak bekerja.

Kehidupan juga semakin baik. Rezeki sentiasa ada dan gaduh teruk antara kami suami isteri juga sudah berkurangan dan boleh dikatakan tiada langsung. Hanya gaduh kecil saja seperti perselisihan faham biasa.

Kemudian datang pula hidayah lain. Aku memperbetulkan cara berpakaianku. Aku mula menutup aurat yang sebenar-benarnya. Aku mula memakai jubah, pakaian yang longgar, seluar yang longgar, stokin, inner lengan dan dagu. Tudung juga aku labuhkan.

Memang menjadi masalah kerana dalam almari pakaianku kebanyakannya pakaian yang tidak menepati syariat. Aku terpaksa membeli pakaian-pakaian baru.

Yang menjadi masalah ialah, kawan-kawan aku. Bila saja lihat perubahan yang berlaku pada aku, mereka ketawakan. Mereka menyamakan aku dengan “perempuan tua” “mak hajah” dan sebagainya. Aku hanya senyum saja.

Walaupun aku senyum tanpa berkata apa-apa, tapi jauh di sudut hati aku sangat berkecil hati dengan mereka. Mengapa orang yang berubah perlu diketawakan?

Semoga aku sentiasa istiqomah, bersabar dengan dugaan dan ejekan dan semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah kepadaku dan kepada semua. Aamiin…

– Fatimah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *