Assalamualaikum dan salam sejahtera. Memandangkan sejak akhir-akhir ini banyak penulisan tentang guru telah di kongsi, teringin pula rasa hati ingin berkongsi kisah saya dengan seorang cikgu disiplin. Kisah ini berlaku 24 tahun yang lalu. Ketika itu saya berada di tingkatan 2.
Saya suka menulis, setiap penulisan saya di abadikan ke dalam sebuah buku nota dan saya akan hiaskan buku itu dengan gambar serta corak yang cantik supaya sedap mata memandang.
Saya akan menulis pelbagai cerita dan kisah yang berlaku di sekeliling saya ke dalam buku tersebut sebagai cerpen. Biasalah kan zaman anak-anak remaja di mana pemikiran mereka kebanyakkan ke arah kisah yang romantis dan puitis…
Jadi cerpen saya juga kebanyakkan bertemakan kisah cinta dengan bahasa yang berbunga-bunga dan puitis seolah-olah saya menulis di dalam sebuah diari.
Keseluruhan cerpen yang saya tulis, watak yang biasa saya tulis adalah ‘aku’ yang menceritakan kisah diri sendiri walaupun sumber ilham tersebut saya dapat daripada kawan-kawan.
Buku cerpen itu saya akan serahkan kepada kawan-kawan yang berminat untuk membaca. Alhamdulillah ramai kawan-kawan saya suka membaca hasil penulisan saya.
Jadi buku tersebut akan bertukar tangan dan kadang kala apabila kembali kepada saya ianya sudah seperti kertas pembalut belacan.
Kisah antara saya dan cikgu itu bermula di sini. Satu hari buku tersebut telah dirampas oleh pengawas yang bertugas ketika sesi ‘sport check’ kelas di jalankan. Waktu itu saya tidak hadir ke sekolah dan buku tersebut di rampas daripada tangan kawan saya.
Pada keesokan harinya nama saya dipanggil oleh cikgu disiplin. Saya yang tidak di maklumkan terlebih awal tentang buku tersebut dengan senang hati pergi mengadap cikgu tersebut.
Pada saya mungkin nama saya dipanggil untuk diberi jawatan sebagai pengawas sekolah kerana saya merupakan salah seorang calon baru pada tahun tersebut.
Setibanya saya di meja, tiba-tiba jantung saya berdegup laju ibarat saya sedang berlari di ‘marathon’ apabila terpandang buku cerpen saya yang sarat dengan kisah-kisah cinta kawan-kawan ada di meja beliau.
Saya memandang cikgu disiplin yang turut merenung saya ibarat singa lapar yang ingin menerkam mangsa.
Saya menarik nafas panjang dan cuba bertenang. Pelbagai ayat saya baca di dalam hati untuk menyejukkan hati beliau termasuk surah Al-Baqarah Ayat 18, ‘summun bukmun ‘umyun fahum’ berkali2.
Ayat tersebut telah diajar oleh ustazah yang mengajar saya mengaji untuk mengunci mulut orang yang ingin mengajukan soalan dalam keadaan yang marah kepada kita. Berkali-kali saya membacanya sambil menghembus kearahnya dengan perlahan.
“Kamu tahu kenapa cikgu panggil kamu…?”
Soalnya lembut setelah beberapa minit membisu… Saya angguk sambil memandang buku cerpen saya. Apabila melihat beliau berlembut perasaan saya sedikit tenang.
“Semalam kamu tak datang pergi mana..? Ponteng sekolah dating dengan Harris… ?”
Beliau mengajukan soalan pada saya. Dalam ketakutan itu terselit sedikit rasa bangga kerana beliau telah membaca cerpen saya sehingga habis kerana kisah ‘Aku dan Harris’ itu berada di beberapa muka surat terakhir buku.
Jika ada yang ‘skip’ bacaan pasti tidak akan temui cerpen itu. Rupa-rupanya beliau menganggap cerpen saya itu sebuah diari mungkin kerana hiasannya agak cantik dan bahasanya berbunga-bunga.
Saya cuba yakinkan pada beliau bahawa Harris tidak wujud dan buku tersebut hanya sebuah cerpen yang terhasil daripada hobi saya yang suka menulis.
Sebanyak 3 kali saya terpaksa mengadap beliau dalam tempoh itu. Akhirnya saya di kenakan tindakkan disiplin kerana tidak berjaya meyakinkan beliau.
Beliau meletakkan saya dibawah jagaan guru kaunseling dan jika saya gagal hadir ke sesi kaunseling, ibu bapa saya akan dipanggil dan buku tersebut akan diberi kepada ibu dan bapa saya. Saya tidak mahu benda ini berpanjangan dan menjadi lebih teruk.
Jadi saya terpaksa hadir ke kaunseling 3 kali seminggu walaupun sesi tersebut berakhir hanya dengan seribu kebisuan…
Pada pendapat kalian, apa yang harus saya ceritakan pada cikgu kaunseling tersebut sedangkan kebenaran yang saya ceritakan mereka tidak percaya. Semua kawan-kawan saya dipanggil dan mereka dikatakan bersubahat dengan saya kerana sembunyikan cerita sebenar.
Hanya sebuah adaptasi cerpen seorang remaja berusia 14 tahun, saya di pinggir oleh beberapa orang guru kerana pada mereka saya seorang pelajar yang tidak bermoral.
Sedangkan mereka lebih mengenali saya merupakan seorang pelajar yang tidak banyak cakap dan patuh pada undang-undang sekolah.
Saya kecewa kerana cerita buku cerpen saya yang dianggap diari itu tersebar. Akhirnya saya menjadi benci pada beliau (guru disiplin).
Setiap kali saya bertemu dengannya perasaan benci saya akan membuak-buak lebih-lebih lagi setiap kali saya berselisih atau bertembung dengannya, beliau pasti akan perli saya…
“Tak keluar dating ke…?”
“Pakwe dah lari ke…?”
Semuanya saya balas dengan jelingan tajam dan saya tahu beliau sedar saya sedang membencinya.
Akhirnya saya tamat tingkatan 2 dan naik ke tingkatan 3. Saya fikir ianya sudah berakhir kerana beliau merupakan guru disiplin sesi petang manakala saya telah masuk sesi pagi.
Rupanya tidak, beliau turut bertukar ke sesi pagi dan beliau sendiri yang mengajar saya mata pelajaran….. (Biarlah menjadi rahsia saya).
Bermulalah hari-hari yang membosankan untuk saya. Setiap kali tiba kelas beliau, beliau akan pulaukan saya. Beliau abaikan saya.
Apabila tiba giliran saya menjawab soalan beliau akan menuduh saya melihat buku atau setiap kali saya menghantar latihan beliau akan mengatakan saya meniru jawapan kawan-kawan.
Teruk tak layanan beliau kepada saya… ? Mungkin beliau menganggap saya keras kepala kerana tidak memberi kerja sama semasa sesi kaunseling yang lepas. Tapi kebenaran apa yang mereka mahu daripada saya setelah saya jelaskan bahawa itu hanya satu penulisan.
Saya yang masih menjaga aib kawan-kawan tidak berterus-terang bahawa cerpen saya merupakan kisah benar kawan-kawan saya kerana tidak mahu mereka terpalit sama dengan masalah saya lalu saya rahsiakan dan saya katakan itu adalah imaginasi saya sendiri.
Lalu mereka (guru-guru) menganggap saya merupakan pelajar yang tidak bermoral.
Satu hari dan hari itu saya akan kenang dengan seribu penyesalan betapa biadabnya saya kepada beliau. Beliau meminta kami para pelajar berdiri dan akan menanyakan satu soalan.
Tiba giliran saya seperti biasa beliau akan menuduh saya melihat buku jawapan. Tanpa menjaga air muka saya beliau dengan kuat memperli saya…
“Orang lain jawab tak tengok buku. Kamu jawab tengok jawapan dalam buku… Gi dating jer lah… Tak payah belajar…”
Walaupun tidak disebutkan nama saya tapi saya tahu ianya ditujukan kepada saya. Lalu saya bangun dan mengambil buku nota, teks dan buku runjukkan mata pelajaran yang beliau ajar lalu saya campak ke dalam tong sampah. Semua kawan-kawan melihat ke arah saya termasuk beliau.
Saya keluar lalu pintu belakang dan berdiri di tembok. Ingin sekali saya panjat tembok (tingkat 2) tu dan terjun ke bawah mujurlah tidak lama kemudian loceng berbunyi tanda waktu rehat. Beliau lalu di belakang saya dan berkata…
“Kecik-kecik dah melawan…”
Saya membisu sahaja. Saya tunggu beliau panggil saya atau ibu bapa saya ke sekolah namun semuanya berlalu ibarat tiada apa yang berlaku. Selepas hari itu saya dah tak jumpa beliau lagi. Rupanya beliau hanya menggantikan guru perempuan yang bersalin dan kembali ke sesi petang.
Hari berganti hari dan PMR saya jawab dengan tenang sekali. Mata pelajaran yang beliau ajar saya target A atau B alhamdulillah target saya mengena untuk membuktikan saya benar-benar belajar. Selama ini saya tidak meniru kawan atau meniru jawapan di belakang buku.
Bukan mata pelajaran yang beliau ajar sahaja malah beberapa mata pelajaran lain juga target saya mengena… Sewaktu saya ambil keputusan saya terserempak dengan beliau. Beliau senyum dan angkat ‘thumbs up’ tinggi-tinggi pada saya. Saya tak pasti itu tandanya apa.
Ketika itu baru saya faham, beliau bukan membenci tetapi ingin mendidik saya. Baru saya sedar selama ini saya di perhatikan dan mungkin kedatangan beliau pada hari tersebut kerana ingin melihat keputusan saya. Saya tidak sempat bertemu beliau kerana kenkangan waktu ketika itu.
Saya juga tidak berusaha untuk mencarinya kerana pada pendapat saya, kami akan bertemu pada tahun hadapan. Naik tingkatan 4 saya dengar beliau sudah bertukar ke sekolah lain diluar daripada Negeri P….
Tidak sempat untuk saya bertemu dan meminta maaf daripada beliau di atas tingkah laku saya yang biadap terhadapnya… Saya harap beliau telah pun memaafi saya dan menghalalkan setiap pelajaran yang telah beliau ajar pada saya selama ini….
Cikgu… Baru saya tahu, marah tandanya sayang… Terima kasih cikgu…
– CPA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit