Turning Point

Assalammualaikum. Ini percubaan ke-2 aku untuk menghantar confession. Aku tak pasti sama ada confession aku haritu sampai atau tak.

Apa-apapun aku berterima kasih kepada admin jika menyiarkan perkongsian ini. Selama ini aku hanya cctv, tapi kali ini aku cuba berkongsi.

Sebagai “turning point” untuk lebih terbuka dan dapat menggapai “sembuh” yang aku idamkan selama ini. Kerana apa? Aku bukanlah orang yang terbuka berkongsi cerita dan masalah.

Adapun yang aku tahu hanya mengabaikan segala emosi dengan memperkecilkan gembira atau sedih yang aku rasa untuk menjadi manusia yang kuat dan tak terkesan.

Akhirnya, aku sukar menyatakan perasaan dan menunjukkan pelbagai emosi. Aku kekok.

Untuk pengetahuan, aku seorang pesakit MDD dan Panic disorder. Seorang perempuan, usia pertengahan 20-an. Belum berkahwin dan sudah lebih setengah tahun terpaksa berhenti kerja.

Aku masih mengambil ubat dengan dos yang paling maksimum. Sudah tiga kali doktor menaikkan dos ubat, sekarang baru aku terasa seperti makhluk hidup. Aku tidak sabar untuk hidup bebas ubat.

Alhamdulillah, aku melihat sekarang sudah semakin banyak pendedahan tentang masalah kesihatan mental. Ini berita gembira. Stigma negatif semakin mengecil.

Kemudahan/ akses kepada rawatan perubatan juga semakin bertambah.

Aku bangga dengan pesakit-pesakit yang mahu berkongsi masalah kesihatan mental yang mereka alami kepada ahli keluarga, kawan-kawan, bahkan orang awam di pelbagai medium perkongsian.

Kerana apa? Aku tidak dapat menjadi seperti mereka. Hanya sedikit ahli keluarga aku yang tahu berkenaan penyakit aku.

Boleh aku katakan tidak semua adik beradik aku tahu. Sahabat yang tahu juga boleh dihitung dengan jari tangan.

Kawan-kawan melihat aku sebagai seorang yang tenang/cool. Tetapi apa yang aku alami cuba aku sembunyikan dan abaikan saja.

Daripada zaman sekolah menengah sehingga ke universiti menjadi tempoh yang perit kerana aku masih tidak ada keberanian untuk bersikap terbuka.

Bukan tidak pernah ke hospital, bukan tidak pernah didorong di dalam ambulans, bukan tidak pernah ditahan di wad kecemasan.

Tapi kerana sikap yang tidak terbuka, tiada apa yang orang lain boleh lakukan untuk membantu aku. Aku akui.

Lari? Itu sahaja jalan yang aku ada sejak 10 tahun yang lalu.

Kemiskinan, penderaan emosi daripada persekitaran negatif, buli, gangguan seksual pedofilia, difitnah dan dianiayai orang yang aku percaya, telah membentuk ketakutan dalam diri aku. Sejak kecil, aku suka bersendiri.

Aku jauhkan diri. Aku tidak banyak bercakap dan bergurau. Aku kira itu adalah salah satu ciri-ciri kekuatan.

Tapi semakin meningkat umur, beberapa kali aku terkena panic attack. Mengambil masa yang lama juga untuk doktor diagnos masalah kesihatan yang aku alami kerana aku selalu menafikan.

Aku mengaku, ujian DASS di hospital tidak aku jawab dengan jujur.

Palpitation yang berlaku secara tiba-tiba aku abaikan. Aku diam dan cuba bertenang kerana ketika itu persekitaran yang sibuk membuatkan aku susah bernafas, mual dan ingin muntah.

Ia datang tak semena-mena bukan saja pada waktu melakukan kerja di rumah, buat assignment, bahkan semasa duduk bersantai menonton tv juga sewaktu melelapkan mata untuk tidur.

Aku selalu berfikir bagaimana orang-orang selalu mengaitkan masalah kesihatan mental dengan kurangnya iman dalam diri. Sebagai Muslim, siapa yang berani mengatakan yang imannya sudah cukup tinggi?

Aku tak berani. Kerana setiap hari itu menjadi hari untuk aku berusaha mencukupkan amalan-amalan wajib.

Setiap hari adalah hari untuk aku berusaha melakukan kebaikan dan cuba sedaya upaya meninggalkan benda lagha dan haram. Dan masalah kesihatan mental yang aku alami ini aku anggap sebagai ujian.

Yang aku pasti, Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Aku harap orang-orang yang mengalami hal yang sama dengan aku juga berfikiran begitu. Kita usaha semampu kita.

Penyakit ini tidak dinafikan boleh membuatkan kita kehilangan kawan, hobi, bahkan kehilangan kerja.

Tetapi kawan, dekati Tuhanmu, dekati keluargamu, dan fokus dengan perawatanmu, in shaa Allah kita tidak akan berakhir dengan kehilangan diri kita sendiri. Begitu cara aku memujuk diri aku yang rapuh.

Tiap hari itu yang aku katakan kepada diri. Dan satu lagi, “Proses kesembuhan ini mungkin panjang, tapi ia tidak selamanya”. Salah satu Kata-kata Dr. Isabella yang memberi kesan terhadap motivasi dalam diri aku yang aku dapat kongsikan di sini.

Terima kasih Dr. kerana selalu mendengar dan memberi dorongan. Untuk pembaca, perhatikan kawan-kawan, ahli keluarga, dan orang-orang terdekat kamu.

Sekali sekala tanyalah khabar mereka. Tidak semestinya mereka memerlukan kehebatan solusimu, adakalanya mereka hanya memerlukan keramahan telingamu.

Aku suka membaca kata-kata yang baik, kata-kata yang lahir daripada hati manusia biasa yang empati. Kata-kata berdasarkan ilmu dan pengalaman.

Aku hargai kata-kata yang ditulis pembaca di ruangan komen. Mungkin salah satu kata-kata kamu yang akan menjadi asbab bertambahnya rasa syukur dan sabar aku berhadapan dengan sakit ini.

Mungkin kata-kata yang baik daripada pembaca akan juga dibaca oleh insan seperti aku yang dahaga “SUPPORT”.

Ini sahaja yang aku mampu katakan kali ini. Aku harap ini titik mula yang berkesan. Wasalam.

– Rose (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *