Assalamualaikum wbt semua buat pembaca iiumc. Dan terima kasih banyak2 kepada admin jika menyiarkan tulisan ini.
Alhamdulillah segala pujian bagi Tuhan yang melimpahkan nikmatNya kepada kita semua.
Sejujurnya saya tidaklah pandai dalam penulisan dan penyusunan kata, sekiranya coretan ini kurang difahami harap dimaaf dan moga dapat menerima dengan baik.
Untuk memudahkan tulisan ini saya akan membahasakan diri saya dengan aku. Seperti tajuk diatas adalah Mencari Tuhan.
Aku seorang lelaki berumur pertengahan 20an dan beragama islam.
Sebenarnya tujuan aku menulis ini adalah untuk mencari jawapan dari persoalan yang ada dalam fikiran yang sedikit sebanyak membebankan diriku dalam keseluruhan kehidupan ini.
Alhamdulillah aku seorang yang menjaga solat dan sekiranya terlepas waktu aku akan mengantikannya(qadha).
Sejujurnya aku dahulu bukanlah seorang yang menjaga solat dan menitikkan agama dalam kehidupan.
Lumrah kehidupan bila lemah baru tahu siapa yang maha berkuasa. Sejak dari itu kehidupanku mula ada pergantungan kepada Tuhan.
Aku mula belajar ilmu agama dengan dibantu sahabat-sahabatku mengenalkan kepadaku majlis-majlis ilmu yang terdapat disekitar ataupun jauh.
Alhamdulillah hatiku mula tenang dan kelakuanku sedikit sebanyak berubah dari sebelum.
Selepas beberapa tahun sejak dari itu keyakinanku kepada agama sedikit goyah dengan ujian yang menimpa diriku.
Aku mula mempersoalkan apa yang terjadi pada diriku dan seolah-olah sukar untuk menerima takdir kehidupan.
Jika dahulu masuk waktu azan terus bergegas untuk mendirikan solat tetapi sekarang tidak pula. Keterujaan aku kepada agama mula berkurangan.
Sejujurnya didalam hati kecil masih berharap kebaikan untuk kehidupan ini. Pernah terlintas didalam fikiran kenapa aku dihidupkan. Lebih buruk lagi datang fikiran untuk menamatkan diri dalam kehidupan ini.
Tetapi aku bersyukur masih ada sedikit atau secebis iman didalam diri dan ancaman berat akan menanti orang yang melakukan demikian diakhirat kelak.
Aku ada terbaca artikel dimedia sosial tentang kisah seorang lelaki kulit hitam berasal dari congo bernama ota benga dan aku membuat sedikit pencarian di internet tentangnya.
Ada terfikir bagaimana pula keadaan orang-orang yang hidup mereka sengsara dan dizalimi didunia dan mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidup mereka dengan cara demikian seperti apa yang terjadi kepada ota benga.
Adakah Tuhan menerima dan mengampuni mereka?
Semoga Tuhan mengampuni menerima mereka dan kita semua ke jalanNya.
Selain itu aku ada menyertai satu kumpulan dimedia sosial berkenaan pendebatan dalam agama. Aku membaca beberapa persoalan dan hujah-hujah tentang agama didalam kumpulan itu.
Persoalan yang mencuri perhatianku adalah berkenaan isu murtad. Aku membuat pencarian di internet tentang hukuman murtad didalam agama islam.
Dan jawapan yang aku dapat adalah mereka yang murtad daripada agama islam adalah dihukum bunuh dan tak kurang juga ada yang mengkritik ulama-ulama terdahulu tentang tafsiran.
Tidak setakat itu aku pergi menemui beberapa orang yang berilmu dalam hal keagamaan untuk mendapatkan jawapan pasti.
Apa yang aku dapati daripada jawapan mereka adalah sama juga. Tidak kurang juga ada sehingga banyak pertanyaanku membuatkan timbul ketegangan. Dan aku anggap ia adalah perkara biasa dan lumrah dalam mencari jawapan dan kebenaran.
Kenapa persoalan isu murtad mencuri perhatianku adalah kerana ada diantara bukan muslim atau muslim sendiri yang mempersoalkan hukuman murtad dalam islam melalui hujah mereka,
dengan mengatakan islam adalah agama kedamaian(religion of peace) tetapi bagaimana pula membenarkan hukuman bunuh bagi yang murtad dari agama?
Dan bagi aku adakah ianya sesuai dengan slogan religion of peace berkenaan?
Dan ada juga jawapan aku dapat adalah agama seperti hindu dan sikh juga akan melakukan hal sama dengan hukuman bunuh juga kepada mereka yang murtad dari agama mereka.
Aku juga pernah menetap dinegara yang mengamalkan kebebasan dalam kehidupan.
Apa yang aku perhatikan banyak orang yang bukan islam baik-baik dan sopan dalam kelakuan mereka dan mereka juga sungguh banyak memberi manfaat dan kemudahan kepada kita dan dunia dalam industri teknologi dan lain-lain,
Akan tetapi kenapa Allah swt tidak jadikan orang-orang berkenaan beragama islam untuk sama-sama ke syurga?
Dan aku tak nafikan disebalik kebaikan dan manfaat daripada teknologi berkenaan ada banyak juga keburukan dan bahayanya yang kita sedari atau tidak sedari jika tidak dikawal dengan baik.
Sejujurnya aku tidak boleh nafikan yang agama islam adalah jalan cara kehidupan (The way of life). Sebagai contoh soal batasan dalam bab pergaulan lelaki dan perempuan.
Sungguh merisaukan sekali apabila berada ditempat kerja yang boleh terjadinya kecurangan jika sekiranya tiada sekatan dan kefahaman dalam agama berkenaan menangani perkara tersebut.
Bukan itu sahaja, bab mengutamakan Ibubapa, halal haram dalam makan minum,cara penyucian najis, batas aurat dalam pemakaian dan lain-lain perkara.
Bila tengok youtuber pengembara yang mengembara. Mereka suka dengan suasana kehidupan negara islam atau orang-orang islam sendiri yang bersifat ramah dan pemurah dalam bersosial dengan tidak memandangkan soal materialistik.
Dan tak kurang juga ada diantara mereka yang memilih untuk beragama islam.
Akhir sekali aku harap adalah pembaca-pembaca yang ringan tangan untuk sudi memberikan beberapa jawapan atau pandangan tentang persoalan yang aku coretkan diruangan ini.
Harap dimaaf diatas segala kekurangan ini. Terima kasih sudi membaca.
– Hamba Tuhan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit