Nasi Goreng Untuk Cik Pon

Ini adalah salah satu kisah seram yang aku alami semasa aku masih lagi seorang pelajar di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian (USM). Kisah ini berlaku lebih kurang 10 tahun lepas, dan ketika umat Islam sibuk membuat persediaan untuk Hari Raya Aidiladha.

Ketika itu, aku di tahun 2 pengajian perubatan di dan disebabkan aku menyewa di sebuah rumah yang terletak di sebuah rumah di Demit. Aku menyewa bersama-sama 2 orang rakan yang juga pelajar perubatan di USM. Pada 2 hari sebelum kes ini terjadi, mereka berdua sudah pun balik kampung.

Di USM, aku selalu lepak dengan seorang lagi kawan aku yang bernama Hadi (bukan nama sebenar). Dia orang Sabah. Ketika cuti perayaan, dia juga tidak pulang ke kampung kerana ingin berjimat untuk membeli tiket penerbangan ke kampungnya di Tawau.

Aku pula tidak pulang kononnya kerana ingin belajar ketika orang lain semua sibuk beraya sebab aku cuba nak score untuk peperiksaan yang tak sampai 3 bulan lagi.

Aku menjemput Hadi daripada asrama kampus kesihatan (Desasiswa) untuk lepak menonton movie dan bermain game di rumah. Hadi sekepala dengan aku, taste movie dan permainan video pun lebih kurang sama.

Sewaktu hari hampir malam, kami berdua membuat keputusan untuk masak sahaja di rumah memandangkan rumah sewa aku itu lengkap dengan peralatan memasak.

Lagipun, kedai makan semuanya tutup, dan seperti korang tahu, rakyat di Kelantan merayakan Aidiladha lebih meriah daripada Hari Raya Aidilfitri.

Kedai makan yang merupakan fast food chain seperti KFC dan McDonald’s pula dipenuhi orang ramai yang beratur sehingga keluar daripada restoran tersebut.

Aku buka peti ais dan ada bahan-bahan basah seperti ayam dan sayur-sayuran. Ada baki nasi putih yang tersimpan dalam peti ais, jadinya, aku membuat keputusan untuk memasak nasi goreng. Aku ni kan poyo je lebih, kononnya nak menunjuk kemahiran memasak aku kepada Hadi.

Malangnya, nasi goreng yang aku impikan itu jauh panggang dari api. Bukan sahaja nasi yang aku masak itu tak enak dipandang, malahan rasanya juga tidak sedap. Jadi situasi aku dengan Hadi yang sedang makan itu jadi janggal. Aku lihat hidung dia kembang kempis cuba menelan nasi tersebut.

Aku bertanya soalan rhetorical kepadanya tentang apa yang dia rasa masakan tersebut.

Belum sempat aku habis soalan lagi dia telah menunjukkan bahasa isyarat tangannya ‘thumbs up” walaupun ekspresi mukanya yang terseksa itu ibarat banduan yang baru sahaja dihumban dalam Black Maria setelah ditumbuk 18 kali di mukanya.

Barangkali, eh, bukan barangkali, tetapi aku pasti perbuatannya itu adalah percubaan untuk menjaga hati aku.

Pada jam 9.00 malam, Hadi meminta pertolongan aku untuk menghantarnya kembali ke Desasiswa Murni. Aku segera bersiap-siap dan menghantar dia ke kampus kesihatan menggunakan kereta Proton Satria aku, dan setelah aku melepak sebentar di biliknya, aku pulang ke rumah.

Rumah sewa tersebut tidaklah isolated, namun jauh ke dalam, dan kawasannya tiada lampu jalan. Yang ada hanyalah lampu-lampu daripada rumah di sekitar kawasan tersebut.

Masuk sahaja ke kawasan itu, pasti aku akan membuka high beam, maklumlah, rabun silau aku agak tinggi akibat asyik bermain game sahaja atau banyak menonton video ceramah agama (*wink wink) sebelum tidur.

Setibanya aku di rumah, aku meletakkan kereta aku di bawah garaj dan menutup gate serta menguncinya dengan pedai ayam. Kemudian, aku menutup pintu grill dan sliding door sebelum masuk ke dalam bilik aku.

Bilik aku merupakan master bedroom rumah tersebut yang terletak di hadapan sekali menghala pintu pagar di hadapan rumah. Kiranya, daripada tingkap bilik aku, boleh nampak jelas garaj kereta.

Aku duduk di atas kerusi dan mula membuka buku untuk study setelah hampir seharian membuang masa.

Sedang aku study, tiba-tiba terdengar bunyi hentakan di but kereta aku di luar. Ibarat macam ada orang mengetuk-ngetuk but kereta aku. Sewaktu itu, aku tidak mengesyaki apa-apa dan terus menjengah keluar.

Kelihatan seekor anak kucing yang sedang melompat-lompat di atas kereta aku kerana banyak kelkatu yang terbang dan tertarik dengan lampu garaj kereta di atas siling. Pada firasat aku, ada kemungkinan anak kucing tersebut ingin bermain-main untuk menangkapnya.

Aku teringat yang nasi goreng yang aku masak tu masih ada lagi di dapur, jadi aku mengambil baki nasi tersebut untuk berkongsi dengan kucing tersebut yang masih berada di situ. Kerana di dalam masakan tersebut ada ayam, mungkin kucing tersebut berselera.

Aku memanggil kucing tersebut dengan membuat bunyi seakan-akan bunyi cicak mengawan. Kucing tersebut datang dan mula makan, dan aku menutup semula sliding door dan masuk untuk meneruskan untuk study.

Jam 2 pagi, tiba-tiba bunyi pinggan di luar semakin lama semakin kuat, seolah-olah ada orang yang menyeret pinggan itu ke depan dan ke belakang. Makin lama makin kuat, sehinggakan aku terfikir, eh, bernafsu sungguh kucing tu makan. Betul-betul kelaparan ni.

Sambil itu, tiba-tiba aku berasa seram sejuk dan berdiri bulu roma aku di tengkuk tanpa sebab yang munasabah mahupun munasarawak. Namun, yalah, aku tak suspek apa-apa pun kecuali anak kucing tersebut. Maka, aku menjengah melalui pintu bilik aku.

Alangkah terkejutnya aku bila terlihat sekujur tubuh sedang menunduk ibarat orang sedang bersujud, dan meratah tulang-temulang yang berada di dalam pinggan tersebut. Rambutnya hitam dan panjang sehingga ke lantai dan berbaju putih.

“Dia” tunduk sahaja seolah-olah sangat khusyuk makan sehinggakan tidak perasan hamba Allah ini sedang melihatnya.

Aku jadi terlalu takut, perlahan-lahan aku berundur semula dan masuk ke dalam bilik aku tanpa membuat bunyi. Yang kelakarnya, aku berundur dan duduk di sudut bilik aku kerana aku teringat, biasanya kalau cerita hantu kan hantunya akan muncul daripada belakang.

Jadi kalau aku dah duduk di sudut bilik aku, coverage mata aku bagus dan boleh nampak seluruh bilik aku, dan di belakang aku pula dinding, kecuali kalau hantu tu main tipu lah, main tembus dinding ataupun dari atas….

Apa benda lah otak aku sampai sebegitu terperinci membayangkan benda yang bukan-bukan.

“Prangg!!”, bunyi pinggan pecah menyebabkan external sphincter aku gagal menahan air kencing sehinggakan aku terkencing dalam seluar akibat terlalu terkejut.

Aku jadi terlalu takut. Berkumat-kamit ayat Kursi dan ayat-ayat lain yang aku baca. Muka aku pucat lesi dan menggigil ketakutan. Manalah tahu “dia” muncul daripada atas, atau dia masuk ke dalam rumah.

Lama juga aku duduk dan tidak bergerak sampai ke jam 5.30 pagi, aku masih tergamam di sudut bilik beralaskan air kencing aku sendiri. Bunyi seretan pinggan sudah pun lama berhenti.

Tiba-tiba perut aku memulas nak terbuang air besar la pula. Namun sebab terlalu takut aku tahan sahaja. Mungkin kerana makanan yang aku masak mengakibatkan perut aku sakit.

Saat terdengar azan subuh berkumandang, cepat-cepat aku bangun, tapi bukan ke tandas la. Mana taknya, orang kata bila azan kedengaran, syaitan akan bertempiaran lari dan bersembunyi di dalam tandas.

Yalah, manalah tahu kalau aku terus ke tandas, pada masa yang sama pontianak itu pun nak sembunyi daripada azan di toilet yang sama. Haa, karang kalau bertembung di dalam tandas, mata bertentang mata… Boleh jadi jatuh cinta pula.

Selepas azan tamat, barulah aku ke tandas. Itu pun aku ketuk dulu pintu sebab kalau aku main buka je, manalah tahu ‘dia’ tengah mandi atau nak berak sebab makan nasi aku tu. Apabila hari sudah pun cerah, aku bersihkan bilik yang berbau hancing.

Aku menjengah di luar pintu rumah dan aku mendapati bahawa pinggan tersebut sememangnya pecah berderai, seolah-olah dilemparkan ke dinding

Aku masih terfikir sehingga sekarang, mungkin hantu tu geram kerana makan nasi yang tak sedap, dan membalingnya ke dinding. Atau dia bengang sebab nak kena kongsi pula dengan kucing, atau mungkin aku tak hidangkan air kot. Mesti dia tercekik.

Tapi yalah, kalau tercekik pun tak payahlah nak emosional baling pinggan bagai kan?

Tapi bagus lah nasi tu tak sedap, sebab mungkin pada awalnya si dia ni nak mengganggu aku, namun terpaksa melupakan hasratnya kerana dia pun memulas-mulas perut dan terpaksa dia dapatkan rawatan di wad kecemasan.

Haaa, ayoo, siapa yang kerja triage malam ni, kalau nampak perempuan menghampiri korang dan kakinya tak jejak tanah, aku nak pastikan korang masukkan je terus branula hijau dan run fluid secepat mungkin. Make sure hantar BUSE dan pastikan vital sign dia stable ya, hihihi.

Selepas kejadian itu, aku tidur di bilik Hadi sampailah housemate aku pulang daripada kampung halamannya. Apa pun, walaupun kisah ini lawak, ianya memang kisah yang benar-benar terjadi kepada diri saya dulu pada tahun 2010.

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *