Untuk part I, (https://iiumc.com/demi-sesuatu-yang-dipanggil-maruah/).
Assalamualaikum semua… Jutaan terima kasih kerana komen-komen kalian dalam artikel aku yang bertajuk, “Demi sesuatu yang di panggil maruah…”.
Sebenarnya memang aku dah lama terfikir benda yang sama. Mungkin ada benar juga kata-kata dan pendapat kalian tentang ‘trick’ keluarga Daus terhadap aku. Tapi sebenarnya tanggapan itu jauh sekali tidak benar.
Mesti kalian tertanya-tanya kenapa perlu di nikahkan sedangkan mereka bukan berzina. Cukup hanya membayar denda dan Lisa boleh berpindah…
Baiklah di sini aku akan terangkan. Bukan aku tidak mahu menerangkan keadaanya dalam artikel pertama, cuma aku bimbang ianya akan mengganggu masa kalian untuk menghabiskan bacaan.
Jadi aku ‘skip’ mana yang tidak perlu kerana niat aku sekadar ingin berkongsi cerita aku kepada seseorang.
Bukan bertujuan mengungkit atau menunjuk betapa baiknya aku kerana memilih untuk bermadu tetapi sekadar untuk bercerita di samping mengharapkan doa daripada kalian para pembaca.
Ustaz kata jangan malu untuk meminta orang lain mendoakan kebaikan untuk kita walaupun mereka bukanlah daripada satu agama dengan kita kerana kita tidak tahu dalam banyak2 doa, doa siapa yang Allah Swt akan angkat dan makbulkan…
Seminggu aku mendiamkan diri. Kalian fikir aku kuat…? Tidak…!! Aku tak kuat… Aku juga menangis, merintih, meraung semahu hati aku.
Aku minta teksi/grab yang membawa aku pulang berhenti di mana-mana masjid atau surau untuk aku buat solat taubat, aku buat solat sunat dua rakaat mohon pertunjuk daripada Allah SWT untuk meringankan beban yang aku galas.
Aku tersiksa kawan-kawan. Sangat-sangat tersiksa. Sakit dan sangat terbeban. Mana-mana sahaja aku pergi, ke kedai, ke surau, ke pasar malam pasti orang akan memandang sinis terhadapku.
Ada pula mulut yang suka menyampai umpat kata jiran-jiran.
“Kau tahu Araa… Si pulan (mewakili nama seseorang) tu kata kau pentingkan diri sendiri. Asyik kerja jer sampaikan nafsu laki pun tak terjaga… Itu sampai kena tangkap khalwat…”
Yer… Ada benar kata mereka.
Aku kerja shift… Dalam seminggu 2 hari kerja malam pulangnya pagi, 2 hari kerja siang baliknya malam, 2 hari kerja pagi baliknya tengahari dan 1 hari aku cuti itupun kadang kala kena pada hari Daus kerja luar, berhari2 tidak pulang.
Bila masa aku boleh melayan Daus…? Berhenti kerja…? Memang tidak pernah terfikir kerana aku perlu membantu ibu menyara keluarga memandangkan ayah sudah tiada.
“Kau tu dah tak boleh beranak, suruh jer Daus nikah dengan sepupunya tu… Alang-alang dah malu kan… Nak simpan apa lagi Araa…”
Terduduk dan terkelu aku mendengar kata-kata si pulan yang lain pula. Tepat lagi ke dahi aku. Itu belum ada yang mencemuh dan mengutuk ibu dan arwah bapa mertuaku.
“Araaa… Lagi dua minggu kita akan sambut hari raya korban… Pengorbanan bukan sahaja kita menyembelih lembu atau kambing. Korbankan perasaan untuk maruah dan agama juga merupakan satu pengorbanan…
Seperti Nabi Ibrahim as dengan redha korbankan perasaan kasih dan sayangnya terhadap Nabi Ismail as dengan mengikut suruhan Allah swt supaya ‘menyembelih’ anaknya sebagai tanda ke takwaannya kepada Allah SWT…
Sebagai bukti cintanya umat manusia kepada Allah Swt melebihi cinta sesama manusia… Cerita selebihnya, saya yakin Araa tahu kerana Ara bukan di besarkan dalam keluarga yang jahil.
Arwah bapa Ara ustaz dan saya yakin Ara sering mendengar cerita-cerita para Nabi dan rasul…”
Kata-kata inilah yang membuka pintu hati aku untuk menerima Lisa. Aku juga ada terfikir seperti kalian fikir bagaimana jika benar mereka menyimpan perasaan satu antara lain…?
Selama 2 tahun mereka pergi dan balik kerja sama-sama. Makan tengahari bersama-sama. Lagi pula pernah ada sejarah berkasih sayang walaupun hanya kisah cinta monyet di zaman persekolahan menengah.
Mustahil jika mereka tidak ada simpan perasan walaupun hanya sebesar kuman. Bagaimana pula nanti jika Lisa berpindah dan mereka bertemu secara rahsia di belakang aku…?
Tidak kah ianya lagi membunuh perasaanku dan seandainya mereka benar-benar melakukan maksiat…? Tidakkah aku sama-sama turut terpalit dengan dosa…?
“Araa… Saya juga hidup berpoligami. Ara tahu kan saya isteri pertama. Bukan satu madu saya malah dua… Alhamdulillah hidup saya bahagia. Sikit-sikit cemburu dan bermasam muka itu adat…
Alangkah sedarah sedaging pun cemburu apabila mak atau ayah lebihkan salah seorang darinya inikan pula suami. Tapi Ara bila kita kenangkan semua hanya pinjaman dan yang kekalnya di Syurga nanti, in sha Allah Ara akan nampak keindahnya berpoligami…”
Satu-satunya kakak sepupu yang memahami aku. Anak didik arwah ayah. Kakak sepupuku ini seorang pensyarah dan dalam masa yang sama dia seorang sukarelawan.
Jadi sering keluar negeri membuat kerja amal dalam mencari dana untuk rumah-rumah anak yatim atau para asnaf. Dia akui, sewaktu dia di madukan memang dia tidak dapat terima.
Hari-hari bergaduh dan ungkit mengungkit belaku tetapi apabila dia rasa, ketika suaminya berada di rumah si madu masanya untuk beribadah dan beramal soleh lagi panjang maka dengan sendiri dia redha…
“Saya izinkan dia bernikah lagi dengan isteri ke tiga setelah saya pastikan dia mampu. Berpoligami lah mengikut syariat Islam… In sha Allah Araa akan nampak keindahnya…
Ara sanggup tengok suami Ara, imam Ara buat maksiat…? Berdua-duaan di laman tanpa orang ketiga juga merupakan maksiat… Maksiat kecil yang akan menjadi besar sekiranya kita tidak menghalangnya kerana setiap manusia Allah ciptakan dengan nafsu…”
Kata-kata yang membuatkan mataku terbuka. Pembaca sekalian, aku bukan menyeru kalian terima poligami. Itu hak masing-masing kerana hanya kita yang tahu setiap kekurangan suami kita.
Cuma aku ingin bercerita pada kalian apa yang belaku selama seminggu aku mendiamkan diri itu. Seperti yang kalian minta, aku menjawab soalan kalian kenapa perlu disatukan sedangkan mereka bukan berzina… itulah jawapan aku.
Dahulu, masa mula-mula mereka bernikah, Daus langsung tidak menggauli Lisa. Aku senang begitu tetapi bukan aku yang meletakkan syarat. Malah Lisa pun tidak pernah meminta haknya. Hubungan mereka tetap kekal begitu.
Aku…? Mestilah aku gembira kerana aku telah menjadi menantu kesayangan mentua kerana aku telah membuat keputusan tanpa mementingkan perasaan aku sendiri. Tapi bila aku sering mendengar dan membaca cerita tentang poligami…
“Syarat berpoligami adalah adil…”
Aku takut sekiranya itu akan mengheret aku ke neraka. Jadi aku minta dengan Daus supaya adil dan hasilnya, Lisa mengandung. Tiga bulan Lisa bersalin, ibu mentuaku meninggal kena serangan jantung ketika mandi untuk solat Subuh.
Untung ketika itu Lisa di rumah sementara aku dan Daus berada di rumah keluarga ku… Kalau dulu, jarang sekali aku dapat pulang ke rumah keluarga ku bimbang utk tinggalkan ibu sendirian. Bagaimana jika Lisa tiada…?
Adakah seminggu baru ketemu jasad ibu yang mungkin sudah reput. Sekarang tugas Daus juga sudah mula ringan kerana ada Lisa yang membantu menjemput aku daripada tempat kerja memandangkan aku tidak pandai membawa kereta ataupun motor.
Rezeki Daus juga semakin meluas kerana Daus tidak perlu tolak untuk bekerja di luar kawasan lagi kerana adanya Lisa yang boleh menggantikan tempatnya menghantar dan menjemputku kerja.
Tugas Daus jika cuti duduk rumah jaga anak sementara aku dan Lisa keluar membeli barang-barang keperluan dapur kerana bagi Daus ianya sangat membuang masa.
Maklumlah walaupun kami sebumbung dan yang memudahkan kami hanyalah tangga tapi dapur kami tetap berbeza jadi perlu banyak masa untuk memilih.
Aku juga tidak perlu lagi menjawab soalan-soalan sinis keluarga Daus atau jiran-jiran tentang zuriat kerana aku sudah ada Lisa yang akan membantuku menjawabnya sehingga mereka tidak berani bertanya lagi.
Alhamdulillah demi Allah Aku bahagia… Doakan aku yer semoga kebahagian ini kekal menjadi milik kami dan sama-sama menuju ke syurga Allah…
Jangan kalian samakan kisah aku dengan drama tv pula yer. Tanpa kisah benar yang kita lalui aku yakin pengarah filem pun tidak ada idea untuk membuat cerita. Penulis sendiri beberapa kali tanya padaku ketika aku menceritakan kisah ku padanya…
“Puan pasti puan bahagia…?”
“Betulkah bahagia ini puan atau sekadar memujuk hati untuk redha…?”
Aku jawab… Mana ada perempuan yang sanggup bermadu… Tetapi apabila kita sendiri yang laluinya… Terimalah dengan hati yang terbuka dan redha kerana kebahagian ada dalam genggaman kita sendiri. Bukan mereka yang tentukan.
– Ara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit