Reply To : Apa Yang Suami Dah Buat?

Assalamualaikum semua. Saya Labu, 25 tahun. Sudah bekerja dan tinggal dengan ibu saya. Selepas baca confession ‘Apa yang suami dah buat?’ (https://iiumc.com/400am9102020/).

Saya tergerak nak berkongsi kisah ibu saya yang saya sendiri lalui sejak kecil.

Perkara ni yang mengubah persepsi saya terhadap perkahwinan sekaligus mendidik diri sendiri supaya tidak mengharap apa-apa kebahagiaan dari manusia selain dari yang di atas.

Abah saya bekerja dengan uniform celoreng. Sejak kecik lagi, saya selalu persoalkan ibu, kenapa abah tak macam abah orang lain.

Saya tak pandai bercerita, jadi saya senaraikan apa yang saya maksudkan dengan ‘tak macam orang lain’.

1. Abah tak pernah bersembang dengan kami anak beranak, bertanya khabar, perihal sekolah, bergurau apatah lagi. Abah cuma pergi kerja dan balik kerja, selalunya malam. Abah makan, tengok tv, tidur.

Tapi abah boleh bersembang rancak dengan oragn luar, bergurau gelak ketawa. Abah boleh bertanya perihal sekolah, belajar, kos anak orang, mesra sangat. Tapi tak pernah sekali abah bermesra dengan kami.

2. Abah tak pernah bawak berjalan. Bagi yang lahir dari keluarga uniform celoreng, mesti tahu setiap tahun akan ada Hari Keluarga.

Cuma sekali abah bawak kami, itupun cuma ditinggalkan dengan ibu. Selepas tu tak pernah lagi. Biasanya hanya ibu yang akan bawak kami adik beradik berjalan, tanpa abah.

3. Abah tak pernah senyum dengan kami. 25 tahun saya hidup, tak pernah sekali abah tersenyum mesra pada kami. Wajahnya berkerut dan serius sentiasa.

Kalau keluar beli barang, balik kampung, yang mengambil masa dan perjalanan yang lama, suasana sepi dalam kereta. Cuma yang dengar bunyi radio. Begitulah dari saya kecil sehingga besar sekarang.

Abah tak pernah ajar kami. Semuanya pada bahu ibu. Ibu yang ajar kami 4 adik beradik solat, mengaji, homework. Semuanya ibu. Ibu yang banyak membesarkan kami. Abah cuma berikan duit.

4. Abah dah lama ada perempuan lain. Saya sendiri pernah terjumpa satu teks mesej abah dengan perempuan lain. Kecik lagi saya masa tu. Mungkin umur saya dalam lingkungan 8 tahun.

Tapi yang saya pasti isi mesej tu adalah mengaibkan. Ya abah dah buat benda tak baik. Disebabkan itu, sampai sekarang, saat ini, saya tak pernah ceritakan benda aib tu pada sesiapa.

Tapi akhirnya, dengan izin Tuhan, abah terkantoi dengan sendirinya. Ketika saya umur 14 tahun lebih kurang. Ya lama sangat baru kantoi. Benda tu sampai pada pengetahuan ibu.

Jiran kami yang telefon ibu (sebab benda tu dah tersebar). Malu juga. Tapi bukanlah terkantoi buat perkara aib macam yang kantoi dengan saya. Cuma kantoi abah ada perempuan. Ibu mintak penjelasan tapi abah cuma diam.

Ajaibnya ibu sangat tenang. Ibu cuma diamkan diri. Kebetulan pada masa tu ibu dan kami adik beradik baru pindah duduk di kampung ibu.

Ibu dan abah dah mula PJJ. Ibu pun tak ada kapasiti untuk pergi cari abah atau buat apa-apa. Jadi ibu cuma biarkan berlalu.

Tapi saya tahu, ibu menangis sorang2 setiap malam. Tapi esok paginya ibu kejut kami sekolah seperti tak ada apa-apa. Kuatnya ibu.

5. Sejak kami PJJ, (Abah di kota, kami di kampung) Abah tak pernah culas bagi nafkah (walaupun sebenarnya kadang tak cukup). Tapi ibu cuma ambil dah tak pernah meminta lebih.

Memang sejak kami duduk dengan abah pun ibu dah masak dengan abah yang selalu complaint bila ibu cakap duit belanja dapur tak cukup. Jadi sejak itu ibu cuma diam dan cari duit lebih sendiri dengan meniaga.

Bila PJJ, Abah cuma bank in kan duit dan tak pernah sekalipun telefon bertanya cukup atau tak duit ibu, cukup makan minum atau tak kami di sini, cukup tak belanja anak-anak sekolah.

Tiada. Ibu seolah ‘janda’. Ibu yang urus semua. Abah cuma balik sebulan sekali pada hujung minggu.

6. Pada mulanya PJJ memang kami susah. Tak ada kenderaan. Ibu pun tak ada lesen. Tapi ibu tak pernah menyusahkan orang lain. Oh ya kami duduk di rumah tokwan (abah kepada ibu).

Masih ingat lagi kalau nak ke mana-mana, ibu akan kejut saya awal pagi, supaya tak tertinggal bas. Kami naik bas ke pekan, cari barang basah untuk masak. Ibu gendong semua barang-barang banyak naik bas dengan kami anak-anak. Begitulah selama beberapa tahun.

Tak lama lepas tu, ibu beranikan diri ambik lesen kereta. Abah pun belikan satu kereta second hand untuk ibu guna di kampung sampai sekarang. Itupun duit kereta ibu kena bank in kan setiap bulan. Saya hairan juga kenapa abah tak buatkan. Semuanya ibu.

7. Tahun berlalu, dalam 5 tahun kami PJJ, abah pun dah semakin banyak gaji, abah nampak sedikit boros. Macam2 dibelikan untuk bawa balik ke kampung. Ya abah ada juga baiknya.

Tapi abah tetap ‘kedekut nafkah’ dengan ibu. Saya cukup ralat dengan tu. Abah tak pernah sekali nak bawak ibu keluar makan shopping apatah lagi.

Abah cuma bawa adik saya yang kecil keluar. Dan kalau diorang makan KFC/MCD, hanya sisa makan yang tak habis abah bawak pulang. Tak ada dibungkuskan sikit pun untuk ibu di rumah. Saya tahu ibu tak kisah pun, tapi ya lah.

8. Abah banyak tanggung saya sepanjang saya di universiti. Abah bank in kan duit belanja setiap bulan.

Ya abah tak kedekut dengan anak-anaknya. Saya sangat berterima kasih dengan abah. Bila gaji abah dah banyak, memang abah tak kedekut dengan kami anak-anak.

Tapi bila dah kerja, saya bank-in kan semula pada abah, saya tahu salah tapi saya cuma rasa terhutang budi, jadi saya nak bayar semuanya supaya tiada terhutang budi pada abah lagi.

9. Tapi setahun dua kebelakangan ni, abah semakin teruk. Dah tak ada lagi abah berbelanja banyak bawak balik ke kampung. Kebetulan tinggal seorang adik saya yang masih sekolah asrama.

Jadi bila abah balik, abah cuma tidur makan dan tengok tv, dan balik ke tempat dia. Abah seolah-olah tak ada duit.

Hairan saya ke mana duit abah dibelanjakan. Kenapa abah tak boleh nak beri lebih pada ibu yang dah banyak korban besarkan kami adik beradik sendirian. Sedangkan saya dah pun habis belajar.

10. Dari kecik, sekalipun saya tak pernah dengar ibu merungut. Sampai sekarang ibu masih meniaga cari duit sendiri. Walaupun saya dah bekerja dan boleh beri sedikit kemewahan pada ibu, tapi ibu cuma meniaga sikit2 sebab bosan duduk rumah sorang2.

10. Tahun ni, sebelum PKP, saya sekali lagi dapat tahu abah ada perempuan dan kali ni, saya jumpa bukti abah dan perempuan tu bercuti ke pulau.

Sekali lagi saya diamkan. Tak mahu ibu luluh hati dapat tahu perkara seaib itu. Saya sendiri pun sedih menangis dapat tahu hal tu.

11. Bila abah balik, ibu yang akan bercerita hal keluarga pada abah. Abah tak tanya pun. Ibu cerita dan abah cuma diam tengok tv. Tak ada respon apa-apa. Macam cakap seorang.

Kalau saya jadi ibu, takkan dah saya nak bercakap dengan abah. Buang air liur saja.

Saya dah setahun duduk dengan ibu selepas habis belajar, kerja pun dekat sini. Sangat-sangat tak selesa bila abah ada di rumah. Saya cuma berkurung dalam bilik. Sampai la abah balik tempat dia.

12. Saya tahu ibu terlampau banyak makan hati. Tapi ibu cuma bertahan sebab ibu tak ada pilihan. Ibu dah tua dan tak elok bunyinya jika becerai di usia tua.

Dari kami semua adik beradik masih kecil sehingga sekarang. Banyak sudah saya marahkan abah pada ibu. Tapi ibu cuma diam.

Saya tahu, ibu dah tak kisah pasal abah. Abah nak kahwin lain pun ibu tak kisah. Anak-anak ibu sekarang dah besar dan banyak bahagiakan ibu (Alhamdulillah).

Allah gantikan kasih sayang yang dah lama mati dari abah dengan anak-anak yang berjaya dan bahagiakan serta menjaga kebajikan ibu sebagai ganti dari suami yang tak pernah menganggap ibu itu isteri.

13. Saya tahu masih banyak isteri di luar sana yang lebih malang nasibnya dari ibu saya. Ada yang dapat suami kaki pukul, dan sebagainya. Ibu masih dikira beruntung ada suami (walaupun cuma jasad).

Tapi apa yang jadi pada ibu saya, buat saya faham, yang kebahagiaan tu bukan dicari pada manusia, tapi pada Tuhan. Sebab saya tahu malam hari ibu sering mengadu pada Tuhan.

Jadi perasaaannya lega. Tuhan juga berikan anak-anak yang baik (bukan nak cakap saya la, tapi kakak dan abang saya).

14. Jadi to confessor, apa yang awak luahkan sebenarnya sekecil-kecil hal dalam rumah tangga. Sebagai wanita kita seharusnya siapkan mental untuk perkara macam ni.

Sebab hati tu Tuhan yang pegang. Siapkan harta sendiri supaya jika terjadi sesuatu seperti ibu saya lalui itu, kita ada pilihan untuk tetap bertahan supaya tidak bergelar janda atau pergi mencari haluan sendiri. Jangan cari kebahagiaan pada manusia.

– Cik Labu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

— Tracking Info —

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *