Topeng

Kisah ini mempunyai 3,000 patah perkataan dan secara puratanya mengambil masa sekurang-kurangnya 12 minit. Sila teruskan pembacaan sekiranya anda masih berminat nak baca kisah panjang ini ya.

Baik mari kita start bercerita. Aku ada seorang sahabat yang aku kenal di Kolej Matrikulasi dulu. Namanya Afiq (bukan nama sebenar). Dia adalah seorang yang sangat-sangat Happy-Go-Lucky. Kalau sembang dengan dia, memang tak pernah aku tak gelak terbahak-bahak. Memang lawak.

Lepas tu, dia selalu post sesuatu yang positif di Friendster dia dulu. Sejak kebangkitan Facebook juga, dirinya masih sama. Dia masih seperti dulu, sentiasa gembira, positif dan suka melawak. Dia bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan.

Aku selalu berhubung antara satu sama lain, walaupun semakin berkurangan teks dan panggilan telefon sejak dia ada anak. Akan tetapi, setiap kali aku menghubungi dia atau ajak berjumpa di mamak atau mana-mana kedai makan, dia masih sama macam dulu.

Aku memang mengenali bukan setakat dia sahaja, bahkan, isteri dan anaknya sekali. Dia memang tak pernah berubah aku tengok. Di kala aku sedang diserang dengan panic attack dan kemurungan, kadangkala aku rasa cemburu dengan kehidupan dia.

Masakan tidak, dia ada gaji. Ada karier, ada keluarga dan lain-lain. Walaupun harta dan kehidupannya membuatkan aku cemburu, tetapi sifat dia yang sentiasa positif itulah yang aku paling cemburu.

Aku memang teringin sangat nak berkeluarga, namun, aku memang rasa aku tidak layak untuk mempunyai teman wanita mahupun anak kerana aku tahu aku jahat dan sentiasa berfikiran pesimistik setelah aku di diagnosis dengan masalah depression. Memang dalam pemikiran aku, aku membuat andaian bahawa kehidupannya tiada masalah.

Satu lagi yang aku kagum dengan Afiq adalah dia rajin solat berjemaah di mana dia merupakan di antara orang yang tidak balik diantara waktu solat maghrib dengan Isyak, bersama dengan isterinya yang bernama Yasmin di Masjid.

Dia akan duduk untuk membaca Al-Quran di antara solat maghrib dan Isyak, jika dia tidak bekerja syif petang. Baru-baru ni, aku dapat lihat gambar dia di masjid bersama anaknya yang kini sudah pun berusia 7 tahun di akaun laman sosialnya.

Lebih kurang beberapa bulan yang lepas, aku melepak bersama dia, isteri dan anaknya di kedai mamak. Itu pun kerana dia ada perkara yang dia mahu bincangkan dengan aku.

Dia ingin meminta pendapat dan idea mengenai side business dia. Selesai hal yang serius, seperti biasa kami berborak kosong. Banyak cerita yang ingin di kongsikan, maklumlah kawan lama kan?

Afiq yang aku jumpa memang Afiq yang sama aku jumpa dulu-dulu. Perangainya masih sama, dan memang pasti akan bergelak tawa mendengarkan ayat-ayat loyar buruknya.

Memang jika nak buat perbandingan di antara dia dengan aku, daripada segi loyar buruk tu, memang aku tak terlawan lah kiranya.

Nak dijadikan cerita, beberapa hari selepas aku berjumpa dengannya, aku ke sebuah hospital kerajaan untuk menziarahi salah seorang sahabat aku yang bernama Syahir (bukan nama sebenar), iaitu sahabat alam maya atau Facebook yang rajin bertanya aku mengenai penyakit mental yang dialaminya, iaitu Bipolar Disorder.

Aku ada kesukaran untuk bertemu dengannya sebelum ini memandangkan kerana secara jujurnya, kebanyakan rakan-rakan aku di media sosial ni aku tidak pernah bertemu pun.

Semua kenal atas talian sahaja dan isteri Syahir yang bernama Amirah inilah yang menghantar satu mesej di Facebook kepada aku kerana katanya, Syahir teringin nak berjumpa dengan aku.

Dia dimasukkan ke wad dan permintaan Amirah itu adalah supaya suaminya itu sekurang-kurangnya berasa sedikit gembira kerana akan ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.

Untuk kebanyakan pesakit mental, berdasarkan apa yang aku pelajari di medical school, reassurance dalam bentuk segi sokongan keluarga dan sahabat itulah yang paling penting. Aku bersetuju untuk berjumpa dengannya memandangkan aku berada berdekatan dengan hospital tersebut.

Lagipun, Syahir bukan hendakkan apa-apa dari aku atau nasihat perubatan pun (kerana secara jujurnya, aku memang tidak layak memberi nasihat kepada orang lain, maksud aku, ada ramai lagi orang di dunia ni yang lebih layak untuk memberi nasihat daripada aku),

Tetapi, dia hanya nak berjumpa secara face-to-face sebab Syahir ni sentiasa follow Facebook aku sejak daripada Facebook yang pertama lagi sebenarnya (Ini Facebook aku yang ketiga tau sebab 2 akaun aku dah pun aku delete dulu).

Setibanya di hospital, aku terserempak dengan isteri Syahir ni yang sedang menunggu di luar wad sementara menunggu waktu melawat yang dibenarkan, iaitu lebih kurang 20 minit lagi. Di situ, aku lihat ramai juga orang lain yang merupakan waris pesakit yang sedang menunggu

Tanpa membuang masa, aku pun terus ke arah dia dan sambil berjalan, aku periksa lagi beberapa kali profil Facebook Syahir ni yang ada gambar dia dan isterinya untuk aku dapatkan kepastian bahawa dialah orangnya. Karang, kalau tersilap tegur, buat malu aku je nanti.

Sementara menunggu waktu melawat itu sampai, aku duduk sahaja di kerusi ruangan menunggu pelawat sambil berborak kosong dengan isteri Syahir (Masa ni bukan masa PKP tau). Tetapi, pada masa yang sama, aku perasan ada seorang wanita yang duduk selang 1 baris daripada tempat duduk aku yang kelihatan sangat familiar.

Aku macam tak boleh nak cam siapa, lagipun, aku tak pakai cermin mata masa tu. Lama jugalah aku fikir, siapa dia ni ya. Macam pernah tengok, tapi dimana ya (*suara Yassin Senario).

Lepas beberapa minit aku cuba untuk melihat, barulah aku perasan, rupa-rupanya perempuan tu adalah Yasmin, isteri Afiq. Aku meminta keizinan Amirah untuk bangun dan berjalan ke barisan depan kerusi tersebut untuk menegur Yasmin.

“Eh, Yasmin kan? Buat apa di sini?”, aku tegur dia.

“Oh, Shark rupanya. Dr buat apa di sini?”

“Eh, janganlah panggil saya doktor, saya bukan doktor dah. Saya melawat kawan saya ni. Yasmin buat apa kat sini? Aqil (nama anak mereka) sihat?”

“Sihat Alhamdulillah. Ni, Afiq kena masuk wad”. Katanya.

“Eh, sebab apa?”, aku menjawab.

“Dia cuba nak bunuh diri. Saya nampak picagari dengan botol vial ubat ni (tidak boleh diberitahu nama ubat ni di sini kerana amat sensitif). Saya dapat tahu dia dah bersedia nak suntik diri dia sendiri sebab memang nampak ada glove tu untuk dijadikan tourniquet”.

<Info Perubatan Mula>>

Tourniquet adalah salah satu alat yang digunakan untuk mengikat tangan pesakit untuk tujuan menimbulkan urat vena (vein) supaya prosedur pengambilan darah mahupun memasukkan brannula/ cannula untuk pemberian ubat secara intravena. Salah satu amalan yang dipraktikkan adalah dengan menggunakan sarung tangan getah (latex glove).

<Info Perubatan Tamat>>

“Ya Allah. Akak, if you don’t mind telling me, kenapa dia jadi macam tu?”

Masa ni aku nampak dah mata Yasmin ni dah mula berair. aku rasa serba salah sebab aku sendiri ni pun main tanya sesuka hati sebab aku memang caught off-guard masa tu. Maklumlah, aku nak jumpa Syahir, tak sangka pula terserempak dengan isteri Afiq.

Walhal aku tahu je langkah-langkah yang betul untuk bertanya dan memastikan orang tu tak sedih atau offended. Kesilapan aku di sini adalah kerana aku tanya terlalu direct dan berterus-terang tanpa berfikir terlebih dahulu.

“Saya tak tahu doktor, Sejak beberapa tahun lepas lagi, ni dah kali keempat dah dia cuba nak bunuh diri. Dia memang ada Major Depressive Disorder (MDD) sejak saya berkahwin dengan dia lagi.

Kami tiada apa-apa masalah dengan perhubungan kami, termasuk dengan keluarga kami, Saya dapati dia stress dengan benda yang berlaku di tempat kerja dia

Ya Allah, masa ni perasaan aku memang sangat teruk. Aku kenal Afiq memang sudah lama, tapi aku tak pernah tahu dia ada MDD. Aku sibuk ber’pompang-pompang’ di Facebook, berkongsikan sebanyak mungkin tips dan fakta mengenai sakit mental, tapi aku gagal untuk membantu orang yang aku kenal dengan rapat.

Aku mahukan orang ramai memahami MDD, tapi diri aku sendiri gagal mengesan sifat kawan aku sendiri yang suka berpura-pura (pretentious) gembira apabila berjumpa dengan aku mahupun di laman media sosial ini.

Afiq memakai topeng gembira dan Happy-Go-Lucky di luar, dan dia memakai topeng ni bertahun-tahun lamanya. Hanya isterinya sahaja yang tahu apa wajah sebenar di sebalik topeng berkenaan.

“Abang (Afiq) pernah beritahu saya supaya jangan bocorkan apa-apa mengenai dirinya. Dia takutkan stigma, dia takutkan orang lain pandang serong pada diri dia, dia takut tak ada orang nak berkawan dengan dia kalau orang lain tahu dia ada depression. Dia takut kena buang kerja kalau dia ada depression.

Tapi, satu hari tu, saya terjumpa surat akhir yang dia selitkan di dalam wallet dia, saya jadi marah. Masa itulah saya paksa dia untuk dapatkan rawatan. Saya ugut, kalau dia tak mahu dan mash berdegil, saya akan telefon polis”

Aku dengar Yasmin bercakap dan aku sendiri pun terdiam. aku tak boleh nak cakap apa-apa kerana terlalu banyak benda yang bermain-main di fikiran aku.

Walaupun masa tu aku dah ditenggelami oleh perasan self-guilt, namun, aku perlu menyembunyikan rasa kecewa dan sakit dalam hati ni kerana aku perlu kelihatan normal dan okay untuk berjumpa dengannya.

Yalah, takkan aku nak menziarahi orang yang sedang sakit, tapi aku sendiri pun tengah sedih kan?
Aku bangkit setelah meminta kebenaran kepada Yasmin dan Amirah untuk ke tandas sebentar.

Daripada jauh, aku nampak di situ bahawa isteri kepada Syahir dan Yasmin sendiri dah mula bersembang antara satu sama lain. Yalah, mereka pun mengalami ujian yang lebih kurang sama.

Aku ke tandas untuk membasuh muka dan cool off dulu. Aku tak boleh buat muka sedih atau kecewa. Setelah selesai, dan waktu melawat dah pun tiba, aku masuk ke dalam wad tersebut dan dapat lihat ramai juga pelawat yang lain di situ.

Aku berjumpa dengan Syahir. Berborak-borak, bersembang dan memberi kata-kata semangat dengan dia. aku gembira apabila aku melihat Syahir tersenyum. Isterinya pun sama. Entah berapa puluh kali dia mengucapkan terima kasih kepada aku dan berapa puluh kali aku cakap

“Takpe, takpe, its okay”.

Aku beri dia satu buku nota kecil dan pen untuk dia menulis apa yang dia lalui sepanjang tempoh dia berada di dalam wad. Pada aku, menulis ni satu perkara yang membolehkan seseorang itu mengalih perhatian dirinya daripada terus-menerus untuk berfikir perkara yang negatif.

Kebanyakan insan-insan yang telah pun di diagnosis sebagai penghidap sakit mental, mereka mempunyai daya pemikiran dan kecelaruan daripada segi mental yang kita selalu dengari sebagai obsessive thought atau overthinking.

Salah satu teknik yang terbaik adalah melalui distraction dengan menjadikan otak seseorang itu sentiasa dipenuhi dengan perkara atau tugas yang berada di hadapan mereka (keeping their mind occupied or mental escapism).

Selepas itu, aku bersalam dengan Syahir dan terus bangkit, berjalan ke arah katil Afiq. Aku melihat dia sedang bercakap dengan isterinya dengan air mukanya yang sentiasa tersenyum. Tatkala dia menoleh dan ternampak aku, wajahnya berubah.

Dia macam terkejut dan sedikit cuak. Aku senyum sahaja sambil berjalan ke arah dirinya. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dan belum sempat aku bercakap, dia terus memotong percakapan aku

“Siapa beritahu kau aku ada kat sini bro?”

Aku menerangkan bahawa tiada siapa pun yang beritahu apa-apa tentang dirinya yang dimasukkan ke wad. Kebetulan sahaja. Dia bersalam aku dengan tangan kirinya memandangkan terdapat jarum di tangan kanannya yang membuatkan dia tidak selesa untuk banyak bergerak. Dia menggenggam erat tangan aku dan melihat dalam-dalam mata aku.

“Kau okay?”, aku bertanya.

Dia diam sahaja dan beberapa saat kemudian, aku nampak air mata mulai berjurai daripada kedua-dua belah matanya. Dia ingin bercakap, tapi suaranya tersekat-sekat.

Aku mendiamkan diri sahaja kerana aku tahu, untuk orang seperti Afiq, dalam keadaan dia sebegini, dia memerlukan masa untuk berfikir dan menyusun ayat satu per satu.

Persepsi dan tanggapan dirinya pada aku cuma ada 2 sahaja, iaitu sama ada dia ingin berkongsikan sesuatu tentang perihal bagaimana dia boleh masuk ke wad atau dia mendiamkan diri sahaja,

Kerana dia takut aku akan memarahi dirinya kerana tidak pernah menceritakan apa-apa perkara pun walaupun sebelum ini aku ada bertanya dengan dia beberapa kali, iaitu permintaan yang sama aku tanya kepada mana-mana sahabat rapat aku.

“Kalau ada apa-apa dan nak minta tolong daripada segi hal-hal berkaitan perubatan, atau kalau tak faham apa yang doktor cakap, tak kira doktor tu bercakap dengan isteri kau ke, anak kau ke, atau diri kau sendiri, mohon kau tanya sahaja kepada aku.

Insya Allah aku akan cuba fahami apa yang terjadi dan aku tukarkannya kepada sesuatu yang mudah difahami”

Itulah ayat yang aku selalu gunakan, tidak kira sama ada sahabat baik aku ini mempunyai latar belakang perubatan ataupun tidak. Itu sahaja yang mampu untuk aku beri kepada sahabat-sahabat rapat aku.

Nak membantu pasal duit, pasal kerja, pasal perkara lain, memang aku belum mampu lagi setakat ini untuk membuat skala besar-besaran pun.

Daripada situlah, Afiq terus menceritakan segalanya. Bagaimana dia boleh ada depression, bagaimana dia terfikir untuk cari jalan keluar dengan melakukan perkara-perkara yang membahayakan dirinya dan lain-lain. aku diam dan tidak menyampuk, dan mengangguk sahaja.

Sebenarnya, dalam keadaan seseorang pesakit itu berada dalam situasi breakdown, burnout dan lain-lain, pemberian nasihat seperti,

Suruh bersabar dan memberi cadangan dan pendapat tentang permasalahan seseorang dengan cara menceritakan kepadanya bahawa diri kita atau orang lain lagi teruk daripada dia ataupun penyelesaian bermodalkan air liur merupakan salah satu perkara yang paling buruk boleh dilakukan oleh seseorang.

Sebelum korang nak marah aku, korang perlu memahami satu perkara yang mana aku selalu pesan kepada orang lain yang mempunyai mana-mana orang terdekat yang mempunyai masalah mental iaitu, cara percakapan, cara respon dan cara melayan orang yang sakit mental ini jauh berbeza dengan cara untuk bercakap dengan orang yang stress dan normal.

Kita kena ambil kira keadaan seseorang itu, sama ada clinical depression/MDD ataupun sekadar episod stress yang normal dan yang dialami oleh seseorang sebaik sahaja berhadapan dengan perkara yang memberi stress kepada mereka seperti dimarahi oleh bos mahupun pergaduhan kecil dengan orang lain.

Episod stress dan kemurungan sebenarnya dialami oleh semua masyarakat di dunia ini, namun, clinical depression, major depressive disorder, generalised anxiety disorder, Bipolar Disorder, Schizophrenic disorder dan lain-lain merupakan satu jenis penyakit. Penyakit akan sentiasa memerlukan rawatan.

Rawatan yang dimaksudkan ini tidak bermaksud dalam bentuk ubat-ubatan atau pembedahan semata-mata, khususnya buat pesakit mental. Rawatan yang dimaksudkan in termasuklah sokongan moral, kaunseling, cognitive behavioral therapy (CBT), psychotherapy, occupational therapy dan lain-lain.

Cara berdepan dengan pesakit, cara memberi nasihat dan teguran juga berbeza. Ini sebenarnya bukan benda baru. Ini sebenarnya adalah hasil daripada kajian perubatan yang terus menerus mengenai penyakit mental dan mendapati bagaimana cara yang betul untuk merawat pesakit mental.

Silap kata, pesakit boleh jadi lebih teruk dan hujungnya, mereka akan melakukan perkara yang tidak masuk akal seperti murder suicide, self-inflicted injury dan lain-lain.

Jika korang tidak yakin, korang diam dan dengar sahaja luahan seseorang itu. Jika korang tidak mahu mendengar luahan masalah pesakit, korang jauhkan diri korang daripada pesakit, atau korang bersembang mengenai perkara yang langsung tiada kaitan dengan isu dan krisis yang dialami oleh pesakit.

Afiq seorang yang mempunyai latar belakang perubatan. Afiq merupakan salah seorang sahabat aku yang cukup suka untuk ke surau menunaikan solat berjemaah.

Afiq merupakan seseorang yang tidak pernah meninggalkan bacaan Yassin pada malam jumaat, biarlah ketika dia sedang bertugas sekalipun. Afiq jarang kali bergaduh dengan isterinya, dan tidak kira banyak kerja sekalipun, Afiq mencari masa untuk menemani isteri dan anaknya.

Jururawat yang bekerja dengan wad yang sama dengan Afiq semuanya mempunyai tanggapan dan interpretasi yang sama untuk Afiq. Mereka tahu, sesibuk mana sekali pun, dia pasti akan mencari masa untuk membaca Al-Quran mahupun solat berjemaah.

Kisah Afiq ini sebenarnya memberi tamparan yang amat kuat kepada diri aku. Aku mengaku aku sahabat baik dengannya, tetapi aku tidak pernah nak tahu keadaan dia bagaimana. Aku tak sedar dia copy and paste dan mengambil screenshot semua artikel aku berkaitan sakit mental untuk dia baca dan simpan.

Jawapan yang dia berikan kepada aku ketika aku cuba bertanya tentang mengapakah dia tidak mahu berkongsikan perkara ini kepada aku walaupun dia tahu aku selalu berkongsi informasi mengenai sakit mental ini adalah,

“Aku tahu kau sendiri pun mengalami banyak krisis dan kau sendiri pun sakit. Aku tahu dan ingat adakalanya kau sendiri pun mempunyai masalah kewangan sehinggakan kau tak mampu membeli ubat-ubatan untuk merawat diri kau sendiri.

Aku tahu perangai kau yang akan burnout dan cepat breakdown memandangkan kau berada pada titik paling rendah dalam kehidupan kau. Apabila aku tahu setiap apa yang kau alami, aku sentiasa sebut nama kau dalam doa aku. Aku cuba membantu daripada jauh.

Perbuatan aku untuk tidak berkongsikan apa-apa yang aku alami ini sebenarnya pun satu bantuan untuk diri kau bro.

Aku tak nak tawarkan apa-apa nasihat kerana aku tahu, bukan kita tak tahu pasal cara-cara nak cuba keluar daripada masalah ini dan apa yang kita perlu lakukan, cuma akan ada masa yang menyebabkan kita incapacitated dan tidak berupaya untuk melakukan semua itu walaupun kita tahu apa yang perlu dibuat.

Niat aku adalah tak mahu menambah serabut lagi otak kau kerana aku sendiri tahu apa yang kau alami walaupun Yasmin paksa aku buka cerita kepada kau secepat mungkin…”

Memang jawapan yang diberikan itu amat menyedihkan sehingga aku sendiri pun agak sukar nak mengawal emosi semasa berada di hadapannya. aku memeluk tubuh dia dan menepuk beberapa kali di belakangnya dan bercakap

“Terima kasih. Kau lah sahabat aku dunia dan akhirat bro”

Aku berdiri dan meminta diri selepas beberapa minit bersembang dengannya. Itulah kali pertama aku bercakap dengannya tanpa ada rasa nak ketawa atau tergelak. aku ke katil Syahir, dan bersalam dengannya sambil berkata beberapa dorongan untuk dia kekal kuat. aku kemudiannya meninggalkan hospital untuk pulang semula ke rumah.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, otak aku ligat berfikir. Itulah kali pertama aku lihat wajah sebenar sahabat aku ini. Sebelum ini dia memakai topeng kegembiraan dan Happy-Go Lucky. Luaran tampak gembira, kehidupan tak nampak bermasalah, namun, manalah ada insan yang tidak mempunyai apa-apa masalah.

Aforisme bahasa Inggeris “don’t judge a book by its cover” betul-betul terbukti kebenarannya. Manusia adalah salah satu spesis yang mempunyai kemahiran berpura-pura. The great pretenders.

Dan satu lagi, orang yang membantu kita ini, ada yang memang betul-betul memberikan bantuan kepada kita dan kita tahu mengenainya. Ada juga insan-insan yang tidak berkemampuan untuk membantu diri kita secara terang-terangan, namun, tak henti-henti mendoakan kesejahteraan kita daripada jauh.

Kedua-dua kumpulan sahabat ini amat aku hargai. Justeru, sebelum kisah ini berakhir, aku ingin mengambil peluang di sini untuk mengucapkan terima kasih buat semua sahabat yang membantu aku sama ada secara terbuka mahupun secara tersembunyi dan tidak aku ketahui.

Untuk Afiq, terima kasih sahabat

Nota kaki :

Kesemua nama watak di dalam kisah ini telah pun ditukar sepenuhnya. Dialog yang benar-benar terjadi aku ubah sedikit memandangkan aku tidak ingat 100% setiap ayat yang diungkapkan semasa kejadian ini berlaku.

Beberapa perkara aku ubah dan modified agar membolehkan artikel ini mudah difahami dan menjadi menarik untuk bacaan anda. Kesemua perkara yang telah aku dedahkan di sini sudah pun aku dapat persetujuan daripada pihak-pihak yang terlibat menerusi written consent.

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *