PKP 2.0?

Assalamualaikum semua. Tajuk saja rasanya dah cukup untuk pembaca semua tahu ini tentang apa.

Sekadar nak meluahkan perasaan, sebab aku yakin ramai yang sependapat dan mempunyai emosi yang sama dengan aku. Rasa kecewa, marah, bimbang dan sedih.

Bimbang dan sedih jika wabak Covid-19 ini menular semula di Malaysia, pasca Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas.

Wajah anak anak di sebuah sekolah yang kesakitan semasa swab test buat aku jadi sedih dan sebak – mereka mangsa keadaan.

Mangsa kepada kebebalan dan kebodohan manusia dewasa yang sepatutnya membimbing dan melindungi mereka.

Ya aku tahu, senang menyalahkan orang lain, lagi lagi bila kita kecewa dan sedang dalam emosi negatif.

Namun, susah dan sukar untuk aku dan berjuta-juta rakyat Malaysia di luar sana untuk menerima punca penularan terbaru wabak ini – kerana kerakusan elitis merebut kuasa, rakyat jadi mangsa.

Pejabat, sekolah, institusi pendidikan, premis perniagaan semuanya dah dibuka secara berperingkat semenjak PKP Mac lalu.

Larangan rentas daerah dan negeri juga dilonggarkan, ada wabak merebak dan menular mendadak?

Ada kes penularan mendadak berpunca dari ketidakpatuhan SOP di pejabat-pejabat, sekolah, institusi pendidikan mahupun premis perniagaan atau makanan??!! TIDAAKKKKK!!

Semuanya berpunca dari si pandir dan tiga suku yang kemaruk lapar kuasa, sudah tahu kawasan wabak sedang menular ganas di Sabah, untuk apa masuk ke sana lagi??

Sekarang penularan dah semakin meningkat, ura-ura PKP 2. 0 pun makin kerap dilaungkan, apa yang rakyat bakal dapat dari perebutan kuasa kamu wahai para ‘elit bangsawan’??

Sebenarnya kalau ikut hati aku menulis, luahan hati ini penuh dengan cacian, makian dan sumpah seranah. Baru puas hati aku dengan golongan yang berlagak bijak pandai tapi banyak sijil ijazah palsu ni.

Aku bekerja di sebuah institusi pendidikan kerajaan, banyak cerita cerita sedih tentang ketua keluarga yang kehilangan kerja..

Di tempat aku bekerja, hampir 1/3 keluarga pelajar kehilangan sumber mata pencarian dan terpaksa datang memohon bantuan.

Alma Meter aku sendiri, khabarnya 20%-30% ketua keluarga bagi murid-murid batch sekarang kehilangan kerja.

Ramai memerlukan bantuan dalam bentuk sumber makanan untuk meneruskan hidup.

Kawan-kawan yang bekerja swasta dan berniaga sendiri, setiap hari hidup dalam kebimbangan dibuang kerja, perniagaan tak dapat berkembang atau bangkrap.

Ada kawan yang pasangannya bekerja swasta, dari sepatutnya dapat tetap sekarang kontrak pun belum tentu sambung lagi.

Aku yakin pembaca semua mesti ada cerita yang lebih perit dan menyedihkan lagi dari sekeliling atau dari pengalaman sendiri bahana dari PKP lepas.

Kita bukan macam si bahlul dan si bebal yang dibayar dengan segala macam gaji, elaun dan emolumen sampai berpuluh ribu sebulan.

Mereka ini yang juga kebal dari undang-undang sudah pasti tak akan terkesan langsung dengan pandemik ini.

Kalau PKP sekali lagi pun duduk mereka di rumah-rumah agam dan mewah mereka di kawasan elit dengan segala macam kemudahan.

Sudahnya kita ini pula disalahkan bila berlaku penularan wabak kononnya tak menjaga SOP, faham tak betapa sakitnya hati melihat perangai macam ni??!!

Aku rasa nak tinju saja muka sorang sorang yang jadi punca penularan ni.

Akhir sekali, aku nak nasihatkan pada sebilangan kecil pembaca di luar sana, jangan minta dan seronok sangat nak PKP semula, kononnya boleh rehat makan gaji buta saja.

Ingat, sekali lagi kita terpaksa PKP belum tentu ekonomi negara kita mampu menanggung kesannya.

Pandang dan kenang orang di sekeliling kita, dapat ke tidak menanggung kesannya? Jangan fikir senang sendiri saja.

Bilamana ekonomi sudah rebah dan jatuh, tak ada beza lagi orang kerja kerajaan, kerja swasta atau berniaga sendiri.

B40, M40, T20 semua akan rasa tempiasnya, dan bila keadaan dah terdesak jangan ingat negara boleh terkawal dan stabil lagi seperti sekarang.

Aku harap cepatlah wabak ini berakhir atau dapat dikawal semula, sebab sejujurnya aku dan ramai di luar sana dah letih dan penat dengan semua ini.

Aku letih dan penat sebab aku dan ramai lagi dah elok jaga dan patuh SOP, tapi ada saja si bahlul bebal yang menyebabkan semua orang dalam ketakutan dan kebimbangan. Semua orang dah letih mental dalam menghadapi semua ini.

Sekian,

– Yang Bengang (YB) (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *