Naluri Seorang Isteri

Assalamualaikum. Saya tidak tahu ingin bermula dari mana. Kisah ini terjadi satu tahun yang lalu. Biarpun sudah setahun berlalu tetapi lukanya masih berdarah sehingga kini. Mungkin dibawa sehingga mati.

Kisah bermula pada Raya Haji tahun lepas selepas. Terbongkar… semuanya terbongkar. Allah bukakan satu persatu perbuatan terkutuk suami.

Bukanlah saya hendak membuka aib suami. Tapi saya harap cerita ini akan menjadi iktibar pada kita semua dan lagi satu ingin saya tegaskan bahawa wujud sahaja ISTERI ORANG YANG MENGGATAL DENGAN SUAMI ORANG LAIN.

Suami saya semasa itu bekerja di satu pejabat yang penting di dalam sebuah negeri. Tidak perlu saya nyatakan di sini.

Manakala perempuan itu yang juga merupakan isteri orang juga bekerja di situ, tetapi mungkin di bahagian lain. Tua lima tahun dari kami dan dia sudah mempunyai 2 orang anak.

Betullah, naluri seorang isteri ini sangat kuat. Suami melayan saya sangat baik. Memang tiada kurang langsung.

Sebelum itu saya ingin ceritakan dahulu. Suami kerja memang sangat sibuk ketika itu. Selalu outstation kerana dia mengikut orang kenamaan. Jadi saya menguruskan semua hal di rumah.

Ketika itu saya jugak baru sahaja melahirkan anak saya. Ketika “kantoi” umur anak saya baru sahaja 1 tahun 2 bulan.

Setiap minggu saya akan gosok kesemua baju-baju dia untuk seminggu. Dia hanya masukkan baju dalam kereta dan membawa di sebuah rumah inap untuk dia bersiap sebelum bersama orang kenamaan tersebut.

Walaupun dia bekerja dengan orang kenamaan, tetapi alhamdulillah kalau ikut dari segi gaji, gaji saya lebih besar berbanding dia. Saya juga sudah memiliki rumah sendiri dan kereta sendiri.

Setiap pagi saya akan bangun untuk siapkan bekal anak-anak ke rumah pengasuh dan ke sekolah. Dia akan keluar dari rumah pukul 7.00 pagi dan akan pulang dalam pukul 12.00 malam. Setiap hari begitu kecuali hujung minggu. Itu pun jarang juga ada di rumah.

Setiap kali sebelum dia pulang saya akan pastikan rumah dalam keadaan bersih. Saya memang akan pastikan semuanya kemas teratur supaya dia selesa dan tidak serabut untuk pulang ke rumah.

Malangnya, segala pengorbanan saya memang tidak dihargai. Bila dia cuti memang dia akan melayan saya dan anak-anak. Itu membuatkan saya tidak syak apa-apa langsung ke atas suami saya. Sehinggalah pada suatu hari, dia membawa saya dan anak-anak makan di luar.

Saya sengaja memeriksa bil telefon dia memandangkan ketika itu saya dan dia memakai pospaid. Saya tidak tahu kenapa ketika itu saya membuka bil telefonnya.

Mungkin dari situ Allah mula untuk membuka satu persatu helah suami saya. Saya terkejut melihat nombor yang sama sering dihubungi suami saya. Saya cuba menghubungi nombor telefon tersebut. Terpapar nama “KAK SENAH BKK”, (bukan nama sebenar) di skrin telefon.

Saya tidak tahu, sebelum ini memang saya ada mengsyaki suami sebab dia sering melihat status whatsapp “kakak” itu. Saya bertanya kepada suami kenapa selalu berhubung dengan “kakak” ni. Suami cakap hal kerja memandangkan mereka satu pejabat tetapi lain bahagian.

Saya tidak puas hati. Saya berhenti makan dan mengajak suami pulang. Tiba di rumah, selepas tidurkan anak saya memanggil suami ke bilik lain dan bertanya bertalu-talu apa hubungan dia dengan perempuan itu. Dia cakap hanya kawan.

Kawannn???? Takkan sampai lama bergayut. Cakap apa lama sangat. Hal kerja takkan sampai macam tu sekali. Suami mula pasang helah, menipu menipu menipu.

Saya memang tidak percaya. Saya menyuruh dia menjunjung Al-Quran dan bersumpah atas nama kedua orang tuanya. Suami sanggup bersumpah dan menyatakan mereka hanya kawan. Betullah bila bersumpah dengan Al-Quran hidup itu tidak akan senang.

Saya bergaduh besar dengan suami kerana saya tahu suami saya sedang menipu. Malam itu saya lari dari rumah dah pulang ke rumah mentua. Berat hati meninggal anak-anak.

Saya berhenti di tepi jalan dan cuba menghubungi perempuan itu. Seperti biasa apabila penipu bergabung dengan si penipu, macam-macam helah dia berikan.

Saya lari pulang ke rumah mentua yang mengambil masa satu jam dari rumah saya. Saya sampai di rumah mentua pada pukul 12.00 malam.

Emak dan ayah saya sendiri jauh, jadi saya hanya mengharapkan mak dan ayah mentua sahaja. Sampai sahaja di sana emak minta saya menceritakan segalanya.

Ketika itu emak masih tidak percaya. Dia minta saya tidur sahaja dulu. Saya akur dan masuk ke bilik. Sungguh..malam itu sangatlah pedih kerana saya tidak pernah berpisah dengan anak kecuali jika saya berkursus. Itupun sangat jarang.

Keesokkan harinya, dia datang mencari saya. Kebetulan ketika itu satu hari sebelum Hari Raya Haji. Saya mesej perempuan itu, dan macam biasa dia salahkan saya sebab tak reti nak raya. Konon mengganggu dia semasa hari raya. Siapa boleh duduk diam bila keadaan jadi begini.

Saya ringkaskan, sehari selepas Raya Haji, family saya dari Pahang datang ke tempat saya. Saya membawa family saya menginap di sebuah hotel apartment.

Suami saya ketika itu turut mengikuti saya. Sepanjang saya menginap saya hanya memerapkan diri di dalam bilik. Suami merayu memohon maaf dan minta berikan peluang tetapi masih menafikan yang dia ada hubungan dengan perempuan itu. Saya cuba untuk tenang.

Keesokkan harinya, saya hantar suami ke tempat kerja dari hotel tempat kami menginap kemudian saya pulang ke hotel itu semula.

Bipp..bipp.. mesej di Instagram masuk. Mesej melalui Instagram suami. Suami tidak tahu yang saya boleh login Instagram dia dari telefon saya. Luruh jantung saya melihat mesej-mesej antara suami saya dengan perempuan itu.

Suami: Sayang…

Perempuan: Ayang…

Suami: Ayang minta maaf bagi pihak cikgu (gelaran dia terhadap saya)

Perempuan: Tak ape, ayang selalu cakap cikgu selalu marah-marah. Sayang tak boleh tidur ingatkan ayang. Dengar surah Al-Mulk, sayang nangis ingtkan ayang.

Lebih kurang begitu la. Saya menyampuk di dalam mesej itu.

BODOHHHHH!!!!!! Terima kasih atas semuanya. Saya (saya nyatakan nama saya).

Sebelum itu saya sempat screenshot. Lupa saya nyatakan, semasa Hari Raya Haji saya sempat menghubungi suami perempuan ini dan suami dia memang menyatakan mereka ada hubungan.

Saya hantar semua screenshot chat mereka berdua. Kami masing-masing naik gila. Saya check out dari hotel itu dalam keadaan tak tentu arah. Bayangkan emak saya ada dengan saya ketika itu.

Macam mana sata hendak sorokkan segala kesedihan di dalam hati ini ketika itu. Meraung.. rasa hendak meraunggg…

Saya rakam telatah anak-anak saya semasa itu dan hantar video itu kepada suami. Biar dia rasa yang dia masih ada anak. Dia hanya menyatakan, “itulah suami mama selama 5 tahun ini.”. Senang sangat dia berkata.

Saya checkout dan membawa emak saya pulang. Sedih di hati tak dapat ditutup. Saya memeluk emak dan menyatakan bahawa suami saya ada perempuan lain.

Emak saya menangis lalu menelefon suami. Emak bertanya kenapa buat anak dia begitu. Hancur hati seorang ibu memandang emak saya tidak terlalu sihat.

Uzur dan kadang berkerusi roda. Ketika itu emak hendak pulang semula ke Pahang. Saya cakap yang saya mahu bercerai. Emak menghalang dan meminta saya untuk terus kuat. Saya tidak mampu. Adik lelaki juga merayu kepada saya supaya tidak bercerai.

Mereka menyusuh saya memikirkan anak-anak kami yang masih kecil. Walaupun saya ada kerjaya, ada harta sendiri tapi tidak mungkin saya mampu membesarkan anak saya sendiri. Emak saya nasihat begitu.

Pedih, luruh hati saya. Segala kepercayaan kali kedua yang saya berikan dipersiakan begitu sahaja. Suami masih di tempat kerja. Emak sudah pulang ke Pahang selepas itu dengan hati yang sedih. Sampai hati suami buat begitu.

Selepas emak pulang, saya menghubungi suami perempuan itu. Kami memasang plan. Suami dia meminta saya membuat group antara kami.

Dekat situ memang saya maki hamun perempuan itu, suami di pun beri amaran pada suami saya. Saya bawa anak saya keluar dari rumah itu.

Saya sudah tidak tahan duduk di rumah. Saya membawa anak saya bermain di taman permainan. Suami perempuan itu pergi di tempat saya dan anak-anak saya.

Di situ kami berbincang apa yang harus kami buat dalam rumah tangga kami. Dia meminta saya untuk cuba bertenang dulu. Dia pun mengelakkan diri untuk berjumpa suami saya kerana takut dia akan hilang sabar.

Malam itu, seperti biasa suami balik lewat. Tiba di rumah dia merayu-rayu. Minta maaf dan sebagainya. Saya hanya diamkan diri dan tidur. Penat. Sedih. Pukul 3 pagi saya terjaga. Tergerak hati saya untuk cek akaun banknya. Tidak tahu kenapa. Saya check di situ ada transaksi Agoda.

Saya terus buka akaun Agoda suami yang ketika itu dia sudah uninstall. Mudah sahaja saya login. Sekali lagi. Menggeletar seluruh badan saya melihat History Check In. Saya kejutkan suami untuk menyuruh dia explain.

Suami terkejut dan berkata, ”apa lagi ni mama? sudah-sudahlah”. Tarikh-tarikh tersebut adalah tarikh yang dia cakap dia outstation.

Rupanya sibuk outstation dengan perempuan lain. Saya sempat screenshot dan hantar pada suami perempuan itu.

Pagi tu perempuan itu berpura-pura marahkan suami menyatakan itu bukan dia. Saya bertanya habis kalau bukan betina tu siapa lagi. Suami cakap bersama pelacur. Allahuakbar.

Terduduk saya. Saya tidak mampu berfikir lagi. Saya tenangkan diri dan mengajak suami ke pajabat agama. Minta kaunseling. Saya cuba mahu selamatkan lagi rumah tangga kami.

Pada hari itu kami mendengar sesi kaunseling. Saya pulang. Hambar. Tak mampu berkata-kata apa lagi.

Saya cuba untuk menerima suami saya ketika itu. Walaupun tawar dan hambar, saya cuba kerana memikirkan anak-anak.

Kami meneruskan hidup kami. Suami berjanji tidak akan menghubungi betina itu lagi. Saya tidak menceritakan hal ini kepada emak mentua saya, tapi saya menceritakan perkara ini kepada adik ipar saya.

Saya suruh mereka menyimpan semua bukti kerana saya tahu suatu hari nanti merekalah yang akan menceritakan kepada emak mentua saya.

Saya membuat laporan perbuatan perempuan itu kepada ketuanya. Ketua Perempuan itu, Datin Mastura terkejut tetapi dia berjanji akan membantu saya.

Atas nasihat beliau, saya dan suami disuruh untuk membuat pemeriksaan kesihatan memandangkan suami berkata dia pernah bersama dengan pelacur.

Beberapa minggu kemudian, 6 September. Kemuncak kedua suami kantoi lagi masih berhubung dengan betina tu.

Ketika itu Datin Mastura menghubungi saya dan menyatakan perempuan itu menghubungi suami dengan menggunakan telefon pejabat. Ketika itu saya dan suami dalam perjalanan ke JB untuk majlis perkahwinan sepupu suami. Bayangkan sabar saya ketika itu hilang.

Tiba sahaja di Homestay JB saya langsung tidak membantu kerja kahwin itu. Emak mentua ketika itu pun ada di sana pelik melihat keadaan saya dengan mata yang bengkak. Saya hanya duduk di homestay. Hati saya dah tiada. Hancur. Peluang yang diberi masih dipersia.

Di homestay perempuan itu menghubungi suami saya. Ketika itu suami perempuan itu berada di talian. Kami bergaduh besar. Emak mentua mungkin mendengar.

Rupanya adik ipar saya dah menceritakan semua yang terjadi. Menangis-nangis emak mentua minta maaf dan meminta saya fikir masak-masak.

Selepas itu saya pulang ke rumah. Suami merayu lagi mohon diberikan peluang. Saya bangun malam minta petunjuk dari Allah. Menangis semahu-mahunya di atas sejadah.

Emak menasihatkan kami untuk berjumpa dengan ustaz. Emak masih lagi meminta kami menyelamatkan rumah tangga kami.

Saya memanggil ustaz untuk datang ke rumah kami. Saya kembali tenang dan cuba untuk menerima suami. Suami pun tidak menghubungi perempuan itu lagi. Sebab saya dah nyatakan jika masih berhubung, saya akan failkan penceraian.

Tepat 27.9.2019. Hari Lahir suami saya. Pagi itu sebelum kerja saya menyambut Hari Lahir suami. Suami pula akan ke Kuala Lumpur hari itu mengikut bosnya. Ketika saya pulang, sewaktu hendak mengundurkan kereta, saya lihat ada kotak di atas tembok rumah. Saya berhenti.

Sekali lagi… perempuan itu mengganggu kami. Di dalam kotak itu ada barang yang suami saya pernah berikan pada dia.

Saya ambil gambar dan hantar kepada suami. Suami pesan untuk tidak membawa masuk ke dalam rumah. Hati seorang isteri mesti dia nak buat kaji selidik barang apa yang dia berikan pada betina itu.

Saya membawa masuk ke bilik atas. Sangat-sangat terkejut apabila melihat minyak wangi yang diberikan sama dengan minyak wangi yang dia pernah berikan pada saya. Kain telekung, Al-Quran. Kain pasang berwarna mint yang tentunya warna kegemaran saya. Jam tangan yang sama.

Apa lagi la. Saya menghempaskan minyak wangi dan mengamuk. Saya menelefon kakak. Kakak hanya memberitahu perempuan itu hanya mahu sakitkan hati awak sahaja. Emak mentua datang ke rumah kerana tahu keadaan saya ketika itu tidak stabil.

Tak lama selepas itu, suami pulang. Dia cakap badan dia menggigil-gigil dari tengah hari. Demam tiba-tiba. Emak membawa pulang barang-barang itu.

Selepas emak pulang, sesi soal jawab bersama suami bermula. Kami bergaduh lagi. Saya tanya satu persatu barang yang diberi kepada betina itu.

Saya menelefon suami perempuan itu. Saya mengamuk. Suami perempuan itu cakap dia yang hantar kotak itu. Dan lagi satu.. perempuan yang suami saya tidur itu adalah isteri dia.

Saya mengamuk. Saya cakap sehina-hina pelacur, hina lagi isteri awak. Dasar lelaki dayus. Ikutkan hati nak je aku simbah asid dekat muka isteri engkau tu.

Pagi itu betina itu mesej saya di Telegram.

“Mahu tanya apa-apa”. Saya hanya abaikan. Malam itu emak mentua telefon menyatakan badannya panas seperti terkena bara api. Saya menyuruh emak berjumpa dengan ustaz.

Minggu itu juga saya pulang ke Pahang dan berjumpa dengan ustaz di Jerantut.

Ustaz menyatakan bahawa otak suami dikawal oleh sihir ikatan. Di badan saya pula ada jin yang ingin memisahkan kami. Tetapi dia tidak memberitahu siapa yang membuat kami. Selepas berjumpa dengan ustaz, saya dan suami tenang.

Saya kembali okey dengan suami saya. Kami menjalani kehidupan suami isteri dengan tenang. Saya seolah-olah dapat memaafkan suami saya. Saya selalu fikir yang Allah sedang tegur saya, Allah sayang saya. Allah uji saya. Saya terima. Saya redha.

Sebulan selepas itu, suami beritahu ada orang buat laporan ke atas saya. Ketika itu saya sangat-sangat sibuk kerana musim peperiksaan.

IO mengarahkan ke IPD pukul 11 malam untuk soal siasat. Malam itu saya pergi. Saya bertanya report atas apa. Report dari betina itu kerana menytakan saya ingin menyimbah asid.

Apa jadahnya.. sebulan dah kot. Kenapa baru hari ini dia nak buat laporan. IO tersebut bangsa Cina. Dia menyatakan ketika perempuan itu report, dia dalam keadaan yang sangat takut. Dia buat report pun pada pukul 12.00 tengah malam.

IO itu bertanya, awak tak rasa ke perempuan itu ada hantar apa-apa. Saya masih tidak faham. Dia berkata, mungkin sihir. Saya terkejut.

Macam mana IO berbangsa Cina boleh tahu. Saya pun membuka cerita, yang kami memang dah berjumpa dengan ustaz dan kami dalam proses untuk baik.

IO cakap mungkin ini balasan untuk dia dari Tuhan. Selepas itu kami pulang. Sebenarnya banyak lagi yang dia dah buat padi kami. Terserahlah. Kami ada Allah. Saya redha.

Saya tahu Allah uji kami.

Maaf cerita ini terlalu panjang. Maaf salah tutur kata saya di dalam cerita ini.

Isteri Terluka,

– IBUMAMA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *