Nazar Yang Disalaherti

Assalamualaikum semua. Aku Naylah, yang pernah menulis confession ‘Indahkan Doamu’. Tak sangka mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pembaca sehingga 1.3K shares. Alhamdulillah, terima kasih semua.

Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/indahkan-doamu/).

Kali ini, aku nak kongsi berkenaan salah faham nazar. Nazar ialah apabila kita mewajibkan diri sendiri melaksanakan sesuatu yang pada hukum asalnya, tidak wajib.

Untuk pengetahuan pembaca, aku merupakan seorang penjawat awam kontrak bahagian kesihatan sejak Feb 2018.

Kontrak aku akan tamat Feb 2021 dan kami dijangka mendapat keputusan samada diserap jawatan tetap atau tidak pada September, tapi hingga sekarang belum ada keputusan.

Pada bulan Julai yang lalu, aku pernah berniat dalam hati dan memaklumkan ibuku yang aku akan melaksanakan nazar korban seekor kambing atau lembu sekiranya mendapat jawatan tetap. Ibuku teruja dan bersetuju.

Telah menjadi semacam ‘adat’ untuk keluargaku bernazar untuk apa-apa yang melibatkan perkara penting seperti exam besar. Pada awal bulan Ogos yang lalu, aku terlintas untuk membaca artikel berkenaan nazar.

Alangkah terkejutnya aku. Aku mendapati hukum asal nazar ialah terlarang/ haram. Aku pun bertanyakan kepada beberapa Ustaz yang terpercaya untuk kepastian.

Jawapan Ustaz:

“Secara ringkas, nazar ini sesuatu yang dibenci syarak. Sebab ia bersifat kedekut – Sejenis ibadah yang diikat dengan hajat. Tapi jika dah bernazar, maka hukumnya WAJIB ditunaikan.

Jika ada hajat yang diikat dengan nazar, maka yang TERBAIK adalah melaksanakan nazar tersebut terlebih dahulu tanpa menunggu hajat kita tertunai atau tidak. Ia sesuatu yang terpuji di sisi syarak. Wallahu a’lam.”

Aku berasa malu sebab tak pernah tahu hukum isu sebegini dan bernazar secara ‘ikut-ikutan’.

Pada pertengahan Ogos, Alhamdulillah aku selamat menunaikan nazar seekor kambing yang diamanahkan kepada wakil di Makkah untuk diagihkan kepada fakir-fakir miskin. Alhamdulillah…

Berikut aku ceritakan sedikit sebanyak berkenaan nazar dengan dalil-dalil berkaitan.

Antara larangan nazar yang dinukilkan dalam hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

إِنَّ النَّذْرَ لاَ يُقَرِّبُ مِنِ ابْنِ آدَمَ شَيْئًا لَمْ يَكُنِ اللَّهُ قَدَّرَهُ لَهُ وَلَكِنِ النَّذْرُ يُوَافِقُ الْقَدَرَ فَيُخْرَجُ بِذَلِكَ مِنَ الْبَخِيلِ مَا لَمْ يَكُنِ الْبَخِيلُ يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَ

“Sungguh nazar tidaklah membuat dekat pada seseorang apa yang tidak Allah takdirkan. Hasil nazar itulah yang Allah takdirkan. Nazar hanyalah dikeluarkan oleh orang yang pelit. Orang yang bernazar tersebut mengeluarkan harta yang sebenarnya tidak ia inginkan untuk dikeluarkan. ” (HR. Bukhari no. 6694 dan Muslim no. 1640)

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata,

نَهَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ النَّذْرِ قَالَ « إِنَّهُ لاَ يَرُدُّ شَيْئًا ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ »

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk bernazar, beliau bersabda: ‘Nazar sama sekali tidak bisa menolak sesuatu. Nazar hanyalah dikeluarkan dari orang yang bakhil (pelit)’” (HR. Bukhari no. 6693 dan Muslim no. 1639)

لاَ تَنْذُرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لاَ يُغْنِى مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ

“Janganlah bernazar. Karena nazar tidaklah bisa menolak takdir sedikit pun. Nazar hanyalah dikeluarkan dari orang yang pelit.” (HR. Muslim no. 1640)

Adakah aku termasuk orang yang pelit (bakhil)? Mungkin. Kalau katakan aku tak dapat jawatan, aku hampir pasti tidak akan bernazar dan akan berkira mengeluarkan duit untuk bernazar. Nazar sudah jadi seolah-olah pertaruhan aku dengan takdir yang telah Allah tentukan.

Contoh lain, sekiranya aku sembuh daripada penyakit kronik ini, aku akan berpuasa sebulan. Sekiranya aku cemerlang exam, aku akan bersedekah RM 1000. Inilah yang dikatakan nazar muqayyad iaitu nazar bersyarat hanya untuk memperoleh manfaat dan tidak ikhlas.

Kita tidak boleh ‘memaksa’ Allah untuk mengabulkan permintaan kita dengan nazar ketaatan yang kita lakukan. Bukan begini caranya.

Sekiranya nazar ketaatan kita cumalah lintasan hati dan tidak diikuti pembicaraan lisan/ dilafazkan, ianya tidak dikira nazar dan tidak wajib ditunaikan.

Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Allah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagimana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.

Nazar untuk bermaksiat pula haram ditunaikan.

Nazar yang wajib ditunaikan apabila telah terlanjur bernazar ialah nazar untuk ketaatan seperti mana yang telah aku lakukan.

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ

“Barangsiapa yang bernazar untuk taat pada Allah, maka penuhilah nazar tersebut.” (HR. Bukhari no. 6696)

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

“Barangsiapa yang bernazar untuk taat pada Allah, maka penuhilah nazar tersebut. Barangsiapa yang bernazar untuk bermaksiat pada Allah, maka janganlah memaksiati-Nya. ” (HR. Bukhari no. 6696)

Allah Ta’ala berfirman,

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

“Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.” (QS. Al Hajj: 29)

Kesimpulannya, janganlah kita membiasakan diri bernazar walaupun tanpa mengharapkan manfaat/ imbuhan kerana adakalanya kita tak akan mampu menunaikan nazar tersebut sehingga boleh menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Lakukanlah amal ibadah yang boleh menyampaikan kita kepada redha Allah seperti memperbanyakkan sedekah, istighfar dan berdoa di kala waktu-waktu mustajab.

Semoga Allah Ar-Rahim mengampuni segala dosa-dosa dan kejahilan kita.

Semoga Allah ar-Rasyid, al-Haadi mengurniakan kita hidayah untuk beramal dengan amalan yang sahih daripada sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, bukan reka-rekaan dan ikut-ikutan nenek moyang.

Inilah peri pentingnya kita menambah ilmu tentang agama kita supaya kita boleh tinggalkan perkara yang tidak pernah disyariatkan.

Mohon para pembaca boleh doakan aku dan rakan-rakan untuk mendapat jawatan tetap next intake, inshaAllah. Terima kasih sudi membaca.

– Naylah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *