Terima kasih admin sekiranya post ini disiarkan. Maaf, ianya agak panjang. Namun sengaja ku abadikan untuk peringatan kami dimasa akan datang.
6 Mac,
Pagi itu aku pergi bekerja seperti biasa. Hari itu, seperti hari-hari biasa yang lain. Tengahari kami keluar makan-makan bersama rakan sepejabat. Kami makan dengan gembira. Gelak tanpa henti tengahari tersebut. Sampai meleleh-leleh airmata menahan tawa.
Kemudian salah seorang dari kami berkata, selalunya banyak sangat ketawa nak menangis. Cerita gembira kami berakhir disitu.
Petang itu, pulang dari pejabat, seperti biasa aku akan singgah kerumah mak. Anak sulung berusia 15 tahun akan tinggal dengan neneknya sementara menunggu kami pulang dari bekerja.
Memang itulah rutinku setiap hari. Lagipun, memang sengaja aku menyuruh dia menemankan nenek.
Sekurang-kurangnya, setiap hari bekerja aku akan singgah kerumah mak dan berbual sebentar dengannya. Setelah berbual-bual biasa dengan mak petang itu, aku meminta diri untuk pulang. Segalanya masih seperti biasa.
Rutin sebagai isteri dan ibu ku jalankan seperti hari-hari yang biasa. Malam itu, setelah penat seharian, kami pun melelapkan mata. Tamat cerita hari itu.
7 Mac,
Jam 2 pagi, tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Tidak semena, ku ambil handphone disebelah. Kulihat suamiku masih belom tidur. Ku lihat di skrin, nombor kaklong menghubungiku. 2 kali panggilannya tidak berjawab. Ku tanya suami, tak dengar kah bunyi telefonku berdering?
Dia nyatakan langsung tak perasan. Dan baru ku sedar, phone tersebut dalam mod senyap. Lalu ku dail semula nombor kaklong. Bertanyakan apa keperluan menghubungi waktu sebegitu.
Aku tahu, ada sesuatu yang terjadi. Kaklong memberitahu bahawa mak sakit perut. Sejak jam 11 malam lagi. Sampai waktu itu, masih tak kurang sakitnya.
Ku minta kaklong membawa mak ke klinik sementara aku sekeluarga akan bersiap dan kerumah mak. Ku kejut anak-anak dan nyatakan yang kami perlu kerumah nenek.
Rumah ku dan mak cuma berjarak 10 minit perjalanan berkereta. Sampai dirumah mak, kaklong dan mak baru sampai pulang dari klinik.
Dokter cuma katakan mak kene gastrik. Dokter bekalkan ubat-ubatan untuk sakit gastrik. Selepas mak makan ubat, mak nampak okey. Mak seronok berbual dengan kami.
Kaklong minta izin untuk tidur sebentar kerana dia perlu bekerja esoknya. Mak nampak okey mulanya. Tapi kemudian nampak mula gelisah.
Mak kata perutnya sakit semula. Ku ambil minyak angin dan mengurut-urut perut mak untuk melegakan kesakitannya. Selepas diurut, mak nampak sedikit selesa. Mak melelapkan matanya.
Tidak lama kemudian, mak terjaga. Mak kata tak selesa tidur dekat kerusi malas. Mak bangun dan masuk kebiliknya. Kubiarkan sahaja, kerana nampak mak okey.
Segalanya tenang sehingga jam 6.30 pagi. Terdengar kaklong berbual2 dengan mak. Kumasuk ke bilik. Rupanya mak kata perutnya masih sakit. Dan bila ku pegang badan mak, terasa bahang panas. Mak demam!
Hati dah mula berdetik. Pasti sakit perut mak adalah berpunca dari appendiks. Lalu, ku beritahu kaklong akan bawa mak ke klinik siang nanti.
Jam 9 pagi, ku minta mak bersiap untuk membawanya ke klinik. Pagi itu sewaktu kutawarkan sarapan, mak menolak. Katanya x berselera.
Tapi dia minta ku buatkan secawan teh o nipis. Mak minum cuma seteguk. Sampai di klinik, kebetulan hanya mak sahaja seorang pesakit yang menunggu rawatan. Tidak lama, nama mak dipanggil. Kami masuk ke bilik doktor. Doktor memeriksa mak.
Doktor katakan memang ada sesuatu di bahagian kanan perut mak. Tapi die tidak pasti apa. Doktor meminta ku bawa mak ke hospital untuk membuat scan/ pemeriksaan lanjut. Kerana kondisi kesihatan mak nampak tidak bagus.
Doktor siapkan surat rujukan untuk diberi kepada pihak hospital agar segera memeriksa mak.
Kami pulang dulu kerumah sementara aku berfikir dan berbincang bersama adik beradik yang lain untuk membawa mak ke hospital.
Waktu ini, negara sedang dilanda kes covid19 yang agak tinggi. Hospital berhampiran pula, adalah salah satu daripada pusat pesakit covid19.
Kebimbangan tentang virus tersebut membuatku berfikir beratus kali untuk membawa mak ke hospital. Tapi doktor meyakinkan bahawa, tidak perlu bimbang. Hospital tidak akan mencampurkan pesakit secara sukahati. Lagi pula mak adalah pesakit berisiko tinggi.
Lama juga ku berbincang secara dalam talian dengan adik beradik. Akhirnya kami sepakat untuk bawa mak ke hospital.
Tapi 2 orang adik beradikku yang tinggal di daerah lain meminta ku bawa dulu mak bersama adik bongsu. Kemudian mereka akan menyusul kami di hospital.
Jam 4.30 petang, akhirnya aku sampai di hospital SB. Mak melalui beberapa siri prosedur dan ujian. Doktor suspek appendiks.
Tapi sebagai seorang pesakit wanita, apabila datang bersama simptom appendiks, mereka tidak boleh sewenangnya untuk mengesahkan ianya adalah appendiks.
Ini disebabkan ada organ sakit puan yang berhampiran dengan appendiks. Mereka harus memastikan ianya bukan berpunca dari organ tersebut. Untuk itu, mereka perlukan pengesahan dari pakar sakit puan terlebih dahulu.
Jam 7.30 malam kakak2 tiba di hospital. Menunggu la kami 5 beradik bersama mak dihospital tersebut.
Jam 10.30 malam. Masih belum ada tanda-tanda nama mak akan dipanggil. Mak nampak semakin lemah. Adakalanya mak mengadu sakit. Kakcik mula hilang kesabaran. Kami ketuk pintu bilik doktor bertugas. Bertanya tentang status pemeriksaan mak.
Doktor meminta maaf kerana pakar yang sepatutnya memeriksa mak masih sibuk menguruskan pesakit2 lain yang perlu dipindahkan segera dari hospital tersebut kerana hospital tersebut akan dijadikan sebagai pusat merawat pesakit covid19 sahaja.
Doktor menyatakan sekiranya mak disahkan sebagai appendiks, pembedahan tidak akan dilakukan dihospital berkenaan. Mak akan dipindahkan ke hospital lain yang berhampiran.
Sedang kami berbincang, pakar yang disebut-sebut pun muncul. Dia memeriksa mak, dan menyatakan simptom tersebut adalah simptom appendiks. Tapi masih sama jawapannya.
Perlu mendapatkan pengesahan pakar sakit puan terlebih dahulu. Dan untuk itu, masa yang lebih panjang diperlukan. Kami yang mula hilang kesabaran, hanya meminta untuk discaj dari hospital tersebut. Kami sudah kehabisan tenaga untuk menunggu lebih lama disitu.
Doktor terpaksa melepaskan mak, dan meminta kami segera membawa mak ke hospital yang lain. Dia bimbang keadaan mak yang nampak sangat tidak bagus. Bacaan sel darah putih memang menunjukkan ada jangkitan kuman dalam darah mak.
Dengan keadaan mak yang mula demam, mak pula seorang pesakit berisiko tinggi. Doktor sebenarnya risau. Cuma dia juga tidak punya kuasa untuk mempercepatkan proses mak. Tidak mengapalah. Kami akan usaha dengan cara kami sendiri.
Kami bawa mak keluar dari zon kecemasan itu tepat jam 11.15 malam. Di parkir kereta, kami berbincang. Harus kemana kami tuju untuk bawa mak malam itu.
Kami bimbang juga amaran doktor tadi tentang keadaan mak yang tidak bagus. Setelah berbincang lebih kurang, kami sepakat membawa mak ke hospital SL.
Hospital tersebut juga tidak jauh dari kediaman kami. Tapi disebabkan aku dah kepenatan seharian bersama mak, ku minta excuse untuk berehat dulu. Esok pagi-pagi aku akan menyusul ke hospital SL. Hanya kakcik, adik dan seorang anak buah yang mengiring mak ke hospital SL.
Ku sangat keletihan. Namun, tidak mampu melelapkan mata dengan lena. Setiap waktu terjaga menunggu update dari kakcik tentang keadaan mak.
8 Mac,
Tepat jam 6.30 pagi, setelah menunaikan solat subuh, kaklong datang menjemputku dirumah. Kami menuju ke hospital SL. Sampai disana, ku lihat keadaan mak nampak semakin teruk. Mak nampak sukar untuk bernafas. Mak juga nampak sangat keletihan.
Tapi sama seperti penerangan doktor di hospital SB, mereka perlu mendapatkan pengesahan dari pakar sakit puan terlebih dahulu. Dan kami bersabar menunggu.
Jam 10 pagi. Doktor mengatakan, mak perlu dibawa untuk prosedur CT abdomen scan kerana mereka suspek mungkin mak ada kanser perut/ ketumbuhan didalam perut. Perut mak membengkak besar dan keras.
Tapi untuk membuat prosedur berkenaan perlu melalui beberapa lagi prosedur. Tepat jam 1.30 petang baru mak dibawa untuk membuat prosedur CTscan tersebut.
Doktor ada menyebut beberapa risiko setelah melalui prosedur tersebut. Lebih-lebih lagi mak adalah pesakit CKD (Chronic Kidney Desease) stage 4.
Cecair berwarna yang digunakan untuk prosedur tersebut akan memberi komplikasi pada ginjal mak. Lebih tepat, akan menurunkan peratus fungsi ginjal. Dan kemungkinan besar, mak perlu menjalani dialysis nanti.
Kami abaikan risiko-risiko tersebut. Mak dah menanggung sakit terlalu lama. Mak perlu segera dibedah.
Dan dari pengalaman kawan-kawan yang pernah melalui pembedahan appendiks, ianya hanya sekadar pembedahan kecil yang biasa. InsyaAllah, mak pasti okey.
Kemungkinan yang mak akan terlantar setelah dibedah kerana kondisi badan yang telah berumur kami ketepikan. Apapun yang berlaku, kami akan jaga mak sehingga akhir hayatnya. Itu janji kami.
Jam 4.30 petang mak ditolak masuk ke wad 4A. Hanya aku seorang yang mengiring mak bersama jururawat. Ahli keluarga yang lain telah menunggu kami di wad setelah ku beritahu nombor wad mak.
Sampai di wad, doktor bedah berjumpa kami. Doktor memperkenalkan diri sebagai pakar bedah yang akan membedah mak.
Doktor menerangkan risiko-risiko pembedahan dan pasca pembedahan. Kami tahu, mak terlalu berumur untuk melalui pembedahan tersebut.
Dengan status sebagai pesakit berisiko tinggi, terlalu banyak komplikasi yang mungkin akan dilalui mak. Namun, doktor berjanji akan buat yang terbaik.
Jam 7 malam, waktu melawat telah tamat. Hanya 1 waris yang dibenarkan menunggu dihospital.
Aku mengambil tanggungjawab tersebut setelah kaklong berjanji akan datang semula selepas waktu isya’ dan bertukar dengan ku. Jam 8 malam, doktor pakar bius datang menemui aku dan mak.
Setelah memeriksa kondisi mak, doktor meminta maaf padaku. Doktor meminta kami memberi sedikit masa agar dia dapat menyediakan bilik ICU untuk mak terlebih dahulu. Apabila mendengar bilik ICU, hatiku sedikt gentar.
Aku tahu, doktor dapat rasakan sesuatu yang tidak beres pasca pembedahan mak nanti. Doktor perlukan setengah jam untuk dia memastikan semuanya dalam keadaan tersedia. Doktor akan memanggil kami naik ke dewan bedah sekiranya semuanya telah selesai.
Doktor menepati janji. Jam 8.30 malam nurse meminta ku tukar baju mak kepada unifom pembedahan.
Jam 8.45 malam, mak ditolak kedewan bedah. Sampai disana, doktor bius berjumpa aku semula. Doktor terangkan sekali lagi risiko-risiko yang akan mak lalui pasca pembedahan.
Doktor berharap semuanya tidak terjadi, namun sebagai seorang yang berpengalaman, dia pastinya telah berdepan dengan beribu manusia yang melakukan pembedahan.
Dan pastinya dia menyebut risiko-risiko tersebut berdasarkan pengalaman-pengalaman beliau sebelum ini. Doktor meyakinkan aku akan melakukan yang terbaik untuk mak.
InsyaAllah mak akan keluar sihat seperi sebelum ini. Tepat jam 9.10 malam, mak ditolak masuk kedewan bedah. Ku sempat merakamkan sekeping gambar lambaian mak.
Aku berdoa, itu bukan lambaian terakhir mak untuk kami. YaAllah.. jaga mak. Sihatkan mak. Hanya kepadaMu tempat kami meminta.
Aku keluar dari dewan bedah. Ku lihat kaklong dan seorang anak buah sampai.
Sepanjang proses membawa mak naik kedewan bedah, ku ditemani dua orang anak daraku yang langsung tidak mahu meninggalkan ku menguruskan nenek mereka sendirian. Allahu, terharu rasanya.
Terima kasih anak-anak mama. Maka, kami berlima menunggu diluar dewan bedah sehingga pembedahan mak selesai.
Sepanjang menunggu, ku menerima beberapa panggilan dan kiriman-kiriman mesej mendoakan mak. Aku amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan mak. Korang sangat hebat!
9 Mac,
Jam 1.30 pagi. Mak telah selesai pembedahan. Namun, seperti jangkaan doktor, mak terpaksa dipindahkan ke ICU kerana kondisi mak agak kritikal.
Tekanan darah mak menurun, denyutan jantung juga agak lemah. Mak terpaksa ditidurkan sementara. Terasa ingin meraung saat melihat mak penuh berwayar dan sedang lena dikatil ICU. Entah mengapa, hatiku terasa sayu melihat keadaan mak seperti itu.
Aku tidak pernah membayangkan melihat mak dalam keadaan itu. Disebabkan wad ICU tidak boleh ditunggu oleh waris, maka kami ambil keputusan untuk pulang sahaja kerumah. Dan kembali semula keesokkan hari. Lagi pula, rumah kami tidak terlalu jauh untuk berulang kesini.
Jam 3.30 pagi kami tiba dirumah. Kami membersihkan diri dan merehatkan badan. Anak-anak dara pula perlu ke sekolah esok. Ade peperiksaan awal tahun yang perlu mereka duduki.
Jam 6.30 pagi aku terjaga. Anak-anak sedang bersiap ke sekolah. Maafkan mama terlambat bangun. Badan dan minda mama sangat letih. Teringat mak, hatiku kembali sayu. Arghhh…
Jam 10.30 pagi kaklong datang menjemputku. Kami ke hospital semula. Jam 12.30 waktu melawat. Aku berjumpa doktor untuk mengetahui kondisi mak.
Doktor mengatakan bahawa appendiks mak telah berjaya dibuang. Kotoran-kotoran akibat appendiks yang telah pecah juga telah berjaya dibersihkan. Sepatutnya mak dah sedar dan okey. Namun tanda vital mak tidak menunjukkan yang sepatutnya.
Disebabkan itu mak terpaksa direhatkan sementara. Kata doktor, mak sedar. Cuma dia seakan lemah untuk membuka mata dan untuk memberi respon.
Doktor meminta kami sentiasa bercakap dan memanggil-manggil mak untuk menyedarkan mak sepenuhnya. Dan setiap kali ku buka mulut untuk memanggil mak, pasti airmata yang lebih dulu turun membanjiri.
Rapuhnya hati saya, mak. Saya tak sanggup tengok mak terseksa sebegitu. Dan bermulanya episod debar didalam hidup kami setiap hari. Allahu… tidur kami tidak pernah lena. Setiap hari bunyi deringan telefon membuat saya sangat takut.
10 Mac,
Hari ke 2 mak didalam ICU. Kondisi mak tidak banyak berbeza dari sebelum. Namun hari ini mak ada memberi sedikit respon seperti menggerakkan kelopak mata saat kami memanggilnya.
Namun kata doktor, keadaan mak adalah kritikal yang stabil. Kritikal sebab dalam ICU hanya pesakit kritikal yang ditempatkan. Tapi mak stabil. Argh.. susah juga bahasa medic ni. Biarlah, asalkan mereka buat yang terbaik untuk mak.
11 Mac,
Hari ke 3 mak dalam ICU. Hari ini doktor memberitahu bahawa semalam doktor telah mencuba membuka saluran intubasi mak.
Malangnya keadaan mak jadi tidak terkawal. Denyutan jantung menurun teruk. Kadar oksigen juga menurun. Tekanan darah turut menurun.
Doktor terpaksa terpaksa memakaikan mak topeng oksigen CPAP. Kata doktor, fungsinya seperti intubasi. Namun, tidak bergantung sepenuhnya kepada mesen ventilation itu.
Mak perlu berusaha mengembangkan paru-paru mak sendiri. Sebab doktor ingin mak cepat keluar dari zon kritikal itu. Kami juga. Tidak sanggup melihat mak sebegitu.
12 Mac,
Hari ke 4 mak dalam ICU. Kecewa bila kami datang, mak telah diintubasi semula. Doktor menyatakan, mereka terpaksa intubasi mak semula. Tanda vital mak semakin merosot. Topeng CPAP langsung tidak membantu. Mak terpaksa direhatkan semula. Allah… rapuhnya saya.
Rasa terduduk mendengar penjelasan doktor. Semoga ada keajaiban untuk mak. Sepsis! Itulah keadaan mak! Kami yakin mak kuat. Kami yakin mak akan melepasi saat-saat kritikal ini.
13 Mac,
Hari ke 5 mak dalam ICU. Hari ini hari jumaat. Semoga hari ini lebih baik dari hari sebelumnya. Allah swt makbulkan doa kami dan doa-doa orang yang ikhlas mendoakan mak.
Kami terkejut melihat mak sudah mula sedar dari lenanya. Mak sudah mula memberi respon setiap kali kami memanggil dengan membuka mata dan menggerakkan tangannya. Kata doktor, mak memang telah sedar sepenuhnya.
Cuma mungkin sisa ubat tidur masih ada membuatkan mata mak berat untuk dibuka. Yang penting mak telah mula memberi respon setiap kali doktor minta mak menggerakkan anggota badan. Maksudnya, otak mak juga berfungsi sempurna.
Alhamdulillah.. terima kasih Allah swt. Terima kasih kerana mendengar doa kami.
14 Mac,
Hari ke 6 mak dalam ICU. Keadaan mak menunjukkan progress yang semakin memberansangkan. Namun, doktor tidak akan mencabut salur intubasi dalam waktu terdekat ini.
Doktor bimbang, sekiranya kondisi mak semakin merosot, adalah satu penyeksaan untuk intubasi mak buat kali yang ke3.
Kami faham dan redha. Biarlah kondisi mak betol-betol pulih sepenuhnya. Walaupun mak tidak selesa, dan tangan mak terpaksa di ikat sebab mak sentiasa ingin cabut salur intubasi tersebut.
Tapi kami cuba fahamkan mak agar mak juga redha dengan keadaan yang mak terpaksa lalui sekarang.
Dapat berbual dengan mak walaupun cuma komunikasi satu hala, dan mak menjawab dengan anggukan, gelengan atau senyuman sahaja kerana mak tidak boleh bercakap, sudah membuatkan kami lega dan gembira.
15 Mac,
Hari ke 7 mak dalam icu. Sepatutnya hari ini, aku dan keluarga akan pergi bercuti bersama kawan-kawan. Tapi dalam keadaan mak begitu, aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mak.
Aku batalkan percutian tersebut disaat akhir. Keutamaan aku adalah mak sekarang ini. Aku takut sesuatu terjadi sewaktu aku jauh dari mak. Aku tidak sanggup memikirkan perkara tersebut.
Kondisi mak semakin baik. Mak sudah mula banyak bertanya. Walaupun adakalanya kami tidak faham isyarat pertanyaan mak, namun kami cuba jawab semampu kami.
Adakalanya mak nampak kecewa kerana jawapan kami berbeza dari soalannya. Maafkan kami mak. Kami cuba sedaya upaya menggembirakan mak. Maafkan kami sekiranya mak kecewa dengan jawapan kami. Sedih…
16 Mac,
Hari ke 8 mak dalam icu. Kondisi mak semakin membaik. Doktor ada mengatakan dalam sehari dua mereka akan cabut salur intubasi. Sebab progress mak sangat memberansangkan.
Namun, masih ada beberapa perkara yang mereka perlu beri lebih perhatian sebelum salur intubasi dicabut.
Mak nampak sangat sihat. Luka pembedahan juga nampak sudah mula kering. Mak juga sudah dalam keadaan duduk diatas katil (sebelum ini baring terlentang). Alhamdulillah, syukur Ya Allah.
17 Mac,
Hari ke 9 mak dalam icu. Alhamdulillah. Petang itu salur intubasi mak telah dicabut. Tapi doktor mengatakan, mak perlu direhatkan dulu dalam icu sampai kondisinya benar-benar seseuai untuk di pindahkan ke wad biasa.
Alhamdulillah, mak sudah boleh bercakap, tapi suara mak masih belum keluar sepenuhnya. Lama kan di intubasi. Memang begitu kata doktor. Kami gembira dengan perkembangan mak.
Mak, kami tunggu untuk jaga mak sendiri dalam wad. Di ICU, untuk peluk cium mak agak sukar. Katil tinggi, dengan wayar berselirat. Segalanya sukar.
Dan kami juga tidak dibenarkan menyentuh pesakit sesuka hati. Kerana kita mungkin membawa kuman yang tidak sepatutnya dari luar.
18 Mac,
Hari ke 10 mak dalam ICU. Hari ini adalah harijadi saya. Walaupun tiada sambutan, saya tetap gembira menerima perkhabaran yang mak akan dipindahkan ke wad biasa.
Alhamdulillah. Perkhabaran yang sangat ditunggu-tunggu. Petang itu, kami berbual panjang setelah mak dipindahkan ke wad biasa. Macam-macam soalan mak. Dan soalan yang akan saya kenang sampai bila-bila, apabila mak bertanyakan esoknya hari apa?
Bila saya jawab khamis, dan bertanya semula kepada mak. Kenapa bertanya soalan tersebut. Mak hanya menyatakan tiada apa-apa. Hanya ingin tahu.
Namun hati kecilku berdetik sesuatu yang tidak enak. Ku pintas detikan hati dengan mengatakan kemungkinan mak bingung setelah 10 hari terkurung didalam ICU. Lagi pulak kondisi mak yang sangat memberansangkan.
Tak mungkin detik hati saya itu betol. Saya tinggalkan mak malam itu sebab kaklong menyatakan persetujuan untuk menjaga mak malam itu. Dan aku akan ambil giliran keesokan harinya.
Ku tinggalkan mak dengan seribu rasa kegembiraan sehingga berkali-kali ku peluk cium mak. Senyuman mak mengiringi kepulanganku sentiasa terbayang diruang mata sehingga ke hari ini.
19 Mac,
Hari ini segalanya seperti biasa. Tiada tanda-tanda perkara besar akan berlaku hari ini. Pagi itu, kaklong maklumkan perkembangan mak. Semuanya okey.
Kaklong berpesan minta ku bawa barang-barang keperluan mak. Waktu ini, hari ke2 pkp sedang dilaksanakan diseluruh negara.
Jadi, kami semua “work from home”. Selain melakukan tugas-tugas pejabat, aku lakukan juga tugas harian sebagai isteri dan ibu. Segalanya masih normal.
Pagi itu aku bersiap sekadarnya. Cadangku, jam 12 tengahari nanti baru aku ke hospital menggantikan kaklong. Jam 11 pagi, kaklong menghubungiku. Sangkaku pasti ada lagi pesanan yang di kirim.
Namun, sangkaanku meleset. Sebaik panggilan ku jawab, tiada suara. Hanya dengar esakan tangis kaklong.
Allah… jantung berdegup kencang. Aku tahu sesuatu sedang berlaku. Ku biarkan kaklong mencari kekuatan untuk menerangkan situasi. Namun, dia hanya menyatakan, tolong datang sini. Jantung mak berhenti. Dan aku meraung. Ku hubungi suami, minta bawakan aku ke hospital.
Dalam keadaan itu, kaki ku tidak mampu menekan pedal minyak pun. Anak kecik ku tinggalkan bersama pengasuhnya. Aku bersama suami dan adik lelaki bergegas ke hospital. Anak-anak yang besar, ku tinggalkan mereka sendirian dirumah mak.
Dalam perjalanan, kuhubungi dua orang lagi kakak-kakakku yang tinggal berlainan daerah. Mereka juga bergegas ke hospital.
Adik bongsu memang dari awal sudah kuhubungi agar menyusul kaklong dihospital, kerana rumahnya berhampiran dengan hospital tersebut.
Sesapainya aku dihospital, ku lihat doktor sedang berusaha menyelamatkan mak. Dalam setengah jam, doktor telah selesai. Doktor berjumpa kami, menerangkan keadaan mak. Kata doktor, jantung mak tiba-tiba berhenti.
Dua kali. Dan kedua-duanya mereka berjaya dapatkan semula jantung mak dengan CPR. Sekarang mereka dalam proses memasang mesen ventilation kepada mak. Namun, doktor menyatakan untuk kali yang ke3, mereka tiada jaminan mak akan survive.
Kami kena bersedia dengan segala kemungkinan. Doktor minta panggil semua waris. Mereka akan membenarkan semua waris untuk menziarahi mak.
Kami bergilir-gilir membacakan yassin buat mak. Airmata bagaikan air terjun tanpa henti dari jurai mata. Sesak dada menahan sebak melihat keadaan mak. Mak terbaring kaku.
Dada mak telah ditebuk untuk mengeluarkan darah beku. Dada yang ditebuk nampak membengkak.
Aku tidak salahkan doktor. Itu prosedur yang mereka perlu lakukan untuk menyelamatkan mak. Tapi aku kasihan melihat mak diperlakukan sebegitu rupa di penghujung hayatnya. Sakitnya mak tanggung.
Semoga asbab kesakitan itu, Allah swt hapuskan dosa-dosa mak. Sesungguhnya aku redha, dan aku harap mak juga redha dengan dugaan dariNya.
Selesai pemasangan segala alat monitor, kami ditinggalkan bersama mak. Bersilih ganti kami membisikkan kalimat “Laillahaillallah” ditelinga mak.
Tidak berhenti kami mengharapkan agar pengakhiran mak bersama kalimat Yang Maha Agung itu. Berganti juga alunan al-quran buat peneman mak.
Selang setengah jam selepas kehadiran dua orang lagi kakakku, mak telah terkena lagi serangan jantung buat kali yang ke 3.
Doktor dan nurse berlarian dan berkerumun di katil mak. Kami diminta tunggu diluar tirai. Sepanjang proses doktor melakukan proses untuk menyelamatkan mak, aku, kakcik dan adik lelaki tidak berhenti mengalunkan bacaan yassin buat menemani perjalanan terakhir mak.
Semoga asbab bacaan ini, segalanya dipermudahkan buat mak. Selesai bacaan yassin, doktor menghampiri kami. Doktor menyatakan permintaan maaf, kerana mereka tidak berjaya menyelamatkan mak untuk kali yang ke 3.
Dan secara rasminya, kami telah menjadi yatim piatu tepat jam 3.10 petang, khamis, 19 mac. Abah telah pergi mendahului 11 tahun yang lepas. Di hospital yang sama. Dan kami minta untuk selesaikan mak dihospital. Mak juga dimandikan ditempat yang sama dengan arwah abah.
Alhamdulillah, walaupun kampung kami telah ada tanah perkuburan yang baru, namun pengurus jenazah berbesar hati untuk mengebumikan mak ditanah perkuburan yang sama dengan arwah abah.
Terima kasih pakcik. Terima kasih orang kampung. Terima kasih tok imam.
Sesungguhnya, kenangan inilah yang akan kekal dalam ingatan kami adik beradik. Kenangan yang sangat pahit, namun akan sentiasa tersemat kekal.
Kami sangat rindukan mak. Kami juga masih merindui abah sehingga kini. Kini hanya tinggal kenangan bersama kalian berdua. Semoga kalian berdua ditempatkan dikalangan para solehin. Dijauhi dari azab api neraka dan siksaan kubur.
Dari anak degil yang sentiasa merinduimu, mak dan abah!
– Haridaf (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit