Liku Hidup “Berbinti” Abdullah III

Untuk part I, (https://iiumc.com/liku-hidup-berbinti-abdullah/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/liku-hidup-berbinti-abdullah-ii/).

Assamualaikum w.b.t. maafkan aku kerana tidak berjaya meringkasan cerita ini

Hari demi hari aku lalui seperti biasa. Bila sedih, aku lebihkan aktiviti di sekolah. Walaupun dah tak menembak, aku aktif berpidato, aktif bersajak dan sebagainya. Ada sahaja aktiviti yang aku lakukan. Nenek aku semakin membenciku. Dalam masa yang singkat begitu banyak ujian dari Allah.

Syukur Allah menyayangi aku. Aku selalu didekati dengan orang yang baik-baik diluar. Allah mejaga aku dari aku melakukan apa sahaja masalah sosial. Bila diluar, aku disenangi. Disayangi ramai. Baik sangat Allah denganku. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran ibu dan bapa tiriku.

Takde hujan, takde ribut, mereka muncul. Terkejut aku ketika itu. Rupanya nenekku telah menelefon ibu untuk ibu mengambilku di kampung. Beliau tidak mahu menjagaku lagi. Allah apa lagi ujianMu ini ya Allah. Sungguh seperti tidak bersedia untuk pulang ke lubuk lama.

Bapa tiriku ketika itu kelihatan seperti sudah insaf. Katanya beliau tak akan mengulangi lagi segala yang beliau pernah buat dahulu.

Aku berbelah bahagi. Nak ikut, takut sejarah hitam berulang, nak tinggal sini, orang dah tak suka. Maka dengan terpaksa aku melangkah keluar mengikut ibu dan bapa tiriku kerumah mereka.

Aku cuba husnuzon, mungkin betul bapa tiriku sudah insaf. Lagipun masa tu aku dah nak masuk tingkatan 5. Tak akan beliau berani buat perkara terkutuk tu lagi.

Awal – awal sampai disana, semuanya ok. Aku pun happy ibu macam dah mula ok denganku. Tapi sekejap sahaja ketenteraman yang aku rasa.

Bapa tiriku datang lagi kepadaku untuk membuat perkara tidak baik. Kali ni memang aku melawan sekuat hati. Aku tak akan bagi peluang dia mendekatiku. Aku akan sentiasa menyibukkan diri dengan adik-adik dan kerja rumah. Disebabkan kali ini aku melawan, beliau cukup marah.

Beliau mula menjadi baran sebab tidak dapat apa yang dihajati. Aku tidak kisah dimaki, dipukul selagi mana maruah aku tidak dipijak-pijak. Bagi aku dia sungguh tidak menghormatiku dan juga ibuku sebagai isteri beliau.

Pernah sekali semasa ibu aku sedang bertarung nyawa untuk melahirkan adik bongsuku di hospital, beliau masih cuba mendekatiku.

Kali ni aku memang terus berlari keluar rumah. Aku katakan kepadanya aku akan menjerit dan pergi balai polis kalau dia masih berani melakukannya. Aku rasa dia terkejut aku berani berkata begitu. Terus dia keluar pergi ke hospital untuk melihat ibuku. Dalam hatiku, apa punya suami la. Ishhhhh2..

Bapa tiriku semakin hari semakin melampau memarahi, memaki dan kadang-kadang naik tangan kepadaku. Kerap kali aku tidak diberi duit belanja kesekolah. Sampai 1 saat aku seperti tidak tahan, aku pinjam telefon ibuku untuk menelefon abang tiriku yang sulung.

Aku bertanya kepadanya,”abang, sebenarnya ayah abang ni macam mana ye. Dia nak apa sebenarnya. NAA tak tahan laa asyik kena macam ni.” Untuk pengetahuan, kakak tiriku yang ke 2 tahu ayahnya pernah melakukan perkara tidak senonoh terhadapku.

Beliau merayu untuk aku tidak melaporkan kejadian tu kepada polis. Selepas kejadian aku menelefon abang tiriku itu, mereka adik beradik sepakat untuk membantuku. Mereka telah berbincang untuk menempatkan aku di rumah abang tiriku yang paling bongsu. Ketika itu abang tiriku yang bongsu baru sahaja berkahwin.

Mereka tinggal di utara tanah air. Jadi jauh dari ayah mereka. Mereka kesian akan nasibku. Seperti biasa, pada awalnya bapa tiriku taknak melepaskan aku. Tetapi selepas didesak, aku berjaya mengikut keluarga abang tiriku ke rumah meraka. Berpisah lagi aku dengan ibuku.

Hihi. Waktu tu tinggal beberapa bulan sahaja aku nak menduduki SPM. Bercelaru rasa hidup aku masa tu sebab asyik berpindah ke sana ke sini. Abang tiriku dan isterinya sangat baik denganku. Mereka menjagaku dengan baik. Aku bahagia dekat sana. Tapi macam biasa, kebahagiaan aku tak kekal lama.

Allah sayang. Allah uji lagi. Memandangkan abang tiriku yang bongsu ni baru kahwin, isterinya seperti dengki denganku pula bila kadang-kadang abang memberi perhatian kepadaku. Aku faham dan akur akan situasi itu. Aku tidak menyalahkan isterinya. Dia wanita yang baik.

Pernah suatu malam, semasa mereka keluar sebentar, aku terdetik melihat handphone abangku. Aku terbaca mesej isterinya kepadanya.

Katanya “Sampai bila u nak jaga NAA. Dia bukan adik kandung u. I tak selesa kalau dia duduk sini selamanya. Apa pun berlaku, selepas SPM, dia kena keluar dari rumah ni.”

Aku tersenyum membaca mesej tu. Pujuk hati sendiri. Aku nekad dalam hatiku bahawa aku akan keluar dari sini selepas tamat sahaja SPM.

Selepas tamatnya SPM, aku ditawarkan untuk masuk ke pra diploma di UITM. Aku gembira dapat keluar menimba ilmu baru. Aku pun nak bagi peluang kakak iparku hidup dengan suaminya tanpa aku. Masa tu mereka sudah ada seorang anak dan kakak iparku sedang mengandungkan anak kedua.

Selepas selesai pra diploma selama 6 bulan, aku dan rakan karibku sepakat untuk sambung pelajaran kami ke tingkatan 6.

Nak dijadikan cerita, kandungan kedua kakak iparku mengalami sedikit masalah. Bayi didalam kandungannya songsang. Ketika itu kakak iparku telah pulang ke rumah ibubapanya di Selangor.

Tidak semena doktor telah mengarahkan kakak iparku untuk masuk ke wad lebih awal untuk mengurangkan risiko pendarahan.

Semasa itu aku dan sahabat karibku sedang sibuk melakukan persiapan untuk ke tingkatan 6. Tiba-tiba abang tiriku menyekat kemahuan aku untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6.

Katanya dia mahu aku menjaga anak sulungnya. Dekat sini aku terpaksa selfish. Sebab aku rasa aku sudah terlalu lama memendam rasa. Memendam perasaan.

Bukan aku lupa jasa mereka. Tapi aku hanya rasa orang seperti hanya perlukan aku untuk kepentingan mereka semata-mata. Ye, mereka baik denganku.

Tapi aku juga ada perancangan masa depan ku sendiri. Aku perlu melangkah jauh dari semua orang yang banyak menyakitiku. Lagipun aku ingin menunaikan permintaan kakak iparku yang ingin aku keluar dari rumah mereka. Aku tidak pernah melawan kata abang dan kakak ku.

Tapi kali ni aku terpaksa akur dengan kemahuan diriku sendiri. Sebab aku tidak mahu selamanya bergantung pada orang.

Kakak iparku ada memberi cadangan untuk aku melanjutkan pelajaran ke kolej swasta. Katanya aku boleh ambil ptptn. Beliau boleh membantu aku untuk membuat permohonan ke kolej tersebut.

Sahabat sekalian, dalam keadaan aku yang terumbang ambing semasa itu, aku selalu berfikir mampu ke aku hidup dengan hutang pada masa hadapan. Walaupun aku matang pada masa itu, tetapi aku tidak mampu meramal masa depanku. Yang aku tahu aku sudah tidak mahu bergantung dengan orang lagi.

Cukuplah. Dan akhirnya aku tetap dengan keputusan yang membuatkan abang tiriku berjauh hati denganku. Maafkan aku wahai abang. Aku tidak berniat untuk melukakanmu.

Selepas kejadian itu, abang tiriku yang baik denganku tidak lagi mempedulikan aku. Beliau mula berjauh hati denganku. Aku pasrah. Aku redha. Memang salahku tidak membantunya dan melukakan hatinya.

Pada suatu hari tu, abang tiriku suruh aku bersiap. Beliau kata aku akan dihantar ke rumah abang tiriku yang ke 2.

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku hanya mengekorinya. Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam hatiku risau kerana 2 hari lagi pendaftaranku ke tingkatan 6. Aku tak putus berdoa Allah membantuku. Kebetulan kakak iparku masih di wad ketika itu. Aku tidak tahu abang tiriku mahu membawa aku kemana.

Beliau membisu seribu bahasa sambil memandu. Aku duduk disebelah sambil mengendong anak sulungnya. Aku tahu sejap lagi aku akan berpisah dengan anak comel ini. Maafkan Cik NAA sayang. Rupa-rupanya abang tiriku membawaku ke HUKM. Tempat kakak warded.

Abang parking kereta dan ayat terakhir yang keluar darinya,

“ NAA turun sini. Kakak tak mahu jumpa kamu. Jangan ikut abang masuk ward. Abang dah tak nak jaga NAA sampai bila-bila. Abang dah taknak ambil tahu pasal NAA lepas ni” Terpinga- pinga aku seketika. Terus beliau keluar dari kereta dan menurunkan beg pakaianku.

Lalu beliau mengambil anak sulungnya dipangkuanku sambil berlalu pergi tanpa sempat aku berkata apa-apa. Laju beliau mengorak langkah. Tidak sempat aku mencium pipi anak saudara yang kujaga sedari kecil itu. Hanya airmata yang mengalir laju dipipiku saat itu.

Lama aku bermenung disitu seorang diri. Terasa berat kaki untuk melangkah. Selepas beberapa jam, abang tiriku yang nombor 2 pula sampai bersama isterinya. Laju aku memeluk kakak iparku yang itu. Tidak dapat kubendung lagi rasa sedih dihatiku saat itu.

Lantas abang tiriku yang nombor 2 itu bertanya apa yang berlaku. Aku tidak mampu mengulasnya pada tika itu. Mereka terus membawaku ku pulang ke rumah abang tiriku yang pertama.

Disitu aku meluahkan segalanya. Mereka bersetuju dengan keputusanku untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. Aku telah memohon bantuan dari sahabat karibku untuk aku menumpang berteduh dirumahnya buat sementara waktu.

Malam keesokkannya, abang tiri sulungku telah membawa aku ke terminal bas untuk aku menghadiri hari pendaftaran ke tingkatan 6. Beliau telah membeli tiket terlebih dahulu. Jadi aku tidak perlu menunggu lama. Katanya takut aku tidak sempat mendaftarkan diri disana nanti.

Maka bermulalah kehidupan aku menumpang dirumah orang. Alhamdulillah, mereka terlalu baik denganku.

Setiap hari aku berulang ke sekolah menaiki motor dengan sahabat karibku itu. Walaupun kami di tingkatan 6, kami berdua juga turut mencuba nasib untuk melanjutkan pelajaran ke matrik walaupun aku tahu keputusan SPM aku tidak memberangsangkan. Aku turut mencuba.

Apabila keputusan matrik keluar, ternyata aku gagal. Kerana SPM ku hanya 3A. Manakala sahabatku yang berjaya memperolehi keputusan 5A di dalam SPM telah berjaya dalam permohonannya. Aku gembira dengan keputusan itu. Aku cuba membuat rayuan tetapi gagal juga.

Aku gembira melihat sahabatku berjaya. Tinggalah aku dirumah sahabatku itu tanpa kehadirannya. Walaupun beliau berat meninggalkan aku sendirian di rumahnya, tetapi aku tetap meyuruhnya untuk pergi. Aku katakan kepadanya, aku akan cari cara lain untuk diriku.

Aku juga malu tinggal disitu tanpa sahabatku itu walaupun keluarganya sangat baik denganku. Fikir dan terus berfikir.

Tiba-tiba aku mendapat panggilan dari ibu dan bapa angkatku yang tinggal berdekatan dengan rumah ibuku (terlalu panjang untuk aku menceritakan tentang bagaimana Allah menemukan aku dengan mereka).

Mereka menawarkan bantuan untuk aku belajar ke kolej kejururawatan di Negeri 9. Mereka katakan bahawa mereka akan membantuku untuk membayar yuran dan memberi perbelanjaan setiap bulan untukku.

Aku akhirnya bersetuju dengan perlawaan itu memandangkan sahabat karibku telah pun masuk ke matrik.

Sekurang-kurangnya aku akan duduk di kolej. Mereka datang ke utara untuk mengambilku. Semasa hari pendaftaran, baruku tahu rupanya di kolej tersebut aku perlu mengambil pinjaman PTPTN untuk membayar yuran pembelajaranku sepanjang disana. Mulanya aku terkejut.

Tapi bagi tidak mengecewakan ibu dan bapa angkatku, aku teruskan jua. Semasa itu pinjaman PTPTN yang diberitahu semasa hari pendaftaran adalah sebanyak 60k. Banyaknya hutang aku rasa masa tu. Yuran pengajianku sepanjang 6 semester adalah sebanyak 43k.

Ku fikir tidak mengapalah, sekurang-kurangnya aku tidak perlu menyusahkan orang lain. Namun tiba-tiba Allah mengujiku lagi. PTPTN secara tiba-tiba memotong pinjaman kami. Daripada 60k, tinggal 45k sahaja.

Allah, terduduk aku ketika itu. Ini bermakna aku hanya mempunyai baki 2k sahaja selepas tolak yuran pengajianku. 2k untuk 6 semester. Menangis aku dibucu katil. Tidak ku hirau rakan-rakan baruku yang melihat.

Ini adalah antara moment pahit dalam hidupku. Aku berbisik dalam hati, “Yaa, Allah masih mahu mengujiku. Aku harus kuat.” Siang malam aku berdoa Allah tunjukkan aku jalan.

Antara buah fikiranku pada masa itu, aku perlu dapatkan bantuan agensi luar seperti zakat, baitumal dan lain-lain. Aku telah pergi ke pejabat kolej bahagian hal ehwal pelajar. Aku meminta izin pelepasan daripada pentadbiran untuk aku pulang ke kampung bagi memohon bantuan zakat.

Hilang rasa malu pada saat itu. Alhamdulillah, mereka izinkan. Esoknya aku terus menaiki bas ke kampung halamanku.

Ingat lagi pada masa itu bulan puasa. Sampai sahaja di sana, aku terus berjalan kaki ke pusat zakat tersebut. Perjalanan memang agak jauh tapi hilang penatku kerana hati sedang berkobar-kobar.

Sampai sahaja disana, mereka telah memberiku borang permohonan zakat. Aku teliti borang tersebut. Ada bahagian untuk mengisi maklumat ibu bapa disitu. Aku terus ke kaunter, dan menyatakan bahawa aku tidak tinggal bersama ibubapa ku. Jawapan akak di kaunter tersebut, amat mengecewakanku.

Katanya, maklumat tersebut perlu dilengkapkan juga. Jika tidak permohonan zakat tidak akan diproses. Tetapi aku tidak menyalahi mereka kerana mungkin memang prosedurnya begitu. Maka turunlah aku dengan lemah longlai ke bawah. Hilang terus seleraku untuk berbuka puasa.

Aku hanya menjamah sedikit makanan untuk mengalas perut. Otakku seperti tidak mampu berfikir logik. Aku berjalan tanpa arah tuju. Sehingga aku lupa aku perlu membeli tiket bas untuk pulang ke kolej.

Hari semakin malam, jadi aku putuskan untuk bermalam di masjid besar di tengah-tengah bandar. Aku duduk di dalam masjid. Mohon bantuan Allah. Walaupun hatiku gusar, aku tetap berdoa tanpa henti. Kerana tiada yang mustahil bagi Allah.

Fikiranku melayang jauh. Berfikir yang tiada kesudahan. Akhirnya aku terlelap selepas solat tarawih berjemaah. Sedar-sedar aku rasa ada hamba Allah ni kejutkan aku untuk bersahur pada pukul 4.30 pagi.

Aku seperti diawang-awangan. Mungkin kerana badan terlalu penat seharian berjalan, lalu aku pejamkan mata kembali. Sempat aku senyum kepadanya. Aku tidak mampu menjamah kurma yang diberikan kerana terlalu berat untukku membuka mata.

Aku tidak tahu siapa hamba Allah tu. Sebab keesokkan harinya, guard yang menjaga di pagar utama masjid kata bahawa malam-malam tiada orang yang akan berada di dalam masjid. Pintu semua akan dikunci bagi mengelakkan kecurian duit masjid.

Guard tersebut pun pelik dan terkejut dengan pengakuan aku yang terlepas di dalam masjid berseorangan.

Aku pulang ke kolej dengan perasaan yang sudah sebati dalam diriku. Kecewa, sedih dan masih mengharap sinar dan keajaiban dari yang maha ESA. Tidak ada seorang pun dari kalangan keluargaku yang tahu akan kepergianku ke kolej berkenaan. Mungkin Allah kasihanku.

DIA telah menghadiahkan aku 1 berita gembira. Aku telah berjaya dalam temuduga untuk kelayakan mendapat biasiswa dari Kuok Foundation Scholarship (tauke gula Malaysia). Gembira aku tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Syukur pada Allah yang pemberi rezeki.

Selang beberapa minggu selepas itu,aku dapat pula tawaran biasiswa dari salah satu university awam yang bakal menubuhkan hospitalnya sendiri pada ketika itu. Aku pergi temuduga tersebut dan tidak kusangka hospital yang bakal mereka bina adalah hospital di negeri kelahiranku.

Jika aku lulus temuduga itu, automatic selepas tamat pengajian aku akan ditawarkan untuk bekerja di hospital berkenaan. Dan keputusannya adalah aku lulus.

Sujud syukur aku kepada Allah. Cantik percaturan Allah. Aku terpaksa melepaskan tawaran biasiswa dari Koak Foundation kerana mereka tidak menawarkan peluang pekerjaan kepadaku. Cantik percaturan Allah. Diuji sikit, diberi nikmat yang banyak buat hambanya ini.

Alahai, terlebih panjang lagi coretanku ini. Aku sudah berusaha untuk meringkaskan ceritaku ini tapi tak mampu. Hihi. Jumpa di sambungan seterusnya ya sahabat. Janji last. Hihi.

Terima kasih yang sudi membaca luahan hatiku ini. Aku doakan semoga semua yang baik-baik aje untuk sahabat semua.

Salam maaf,

– NAA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *