Assalamualaikum.. Aku Puan Kumbang (obviously bukan nama sebenar). Aku terdetik nak menulis di sini selepas terbaca confession Ajarkan Aku Cinta oleh adik Aina.
Link di sini: https://iiumc.com/ajarkan-aku-cinta/
Tujuan penulisan ini harapnya tidak mengundang keaiban pada sesiapa. Sekadar ingin berkongsi cerita dan rasa.
Aku seorang isteri dan sudah mendirikan rumahtangga selama 10 tahun, dikurniakan cahaya mata yang comel dan lincah. Aku mengenali suamiku, Abdul (bukan nama sebenar) 2, 3 tahun sebelum kami berkahwin.
Kami berkawan beberapa tahun dan sepanjang perkenalan, jujur aku katakan ada orang yang lain ingin serius mengambil ku sebagai isteri. Yang cuba nak meminang aku tu, bukanlah kaya tapi berharta.
Jika aku ikutkan jiwa muda dan ‘taste’ aku ketika itu, sudah tentu aku pilih orang yang perwatakan ‘bad-boy’ gitu. Lebih mencabar jiwa aku yang suka memberontak, lebih thrill kata orang muda.
Tapi mengapa akhirnya, Abdul yang ku pilih. Abdul yang tidak kaya tapi manis orangnya. Abdul yang boring dengan aku yang hype. Aku akui, aku tidak mencintai Abdul ketika aku terima pinangan Abdul.
Aku terima Abdul kerana akhlaknya, kerana budinya dengan ibubapa, dengan manusia lain dan dengan aku. Aku tidak mencintai Abdul pada awalnya, tapi aku mengenali Abdul. Bila difikirkan, mujurlah aku waras ketika membuat pilihan.
Aku teringat malam pertama aku menjadi isteri Abdul, aku menendang Abdul sekuat hati ketika dia mendekatiku.
Abdul tidak memaksa tapi dia pelik. Aku tiada jawapan, hati ku hanya aku yang tahu. Aku belum sepenuhnya menerima Abdul ketika itu. Dan aku juga mempunyai trauma ketika kecil, seperti confessor Aina.
Mungkin tidak seteruk kisah Aina, tapi aku faham kenapa tendangan yang dihadiahkan untuk suami pada malam yang sepatutnya menjadi malam terindah suami isteri. Aku tidak menceritakan kepada sesiapa hatta kawan rapat sendiri.
Aku pernah cuba membuka cerita masa silamku pada Abdul beberapa bulan selepas perkahwinan kami, Abdul seakan mengerti tapi katanya, ‘Doesn’t matter the past, I just want the present and the future with you’. Having heard that, I never mentioned about this ever again until now.
Abdul suami yang baik, ringan tulang, ayah yang sangat rapat dengan anak-anaknya. Romantik tu tidakla sangat. Tapi kalau ada list suami idaman, aku boleh tick hampir semua yang ada pada Abdul. Adakah aku cintakan Abdul? Mungkin ya, mungkin tidak.
Apakah erti cinta sebenar, adakah seperti cerita Hindustan, bila kiss terasa ada chemistry nya? Atau cerita dongeng Cinderella, kaki akan terangkat dan perasaan berada di awangan. Atau rasa seperti rama-rama menari-nari dalam perut? Jika ini erti cinta, ya aku tidak cintakan Abdul.
Tapi aku suka bila berada dalam dakapan suamiku yang tidak aku cintai itu. Aku rasa selamat. Aku rasa segala masalah lain, biarkan saja. Asalkan dia ada di sisi.
Aku pernah usulkan pada Abdul, jika tidak tidak bahagia dengan ku, aku izinkan dia kahwin lain. Akhirnya, Abdul yang merajuk.
Katanya aku tidak sayangkan dia. Maka aku tidak usulkan lagi, walaupun aku pernah terbayang suatu hari nanti Abdul tiba-tiba menyatakan hasrat nak tambah cawangan.
Perasaan aku flat sahaja. Mungkin juga kerana aku rasa aku tidak cukup sempurna buat Abdul, Abdul insan hebat di mata aku, dan aku cuma insan hina di mata aku jua.
Ketika PKP, aku terpaksa berjauhan dengan Abdul untuk seketika. Orang cakap aku seperti hilang arah. Aku tak boleh hidup tanpa Abdul.
Yang sebenarnya aku cool saja, yang tak okay adalah si Abdul. Kalau boleh hari-hari mahu facetime. Aku tidak serabut atau malas melayan dengan Abdul, aku okey saja.
Aku suka bila Abdul rasa dirinya disayangi, diperlukan aku. Supaya kasihnya pada aku sentiasa ada. Adakah aku berpura-pura dengan diriku? Soalan ini, aku tiada jawapan. Lubuk hati seorang wanita ibarat sedalamnya lautan biru.
Penuh misteri. Adakah aku bahagia, Alhamdullillah, aku sangat bahagia, Aku tidak ingin menukarkan kebahagian ini dengan apa-apapun, tidak dengan perasaan rama-rama dalam perut, tidak dengan perasaan cinta chemistry olahan western yang tidak realistik bagiku.
Cukuplah sayang dan hormat dalam berumahtangga untuk mencapai bahagia. Adakah kita hidup untuk merasa cinta pada manusia semata-mata? Adakah cinta manusia akan membawa kita ke syurga?
Dengan Abdul yang tidak kucintai itu, dia membimbingku menjadi insan yang lebih baik, mengajar aku menjadi muslimah, menjadi anak yang berbuat baik kepada ibubapaku.
Abdul yang tidak romantik itu yang bersabar dengan karenah aku yang tidak masuk akal terutamanya ketika aku mengandung dulu.
Jika cinta manusia yang kita kejar, mungkin kita akan dapat, mungkin juga kita akan terluka. Kepada Aina atau isteri-isteri yang merasakan tiada cinta dlm rumahtanggamu, lihat kembali.
Jika suamimu itu tidak pernah mengangkat tangan untuk memukulmu, tidak pernah menyakiti hatimu dengan sengaja atau berulang, tidak menyalahi syarak, menyenangkan hidupmu, ayah yang terbaik untuk anak-anakmu, kenapa cinta yang masih dicari?
Carilah cinta yang hakiki, InsyaaAllah, yang baik-baik akan datang kembali dalam hidup kita.
Jangan terlalu mengharapkan cinta manusia, kelak kita terluka. Dah banyak confession kita baca mengenai suami yang baik dan penyayang tiba-tiba berubah kerana orang ketiga, kan?
Ingat ya, hati kita ini, Allah yang pegang. Berdoalah semoga hati-hati kita tidak dibolak-balikkan pada yang tidak sewajarnya.
I might not love my husband, but I devoted my life to him, InsyaaAllah.
– Puan Kumbang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit