Aku Anak, Engkau Ibu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-anak-engkau-ibu/).

Hai, assalamualaikum. Aku nak kongsikan sedikit kisah seorang anak luar nikah. Apa yang anak luar nikah ini rasa apabila orang caci, hina dan kecam dia kerana dia lahir berbeza dengan orang yang lahir atas hubungan yang halal tetapi tidak pada dia. Aku juga anak luar nikah.

Apa aku lalui sepanjang aku jadi anak luar nikah ni, aku rasa itu sudah jadi lumrah bila aku dilahirkan atas hubungan antara ibu aku dengan bapa kandung aku itu.

Mereka, ibu bapa kandung aku ni telah melakukan sesuatu yang baru pada usia yang muda. Sesuatu yang mereka buat itu telah membuahkan hasil.

Kita katakan orang muda ni darah manis-manis semuanya. Orang muda ni atau remaja ni mereka tengah nak menerokai sesuatu yang baru seperti cuba dan buat.

Ada yang berfikiran sudah matang. Ada yang berfikiran sudah tahu kesan dan akibatnya dan ada yang berfikiran masih di tahap remajanya yang mana mereka ini masih rasa mereka terlalu muda untuk mencuba sesuatu yang baru.

Aku tak tahu dan aku tak kenal siapa bapa kandung aku. Tapi arwah mak saudara aku cakap, bapa kandung aku ni orang kampung ni juga. Dia keluar dari kampung ni setelah tahu dia bakal jadi bapa.

Mak bapak dia suruh dia keluar dari kampung dengan cepat sebab tak nak bertanggungjawab dan menjadi seorang bapa pada usia yang muda. Dan mak saudara aku ada kata juga yang bapa kandung aku ni sekarang dah jadi seorang guru. Tak mengapa.

Dia boleh jadi apa sahaja dia nak tetapi dia tak boleh jadi seorang bapa kepada anak yang dia telah ada dengan bekas kekasihnya.

Aku tak peduli dan aku malas nak ambil tahu tentang dia. Andai dia datang cari aku, aku terima dia. Aku nak marah dan benci dia pun, itu memang hak aku dan wajarkan aku buat gitu dekat dia?

Tapi aku rasa macam aku betul-betul tak nak ambil peduli tentang dia. Di mana dia sekarang dan adakah aku boleh panggil dia ayah atau abah atau papa? Aku tak nak ambil tahu.

Tapi aku sentiasa doakan kebahagiaan dia. Doa aku sebagai anaknya adalah semoga dia bahagia dan semoga dia sentiasa diberikan rezeki dan kesihatan yang baik. Itu sahaja.

Macam yang korang baca kisah aku sebelum ni yang aku pernah tinggal dengan mak saudara aku kan. Mak saudara aku, aku panggil umi. Umi anak sulung dan kakak kepada ibu kandung aku. Umi ni janda. Dia kahwin awal dan suaminya meninggal tak silap sebulan selepas berkahwin.

Sejak dari tu, dia tak kahwin. Datang orang meminang dia, dia tak nak. Usia dia masuk 40 tahun pun masih ada tau nak jadikan dia isteri tetapi dia tetap tak nak. Dia setia dengan arwah suaminya. Dia tak ada anak. Jadi dia ambil aku dan jaga aku sebagai anak dia sendiri.

Aku dapat merasai kasih sayang dari umi. Umi baik. Dia tak suka marah-marah. Aku ni pernah lah buat dia naik angin. Alah biasalah budak kecil. Mestilah ada nakal sikit kan? Tapi umi cubit manja je kat pipi dan dia kalau nak melarang aku, dia tak melarang macam jangan buat benda tu.

Dia kata hah buatlah benda tu. Itu aku macam tak nak buat. Begitulah umi. Umi meninggal sebab sakit jantung. Masa dia meninggal tu, korang bayangkanlah bila ibu korang tiada dah dengan korang. Aku menangis memang tak ingat dunia. Selepas umi meninggal, aku tinggal dengan nenek.

Nenek aku baik. Dia tak ada hina aku apa. Dia macam umi. Dia dan umi jaga aku. Tak pernah keluar pun perkataan anak luar nikah dari mulut nenek. Tapi dia cakap dekat aku, dia suruh aku abaikan mulut orang mengata pasal aku yang anak luar nikah.

Kata nasihat nenek sangat positif. Umi dan nenek ni memberikan semangat positif pada aku. Aku tak terasa aku ni anak luar nikah. Yang aku terasa ialah aku adalah insan yang patut membalas budi baik nenek dan umi.

Nenek sekarang masih ada dan dia dijaga oleh ibu kandung aku sebab tak larat dah buat kerja.

Berbalik pada kisah aku ni..

Manusia ni ada dua jenis, baik dan jahat. Begitu juga dengan kelahiran ada dua jenis, lahir di atas hubungan halal dan lahir di atas hubungan berzina. Jika lahir atas hubungan yang halal, maka lihatlah pada perangai dan sikap seseorang itu. Begitu juga dengan lahir di atas hubungan berzina.

Tetapi, apabila sampai part anak yang lahir sebagai anak luar nikah, terus dituduh, di maki, di hina. Ini kalau manusia yang dah setkan yang anak luar nikah ni perangai tak elok.

Mereka siap kata perangai ikut ibu bapa kandungnya dan akan berperangai buruk nanti bila dah besar. Nak tanya, adakah awak tu ahli nujum yang tahu apa yang si anak luar nikah ni akan jadi?

Anak luar nikah ni dia jadi jahat ke baik ke, sama je dengan anak halal. Tapi kenapa kalau anak luar nikah, nak fikir negatif pasal dia? Tahu tak, anak luar nikah ni fikiran dan sikapnya akan berubah mengikut kata-kata negatif orang terhadapnya?

Dia ada perasaan malu dan perasaan sakit hati terhadap orang yang mengata dia. Dia sebenarnya cuba nak melarikan diri dari persepsi buruk terhadapnya sebab dia nak jadi orang baik kerana orang duk kata dia jahat disebabkan status anak luar nikahnya ini.

Tapi dia tersekat sebab ada pagar yang si polan ini bagi.

Anak luar nikah ni manusia biasa. Dia lahir bukan terus jadi jahat. Dia ada proses kehidupannya tetapi jika kita menekankan kat dia, dia rasa terseksa dengan diri dia.

Boleh kan kita layan anak luar nikah ni sama rata? Maksudnya, layan dia sama seperti kita layan anak halal? Dia punya hak. Dia punya hidup. Dia sama macam kita yang sama-sama nak menerokai dunia ni.

Kepada yang senasib dengan aku, kita jangan lemah dengan tohmahan orang. Biarpun kita anak luar nikah, kita memang tak boleh nak lari dari kenyataan tetapi kita boleh ubah sikap orang itu guna cara kita sendiri. Eh, jangan guna cara buruk tau.

Maksud aku, kita tak perlu nak jadi orang kaya atau orang berjaya supaya mereka puji memuji kita tetapi kita doakan mereka yang mengata kita ni dapat ubah perangai dan kata-kata yang pernah mereka lemparkan kepada kita. Anggap je mereka yang mengata ni tak cukup kasih sayang ha. Senang.

Ia tak susah pun nak jadi orang. Kita kena setkan fikiran kita jadi orang yang positif dan solat jangan lupa tau.

Janganlah kau kata kau anak juga berdosa sejak kau wujud dari rahim ibu kandung kau. Sebab setiap anak yang dilahirkan ni umpama kain putih tanpa kekotoran dan kita juga jangan ulangi apa yang sudah ibu bapa kita buat.

Ingatlah Allah. Jauhilah perkara yang tak elok. Apapun kita hadapi kelak, jangan kita buat benda buruk.

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *