Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaanNYA. Bukan niat menulis ini untuk membangga atau riak, tapi sekadar jadikan panduan dan kekuatan buat pembaca di luar sana.
Nama saya Rina (bukan nama sebenar), suami bernama Hafiz (bukan nama sebenar). Saya sudah berkahwin dengan Hafiz selama 8 tahun dan dikurniakan 2 orang anak lelaki.
Pada awal perlahwinan (2012), suami aku bukan lah ada pekerjaan yang tetap. Aku sahaja mempunyai pekerjaan yang tetap iaitu sebagai eksekutif di sebuah syarikat di Shah Alam.
Suamiku tinggal di Perak kerana menjaga ibunya yang sakit. Kira PJJ lah ni. 2 minggu sekali, suami akan balik berjumpa dengan aku di kampung ku di Selangor.
Dipendekkan cerita aku mengandung dan ada anak kecil, tetapi aku tak mampu untuk menanggung menjaga anakku seorang diri. Aku perlukan suamiku disisi. Aku meminta suamiku balik dan tinggal denganku agar suamiku lebih komitmen kepada diriku dan anak kami.
Dalam suami nak tinggal dengan aku di selangor, menjadi satu isu besar dimana, adik beradiknya bising kerana aku tak mahu tinggal di Perak. Bukan aku taknak tinggal disana, aku dah cari kerja disana, tapi takda rezeki yang melekat. Dengan suamiku tiada pekerjaan.
Aku berkeras mahu suamiku tinggal dengan aku dan anak di selangor. Pandai2 lah mereka adik beradik bincang macamana nak jaga mak mertuaku. Sebab aku kena pentingkan juga kehidupan aku. Sebab aku ada keluarga, aku pikir untuk keluarga aku.
Dan akhirnya, mereka bersetuju untuk menjaga mak mertuaku secara bergilir. Dan aku juga bersetuju.
Dalam keadaan suamiku berpindah ke selangor, dia tidak mempunyai pekerjaan. Aku seorang sahaja yang bekerja. Mungkin asbab rezeki anak, suamiku berkenalan dengan seorang yang mengajak suamiku untuk membuat sales bagi satu produk bernama A.
Suamiku menjual peroduk tersebut, dalam masa yang sama suamiku banyak travel. Dalam travel tu, suami aku selalu curang belakang aku dan dah banyak kali terkantoi. Income suamiku daripada jualan produk A ketika itu hanya 400.
Kami sering bergaduh sebab aku sangat tertekan dengan sikap curangnya, dan bagi nafkah yang sangat sedikit. Sehingga aku berhenti kerja kerana aku sangat tertekan.
Jadi aku bergantung sepenuhnya kepada income suamiku. Income suamiku naik sedikit, namun suamiku infakkan sebahagian besar incomenya ke satu pertubuhan di Malaysia.
Aku marah, aku merungut kerana kami dalam keadaan tidak punya kereta (ada kereta tapi pinjam dari keluargaku) tidak punya rumah, tidak cukup makan pakai, dia boleh mengutamakan untuk infak kepada pertubuhan lain daripada keluarganya.
Dalam keadaan suami asyik curang, nafkah tak cukup, perbelanjaan tak cukup. Sehingga pada tahun 2016 membawa kepada penceraian kami.
Kami bercerai dengan talak satu. Suami masih sayangkan aku dan anak. Tapi aku tekad sebab pada aku suami tidak mahu berubah, hidup seperti orang bujang seolah tiada komitmen keluarga.
Namun sebelum habis tempoh eddah aku berasa bersalah. Aku berbincang dengan wakil antara aku dan suami iaitu abang iparnya, biras aku lah kiranya.
Abangnya kata suamiku setiap hari menangis tengok gambar aku dan anak. Aku mengambil keputusan untuk rujuk kembali dengan syarat dia kena berubah.
Pada tahun pertama rujuk, dia masih tak berubah. Masih sama, aku selalu bergaduh dengannya. Aku akan pertahankan hak aku dan anak semampu aku.
Selepas setahun, aku mengandung anak yang ke 2, lahirnya anakku yang kedua atas asbab rezeki anak juga suamiku berkenalan dengan kenalan lain dan kawannya mengajak untuk menjual produk lain pula iaitu produk B.
Jualan bagi produk A masih berjalan seperti biasa dan masih juga tidak mencukupi kerana suamiku infakkan bahagian yang banyak untuk pertubuhan itu.
Maka bermula lah suami ku menjual produk A dan B.. Pada ketika ini suamiku sudah tidak curang denganku. Dia berjanji tidak akan melakukannya lagi.
Aku percaya, kerana aku sememangnya akan check semua gajetnya. Dan suamiku mencipta akaun produk yang dijual atas nama aku. Jadi apabila dia menjual, dia akan letakkan namaku, secara tak lansung aku juga dapat income. Katanya itu sebagai nafkah untukku.
Suamiku berjaya menjual produk B, sehingga menaikkan income keluarga kami secara mendadak. Alhamdulillah, suamiku tidak melupakan aku, dia memasukkan 500 ke akaunku setiap minggu.
Manakala perbelanjaan rumah dia bagi setiap bulan menggunakan income jualan produk A sebanyak 3k sebulan.
Dengan nafkah 500 seminggu tu aku dapat menyambung pegajianku ke peringkat lebih tinggi. Kini suamiku juga menghadiahkan sebuah kereta yang tidak aku sangkakan.
Ya, aku mengaku aku merungut ketika suamiku menginfakkan sebahagian rezeki keluarga kami. Aku bersalah, aku minta maaf pada suamiku. Asbab daripada dia infak tu, Allah murahkan rezeki keluarga kami berlipat kali ganda. Suamiku menjual produk dengan ikhlas.
Dia sanggup ambil keuntungan yang sikit, asalkan orang mudah buat kerja. Aku dan suami belajar dari kesilapan, dimana kesilapan itu mematangkan kami.
Kami meletakkan islam dahulu sebelum yang lain. Sebelum ni, aku yang selalu dalam ketakutan takut, rezeki berkurang, takut takda kereta, takut takda rumah.
Yelah, kami bukan kerja tetap. Sebab tu aku takut. Tapi kini aku dah tak takut, aku yakin dengan suami aku, tapi aku tetap berhati-hati juga.
Betullah kata orang 5 tahun pertama perkahwinan mencabar, 5 tahun kedua dah stabil, 5 tahun ketiga bertambah stabil 5 tahun keempat bertambah tambah lagi stabil dan seterusnya.
InsyaAllah kami kami dalam fasa 5 tahun yang kedua. Semoga kami dapat melanjutkan sehingga fasa-fasa seterusnya dan hingga ke syurga.
Semoga Allah melimpahkan rezeki yang banyak buat keluarga kami dan pembaca sekalian.
– Manusia yang banyak buat kesilapan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit