Saya dan 6 orang anak buah tinggal dan membesar bersama dengan ibu saya di kampung. Ibu mula menjaga cucu pertama di usia saya 13 tahun.
Pada usia itu juga, ilmu keibubapaan saya mula menyerap dan ‘menyirap’ dalam sanubari saya.
Buat susu tengah-tengah malam, basuh lampin, cebuk dan mandikan seorang demi seorang, dan suapkan makan adalah rutin harian yang mendidik saya erti sabar.
Kalau panas hati, saya akan bayangkan “itulah perasan ibu membesarkan aku dulu”.
Izad ada 5 orang adik beradik dan beliau adalah anak ke 2 kepada kakak saya.
Berbanding dengan Abangnya yang cepat pandai dan banyak memenangi hadiah di sekolah tadika, Izad sangat pelahan. Susah mengingat sesuatu perkara dan pembelajarannya agak terjejas.
Saya masih ingat, oleh kerana ibubapanya pergi berkerja dan tiada siapa yang hadir di Hari Penyampaian Hadiah Tadikanya, saya meluangkan masa mengantikan mereka. Satu persatu pelajar cemerlang dipanggil tetapi tidak namanya.
Akhirnya nama beliau dipanggil untuk memenangi Hadiah Pelajar Terbersih. Dalam berjalan kaki pulang dari majlis tersebut, Izad memberitahu saya “Tengok Cu, budak tak pandai pun dapat hadiah”.
Hati saya tersentuh dan hiba. Dia sangat menghargai hadiah itu walaupun dia tahu dia tidak secemerlang abangnya.
Masuk ke sekolah rendah, Izad melalui frasa sukarnya. Izad masih tidak boleh membaca sehingga darjah 4.
Ibu dan bapanya rasa tertekan dan pendekatan pembelajaran lebih tegas serta keras. Izad juga tertekan dan diluahkan pada saya dan Wannya (ibu saya). Kami sentiasa positif dan pendekatan kami lebih lembut dalam kerisauan.
Saya nasihatkan beliau, “Izad bukan tak pandai, Izad belum pandai”.
“Semua orang melalui frasa yang sama. Orang yang pandai membaca pun belum tentu berjaya kalau malas berusaha. Apa yang penting, jangan berhenti berusaha. Selebihnya kita berserahlah”, tambah saya lagi
Alhamdullilah, selepas bantuan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Bandar dengan pelbagai program yang diikuti, Izad boleh membaca dan prestasinya mencanak meningkat semasa di darjah 5 dan 6.
Walaupun UPSRnya tidak mendapat ‘straight A’ seperti Abangnya, saya tetap berbangga dengan usahanya.
Semasa SPM pula, saya nampak usahanya berjaga malam untuk mengulangkaji. Saya hanya membantu memberi dana untuk membeli buku latihan dan lain-lain keperluan untuk menghadapi peperiksaannya.
Sehari sebelum keputusan SPM diumumkan dia menghubungi saya,
Izad : Ucu rasa saya dapat berapa?
Ucu : Entahlah. Ucu, kalau awak dapat sambung belajar peringkat diploma pun Ucu dah bangga Jad oi…(dalam hati saya, kalau ijad dapat 1A pun… awak hebat dah Jad).
Saya tahu di mana tahap kemampuan dia, dan tidak berharap bulan dan bintang.
Di hari kejadiaan, ibunya menghubungi saya dengan nada yang sebak memberitahu Izad mendapat 5A dan di antara ‘top student’ di sekolahnya. Alhamdullilah, saya panjatkan syukur, kuasa Allah tu sangat luar biasa.
Ahad lalu hari konvonya di Politeknik Merlimau Melaka dalam jurusan Diploma Geometik.
Seminggu sebelumnya dia menanyakan saya, Ucu datang tak? Kalau Ucu datang bawa Wan sekali. Jadi saya pun meluangkan masa untuk meraikannya bersama.
Sekarang Izad menyambung pengajian di bidang yang sama di UiTM Arau, di peringkat ijazah.
Kalau ditanya apakah motivasi dan kekuatan saya hari ini, saya akan katakan, pengalaman.
Baik pengalaman yang positif atau sebaliknya, saya akan hargainya dan mengambilnya sebagai pengajaran. Sentiasa positif dan menjadikan ia hikmah yang sangat bernilai.
Kepada ibubapa yang mempunyai masalah yang sama, sabar dan teruskan usaha. Kadang-kadang kejayaan melalui kepayahan, sangat indah dan lebih terkesan.
Terima kasih juga kepada guru-guru sekolah yang sabar mendidik dan mengajar. Juga kepada pensyarah-pensyarah di Politeknik Merlimau Melaka.
All the best Izad,
– Ucu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit