Assalamualaikum w.b.t kepada admin & para pembaca sekalian,
Terima kasih saya ucapkan kepada admin kerana menyiarkan luahan saya yang tidak seberapa ni.
Saya mulakan dengan memperkenalkan diri saya bernama Ali, seorang pelajar pascasiswazah di universiti awam dan sedang sedaya upaya menghabiskan perjuangan pengajian saya.
Saya seorang yang kurang bersosial, hanya berurusan dengan seseorang apabila ada urusan penting. Suka duduk seorang diri berasa seronok melakukan aktiviti secara sendiri tanpa ada orang lain.
Saya ada berkenalan dengan seorang perempuan selama beberapa tahun dan berniat untuk menghalalkan hubungan kami, tapi akhirnya saya ambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut kerana mengikut arahan dari “mereka”.
Disebabkan “mereka” merasakan saya tidak sesuai berkahwin dan berhubung dengan kenalan perempuan saya,
Disebabkan “mereka” melihat saya selalu wujudkan pertelingkahan dengan kenalan saya sehingga dia menghadapi kesedihan, juga tidak pandai bergaul dengan masayarakat dan janggal apabila bercakap.
Jadi, siapakah “mereka” yang saya maksudkan ? “Mereka” yang dimaksudkan hanya diri saya sendiri yang dipecahkan pada 3 personaliti.
Personaliti pertama saya perkenalkan sebagai A (saya takda beri nama), merupakan seorang yang sangat baik, mudah kasihan dan bersikap lurus bentul, ikut sahaja arahan orang tanpa memikirkan baik buruk permintaan tersebut. Personaliti kedua, sebagai B.
Seorang yang sangat buruk, selalu berfikiran negatif, bersifat menghasut, terutama untuk bertindak mencederakan diri atau bunuh diri dan menimbulkan keraguan.
Dan yang terakhir sebagai C, sebagai seorang yang sangat tegas dan adil, melaksanakan sesuatu perkara tanpa mengikut emosi.
Ketiga- tiga ini bersifat akan berbincang, berdebat atau bertelagah antara satu sama lain untuk memberikan keputusan macam mana saya bertindak terhadap sesuatu perkara sebab mereka nampak saya tidak mampu bertindak secara sendiri.
Perbincangan atau perdebatan mereka ini berlaku setiap hari, dari saya bangkit dari tidur sehinggalah ke saya nak tidur.
Serba ringkas dengan kehadiran mereka. B datang semasa saya bersekolah asrama dimana saya dipulau oleh hampir keseluruhan rakan asrama sebab saya tidak pandai bergaul,
Bertujuan untuk melindungi diri saya dari dibuli dan juga sebagai cara untuk saya dapat hidup secara sendirian semasa dipulaukan.
B akan menimbulkan fikiran negatif yang mungkin akan berlaku apabila melihat rakan-rakan lain melakukan sesuatu yang tidak baik pada saya, sebagai tindakan untuk saya bersedia dengan mereka.
Setelah habis bersekolah asrama, B masih bersama saya namun apabila B sudah tiada kerja untuk dilakukan sebelum ini, B bertindak menimbulkan permikiran negatif terhadap keluarga saya dari segi layanan mereka terhadap saya dan lain-lain.
Hal ini menyebabkan saya banyak kali bermasam muka dan bergaduh dengan ibu saya (terutamanya), ayah dan adik beradik yang lain.
Apabila banyak kali terjadi macam tu, A dan C hadir dan keduanya berbincang untuk mengurung B dalam satu sangkar (bukan sangkar sebenar tapi sangkar imaginasi), namun tidak mampu untuk mendiamkan B.
Jadi apa kesan kehadiran mereka kepada diri saya ? Saya akan bertindak tidak rasional dan akan mengalami kemurungan. Kemurungan ini bermula semasa saya melanjutkan pengajian saya ke peringkat pascasiswazah.
Saya akan berasa sedih, putus asa, kecewa, tidak mahu berjumpa orang ramai-ramai atau langsung tidak mahu jumpa (akan buat tak nampak bagi mengelakkan diri untuk berjumpa),
Marah pada diri sendiri (hingga saya rasa seperti lapar dan dahaga pun saya akan marah diri saya kenapa saya perlu makan dan minum) dan rasa ingin ketawa dengan diri sendiri sebab rasa diri gagal dan ada suruhan untuk cedera atau bunuh diri.
Perasaan ini berlarutan paling pendek beberapa hari hingga paling lama sebulan setengah. Juga apabila saya berada di tempat orang ramai seperti kedai membeli-belah, saya akan mudah jadi cemas.
Hanya dengan pandangan seseorang pada saya (mungkin sebab tengok saya pelik), mereka akan bertelagah disebabkan orang itu. Saya akan mula untuk beredar dari situ secepat mungkin bagi mengurangkan pertelagahan mereka.
Perasaan itu boleh datang secara sedikit demi sedikit dan sekiranya saya menghadapi perkara ini untuk jangka masa yang lama, perasaan itu akan terkumpul dan saya akan menjadi seperti seorang yang naik hantu.
Tidaklah bertindak agresif tapi rasa seperti tidak tentu arah (tangan menggeletar untuk merosakkan sesuatu atau mencederakan sendiri), menangis, ingin ketawa pada masa yang sama.
Dan keadaan itu saya alami paling pendek setengah jam hingga paling lama dua jam atau sehingga saya berasa letih. Selepas itu, saya akan penat dan tertido dan saya rasa sangat segar.
Gembira sangat. Kalau saya ditimpa masalah pun saya masih boleh ketawa dan tersenyum gembira. Juga saya rasa nak berbelanja macam macam perkara, nak makan macam-macam, ketawa (walaupun perkara tu lawak hambar) dan lain-lain perasaan yang menyenangkan.
Bagaimana saya boleh ke arah untuk bertindak tidak rasional dan mengalami kemurungan ? Saya menjadi sebegini apabila mereka bertelagah antara satu sama lain pada masalah yang saya hadapi, tetapi tidak dapat memberikan penyelesaian yang terbaik.
B akan menghasut pada perkara negatif, A akan mematahkan hasutan B dan C akan cuba menenangkan A dan B, tapi C akan memihak pada siapa yang paling dapat memberikan penyelesaian yang dirasakan paling baik.
Apabila dilakukan penyelesaian seperti itu dan ianya tidak sesuai, masalah lain pula timbul. Akibat pertelagahan tersebut, saya berasa tertekan, rasa tertekan seperti tidak tahan berada di tempat yang hiruk-pikuk.
Juga, saya akan berasa bersalah sangat dan diketawakan oleh B sehingga memberikan pandangan supaya mencederakan diri atau paling bagus bunuh diri sebagai penyelesaian disebabkan saya sangat tidak berguna.
Saya akan hilang mood untuk melakukan kerja yang sepatutnya saya siapkan, menyebabkan kerja itu akan bertangguh untuk sekian lama.
Saya masih boleh makan, minum, solat dan lain-lain namun untuk melakukan sesuatu kerja sangatlah berat seperti ada halangan yang sangat besar untuk saya bertindak.
Saya akan mula untuk menonton video, cerita, zikir, ceramah atau aktiviti-aktiviti lain asalkan dapat mengalihkan perasaan murung saya itu.
Paling saya akan buat adalah saya akan makan dan tido sepanjang masa. Saya rasa gembira ketika makan dan aman ketika tidur. Tiada pertelagahan dan tenang sangat. Namun bila tidur sepanjang masa, saya akan mengalami sakit-sakit badan, terutama pinggang saya.
Badan saya akan naik mendadak apabila tiada aktiviti dilakukan. Bila saya dalam keadaan seperti ini, B akan memberikan kata-kata negatif kepada saya dan sehinggalah dia penat, A dan C akan mula pujuk dan bantu saya bangkit semula.
Disebabkan itu, saya mula ada semangat untuk selesaikan masalah atau kerja yang tertangguh itu.
Semangat saya itu akan menjadikan saya mampu melakukan kerja untuk tempoh masa yang lama. Makan dan tidur pun kurang. Pernah saya menyiapkan penyelidikan saya di makmal dari pukul 10 pagi sehingga 2 pagi setiap hari, tidak kira waktu cuti atau hari bekerja.
Makan pun akan makan sekali sahaja. Esok baru makan semula dan tidak berasa lapar. Saya akan tumpu pada kerja saya sehinggalah saya demam dan tak larat bangun. Setelah pulih, saya akan sambung seperti biasa, sehinggalah datang perasaan murung itu saya akan berhenti.
Saya tidak pernah mendapatkan apa-apa pemeriksaan berkaitan mental sebab saya merasakan perkara ini mungkin perkara biasa dialami oleh orang lain, cuma saya sahaja yang tidak mampu menguruskan dengan baik.
Itulah juga ucapan ibu saya apabila saya menberitahu saya mengalami pemikiran negatif dan tiba-tiba berubah perilaku saya.
Ibu saya juga mengatakan saya tidak dekat dengan Allah dan sepatutnya buang pemikiran negatif, dan perlu sentiasa positifkan diri.
Saya tidak tahu macam mana nak bertindak seperti yang ibu saya katakan. Jadi saya diamkan diri dan cuba untuk perbaiki diri saya. Namun sejak saya mengalami kemurungan semasa awal pengajian pascasiswazah, perasaan murung itu datang secara berkala.
Boleh kata bermusim. Bila saya menghadapi masalah, perasaan itu akan datang dan pernah berlaku dua kali dalam masa seminggu, selepas saya bangkit semula dan jadi semula.
Sebab sudah banyak kali mengalami, saya rasa letih sangat dan mahu selesaikan perkara ini. Mesti ada yang tak kena dengan diri saya.
Juga, perkara inilah yang memutuskan hubungan saya dengan kenalan perempuan saya. Dia seorang yang baik, keluarga pun menerima saya dengan baik tapi saya bertindak untuk putuskan hubungan tersebut.
Juga wujud perasaan benci pada ibu dan adik-beradik saya. Saya tidak tahu kenapa boleh wujud perasaan itu.
Sedangkan semua orang impikan untuk berkahwin, berkeluarga dan dikelilingi dengan orang tersayang, saya memikirkan untuk tinggal seorang diri di kawasan yang jauh dari masyarakat dan melakukan semua perkara sendiri hinggalah mati seorang diri di situ.
Hanya berhubung dengan orang untuk tujuan tertentu sahaja. Itulah yang dikatakan terbaik oleh mereka bagi saya.
Saya tidak tahu kenapa boleh berfikiran seperti itu. Saya harap kenalan perempuan saya itu maafkan saya dan semoga Allah jaga awak dan keluarga awak dengan sebaik-baiknya. Kepada ibu, ayah dan adik-beradik saya, saya mohon maaf kerana ada wujud perasaan benci pada awak semua.
Saya rasa penat ibu mereka selalu bertelagah dalam minda saya dan saya ingin buang perasaan benci itu juga perkara yang saya hadapi ini.
Saya cuma tak tahu apa kena dengan diri saya dan semoga pembaca dapat memberikan pandangan bagaimana untuk saya mendapatkan bantuan yang sepatutnya.
Terima kasih di atas kesabaran pembaca membaca luahan saya. Saya minta maaf penulisan saya tidaklah semenarik seperti penulisan yang lain. Semoga Allah melindungi dan memberikan rezeki yang sebaik baiknya kepada pembaca sekalian.
Sekian, terima kasih.
– Ali (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit