Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah swt yang telah memberikan kita semua kehidupan. Percaya atau tidak kita semua hidup dengan takdir yang telah Allah swt tetapkan untuk kita semenjak dalam kandungan ibu.
Aku seorang janda, janda pada usia 26 tahun. Aku bercerai kerana suami telah memadukan aku dengan seorang perempuan yang jauh lebih muda pada aku.
Aku pergi bukan kerana aku menolak poligami tetapi ketika aku rasakan bekas suami tidak akan berlaku adil dan hubungan perkahwinan kami hanya membawa kehancuran dan dosa.
Itu cerita tiga tahun lepas, selepas hampir 3 tahun memegang title janda alhamdulilah aku direzekikan oleh Allah swt berkahwin sebulan yang lalu.
Aku menulis bukan untuk bercerita tentang kehidupan yang lalu aku sudahpun memaafkan semuanya dan alhamdulilah bekas suami pun sedang menunggu kehadiran cahaya mata yang ke dua.
Sepanjang bergelar janda, aku berkenalan dengan ramai orang. Aku menangis, gembira, bebas dan berjaya mengapai beberapa kejayaan dalam kerjaya mahupun kehidupan.
Untuk tahun 2020, aku sudah bersedia untuk melangkah ke dunia pengajian, sambung belajar ke peringkat ijazah sarjana walaupun kerjaya sekarang sudah cukup lumayan tetapi takdir Allah menemukan aku dengan suamiku sekarang.
Ketika bergelar janda, ramai lelaki terutamanya suami orang suka mengambil kesempatan.
Aku pernah berkenalan dengan seorang inspektor polis yang mengaku bujang. Tetapi entah kenapa aku rasa sesuatu yang aneh berkenaan lelaki tersebut lalu setiap hari aku amalkan solat hajat memohon Allah permudahkan urusan untuk aku dan dia jika dia yang terbaik.
Alhamdulilah Allah Maha Berkuasa, rahsia beliau terbongkar bahawa dia telah berkahwin dan isterinya mempunyai hubungan PJJ dengan beliau. So, tiada apa hendak disesali aku pergi.
Seterusnya, aku berkenalan juga dengan lelaki bujang tetapi workholic. Aku spent masa agak lama dengan dia.
Aku tak pernah mendedahkan status aku kepada mana-mana lelaki sewenang-wenangnya, bagi aku status ni merupakan benda sulit kerana aku percaya ramai yang memandang serong dengan status aku.
Bagi menyelamatkan keadaan aku hidup macam biasa dan berkawan dengan lelaki workholic ni.
Sampai satu masa hampir setahun hubungan kami agak rapat aku bagitau status aku dan dia agak terkejut kerana tak sangka aku seorang janda.
Aku meminta maaf aku tak berniat menipunya. Namun, hubungan kami kekal hanya sebagai seorang kawan. Dan aku mendoakan yang terbaik untuk dia.
Kini suamiku aku berkenalan di dalam dunia hiking. Dunia hiking yang agak seram bagi sesiapa yang pernah mengalaminya. Seram bukan kerana kawasan hutan atau air terjun yang berpenunggu tetapi seram dengan pelbagai ragam manusia yang hipokrit.
Ada yang sailang laki orang, ada yang menipu kawan-kawan dan ada yang mengatal tidak kira bujang mahupun sudah berkahwin, atau lelaki mahupun perempuan.
Tetapi tidak semua manusia macam tu. Cuma aku nak pesan hati-hati dengan cabaran dunia hiking. Aku join hiking sebab aku minat alam dan aku nak cari balik semangat aku yang hilang.
Aku line up yang selalu bersama sweeper setiap kali trip, aku kenal suami ketika trip CBL setahun yang lalu. Suami bukan orang hebat dan aku bukan kenal dan bercinta.
Aku berkawan dengan dia, berkau aku, memerli each others dan aku kenal dia sebagai kawan dan telinga aku. Kawan dia ialah kawan aku.
Suami aku bukan gogo, bukan line up mana2 kelab hiking cuma dia lelaki yang dah hilang hampir 80kg berat badan selepas berkecimpung dalam dunia hiking serta aktiviti outdoor.
Suami aku penjual kuih puteri ayu dan kek marble classic yang paling sedap dan paling cantik warna puteri ayu tu.
Aku janda golongan profesional yang bergred 44. Hampir setahun aku kenal dia, aku tak pernah rasa dia handsome walaupun ramai yang cakap dia macam tu. Aku kenal dia dan siasat dia betul-betul. Aku terjun dunia dia dan kawan-kawan dia.
Aku pergi rumah family dia, walau aku tahu benda tu tak bagus pergi rumah lelaki tapi aku buat sebab aku dah tak nak salah pilih orang.
Aku kaji family dia, cara dia layan mak ayah dia, aku tanya orang sekitar, stalker fb dia dan macam-macam lagi. Aku tak jumpa benda yang mencurigakan tentang suami aku. Baru aku berani, kenal dengan lebih dekat.
Aku bagitau status aku kat dia dan cakap terus terang samaada nak kawan atau tak dengan aku. Dan lepas hampir 8 bulan, baru dia bagitau aku sebelum aku bagitau dia, dia dah tahu status aku cuma dia tunggu aku cakap sendiri.
Semua orang risau, aku nak kahwin dengan lelaki yang kerja biasa-biasa. Tapi mak ayah aku jumpa suami terus setuju. Semua benda Allah mudahkan, hantaran dan majlis berjalan lancar.
Aku pilih dia, bukan kerana rupa atau harta. Bukan juga kerana cinta monyet yang mengebu. Aku pilih dia suami kerana perangai dan akhlak.
Aku pernah hidup dengan lelaki yang gajinya puluhan ribu, tetapi aku disimpan macam trofi dan tidak dilayan selayaknya seorang isteri.
Suami aku anak mak. Suami aku anak kesayangan keluarga. Mak mertua aku sakit dan bertongkat. Pernah satu hari, mak berak atas lantai dan suami aku yang basuh dan lap semua najis. Mak mertua aku tak nak anak lain salin pampers dan cucuk insulin kecuali suami aku.
Aku sedikit pun tidak tertekan. Keluarga mertua aku sangat sporting dan baik. Sekarang PKPB dan aku hampir sebulan tak rasa macam berada di rumah mertua. Alhamdulilah.
Walau ramai yang cakap, aku yang tanggung suami sebab aku bekerjaya tetap. Hakikatnya, suami aku yang banyak tanggung perbelanjaan rumah.
Aku baru lepas baca cerita Kak Zie mangsa pedo, (https://iiumc.com/saya-juga-mangsa-syaitan-pedo-ii/) dan alhamdulilah telah menemui kebahagiannya. Aku cuma nak share, rezeki kita lain-lain.
Ada orang lambat kahwin Allah bagi rezeki harta melimpah ruah dan berbakti pada ibu dan bapa. Ada orang kahwin awal rezeki anak-anak dah besar.
Ada orang diuji dengan penyakit tetapi syukur boleh jadi Allah mengampunkan dosa-dosa sehingga kelak dia kembali dalam keadaan suci daripada dosa..
Kita takkan tahu nilai ukuran kebahagian seseorang. Aku pilih untuk memilih kebaikan sebagai asbab untuk aku bahagia dalam rumahtangga.
Aku pun tak pasti jalan perkahwinan ini sampai mana, cuma aku bersyukur diberikan rezeki berpasangan disaat masih ramai yang keliru dan diuji dalam memilih pasangan.
Semoga Allah mempertemukan kalian yang masih sendiri dengan pasangan yang baik dan beriman. Aamiin.
Janda jangan terburu-buru, tidak semua lelaki jahat. Hati hati dalam perjalanan. Hiduplah mengikut syariat Islam yang betul. Percayalah apa yang hilang dari kita Allah akan ganti yang lebih baik. Terima kasih Maha Pemberi Cinta, Allah swt.
– Kaktus (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit