Assalammualaikum semua. Nama aku Juli. Ini bukanlah pengakuan aku tetapi lebih kepada penceritaan mengharapkan ada di kalangan pembaca -pembaca artikel aku ni yang alami perkara yang sama dengan aku.
Claustrophobia – kalau ada yang tak tahu apa itu claustrophobia, biarlah aku ringkaskan. Sejenis perasaan takut dan fobia berada di tempat-tempat terkurung, sempit atau kurangnya ruang pengudaraan.
Aku tak tahu yang aku ada claustrophobia ni. Dan aku masih tak tahu secara officialnya sama ada aku ada claustrophobia atau tak. Sebab phobia ni akan tercetus dalam keadaan yang aku tak boleh kawal dan tanpa aku sedar.
Kisahnya bermula masa zaman aku remaja. Aku mudah trigger pada waktu malam. Aku ni jenis kalau nak tidur malam, aku suka suasana betul-betul sunyi, ruang yang betul-betul gelap tanpa cahaya lampu dan tertutup. Tapi setiap malam aku akan rasa sesak.
Sesaknya tu macam nafas aku akan turun laju sampaikan benda ni buat aku insomnia. Mulanya aku cuma ingatkan benda ni adalah masalah sleep disorder aku.
Sampailah aku sambung belajar di universiti di peringkat degree. Waktu degree dulu, aku tak disediakan hostel. Jadi aku dan kawan-kawan kena menyewa di rumah sewa beramai-ramai.
Disebabkan negeri aku duduk jauh dengan rumah sewa dan universiti aku, jadi aku cuma mintak tolong kawan2 sekelas untuk dapatkan rumah sewa kami memandangkan masa tu masih lagi cuti semester.
Jadi kiranya aku tak pergi tengoklah. Yang aku tau, kawan baik aku dapatkan kami satu bilik dalam satu apartment. Aku cuma tinggal bayar je. Aku difahamkan akan ada budak lain yang akan share dgn kami bilik tu.
Sesampainya dekat apartment tu, alangkah terkejutnya aku bilik tu begitu sempit dengan 1 katil double decker dan 1 katil single. Meja belajar dan almari baju.
Punyalah sempit sampaikan tak ada ruang untuk solat mahupun duduk di atas lantai. Ruangnya hanya muat untuk 1 tapak kaki, berjalan mengiring ke katil masing-masing.
Korang bayangkan lah, kalau jalan dalam bilik pun kena jaga2 sebab takut berlaga dengan kawan-kawan.
Aku orang pertama yang sampai di bilik tu bersama-sama parents aku. Kawan-kawan yang lain masih dalam perjalanan. Selesai sahaja menghantar aku, parents aku pun balik ke kampung.
Elok je menghantar parents aku balik, aku masuk ke dalam rumah dan menjerit macam orang gila. Aku balik barang-barang aku dan aku menangis. Soalnya aku menangis sebab bilik yang sempit. Lebih sempit dari bilik tidur aku di kampung. Lagi pulak nak kena share dengan 2 orang lain.
Aku punya menjerit meracau macam orang tak betul sepuasnya sampai aku tertidur kepenatan sendiri. Aku fikir ini cuma tindakan tak rasional aku. Sepanjang 1 sem aku di rumah tu, hanya beberapa kali aku tidur di bilik tu dan aku hanya banyak luangkan masa di ruang tamu.
Kejadian kedua sewaktu aku terperangkap dalam lift rumah sewa berseorangan. Waktu ni aku dah bekerja dan aku menyewa sendiri. Aku balik dari jumpa kawan-kawan dan waktu tu masih petang.
Aku tekan butang lift dan masuk seperti biasa. Aku sorang-sorang dan tak ada orang lain dalam tu. Entah kenapa lift tersangkut di tingkat 7. Rumah aku di tingkat 11.
Aku cuba tekan butang buka pintu, tapi tak ada apa berlaku. Lift di rumah aku ni jarang rosak jadi aku agak pelik kenapa kali ni lift tu tak bergerak. Lampu masih menyala. Aku cuba tekan-tekan butang interkom untuk bercakap dengan security tapi tak ada yang membalas.
Aku dah mula berpeluh-peluh masa ni. Bukan sebab panas tapi sebab aku rasa panic attack tu dah nak mula sampai. Aku tutup mata aku, aku genggam jari-jari aku dan cuba sedaya upaya untuk fikirkan benda lain. Aku tak nak fikirkan yang aku berada di tempat sempit sekarang ni.
Aku punya panic tu sampai nafas aku dah tercungap-cungap.. dalam 10 minit lift bergerak naik ke tingkat rumah aku.
Elok je pintu lift terbukak, aku berlari ke koridor rumah dan menarik nafas sekuat-kuatnya ibarat terlepas dari kena cekik. Pada aku, ini masih normal. Aku tak takut naik lift. Aku cuma takut kalau jadi macam ni lagi.
Sampailah ke kejadian terakhir di mana aku terlibat dengan trip melancong yang dianjurkan company aku bekerja. Kali ni aku dah berkahwin. Kira-kira kejadian ni berlaku lebih kurang beberapa bulan lepas. Memandangkan trip ini trip company, husband aku tak dapat ikut sama.
Trip kali ni adalah trip ke langkawi dan aku buat keputusan untuk tidak naik bas lawatan, tetapi naik flight. Aku beli seat sebelah tingkap untuk perjalanan pergi dan balik. Syukur Alhamdullilah perjalanan pergi tak ada apa-apa.
Sampailah ke perjalanan balik. Nak dijadikan cerita, ada satu insiden di dalam flight di mana ada seorang passenger yang bertengkat dengan flight attendant menyebabkan semua passenger lain kena stay di seat masing-masing walaupun flight dah landing dan docked in sebenarnya.
Agak lama juga sampai lebih kurang setengah jam. Punya bosan menunggu, sampaikan fikiran aku menerawang ke perkataan ‘claustrophobic’ tu. Entah kenapa tak semena-mena, nafas aku turun naik laju, tangan aku dah berpeluh-peluh.
Aku rasa macam nak panjat keluar dari seat aku, berlari ke pintu keluar. Tapi disebabkan aku duduk di tepi tingkap, bersebelahan pula dengan orang asing yang aku tidak kenal, dan kehadiran polis yang cuba menenteramkan passenger lain, keadaan seperti tak menyebelahi aku.
15 minit keadaan masih belum selesai. Aku tak semakin tak selesa. Aku dah bergerak-gerak sehingga kan menimbulkan ketakselesaan kepada orang sebelah aku. Tambah pula, dia lelaki. Mungkin dia tak selesa aku bergerak-gerak risaukan tersentuh pehanya.
Tapi disaat ni, aku dah hampir gila. Aku mengetuk-getuk seat aku, aku genggam phone aku, mata aku cuba melihat ke luar tingkap yang kecil. Aku pejam mata cuba alihkan perhatian.
Saat-saat ini aku betul-betul perlukan suami aku atau sesiapa sahaja yang boleh berbual dengan aku supaya aku tak terlalu hanyut dengan mainan minda aku.
Setengah jam berlalu, akhirnya aku dibenarkan keluar dari flight. Aku keluar tergesa-gesa dengan nafas yang tak cukup. Aku rasa lepas ni aku tak nak dah naik flight sendiri-sendiri. Aku rela drive jauh2 walaupun sorang-sorang.
Balik dari lawatan hari tu, aku ceritakan perkara ni kepada suami aku. Tapi aku hampa dengan respon yang diberikan. Seolah-olah ini hanyalah mainan minda aku, bukanlah sesuatu yang serius ataupun aku sekadar memperbesar-besarkan cerita.
Mungkin suami aku belum mempunyai kesedaran yang betul pasal claustrophobia ni. Aku hampa sampai tak nak bercerita lagi padanya tentang ini.
Jadi aku mohon pada pembaca-pembaca yang alami dan hadapi perkara yang sama dengan aku, ceritakan tentang simptom yang korang alami, apa yang harus dilakukan dan bagaimana nak halang perkara ni dari berlaku sebab aku seorang yang aktif.
Mempunyai satu phobia bukanlah perkara atau kelemahan yang aku rasa mudah untuk aku atasi. Terima kasih admin, terima kasih semua.
– Juli (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit