Untuk part I, (https://iiumc.com/diari-si-lelaki-songsang/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/diari-si-lelaki-songsang-ii/).
Salam Sejahtera buat para pembaca yang dikasihi sekalian. Diharapkan pembaca berada dalam keadaan sihat walafiat, dirahmati & bahagia di samping keluarga tercinta. Penulis kini sedang bercuti dan bakal menyambung semester kedua pada minggu hadapan.
Kalau ada yang masih ingat luahan kisah hidup penulis, jutaan terima kasih penulis ucapkan. Sebelum penulis memulakan confession izinkan penulis untuk bercerita sedikit mengenai diri penulis.
Penulis kini sedang menyambung pelajaran di sebuah institusi di Pahang, berumur 18 tahun, merupakan pejuang Social Anxiety Disorder & seorang lelaki yang mendepani masalah kecelaruan naluri.
Penulis enggan menyebut perkataan yang bermula dengan huruf G itu kerana sedikit sebanyak membuat penulis berasa terkesan & agak sedih.
Alhamdulillah setelah penulis berhadapan dengan pelbagai cabaran & tekanan, sebulan yang lepas penulis berjaya menamatkan semester pertama dan esok akan menerima keputusan peperiksaan akhir.
Sudah 2 kali penulis menarik diri daripada universiti, pertama di Selangor & kedua di Terengganu. Puncanya adalah Social Anxiety Disorder (salah satu penyakit kesihatan mental yang takut untuk berkomunikasi dengan orang ramai).
Sudah 4 tahun penulis diuji dengan penyakit ini tanpa sedar disebabkan sejarah hidup penulis. Pernah dibuli secara mental sewaktu zaman sekolah rendah & sekolah menengah termasuklah sifat pemalu yang tinggi sejak kecil & kurang pendedahan dengan suasana di luar.
Selepas beberapa bulan berjumpa dengan psikiatri & mengambil ubat, Alhamdulillah sedikit demi sedikit, hari demi hari penulis semakin pandai mengawal Anxiety.
Demi cita-cita & masa depan penulis membuat pilihan untuk berdepan dengan kehidupan di universiti. Sungguh bukan mudah untuk berhadapan dengan orang-orang yang cukup asing & terpaksa berjauhan dengan keluarga.
Penulis bukanlah seorang yang mudah mendapat kawan, jarang sekali ada yang ingin berkawan rapat & mendekati penulis disebabkan sifat yang introvert, kurang kemahiran berkomunikasi & selalu ketinggalan dengan peredaran zaman.
Ujian DASS yang menunjukkan skala depresi & anxiety penulis sangat menggembirakan. Semuanya berada pada skor sederhana berbanding sebelum ni yang Teruk/ Sangat Teruk.
Kehidupan di universiti ketiga sangat mencabar, Diperli, dipandang rendah & dipulaukan dah menjadi kebiasaan dalam hidup.
Mujurlah pensyarah-pensyarah penulis cukup memahami keadaan penulis terutama ketika berada di dalam makmal. Setiap kali berada dalam makmal, simptom-simptom Anxiety akan menyerang.
Contohnya rasa pening, loya, berpeluh, tangan menggeletar, sakit di belakang leher, sesak nafas & bingung sehingga arahan mudah pun penulis tak dapat faham.
Sungguh setiap kali latihan di makmal, penulis terasa cukup bodoh, lembab dan tak layak berada dalam jurusan yang diambil & mungkin tak sesuai berada di universiti yang rata-rata pelajarnya cerdik pandai.
Penulis banyak bersendirian di sana, bukan tak sudi berkawan atau sombong tapi jujur tak semua akan suka berkawan dengan penulis yang serba kekurangan & mungkin membosankan.
Setiap kali cuba menyesuaikan diri dalam kelompok/kumpulan tersebut, suasana akan cukup terasing buat diri penulis, kadang respond penulis langsung tak berjawab.
Penulis mati akal & akhirnya memilih untuk berdiam diri. Rasa lebih tenang & lebih baik berseorangan daripada terpaksa melalui fasa ‘awkward’.
Sungguh kehidupan di sana cukup membuatkan penulis berasa sunyi. Duduk di meja yang besar, tapi makan sorang diri dah menjadi satu rutin dalam kehidupan.
Rasa sangat kekok dan janggal pada mulanya dengan mata-mata yang memandang. Lama-lama semuanya terasa normal & tak memalukan. Alah tegal biasa.
Apa yang menakutkan & menyedihkan ialah berkaitan naluri yang tertarik kepada jantina yang sama. 2 hari lepas penulis pergi ke sekolah untuk mengambil sijil SPM yang baru dikeluarkan. Secara kebetulan penulis terserempak dengan seorang lelaki yang penulis sayang.
Maaf kalau ayat penulis buat pembaca rasa geli/ jijik. Tak dapat dinafikan perasaan yang penulis simpan selama 5 tahun ini salah & bertentangan dengan fitrah sebagai manusia.
Bermacam-macam cara penulis cuba untuk lupakan/ move on daripada ‘dia’. Pertemuan 2 hari lepas cukup memberi kesan kepada fikiran & hati penulis.
Hampir setahun kami tak berjumpa. Sungguh hina, jijik & kotor diri penulis pada pandangan dia sehingga kelibat penulis pun tak mahu dipandang.
Terasa kaku & tak mampu bergerak tapi penulis tetap memaksa diri untuk pusing ke belakang walaupun hati tetap degil & meronta ronta untuk memandang orang yang sudah lama penulis rindu.
Tak lama lepas tu, dia duduk dekat pondok yang berhampiran dengan tempat penulis & rakan-rakan berkumpul. Rasa sedikit terganggu. Jujur hati ini rasa sangat rindu seolah-olah mahu memberitahu & memeluknya.
Penulis sedar diri dengan kekurangan diri langsung tak setanding dengan ‘dia’. Seharian diserang dengan perasaan sedih tapi terpaksa menutupnya di depan keluarga & rakan-rakan. Lelaki tu bekas guru penulis.
Ya, guru. Selama hampir setahun, penulis fikir perasaan ni semakin tawar/ hilang tapi pertemuan 2 hari lepas buat penulis sedar yang penulis masih belum ‘move on’ sepenuhnya.
Hari-hari penulis merayu, meminta dengan Dia untuk buang & campak perasaan yang tak sepatutnya penulis simpan. Hati tak dapat dipaksa. Walau apa yang jadi, penulis takkan ganggu hidup ‘dia’. Cukuplah kesilapan penulis yang pernah membuat luahan kepada ‘dia’.
Penulis tak meletakkan harapan yang tinggi untuk sembuh dari kecelaruan naluri tapi cukuplah sekadar tak menyimpan perasaan kepada seorang lelaki. Semoga dia sentiasa bahagia dunia akhirat bersama pilihan hati. Aamiin Allahumma Aamiin.
InsyaAllah beberapa minggu lagi penulis akan meneruskan rawatan dengan psikiatri. Doakan diri penulis diberi kekuatan, ketabahan untuk berdepan dengan masalah kecelaruan naluri yang semakin hari semakin kuat.
Demi Allah penulis berasa sangat takut, penulis bimbang 1 hari gagal untuk kawal diri. Nauzubillahiminzalik. Setiap hari dihantui dengan perasaan bersalah & takut bukanlah satu perkara yang mudah.
Penulis tersepit antara kehendak hati & hukum agama. Penulis sedar kehendak hati akan memusnahkan diri penulis. Takkan tercapai kebahagiaan tanpa Redha Allah. Itu sudah pasti. Semoga penulis dapat bertahan menempuh kehidupan di universiti sehingga mendapat segulung ijazah.
Harapan penulis hanyalah untuk membanggakan ibu & ayah. Terlalu banyak benda yang penulis kecewakan lagi-lagi berkaitan naluri penulis yang mereka sudah tahu.
Terima kasih admin & pembaca kerana sudi meluangkan masa untuk membaca luahan penulis yang banyak kekurangan ini. Semoga confession ini sedikit sebanyak menjadi tauladan buat pembaca.
Nasihat penulis, janganlah kita terlalu membenci sehingga golongan LGBT dipulaukan. Sungguh kebanyakan daripada kami sedang terseksa berjuang & sangat sedih sewaktu sedar dengan kecelaruan naluri yang dialami.
Rasa benci yang membuak-buak dalam diri sehingga penulis tak dapat menerima diri sendiri. Kami hanya perlukan kata-kata sokongan dan ‘tangan-tangan’ masyarakat di luar untuk keluarkan kami daripada kesempitan hidup ini. Terima kasih atas kata-kata sokongan kalian :)
– Mr H (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit