Dicabul dan Tercabul

Assalamualaikum. Hi semua pembaca,aku perkenalkan diri aku sebagai Ceci, berusia 30 tahun, sudah pun berkahwin dan merupakan ibu kepada 4 orang cahaya mata comel.

Coretan yang aku mahu kisahkan di sini adalah pengalaman sebenar aku sebagai seorang mangsa cabul.

Aku dicabul pertama kalinya di usia 5 tahun. Umur yang sangat naif. Macam mana boleh berlaku? Yang perlakukan aku sebegitu ialah orang yang sangat-sangat mak dan abah aku percaya; abang-abang sepupu aku.

Aku anak tunggal. Jadi aku menumpang kasih rasa ‘adik-beradik itu pada keluarga sepupu-sepupu aku.

Sangkaan aku, disebabkan adik-beradik sepupu-sepupu aku ni semuanya lelaki, jadi mereka menatang aku dengan penuh sayang dan itulah bahasa sayang mereka kepada aku.

Rupanya harapkan pegar, pegar makan padi. Aku bahasakan abang-abang sepupu aku; Abang Long, Abang Ngah dan Uda.

Kisah ini bermula ketika aku berumur 5 tahun, Abang Long datang ke rumah. Hari tu cuti sekolah akhir tahun.

Adik-beradik Abang Long ni ramai. Biasanya kalau dia rimas dengan hiruk-pikuk dalam rumah dia, dia akan lari ke rumah aku. Mak aku mengalu-alukan saja, anak saudara sendiri kan. Masa tu, mak di dapur.

Kami di ruang tamu. Awal tahun 2000an, setiap rumah boleh dikatakan mesti ada pemain dvd kan? Abang Long ajak tengok movie (cerita barat).

Dia yang pilih dan aku layankan je lah. Sampaii kat babak intim kat layar televisyen tu, tangan dia meraba habis kat badan aku.

Dia cium-cium aku dan dia sempat pesan, “jangan cerita kat mak tau apa yang Abang buat ni”.

Beza aku dah Abang Long 5 tahun je. Apa yang dia suruh, aku turutkan je lah. Aku pun fikir, Abang Long sayang aku dan aku rasa selamat dengan dia. Cerita situ habis situ dan aku tak pun cerita ke mak aku.

Umur aku 6 tahun, aku dikejutkan dengan pekikan mak marah-marah didapur di suatu petang. Masa tu aku tengah ralit bermain di halaman rumah bersama kawan-kawan kampung lain. Tiba-tiba rasa haus sangat, berlarilah aku masuk ke dapur untuk hilangkan dahaga.

Terkejut aku bila tengok mak aku marah Abang Ngah gila-gila. Rupanya, Abang Ngah mengendap mak aku mandi. Habis semualah si Ngah tu nampak. Mak aku tu mak cik dia sendiri tau. Masa tu umur Abang Ngah 10 tahun.

Masa mak aku ceritakan kat aku apa yang Abang Ngah buat tu salah, aku sangat-sangat tak dapat terima apa yang Abang Ngah buat dan aku jijik dengan dia sampailah hari ini.

1000001 rasa dalam kepala masa tu. Rasa macam aku kecil lagi untuk tahu benda-benda begini dan sepatutnya aku tidak layak untuk tahu. Aku tak boleh terima dan sukar untuk aku lupakan benda ini.

Umur aku 8 tahun, kisah aku dicabul dengan Uda pula bermula. Hari tu hari Ahad, usai kami sama-sama siapkan kerja sekolah bersama-sama, kami terlelap di ruang tamu. Terjaga saja dari tidur, aku dengar suara mak aku marah Uda. Aku terpinga-pinga.

Rasanya tadi buat kerja sekolah sama-sama, apa Uda dah buat? Rupanya, Uda raba aku masa tidur dan selak seluar aku untuk intai seluar dalam aku.

Lepas tu lagilah aku blur, seronok ke raba-raba? Raba-raba untuk apa? Aku takde perasaan marah kat Uda langsung mahu pun serik.

Tahun-tahun kemudian tu, banyak kali jugalah Mak Cik aku (Mak kepada abang-abang sepupu aku) datang ke rumah untuk pulangkan seluar dalam aku. Sebab? Uda yang curi.

Mak Cik aku minta maaf macam nak apa. Dan banyak lagi kisah yang terjadi, tapi tak larat lah aku nak menaip.

Kalian nak tahu, bila aku sedar sebenarnya aku telah dicabul? Setelah aku punya 3 orang anak. Lambatkan? Sangat lambat.

Aku tak tahu sebenarnya apa yang aku lalui itu adalah satu bentuk pencabulan. Aku tak tahu sentuhan selamat, aku tak tahu bagaimana nak defend diri sendiri, aku tak tahu nak larikan diri,dll.

Sebab pada mak abah aku, kalau dah namanya sepupu kan dah macam adik-beradik sendiri. Aku tak tahu adakah abah aku tahu anak dia ini pernah dicabuli oleh anak saudaranya? Aku tak tau apa tindakan mak abah aku samapai berkali-kali ia berulang jadi ke aku?

Aku jadi tahu setelah aku ikuti kempen-kempen Akhi Fairuz, aktivis pendidikan seksual kanak-kanak di medium Facebook. Pada aku, kisah aku ini tidak mengerikan sangat berbanding kisah-kisah lain di luar sana.

Tapi kalau dah namanya dah kena cabul, sedikit sebanyak akan beri kesan pada psikologi mangsa. Bayangkan pula bagaimana nasib kanak-kanak yang telah digroom dengan seks seawal usia?

Mereka naif dan pasti menganggap perbuatan cabul itu adalah benda yang normal. Bayangkan apa jadi bila kanak-kanak itu menginjak remaja jika lamabt sedar?

Macam-macam boleh jadi; ketagihan s3ks, ketagihan p0rnografi, phones3x, bertukar-tukar gambar lucah dengan orang tidak dikenali, dll.

Sedikit pesanan dari aku yang juga merupakan seorang ibu yang mempunyai anak gadis dan teruna:

1. Carilah ilmu keibubapaan terutama pendidikan seksualiti anak-anak. Ajar anak sentuhan selamat, ajar anak tutup aurat, ajar anak batas hubungan lelaki-perempuan walaupun adik-beradik kandung dan banyak lagi.

Jika belum bersedia punya anak, rancanglah betul-betul. Jangan anggap taboo sangat bila anak ada rasa ingin tahu tengan bahagian sulit mereka. Terangkan dengan ilmu.

2. Asing tempat tidur. Berasinglah tempat tidur kalian wahai ibu bapa dari anak-anak kalian. Jangan jadi optimistik bias sangat.

Berhubungan kelamin suami-isteri di bilik adanya anak-anak tidur, anda begitu yakin yang anak-anak anda tidak nampak setiap aksi ghairah anda?

Kalau nampak? Children see, children do. Ibu ayah adalah role model setiap anak. Pastilah anak-anak akan buat apa yang ibu ayah mereka buat. Kalau anak-anak nampak, mereka buat kepada kawan-kawan sebaya atau adik kecil mereka, tak menyesal kita sebagai ibu ayah?

3. Rancang keluarga. Rancanglah keluarga dengan baik. Anak ini hadir sebagai amanah. Setiap inci berkaitan dengan anak adalah amanah termasuklah aurat mereka.

Baik anak lelaki atau pun perempuan. Asingkanlah tempat tidur mereka, sediakan ruang privasi untuk mereka menukar pakaian dan juga ruang privasi ibu ayah. Jangan sampai hak aurat mereka, kita cabuli dalam tidak sedar.

4. Dengari dan percayakan anak sendiri. Kalau anak-anak mengadu itu ini, dengarlah betul-betul. Walau kadang aduannya penuh hikayat, pasti ada yang tersirat. Apatah lagi kalau anak-anak mengadu berkaitan maruahnya?

‘Bawah kakak sakitlah mama, abang jolok dengan jari..’ ‘Abang cium-cium kakak,,kakak tak suka!’ Boleh kita tak pedulikan? Kalau kita tak percayakan anak-anak kita, siapa lagi mereka nak bergantung percaya?

5. Pegangan agama. Hiduplah dalam suasana agama dan ajarkan anak dengan adab-adab. Anak-anak nak masuk bilik ibu ayah pun ada waktu, bukan sembrono boleh masuk.

Ajarkan anak-anak dengan siapa boleh salam, siapa tak boleh menjelang masing-masing menuju usia akhil baligh. Dan asasnya semua kembali kepada pegangan agama.

Keluarga aku dulu semborono juga. Mak cik aku menyusukan anak depan bapak aku selamba dia je selak gitu.

Lepas mandi, baik aku atau mak aku relaks je berkemban kain batik depan abang-abang sepupu aku/ ipar/ biras dia.

Dulu nak bertudung depan sepupu sangatlah janggal. Bertudung tu perlu bila keluar je. Allahu akbar. Astaghfirullahhh.. Tak hairan kalau sana-sini boleh jadi macam-macam kes cabul, sumbang mahram, dll.

Dan wahai lelaki, berperananlah. Jagalah baik-baik setiap wanita kalian. Isteri, anak, ibu, saudara perempuan kalian.

Mana yang baik dari kisah aku ni, ambillah jadikan tauladan. Yang buruk jadikan sempadan. Sesungguhnya yang baik datangnya dari Allah. Yang buruk datang dari diri aku, hamba Allah yang sangat faqir.

Aku mohon maaf kalau penulisan agak kasar untuk sesetengah orang baca. Minta maaf untuk segala kekurangan. Wasalam.

– Ceci (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *