Hari-Hari Terakhir Insan Yang Dimuliakan

Kami sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan di sebuah negeri. Dalam keadaan Covid-19 sedang melanda dunia, kami tidak merancang untuk pergi melancong hanya sekadar berjalan-jalan di sekitar bandar tersebut. Undangan itu kami penuhi kerana memang sudah berjanji dari awal lagi.

Pada kesempatan itu juga, kami sekeluarga menziarah Mr. Al. Beliau ialah kenalan keluarga sebelah suami. Saya secara peribadi tidak rapat dengan mereka. Tidak berapa kenal.

Selalunya mak mertua yang selalu bercerita dan pasti akan menziarahi keluarga Mr. Al jika dia datang ke bandar ini. Mereka sahabat yang akrab.

Kami tahu Mr. Al sakit. Jadi kami tidak bercadang untuk berlama-lama di rumahnya. Sakit Mr. Al ini adalah sakit kronik yang tidak biasa didengar. Rawatan yang diterima ialah kimoterapi dan tambah darah apabila darah berkurangan. Dia sudah sakit selama beberapa tahun.

Kedatangan kami di sambut oleh Mr. Al suami isteri. Dia kelihatan lemah dan pucat, namun sebaik mungkin melayani kami sebagai tetamu.

Terasa keramahan dan perbualan berlaku dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Bagai telah lama tidak berjumpa. Dia juga menyatakan ini perkenalan kami (saya dan beliau) yang pertama.

Mr. Al seorang usahawan yang berjaya. Dia dikenali oleh ramai orang. Rumahnya besar, menempatkan keluarga besar beliau – anak dan menantu tinggal bersama.

Pertemuan itu membawa kepada suatu urusan antara saya dan Mr. Al. Urusan ini dipersetujui bersama dengan disaksikan oleh suami saya dan isteri Mr Al serta ahli keluarganya. Selesai pertemuan, kami terus berangkat pulang ke Selangor.

Akhir SEPTEMBER 2020

Mr. Al datang ke hospital di Kuala Lumpur untuk rawatan. Saya dan suami bertemu dengan beliau serta isteri. Dia menetap di hotel. Saya mengagak kami berjumpa sahaja di biliknya untuk memudahkan dia berehat. Rupanya tidak,dia mengajak kami minum petang.

Kami berbual seolah-olah kawan lama datang bercuti. Dapat dilihat, kemesraan mereka dan terlihat susuknya yang segak walaupun jalannya agak perlahan.

Dia bercerita, hanya waktu itu sahaja yang dapat diluangkan berjumpa kami kerana esok dia akan menjadi wakil merisik untuk anak seorang sahabat. Beliau dan keluarga mempunyai aktiviti yang padat kerana banyak urusan perlu diselesaikan di Kuala Lumpur.

Setelah itu, kami hanya berkomunikasi melalui telefon. Walaupun sakit, aktiviti beliau penuh dengan menerima tetamu saban hari dan juga melakukan perbincangan online ketika perlu. Apabila tidak larat, beliau akan berehat dan tidur. Kadang kala beliau keluar untuk mengambil angin luar.

Perbualan kami berlaku hampir setiap hari, kadang-kadang panjang, kadang-kadang ringkas. Selalu diselitkan nama-nama anak-anak dan ahli keluarga yang lain, sebagai perkongsian cerita.

Aktiviti hariannya banyak berkisar tentang kerja dari rumah dan apa yang dipelajari dari kesakitan yang dideritai.

Walaupun kadang kala ia diulang beberapa kali, namun ia tidak menjemukan. Ia penuh dengan rasa redha, tidak mengeluh dan sabar.

Nyata dia seorang bapa yang sangat menyayangi seluruh keluarganya. Saya banyak mendengar. Saya tidak mahu dia kepenatan untuk berlawan-lawan cakap lama-lama dengan saya.

Minggu ke 2, OKTOBER 2020

Mr. Al dan keluarga datang lagi ke Kuala Lumpur. Kali ini menaiki pesawat dengan membawa hampir semua ahli keluarganya kerana menghantar kepulangan seorang anak ke luar negara.

Sejurus tiba di sebelah pagi, dia pergi menziarah ibu yang berada di rumah salah seorang adik beradiknya. Barulah saya tahu Mr. Al masih mempunyai seorang ibu.

Pada sebelah petang yang sama, kami bertemu sebentar di lobi hotel. Ketika itu, Mr. Al menyatakan sedihnya dia melihat keadaan ibunya. Katanya ‘Emak nampak lain. Lain sangat’ “Emak macam tak kenal saya”

Lantas dia bercerita perasaan sedihnya melihat mak begitu. Saya mengagak emaknya mungkin sakit tua kerana sudah lanjut usia. Seperti biasa, saya banyak mendengar membiarkan sahaja dia bercerita.

PENGHUJUNG OKTOBER 2020

Mr. Al ke Selangor. Menziarahi ibu. Ketika saya telefon pagi itu dia sedang dalam perbincangan bersama seseorang.

Esoknya baru saya tahu, Mr. Al ke Selangor balik hari. Perjalanan balik hari ini bermula pukul 3 pagi dan Mr. Al sekeluarga pulang sejurus selesai urusan menziarahi ibunya. Jauh beratus km. Bukannya dekat.

Tentu urusan ini sangat penting hingga mereka sanggup merentas negeri semata-mata untuk menziarah emak.

Dua hari kemudian saya diberitahu tujuan mereka ke Selangor adalah untuk berbincang supaya emak dibawa pulang ke negeri Mr. Al untuk mendapatakan rawatan. Emak perlukan rawatan yang khusus di hospital.

Mr. Al akan uruskan urusan kemasukan kerana Mr. Al kenal beberapa orang yang boleh memudahkan urusannya.

Bawalah mak pulang. Mr. Al akan uruskan kebajikan mak. Lagipun Selangor sedang PKPB, sukar untuk orang ziarah mak. Adik beradik lain ramai berada di negeri sama dengan Mr. Al. Bawalah mak segera. Begitulah katanya kepada saya.

Benar, mak dibawa merentas negeri terus ke hospital yang dicadangkan oleh Mr. Al. Kemudian dipindahkan ke hospital awam untuk rawatan susulan. Doktor cadangkan pembedahan segera. Mr Al berurusan dengan doktor dan berbincang bersama adik beradik.

Emak selesai dibedah. Rupanya ada sesuatu yang menyebabkan mak tidak dapat bercakap. Mak tidak dapat berkomunikasi. Entah-entah mak sakit. Semua orang tak tahu. Sedihnya kalau benar begitu. Mungkin mak derita dalam diam.

‘Mr. Al berpuas hati. Mak ada di sini. Inilah keputusan yang sangat tepat bagi saya.’ luahnya.

Minggu itu, saya merasai betapa gembiranya Mr. Al kerana dengan segala kesukaran, PKPB, kesakitan dan SOP untuk lawatan ke hospital, semuanya Mr. Al dapat laksanakan.

Doktor sentiasa berhubung dengan Mr Al. Katanya dia sudah biasa berurusan dengan doktor, biarlah dia yang menjadi perantara antara doktor dan ahli keluarga. Minggu itu memang minggu yang sangat sibuk.

‘Jaga diri dan kesihatan, Mr. Al’ pesan saya.

NOVEMBER 2020

Minggu berikutnya Mr Al tidak berapa sihat. Perbualan kami ringkas.Katanya, beliau sakitdi perut. Sakit ulu hati dan sakit dada. Satu pagi Mr Al memberitahu saya, dia mahu ke hospital. Dadanya terlalu sakit dan sepanjang malam tidak dapat tidur.

Itulah perbualan terakhir saya bersama Mr. Al.

Dia mendapat rawatan di hospital. Menurut isterinya, keadaannya serius. Beberapa hari selepas itu, Mr. Al dilaporkan tenat. Saya tidak menjangkakan begitu serius keadaannya hingga pada pertengahan November,Mr Al dijemput Ilahi.

PENUTUP

Ramai orang datang menziarah dan menyembahyangkan jenazah. Khabarnya bagai solat Jumaat. Walaupun ketika itu sudah malam.

Ramai yang menyebut-nyebut kebaikan Mr. Al terutama sekali hebatnya dia dalam menyambungkan hubungan silaturaahim dan banyaknya dia bersedekah.

Begitu juga dengan akhlaknya yang disenangi dan dikenali oleh ramai orang.

Setelah hampir sebulan, saya merenung kembali hikmah dalam peristiwa ini.

Saya ini bukanlah keluarga Mr. Al, bukan juga kenalan rapat bagi beliau. Jauhnya kami beratus km jaraknya. Namun pada hari-hari terakhir beliau, kami dipertemukan dengan satu urusan di luar jangkaan.

Saya diberi peluang untuk lebih kurang dua bulan untuk melihat bagaimana Allah menyusun urusan hambaNYA dengan susunan yang sangat sempurna.

Saya di takdirkan berjumpa dengan Mr. Al dalam keadaan tidak dirancang, kemudian diberikan satu urusan dan kerana itu saya diberi kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan seorang usahawan yang diuji dengan sakit menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Dalam kesakitan dan kepayahan, dengan wuduk yang kerap terbatal diambil berkali-kali untuk mendirikan solat dengan sempurna. Sangat menjaga solat. Khabarnya waktu sihat, solatnya akan dilaksanakan berjemaah di surau.

Menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Sentiasa bersama isteri. Sentiasa meletakkan keperluan isteri keutaamaan. Sering bercerita tentang anak-anak. Dari anak kecil hingga kini anak sudah dewasa dan berkahwin. Nampak keakraban bersama anak-anak.

Tutur katanya perlahan, muka yang manis dan sangat menyenangkan siapa pun yang berada bersama. Kata-katanya tidak sia-sia. Dalam kelembutan ada ketegasan. Ada ketelitian dan sering bertanya untuk memastikan kebenaran.

Bekerja dengan beliau bukan suka-suka mengisi masa. Perlu cekap, berilmu dan segera.

Pernah berpesan dengan saya, hubungkan silaturahim, ALLAH akan ampunkan dosa dan murahkan rezeki kita.

Mr. Al juga masih bekerja di rumah. Melayani tetamu yang hadir ke rumah dan menghadiri mesyuarat dalam talian. Ketika di Kuala Lumpur masih sempat menghadiri mesyuarat dan masih sanggup menjadi wakil merisik untuk anak seorang sahabat.

Paling Utama, kesungguhan berbakti pada ibu dapat disempurnakan dengan baik sekali walaupun, Pada ketika yang agak mustahil untuk melakukan apa-apa,

Dengan dirinya yang sakit, Dengan suasana PKPB yang memerlukan banyak SOP dan norma baru, Serta ibu yang sudah berumur melewati 90 tahun

Boleh sahaja dia berlepas tangan tidak melakukan apa-apa. Tetapi dia memilih untuk berbuat sesuatu.

Mr. Al mahu pastikan ibu mendapatkan rawatan berhampiran dengannya agar mudah untuk dia memastikan kebajikan ibu. Bersungguh-sungguh menziarah ibu yang jauh dan berbincang untuk mendapatkan persetujuan ahli keluarga yang lain.

Ia pastinya bukan mudah, tentu sahaja ada kos dan orang yang mesti bertanggungjawab di atas keputusan ini. Dia tidak marah-marah. Tidak juga mencari salah.

Jika kebiasaannya orang yang sakit kronik, akan menghabiskan akhir hayat mereka dengan keluar masuk hospital, atau terlantar tetapi Mr Al melalui satu fasa dimana beliau menyempurnakan banyak tugasan-tugasan penting dengan sempurna sekali. Malah beliau tidak menyusahkan. Beliau menyenangkan.

50 hari terakhir beliau berada di rumah bersama ahli keluarga. Benar, beliau sakit tetapi tidak terlantar. Masih boleh berbincang, membuat keputusan, dan bertindak melaksanakan perancangan. Dia tidak sekadar berserah.

Saya melihat, inilah rezeki yang ALLAH berikan. Bahawa setelah selesai urusan ibu, maka ALLAH memanggilnya pulang, dengan keadaan yang mulia.

Mungkin ahli keluarga atau kawan-kawan tidak perasan apa yang telah berlaku 60 hari sebelum pemergian beliau.

Maka saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya berkongsi dengan semua orang, bahawa Mr. Al, mendapat kesempatan masa yang luar biasa dan memanfaatkan masa itu dengan cara yang luar biasa juga.

Kematian ini memang menyedihkan dan meninggalkan kerinduan. Kematian tidak akan cepat atau lewat sesaat. Maka belajarlah, ambillah iktibar untuk sentiasa hidup dengan keadaan berbuat kebaikan untuk mendapat redha ALLAH semata-mata.

Semoga kisah ini memberi iktibar kepada kita semua.

Kepada seluruh ahli keluarga Mr. Al, saya mohon maaf di atas segala kesalahan.

Adakah kita juga ketika ini sedang berada dalam hari terakhir sebelum dijemput pulang?

Al-Fatihah…

– SAYA YANG MENJADI SAKSI (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *