Perkongsian ini aku buat agar tidak ada lagi yang menjadi mangsa janji-janji manis pusat pelangsingan badan.
Aku antara yang terpedaya. Termakan janji manis mereka yang menaburkan harapan untuk mendapatkan tubuh badan yang langsing.
Pada mulanya aku sekadar datang untuk mencuba kerana diberikan baucer hari lahir.. Rasa seronok ketika awal datang, disambut dengan begitu baik dan terus diberi pakaian untuk disalin..
Selepas itu datang seorang pekerjanya untuk mengukur badanku.. aku masih lagi teruja ketika itu..
Namun semuanya bertukar kelat apabila aku dibawa masuk ke sebuah bilik bertutup rapat dan telah disuakan dengan pakej pelangsingan berharga ribuan ringgit..
Jenuh aku menolak tetapi konsultan itu tetap berusaha untuk mendapatkan persetujuan aku.. Bayangkan dalam tempoh 2 jam aku diasak dan diminta untuk bersetuju dengan pakej mereka..
Aku jadi semakin letih kerana tidak makan dan minum sebelum masuk ke pusat ini.. dan akhirnya aku bersetuju juga kerana aku nak cepat keluar dari perbincangan itu..
Sejurus sahaja aku setuju, pantas pekerja nya terus membawaku ke bilik rawatan.. ketika itu aku hanya ingin berehat kerana letih dan sedih memikirkan duitku yang terbang melayang..
Aku sangkakan hanya di situ.. tetapi rupanya aku ditekan sekali lagi untuk membuat pembelian produk serum mereka.. dengan janji mengatakan produk ini lebih mempercepatkan proses menghancurkan lemak di bahagian2 bermasalah..
Puas aku menggelengkan kepala namun dia terus-terusan memujuk aku dalam keadaan aku masih terlentang tanpa pakaian yang lengkap.. dan akhirnya aku mengalah..
Keseluruhan harga pakej yang ku ambil hampir mencecah RM7000..
Aku sedih dan kecewa yang teramat sangat.. kerana aku tak berjaya untuk mengelak dan bodohnya aku kerana tidak terus berkeras dengan keputusan awalku..
Dan kini aku menanggung beban hutang yang padaku hanyalah sia2 sahaja.. terlalu besar jumlah ini padaku..
Nasihatku pada semua wanita di luar sana, usah jejakkan langsung kaki ke mana2 pusat pelangsingan pun waima diberi baucer dan tawaran harga yang murah.. itu semua hanyalah tipu muslihat yang akhirnya membuatkan diri kita yang merana..
Biarlah badan tidak langsing sekalipun, asalkan hati tidak dirundung sesal..
Aku yang menyesal,
– Ana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit