Assalamualaikum semua. Pertama sekali, terima kasih admin yang sudi menyiarkan perasaan yang terbuku dalam hatiku hari demi hari. Aku perkenalkan diri aku, nama aku G, aku berasal dari selatan tanah air.
Sekarang aku masih bekerja dalam sektor kerajaan, dalam bidang kesihatan dan menunggu giliran untuk habiskan kontrak yang terakhir dan mungkin juga bakal tidak mempunyai pekerjaan.
Untuk pengetahuan, aku bekerja dalam bidang kritikal bahagian kesihatan. Dan untuk pengetahuan semua pembaca, bidang kesihatan sekarang sangatlah menyedihkan kerana kami semua dimasukkan secara kontrak.
Bidang ini termasuk doktor, ahli farmasi, dentist dan juga jawatan bagi bidang kesihatan yang lain.
Mungkin sesetengah pihak berpendapat bahawa “chill beb, semua kerja sekarang kontrak”. Walhal, mungkin mereka tidak tahu bahawa kami tidak akan boleh memperbaharui kontrak setelah kami tidak mendapat jawatan tetap.
Dalam erti kata lain, bila keluar keputusan tidak dapat tetap, kami akan ada satu tahun terakhir (bagi bidang farmasi) bersama kerajaan dan selepas itu, kami diwajibkan keluar dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Paling menyedihkan, kepada sesiapa yang mendapat tajaan semasa belajar dahulu juga dianggap telah melaksanakan tempoh khidmat wajib dan tidak akan dinilai semula untuk serap masuk di dalam kerajaan.
Baru baru ini, pabila Covid melanda, kami yang tidak dapat jawatan tetap diberikan penyambungan kontrak dalam tempoh 6 bulan.
Bukan tidak bersyukur, tetapi bukan ini yang kami mahu. Sampai bila harus menunggu sesuatu yang tidak pasti, sedangkan kami mempunyai banyak komitmen terutamanya kepada mereka yang sudah bekeluarga.
Belajar bidang perubatan sudah memakan masa hampir 4-5 tahun, setelah itu menghabiskan tempoh percubaan atau housemenship (HO) bagi doktor dan PRP (Pre-Registered Pharmacist) bagi pharmacist juga telah memakan masa berapa tahun, tidak termasuk khidmat wajib.
Akhirnya, pada umur kami 28-29 tahun, kami terpaksa mencari pekerjaan baru dan terpaksa meninggalkan pekerjaan kami sedangkan kami boleh menambahkan segala ilmu dan pengalaman dan juga dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dari semasa ke semasa.
Selain itu, sistem kontrak yang mementingkan sistem permarkahan yang mungkin berat sebelah juga boleh terjadi kerana markah diberikan oleh fasilii.
Contohnya, mungkin fasiliti A mengganggap markah 85 peratus adalah yang paling tinggi, walhal di fasiliti B meletakkan 85 peratus markah adalah yang paling rendah. Akhirnya, ramai pegawai kontrak di fasiliti A mendapat jawatan tetap .
Kesannya, yang tidak dapat markah yang tinggi semua dilabel sebagai “not the best talent”
Walhal mungkin semua orang tidak mengetahui bahawa dalam kalangan kami semuanya mempunyai perkhidmatan yang terbaik dan tidak sesekali mempunyai masalah disiplin atau dikenakan tindakan tatatertib.
Disamping itu, ramai juga memberi pendapat bahawa, “ok la korang boleh pergi swasta, gaji lagi masyuk”.
Untuk pengetahuan korang, berapa banyak sektor swasta sekarang yang meletakkan gaji yang rendah pada gaji doktor dan ahli farmasi kerana mereka tahu bahawa terlalu ramai golongan kami yang akan tidak mempunyai pekerjaan dan persaingan yang sengit.
Mereka juga menjadikan situasi kritikal sekarang sebagai tiket untuk merendahkan gaji sedangkan beban kerja tetap tinggi.
Ditambah lagi, satu fasiliti ataupun company swasta selalunya akan menawarkan jawatan kosong untuk 1-2 orang sahaja kerana mereka hanya mahu menggunakan lesen kami.
Sebab itu mengapa korang lihat banyak sektor perubatan swasta padahal korang tidak tahu yang ditawarkan cuma untuk satu jawatan sahaja. Contohnya, baru baru ni aku ada mohon utk jawatan pharmacist di sebuah hospital swasta.
Kekosongan hanya ada satu padahal korang boleh tengok terdapat 200 lebih orang mohon untuk jawatan yang sama.
So, boleh bayangkan kritikalnya kami untuk mencari kerja? Ini juga tidak termasuk syarikat atau hospital swasta yang mendahulukan golongan yang berkebolehan dengan bahasa tertentu.
Ini yang paling kecewa bagi aku sedangkan Malaysia adalah satu negara yang berbilang kaum, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia.
Dengan meletakkan “sesuatu” bahasa lain setanding dengan dua bahasa utama ini, bagi aku bukan kewajipan.
Aku juga paham situasi pandemik sekarang ramai juga hilang punca. Jujur aku bersyukur masih ada pekerjaan walaupun akan berakhir juga nanti.
Cuma aku terkilan dengan perkataan “ not our best talent”. Bagi aku, istilah tu boleh diungkapkan kepada orang yang tidak lakukan perkhidmatan yang terbaik dan mempunyai masalah tatatertib, bukan kepada kami yang sudah lakukan yang terbaik.
Aku sendiri melihat ramai kawan aku yang berpontensi untuk pergi jauh dalam kerajaan, dan amatlah rugi sekiranya kerajaan tidak dapat menyerap semula semua yang diberhentikan.
Mereka juga tidak tahu berapa ramai kami yang sekarang mempunyai masalah kesihatan mental tiap kali memikirkan masa hadapan kami kelak dan dalam masa yang sama terpaksa akur meneruskan pekerjaan yang kami tahu pada akhirnya bakal berakhir.
Jujur, aku bukanlah tidak menggunakan medium sebenar untuk berkata kata. Sudah banyak rintihan, cadangan dan usaha dilakukan untuk memastikan kebajikan staff kontrak, tapi aku tidak nampak satu pun benda yang positif hadir.
Ini tak termasuk isu penolakan elaun kritikal, pemansuhan sistem bersara dan sebagainya. Ramai tidak dapat luahkan rasa oleh kerana kami dalam bidang professional dan tak ramai yang mampu menulis di media sosial kerana ingin menjaga periuk nasi masing masing.
Apa gunanya diperahkan semampunya semasa kontrak, walhal sudah habis masa, tidak dipertimbangkan dan biarkan pergi begitu sahaja.
Ini tak termasuk lagi penyerapan semula tetap masih bergantung kepada pemarkahan HO/ PRP, sedangkan markah SKT tahunan pada waktu selepas HO/ PRP yang tinggi langsung tidak diambil peduli.
Nothing much to say, korang doakan semoga urusan kami semua dipermudahkan lagi lagi dalam urusan mencari pekerjaan tetap. Bukan mudah untuk kembali pada permulaan setelah sekian lama berkhidmat dalam sektor kerajaan.
Doakan juga semoga rintihan kami didengar agar kami akan dapat terus berjuang untuk mendapatkan tempat di sektor kerajaan dan dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada korang semua.
Jujur, aku sayang pekerjaan aku sekarang kerana aku tak nak berkhidmat dengan memikirkan soal keuntungan apabila di sektor luar.
Doakan kami juga supaya sentiasa ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa ada rasa menyesal dan kecewa. Terima kasih kepada yang sudi membaca. Sekian, terima kasih.
“Kenapa bidang perubatan yang penting dikontrakkan sedangkan kami bukannya sempat minum kopi ataupun keluar sebentar untuk lepak sedangkan pesakit dihadapan mata. Renungkan”
– G, not your best talent (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit