Teguran Untuk Penulis-Penulis Self-Publish

Ini hanyalah teguran dari aku, seorang pembaca kepada penulis-penulis swaterbit di luar sana yang dah berdebuk-debuk bukunya dan mungkin bestseller tak henti-henti, dan termasuk penulis-penulis Wattpad yang swaterbit ebook.

Aku ini, tak adalah layak mana pun nak menegur. Pembaca je pun. Bukannya penulis. Dan aku takdelah nak komen soal cerita ke, mutu karya ke, jalan plot ke blablabla sebab aku rasa dah ramai kut yang bebel pasal benda itu.

Dan, aku pun tak ada masalah dengan karya tempatan. Klise tak klise, aku sauk je semua. Semua best. Lantaklah mak mertua jahat ke, kahwin paksa ke, ceo kaya raya ke.

Cuma aku tak berkenan dengan trend swaterbit ebook sesetengah penulis. DARI SEGI TEKNIKAL.

Aku faham, ebook ini murah. RM10-RM15. Adalah kadang tu RM20 dan keatas walaupun jarang. Bagi aku, dah murahlah tu range 10-15 tu. Takkan aku nak minta RM5 pula, kan?

Yang aku tak berkenan itu, bila aku rasa macam ‘terperdaya’ bila beli ebook swaterbit ni tau. Sebab apa? Teknikallah.

Ya Allah, layoutnya…. Selalu buat aku berzikir.. Spacing dah separit, pakai 2.0 double spacing. Font saiz besar semacam. Page size kecik.

Sekali tu, aku beli ebook katanya page ±150, harga RM15. Aku pun okeylah dengan harga tu. Standard. Harga preorder masa tu murah sikitlah. So, aku belilah waktu preorder.

Kau tahu tak feeling bila dapat ebook tu macam mana? Size tulisan besar, spacing besar. Satu page itu, bil baris sikit je. Kecewa weh!

Untuk yang masih tak faham point aku sekarang ini, aku nak cakap la yang tak fair tau buat editing macam itu.

Aku bayangkan 150 page tu, macam 150 page dalam novel. Sedaplah baca panjang2. Dalam novel, ±30 baris satu page. Sesetengah ebook aku beli itu, 17-18 baris je per page huhu.

Dia buat aku rasa macam, penulis ini sengaja buat font spacing besar2 demi nak banyakkan page supaya harga tinggi, padahal content sikit.

Hah, aku cakap aku rasa je okey! Aku tak tuduh mana-mana penulis macam ini!

Aku tahu orang akan cakap “ebook dengan novel kan lain. Layout pun lainlah.”

Masalahnya, aku ada je beli ebook penulis yang dia punya layout tu sebiji novel bercetak. Siap ada ukuran ‘ruler’ tepi lagi weh. Bil baris 28-30 page. Tulisan solid 11. (Okeylah, sebab takut mata berpinar kan, buatlah 12).

Ada sekali tu, aku beli ebook, page pdf dia 150, lepas itu aku eksperimen sendiri, aku try re-format ikut standard common (1.15 atau 1.5 spacing, margin narrow, remove space after paragraph, page size A5, size 12, TNR), sekali page dia 100 je actually.

Faham tak kecewa dia macam mana? 50 page kut beza dia!

Tu belum lagi ebook yang pakai paper saiz A4. Fuh, jenuh aku zoom in zoom out weh. Paper A4. Saiz font 12. Kalau baca kat laptop, sedaplah juga. Ni aku baca dalam phone.

Ni bukan soal aku berkira tau. Aku tahu nak menulis ni bukan senang. Friendlist FB aku penuh dengan penulis. Aku nampak penat lelah diaorang menulis.

Dan, sepanjang aku membeli ebook, aku tak pernah tawar menawar. Pernah aku borong tujuh ebook penulis ini, aku tak minta kurang pun. (Penulis yang bagi. Ini bukan aku nak tunjuk baik ya )

Aku bukan nak suruh kurangkan harga ebook, aku nak suruh jujurlah dalam meniaga. Again, ini bukan soal harga. Novel LE harga kayangan pun aku sanggup sauk, walaupun page tak adalah seribu helai.

Tapi, sebab aku tahu apa yang aku akan dapat dengan harga itu. Dan bila dapat, oh I know this is what I’m paying for. So, I don’t mind the price.

Kalau betul nak jual ebook RM15, page 100, cakaplah page 100 with proper layout. Kalau best, aku tetap akan beli dengan harga tu walaupun nipis. Asalkan aku dapat apa yang aku expect technically.

Hah, tu baru layout.

Ni cover pula.

Aku tahu ada penulis design cover sendiri, ada yang buat contest dan gunakan cover yang orang buatkan, etc. Which aku tak kisah pun.

Cuma ada kadang-kadang itu aku nampak, penulis buat kerja main sauk je. Cover ebook yang nak dijual tu, sama dengan cover yang bersepah kat Wattpad orang guna.

Cover yang dipetik dari Google, tempek tajuk. Siap. Ada yang guna template Canva, Picsart, Desygner, tukar perkataan, okey jual.

Aku tak adalah nak kata hodoh ke buruk ke, masalahnya ebook itu nak dijual kut. Paling kurang pun, belilah stockphotos ke, freepik ke, atau gambar yang memang bukan free petik kat google (kat google tu, sesetengah gambar je free. Sesetengah lagi berbayar)

Tapi, takpelah. Aku faham. Especially yang baru nak buat ebook ni atau baru nak self-print. Mungkin takut nak gamble beli gambar dan bayar editor, designer. Takut tak pulang modal.

Tak apalah. Cover je pun, kan? Aku pun malas nak bising lebih lebih pasal cover yang aku pandang sekali imbas je ni.

Cumanya, satu benda lah. Kalau betul pun ambil gambar free, edit dan ubahlah. Contoh, buku itu pasal ahli sukan. Janganlah sauk je gambar Usain bolt, tulis tajuk, jual.

Cuba letak UsainBolt, tambah gambar trek larian, letak background dia berlari di kayangan, tangan pegang medal, ada gmbr itu ini kat belakng. Hah, taklah nampak ini gambar saukan yang budak Wattpad pun ada pakai.

Dan sebenarnya ini juga adalah untuk sesetengah penerbitan besar dan buku bercetak. Sebab ada je rumah penerbitan yang dah cukup ternama, tapi ambil gambar dari movie, gambar retis

(Which setahu aku, tak boleh digunakan untuk tujuan keuntungan aka jual beli. Wallahualam. Betulkan kalau aku silap)

Dan last sekali, ini lebih kepada penulis-penulis swaterbit ebook dari Wattpad.

Aku tahu, ramai je penulis Wattpad jual ebook. Yalah, bacaan dah ratus ribu, dah cecah million, dah ada pengikut. Apa salahnya dijual, kan?

Tapi, aku nasihatkan secara baik, carilah satu dua orang editor tak bertauliah sebagai permulaan, sama ada kawan2 kau, rakan penulis di Wattpad ke. (Sebab yang bertauliah ni biasanya berbayar.)

Ada beberapa kali aku beli ebook penulis Wattpad ini, teknikalnya pun buat aku berzikir. Kenapa?

Contoh :

“saya sayangkan awak, afiq.” elena berkata pada hafidz.

“hahahaha!!! Awak jangan bergurau dengan sayalah, el !” hafidz membalas dengan kepala menggeleng-geleng.

Aku bukan nak cakap cerita kat atas ni best ke tak, tapi tanda baca tu basic. Bukan tatabahasa tau, tapi tanda baca. Cerita bukan je kena best, tapi kena kemas juga di mata pembaca ni.

Kalau free reading ke, free ebook ke, bacaan suka suki kat FB ke, blog ke, aku fahamlah.

But, kena ingat. Bila kita jual, kita bermain dengan duit. Memanglah duit itu diperolehi daripada akad jual beli yang sah. Dia nak menjual, kita nak membeli. Atas suka rela hati masing-masing.

Tapi, nak ke buyer tu cakap, ‘membazir duit aku beli. Menyesal beli dari dia’? Tak nak, kan?

Again, benda ini soal duit. Harta. Nak-nak lagi tengah-tengah pandemik ini. Kalau tak melibatkan duit, kau letak satu huruf satu page pun, aku tak kisah tau.

Kalau kau bagi free reading, satu bab tu satu ayat pun, ikut kaulah. Kau nak pakai gambar quality 180p sekalipun, haa silalah.

Tapi, sebab aku pembaca. Pembaca yang mentalitinya, ‘bila aku nak buku, aku akan beli buku untuk sokong penulis. Tak ada istilah buku jatuh dari langit, perpustakaan merangkak ke rumah aku, penulis nak sponsor novel free’.

Dan, aku peduli soal ke mana arahnya duit aku bila membeli buku.

Bagi aku, buku tak best tak apa. Jalan cerita tak ikut anak tekak aku, tak apa. Sebab kita taste lain-lain. Tapi, aku cuma nak setiap seringgit yang aku keluarkan tu, aku tahu untuk apa dan aku dapat apa yang aku beli. Telus.

Hah, itu jelah kut setakat ni yang aku tak berkenan dengan trend swaterbit ebook ni. Tapi, aku cakap awal-awal yang tak semua penulis macam ni. Ada je penulis ebook yang wajar dipuji.

Yang bila aku beli ebook dia, memang aku puas hati. Yang ebook dia sebiji macam novel, siap dengan gutter, margin semua. Tapi, aku tak nak mention apa-apa nama. Baik buruk, semuanya aku cakap secara general.

Apa yang pasti, aku akan sentiasa sokong karya tempatan. Biarlah orang kata CEO lepu anak Dato Datin sekali pun, ada aku kisah? Tak dapat CEO kat dunia sebenar, dalam novel pun jadilah. Kah!

Sekian, harap tak ada yang tersinggung.

– Pembaca yang kurang ilmu penerbitan, tapi mahukan yang terbaik buat industri tempatan.

– Lili (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *