Assalamualaikum. Aku perkenalkan diriku sebagai Sakinah. Berusia 22 Tahun. Aku seorang pelajar bidang Usuluddin di sebuah Universiti di Negara Z.
Disini ingin kuluahkan tentang tentang seorang sahabatku yang baik. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah kerana menganugerahkan manusia-manusia yang baik di sekelilingku.
Manusia itu tidak ada yang sempurna. Tetapi manusia itu sering menyempurnakan antara satu sama lain. Kerana Yang Maha Sempurna Hanyalah Allah.
Sahabat itu umpama cerminan diri seseorang. Jika ingin melihat akhlak seseorang, lihatlah dengan siapa dia bersahabat.
Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda,
“Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang saleh dan orang yang buruk, bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan pandai besi.
Pemilik minyak wangi tidak akan merugikanmu, engkau bisa membeli (minyak wangi) darinya atau minimal engkau mendapat baunya.
Adapun berteman dengan pandai besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, minimal engkau mendapat baunya yang tidak sedap.” (HR. Imam Bukhari).
Sahabat yang soleh dan solehah itu umpama rezeki yang Allah pinjamkan. Sementara dia masih menjadi pinjaman buat kita, hargailah dia dengan sesungguhnya. Kerana kita tidak tahu bila Allah akan mengambilnya kembali.
Aku perkenalkan sahabatku ini. Aku namainya Wardah. Dia yang mempunyai pelbagai kelebihan, tidak pernah memandang rendah terhadapku, bahkan dia yang sering menghulurkan tangan untuk membantuku disaatku susah dan senang.
Aku yang serba kekurangan di dalam ilmu, amal dan akhlak, begitu cemburu dan iri dengannya. Cemburu disini bukanlah cemburu yang tidak baik, tetapi cemburu yang baik. Cemburu yang membuatkanku lebih ingin memperbaiki diri.
Aku melihat dirimu, yang sentiasa meletakkan Allah dan agama di hadapanmu.
Engkau yang sentiasa menjadikan sejadah hamparanmu di sepertiga malam, Al-Quran yang sentiasa menjadi teman akrabmu, tasbih yang sentiasa menjadi pendampingmu, selawat yang sentiasa menjadi zikir harianmu.
Engkau yang telah tenggelam dalam Cinta Rabb-Mu, juga Cinta Sang Kekasih S.A.W.
Tidak pernah aku melihat engkau membuang waktumu, waktumu sentiasa digunakan untuk kebaikan, solat sunat tidak pernah engkau tinggalkan, ilmu sering kau ulang-ulangkan.
Engkau yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah. Tidak pernah sekalipun aku mendengarmu mengeluh.
Sungguh pandai sekali engkau menyembunyikan segalanya, sehingga yang terlihat hanyalah ketenagan, senyuman, dan kebaikan.
Engkau yang sangat menjaga tutur katamu, tidak banyak berbicara. Dan sekiranya engkau marah, aku hanya mengerti dengan diammu. Dan itupun tidak lama.
Aku sangat mengagumi dirimu, setelah aku mengenali dirimu, aku seakan percaya nasihat itu bukan hanya sekadar kata-kata, tetapi perbuatan.
Buktinya adalah dirimu, engkau tidak banyak berbicara, tetapi engkau tunjukkan contoh yang baik di hadapanku, akhlakmu ibarat nasihat lembut buat diriku.
Aku sangat menyayangi dirimu. Aku hanya berharap di akhirat kelak, engkau dapat menarik tanganku bersamamu. Aku menjadi saksi di atas segala kebaikanmu sahabat.
Aku mendoakanmu agar sentiasa bahagia, di dunia dan di akhirat.
Terima kasih sahabatku Wardah.
Moga kita semua dapat menjadi contoh teladan yang baik buat orang di sekeliling kita, kerna kita tidak tahu, kebaikan kita yang manakah yang dapat mengetuk hati seseorang itu. Kerana hidayah dan taufiq itu milik Allah.
Wallahua’lam…
– Sakinah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit