Assalamualaikum/ Salam Sejahtera. Pertama sekali terima kasih kerana sudi memaparkan kisah saya di sini sebagai perkongsian dan pengajaran kepada semua.
Kisah ini berlaku betul-betul dua hari sebelum berakhirnya tahun 2020. Semua cerita adalah berdasarkan kisah benar.
Sedikit latar belakang mengenaiku. Namaku Farah, seorang penjawat awam di ibu kota, mempunyai seorang suami yang bekerja sendiri dari rumah dan mempunyai seorang anak yang berumur dua tahun. Aku sedang menyewa rumah kos rendah 15km dari pejabat.
Sejujurnya aku bersyukur kerana mempunyai bumbung untuk berteduh, ruang untuk beribadah dan kejiranan yang selesa untuk membesarkan anakku.
Cuma salah satu impianku adalah untuk mencari tempat tinggal berdekatan dengan pejabatku kerana aku tidak larat lagi menghadapi tekanan kesesakan lalu lintas sewaktu pergi dan balik kerja.
Dari permulaan 2020 lagi aku mula melakukan pencarian untuk mencari rumah sewa berdekatan dengan pejabatku. Namun, kadar sewaannya adalah di luar batasan kemampuanku.
Sehinggalah 29/12/2020 pada jam 1.32 pm ada update terbaru mengenai listing rumah sewa di Mudah.my yang berjarak 5 minit sahaja ke pejabatku dengan kadar sewa rendah 40% dari harga pasaran.
Aku sangat tertarik dan terus ‘call’ dan WhatsApp pemilik iklan yang bernama Azleen.
Azleen memilih untuk berkomunikasi melalui WhatsApp sahaja. Maka bermulalah episod berbalas mesej mengenai rumah tersebut. Dia turut menyertakan salinan kad pekerja miliknya sebagai tanda keselamatan.
Sedikit latar belakang mengenai individu yang menggelarkan dirinya sebagai Azleen ini, dia juga merupakan seorang penjawat awam, berumur lewat 20an, dan mempunyai anak yang masih kecil, serba-serbi lebih kurang dengan latar belakangku.
Jadi aku akui agak selesa berhubung dengannya kerana faktor umur, latar belakang pekerjaan dan sebagainya.
Dia mengatakan bahawa dia adalah penyewa rumah tersebut dan dia dikehendaki mencari pengganti penyewa memandangkan dia terpaksa berpindah ke ibu pejabat di Putrajaya dengan kadar segera.
Dia menyoal serba sedikit mengenai latar belakangku dan keluargaku. Dia juga meminta aku menghantar apa-apa jenis dokumen pengenalan diri sebagai pengesahan kepada pemilik rumah.
Aku lontarkan soalan mengapa harga sewaan rumah tersebut sangat murah berbanding unit lain di kawasan yang sama. Menurut Azleen, sepanjang musim pandemik ini, dia telah mengalami kesusahan untuk membayar bayaran sewa selama beberapa bulan.
Pemilik rumah yang bernama Tan Pei Ting atau dipanggil Miss Pei bermurah hati untuk mengurangkan bayaran sewaan separuh harga kerana dia juga telah kehilangan seorang anak akibat wabak Covid19.
Miss Pei ingin melakukan amal jariah supaya tiada lagi keturunannya yang dijangkiti wabak Covid19.
Azleen turut memberi nombor telefon pemilik rumah (Miss Pei) untuk mengesahkan jumlah sewaan dan bayaran deposit rumah serta persetujuan untuk aku menyewa rumahnya.
Dia juga memberikan salinan myKad Miss Pei sebagai sokongan atau bukti kewarganegaraan. Aku terus berkomunikasi dengan Miss Pei dengan sepenuh kepercayaan.
Miss Pei perwatakannya seperti seorang isteri ahli perniagaan yang hanya berbahasa Inggeris, kelihatan agak ‘bossy’ dan ingin semuanya dilakukan dengan betul.
Miss Pei meminta aku memasukkan RM100 ke dalam akaun Boost miliknya sebagai persediaan mendaftarkan aku sebagai pelawat di rumahnya dan menyediakan dokumen ‘tenancy agreement’.
Semuanya kelihatan ‘valid’ dan okay sahaja di mataku kerana hampir setiap rumah sewa di ibu kota memerlukan sejumlah wang ‘booking’ sebelum sesi ‘viewing’.
Aku terus memasukkan duit ke dalam akaun Boost Miss Pei dengan teruja kerana keesokannya Azleen telah menetapkan sesi temujanji untuk menunjukkan rumah tersebut kepadaku.
Sebelum terlupa, Miss Pei tidak dapat datang pada sesi ‘viewing’ kerana dia perlu mengkuarantinkan diri kerana cucunya telah positif Covid19.
Aku pun tidur pada malam 29/12/2020 dengan angan-angan indah berpindah ke kondominium di kawasan KL dan mensyukuri rezekiku berjumpa dengan rumah dengan nilai sewaan yang murah.
Pagi keesokan harinya (30/12/2020) adalah cerita yang berbeza. Aku dan Azleen telah berjanji untuk berjumpa pada jam 2 petang untuk sesi ‘viewing’ rumah.
Pada jam 11 pagi, Miss Pei telah menghantar satu mesej kepada Azleen mengarahkan aku supaya membayar separuh daripada wang deposit sebelum sesi ‘viewing’ rumah itu berlangsung,
Sebagai persetujuan untuk menyewa rumahnya kerana dia tidak mahu mencari pengganti lain memandangkan Azleen juga akan mengosongkon rumah tersebut pada hari ini.
Menurutnya, sekiranya semua okay setelah aku melihat rumah tersebut, Azleen akan terus menyerahkan kunci rumah, ‘access card’, menunjukkan petak parking dan membawaku ke pejabat pengurusan untuk menandatangani ‘tenancy agreement’ yang baru.
Pada hematku, wah ini sudah sangat bagus, tidak pernah tahu pula ada pihak pengurusan yang menawarkan servis sewaan rumah sebegini.
Namun aku masih ragu-ragu untuk menghantar wang tersebut ke akaun Boost Miss Pei kerana aku masih belum melihat rumah tersebut.
Pada jam 12 tengah hari Miss Pei menghantar mesej kepadaku mengatakan dia akan menyuruh Azleen menunjukkan rumah tersebut kepada pihak lain yang lebih berminat.
Aku menjadi cemas kerana aku yakin peluang ini tidak akan datang lagi sekiranya aku terlepas pada kali ini.
Miss Pei terus senyap setelah aku merayu untuk membuat baki bayaran deposit selepas jam 2 petang. Aku pula terus menghantar mesej kepada Azleen menanyakan tentang status rumah tersebut.
Azleen mengatakan Miss Pei mengarahkan bakal penyewa lain untuk melunaskan bayaran deposit sebelum jam 12.30 tengah hari.
Kiranya, siapa yang buat bayaran lebih awal, dia yang akan dapat melihat dan menyewa rumah tersebut.
Aku apa lagi, terus memindahkan baki wang deposit ke akaun Boost Miss Pei tanpa berfikir panjang. Tidak aku ketahui itulah kali terakhir aku berurusan dengan Miss Pei kerana dia terus mendiamkan diri.
Pada jam 2 petang, aku, suamiku dan anakku pergi ke kondominium tersebut untuk melihat rumah dengan penuh debaran.
Yang menjadi kepelikan, Azleen mengatakan rumah tersebut berada di blok 2, tetapi tiada blok 2 di situ, yang ada hanya blok A B C dan D. Setelah memarkir kereta di kawasan tetamu, aku menunggu di bawah lobi Blok B.
Setengah jam berlalu, aku masih belum dapat melihat kelibat Azleen. Setelah hampir jam 3 petang, aku sudah berasa tidak sedap hati dan terus menuju ke pejabat pengurusan kondominium untuk mengesahkan kewujudan unit di bawah nama Miss Pei.
Memang tepat sekali tiada rumah dengan nombor unit seperti disebutkan dan tiada pemilik dengan nama Tan Pei Ting. Sah.. Memang sahlah aku sudah ditipu.
Pihak pengurusan cuba menghubungi nombor Azleen dan Miss Pei, namun kedua-dua nombor sudah dimatikan. Panggilan dariku apatah lagi, memang sudah di ‘block’ oleh kedua-duanya.
Naya, memang salahku kerana terburu-buru dan tidak menyemak dengan pejabat pengurusan terlebih dahulu. Menyedari silapku, suami terus membawa aku ke balai polis. Namun, aku sedar kes seperti ini memang sukar di ketengahkan kerana kejahilan sendiri.
Aku mengambil keputusan untuk menerima sahaja nasibku dan tidak meneruskan laporan polis. Memang kecewa dan patah hati kerana hajatku untuk menetap berdekatan dengan pejabat tidak kesampaian. Sampai terbawa ke dalam mimpi juga malam itu.
Keesokan harinya (31/12/2020), barulah aku dapat berfikir dengan waras dan menghantar laporan penipuan kepada email ‘support’ di Mudah.my dan Boost.
Ketika ini aku telah pun berlapang dada dan memaafkan penipuan yang dilakukan oleh si penipu yang mungkin sangat terdesak pada musim pandemik ini.
Aku menghantar email kepada pihak Boost dengan harapan akaun penipu (Miss Pei) dibekukan supaya dia tidak dapat tunaikan wang di dalam itu dan meneruskan penipuannya ke atas orang lain.
Aku juga tidak berharap pasukan Boost untuk menyatakan maklum balas dalam masa terdekat kerana cuti panjang awal tahun yang bermula pada keesokannya.
Namun, aku ingin menzahirkan syukur dan terima kasih di atas kepantasan kumpulan ‘support team’ Boost kerana pada 3/1/2021 pihak Boost terus meneruskan proses ‘reverse P2P’ dan memasukkan kembali jumlah wang yang telah aku pindahkan ke akaun Boost Miss Pei ke dalam akaun Boost milikku.
Pihak Boost juga telah membekukan akaun tersebut dan dimasukkan ke dalam ‘watch list’.
Jadi, berhati-hatilah dengan tawaran di ‘platform’ terbuka seperti Mudah.my yang kelihatan ‘too good to be true’. Selidik dahulu dan jangan terburu-buru.
Aku juga pernah mengalami percubaan penipuan lain di mana pihak tuan rumah mengatakan dia ingin pergi bercuti pada awal bulan Disember 2020 dan hanya akan kembali pada awal tahun 2021.
Tuan rumah meminta aku memasukkan dahulu wang deposit dan akan menghantar kontrak sewaan dan kunci rumah melalui pos. Dia juga dengan rela hati memberikan salinan myKad kepadaku sebagai bukti.
Ini semua modus operandi untuk meraih kepercayaan penyewa dan menarik hati bakal penyewa untuk melakukan pembayaran wang deposit. Salinan myKad bukanlah dokumen yang berguna kerana identiti pun boleh dipalsukan.
Janganlah mudah termakan cerita sedih pemilik rumah atau bekas penyewa kerana ia merupakan salah satu teknik pukau yang tidak memerlukan bomoh.
Sekian sahaja pengalamanku di ambang tahun baru buat pedoman semua.
Terima kerana sudi membaca dari awal hingga akhir.
Stay safe,
– Farah yang tertipu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit