Rumah Terbiar Di Tepi Jalan

Assalamualaikum semua, TunRamos kembali menulis berkongsi kisah dua alam sekadar hiburan untuk pembaca. Kali ini aku nak bercerita tentang sebuah rumah lama terbiar yang terletak di Matang, Taiping.

Tapi korang jangan risau tau, cerita ni tak la seram sangat sebab kejadian ni berlaku ketika aku berumur 8 tahun.

Jadi bayangan yang aku nampak agak rileks, dan sesuai dengan umur yang masih kanak-kanak. Kesemua adik-beradik waktu tu belajar di sekolah rendah kecuali abang sulung yang masih tinggal bersama NekWan.

Abah telah mendapat arahan perpindahan kerja dari Simpang Empat Semanggol ke Daerah Taiping.

Dalam tempoh yang singkat, kami sekeluarga perlu berpindah dan mencari rumah yang bersesuaian dengan lokasi sekolah dan pejabat baru abah. Di sebabkan itu, keputusan memilih rumah perlu dibuat dengan kadar segera.

Urusan perpindahan barang-barang besar telah dilakukan abah dan mama 2-3 hari sebelum tu. Kami adik-beradik hanya ikut berpindah setelah semua barang besar selesai diangkut ke rumah baru.

Memandangkan ada beberapa barang yang perlu dibawa dengan kereta, abah membuat keputusan untuk membuat dua trip, kami empat beradik dibawa dahulu, ditemani oleh seorang kakak saudara.

Dan ibu akan dibawa kemudian bersama barang-barang akhir dari rumah lama. Jarak ke rumah baru hanya memakan masa setengah jam jadi abah berpendapat adalah selamat untuk meninggalkan kami di bawah jagaan kakak saudara.

Kakak saudara tu umurnya awal 20an dan baru sahaja sampai. Jadi hubungan kami tak begitu mesra. Janggal la kan, baru jumpa. Setelah sampai di rumah baru, kelihatan barang-barang besar sebahagiannya masih berada di luar rumah.

Jadi abah menempatkan kami di sana dengan berpesan “tengok-tengok barang kat luar ni takut orang ambil” dan pada masa yang sama melarang kami masuk ke rumah.

Setelah itu abah meninggalkan kami untuk trip kedua mengambil mama pula. Waktu tu dah petang, aku agak sekitar pukul 4. Bila kereta abah berlalu pergi, kami semua mengambil peluang berjalan-jalan menerokai kawasan sekeliling rumah.

Rumah baru kami adalah rumah satu tingkat, berwarna perang pudar, dikelilingi lalang-lalang yang tinggi. Walaupun rumah tu terletak di tepi jalan, tapi jalan tu adalah menuju ke kawasan perindustrian. Suasana sekeliling sunyi, hanya terdengar geseran daun lalang sekali sekala ditiup angin.

Ada beberapa rumah lain di belakang, tapi terletak agak jauh. Cuma nampak bumbung sahaja.

Seperti biasa, aku akan ber-geng dengan adik lelakiku Al-Qomri manakala kakak Al-Falfa dan Al-Yaya, mereka berjalan berdua. Kakak saudara tu kami biarkan berseorangan duduk di meja yang terletak di hadapan pintu masuk.

Di belakang rumah ada beberapa pokok besar dan rumpun-rumpun buluh melindungi pemandangan rumah-rumah lain. Di kiri dan kanan pula dilitupi padang lalang yang tingginya melepasi pandangan kami. Dalam padang lalang tu pula banyak pokok-pokok lemon yang rimbun berbuah.

Agak teruja, aku dan Al-Qomri masuk ke padang lalang dan memetik beberapa buah lemon, konon nak menunjuk pada kakak-kakak. Bila kami keluar dari situ, kami cuba mencari mereka. Berkali-kali kami berlari mengelilingi rumah tapi sorang pun tak jumpa.

Aku dan Al-Qomri menyangka mereka sengaja nak mengusik kami, jadi kami berpakat untuk mencari dari arah berbeza. Maknanya aku bergerak dari kiri dan Al-Qomri pula dari arah berbeza. Dengan girang, kami berlari-lari anak untuk menangkap kakak-kakak yang disangka menyorok dari kami.

Anehnya, aku dan Al-Qomri bertembung. Kami kebingungan dan rasa seperti dibuli. Kami ulang semula larian sekeliling rumah dari arah berbeza, dan kali itu pun sama. Kelibat ketiga-tiga kakak tak kelihatan. Kali ketiga, kami ambil keputusan untuk mencari bersama, berlari mengelilingi rumah terbiar tu.

Aku pun tak ingat berapa kali kami berlari, akhirnya kami bertemu dengan Al-Falfa dan Al-Yaya. Dalam keadaan termengah-mengah kami berempat hampir serentak bertanya “Nyorok kat mana???”

Dan sesaat selepas itu kakak saudara muncul dari belakang rumah dan menjerit “Hei korang! Jangan la menyorok dari akak.

Kenapa tinggalkan akak sorang-sorang? Jenuh cari!!!” Termengah-mengah dia mengatur langkah menangkap kami agar tak larikan diri.

Kami 4 beradik kehairanan, sebab sekarang ni siapa yang menyorok? Kami saling menuduh dan ketawa, masa tu tak rasa apa-apa sangat. Rasa penat ada la, berapa pusingan lari keliling rumah, berpeluh-peluh satu badan.

Tiba-tiba terasa angin bertiup kencang. Kuat sangat. Kami yang berpeluh-peluh rasa lega dan sejuk. Aku angkat tangan dan berpusing-pusing menikmati tiupan angin kuat. Tapi yang peliknya daun-daun lalang di sekitar tak pula bergerak kuat. Hanya beralun perlahan macam tak ada apa-apa.

Pokok-pokok besar di sekeliling pun tak bergoyang. Aik! Rasa pelik, aku pandang semua orang. Muka masing-masing seperti paham yang ‘macam tak kena saja ni’, cepat-cepat pergi ke hadapan rumah. Kami duduk diam-diam sebab kakak saudara menegah kami dari meronda kawasan rumah tu lagi.

Seperti macam hilang mood bermain, kami semua pakat-pakat duduk melangut tak cakap apa-apa. Tapi dalam hati berdoa agar abah mama cepat sampai.

Sejam kemudian, mereka pun sampai, melegakan perasaan kami yang dah mula cuak. Setelah itu, baru lah kami semua masuk ke dalam rumah bersama-sama.

Rumah tu berbentuk panjang. Dua bilik di sebelah kanan, satu bilik di sebelah kiri. Dapur, stor dan bilik air berada di belakang. Suasana dalam rumah agak nyaman.

Cuma abah berpesan agar tidak memasuki bilik sebelah kiri. Heh, korang mesti dah agak kan. Yang abah larang, itu lah yang menarik perhatian. Tapi pasal baru saja masuk rumah kan… ikut saja lah pesanan abah.

Tapi bila kami cerita pasal kami berlari-lari pakat cari semua orang semasa menunggu abah mama sampai, abah tak kata apa-apa. Dia cuma tersenyum.

Malam tu, kami empat beradik tidur dalam bilik yang sama, dan abah mama di bilik sebelah. Bilik tepi tak diusik, hmmmm kejap lagi aku bagitau sebab apa.

Sabar ye semua. Pada malam tu, abah tak tidur tapi dia menunaikan solat dan membaca al-quran.

Pada mulanya kami semua rasa takut, maklum lah, tidur di tempat baru. Tapi disebabkan abah ada di ruang depan, akhirnya kami dapat tidur nyenyak diiringi alunan suara abah sayup-sayup membaca al-Quran.

Tapi, malam tu aku bermimpi. Aku rasa seperti jasadku berjalan keluar menuju ke sebelah rumah. Di situ aku nampak ada satu kubur yang panjang. Berasap-asap. Kemudian kelihatan satu lembaga perempuan perlahan-lahan keluar mengikut asap dari kubur.

Perempuan tu badannya tinggi, bermata besar, dan tersenyum sengih. Gambarannya tidak lah mengerikan tapi seolah beri petanda yang dia okey, tak marah dan macam beri restu (aku ingat lagi rupanya sampai sekarang). Mimpi aku berakhir di situ.

Esok pagi, waktu bersarapan, kami riuh-rendah bercerita dengan abah pasal mimpi. Rupa-rupanya bukan aku sorang saja yang mimpi hantu kubur, semua adik-beradikku pun sama. Kakak saudara saja tidur mati, apa pun tak mimpi dia kata.

Macam biasa, abah senyum tak kata apa-apa. Mama pula malas nak layan kami sebab banyak kerja mengemas dan menyusun perlu dibuat.

Dua-tiga minggu selepas itu, abah mula pergi ke masjid berdekatan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isya. Kami yang tinggal di rumah rasa agak bosan dan perasaan nak tahu mula menggigit-gigit hati. Hehehe! Korang mesti dapat agak apa kebendanya kan.

Ye, kami tersangat berminat nak tahu apa yang ada dalam bilik tepi tu. Mama macam biasa, kalut di dapur susun barang tak habis-habis. Aku dan Al-Qomri beranikan diri membuka selak kunci dan mencapai suis lampu dari luar bilik. Kemudian kami tinjau.

Hmmm….Berbeza dengan ruangan lain, bilik tu menggunakan lampu terendak bermentol oren. Ala…lampu zaman dulu. Oren dia macam kuning-kuning, silau-silau, tapi terang la juga. Dalam bilik tu ada almari make-up lama, satu rangka katil besi, satu rak buku, dan satu peti kayu tertutup rapat.

Peti tu tak berkunci, selaknya hanya diikat dengan kain berwarna kuning (di pandanganku seperti meminta-minta untuk dibuka).

Macam biasa, kami lari keluar mencari Al-Falfa dan Al-Yaya minta temankan masuk bersama-sama ke bilik terlarang. Takut-takut berani, kami berempat masuk ke bilik tu. Pelik, memang pelik.

Tak sampai seminit, semua orang keluar dari situ. Tak rasa seram atau takut, tapi rasa pening. Bukan pening sakit kepala yang perlukan panadol tu, tapi pening sebab nampak semua benda berpusing-pusing.

Bila pandang atas, siling seperti berpusing. Pandang dinding, dinding pun berpusing. Pandang lantai saja okey. Normal seperti biasa.

Macam orang mabuk, kami kelam-kabut lari keluar dari bilik tu. Esok pagi, seperti tercabar, aku dan Al-Qomri beranikan diri masuk ke situ. Aneh, bilik tu bersih. Tak berhabuk. Seperti dijaga. Kami hanya melepak sambil mata pakat-pakat tengok ke arah peti kayu.

Aku pun tak tau kenapa berani sangat, aku tarik kain kuning di selak kunci dan angkat penutup peti perlahan-lahan. Al-Qomri cuma kata “woi woi… jadi apa-apa taktau…. bagitau abah nanti” sambil panjangkan leher teringin nak tengok apa kat dalam peti kayu tu.

Di situ cuma tu ada beberapa keping rekod piring hitam, dan beberapa buku lama. Bila diselak di bahagian bawah, ada la beberapa bilah keris lama dan pecahan batu-batu halus.

Tak ada la saspen sangat. Aku bayangkan ada tengkorak ke, tulang manusia ke. “Ahhh…tak ada apa-apa pun. Jom lah main kat luar” Agak kecewa, aku ajak Al-Qomri keluar.

Malam tu, disebabkan kami dah masuk dan terokai bilik terlarang, kami bercadang untuk bermain dalam bilik tu.

Korang mesti kata “apahal nak main lagi kat situ, semalam kan dah pening-pening bagai”. Tapi tu lah nak bagitahu, aku dulu berani tak bertempat. Mungkin sel-sel otak tak bersambung lagi.

Peristiwa semalam tak teringat pula. Jadi, aku bawa perkakas melukis dan Al-Qomri hanya mengikut. Kami melukis sambil meniarap di lantai, angkat kaki, goyang-goyang.

Kami tak la rasa takut sangat sebab pintu bilik terbuka luas, mama ada menyusun barang di dapur. Al-Falfa dan Al-Yaya pula ada di depan menonton tv.

Jadi, apa nak takut kan? Sedang asyik melukis, tiba-tiba perhatianku terganggu. Aku nampak bayang pensil yang aku pegang bergerak-gerak.

Aku berhenti melukis dan tumpu perhatian pada bayangan tu. Bayang pensil bergerak kiri dan kanan. Mula-mula gerak sikit je, lama-lama boleh nampak bayangan tu bergerak dengan lebih ketara.

Aku pandang Al-Qomri. Dia angkat muka dan tengok aku, tapi dia macam blur. Kemudian dia tanya “kenapa?”. Hmmmm sah-sah budak kecik tu tak dapat cam pergerakan bayangan (Al-Qomri berumur 5 tahun). Kemudian aku pandang atas. Pandang lampu.

Lampu tu bergerak-gerak, beralun kiri dan kanan. Dah la tu, aku nampak seperti ada asap nipis menyelubungi sekitar terendak lampu.

Serious wei, macam apa je, aku terus melompat lari tinggalkan Al-Qomri sorang-sorang kat situ. Adik aku yang taktau apa-apa pun ikut keluar sambil menjerit menangis tak puas hati.

Ye lah, aku yang ajak dia, last-last aku tinggalkan dia. Punya la marah, dia campak semua pensil warna kat aku. Aku lari kat mama dan minta mama tolong tutupkan lampu bilik oren. Disebabkan hal tu, kami berdua didenda masuk tidur awal.

Sejak tu, kami tak lagi cuba-cuba masuk bilik terlarang. Pada hari siang abah akan buka semua tingkap seluas-luasnya dan jadikan bilik tu sebagai bilik solat. Aku beritahu abah tentang kandungan peti kayu. Hajat di hati nak bagitau abah yang dalam tu tak ada apa-apa pun.

Tapi abah luku kepala aku (luku : ketuk guna buku lima). Abah marah sebab buka juga walaupun dah ditegah. Mana la aku tahu, yang aku tahu, apa yang abah larang, pasti menarik! Bila kami dah dewasa, dah di sekolah menengah, baru lah abah bercerita.

Pada suatu malam dia telah didatangi sekumpulan lelaki berkuda. Datang seperti nak berperang menyerang kami. Dengan izin Allah, abah dapat menenangkan mereka dan mencapai kata sepakat. Antaranya ialah kami perlu tinggalkan rumah dengan segera.

Dan tak sampai tiga bulan, abah berjaya membawa kami berpindah ke rumah taman yang lebih normal rasanya. Abah kata rumah terbiar tu memang tak ada sesiapa yang berani sewa. Tuan rumah siap bagi diskaun sewa murah. Dan bilik terlarang tu rupa-rupanya tempat simpanan barang memuja.

Hmmm… macam tu la ceritanya. Sememangnya cerita ni tak ada moral-of-the-story pun. Sekadar berkongsi. Tapi aku suka tagline penulis Zambri Perasan ‘ ZP bercerita, anda membaca’. Jadi aku pun nak guna tagline ‘TunRamos bercerita, anda terseram?’.

Sekurang-kurangnya lari sikit dari cerita sedih-sedih. Okey chill semua. Sekian dulu cerita aku, next time aku kongsi cerita lain pula. Tu pun kalau korang nak la, kalau tak nak, elok bagitau sebelum cerita aku masuk gear 3-4-5.

– TunRamos (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *