Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memaparkan nukilan saya.
Sebagai pengenalan diri, saya merupakan seorang wanita pertengahan 20-an yang belum lagi berkahwin, tinggal bersendirian, bekerja di salah sebuah syarikat kerajaan bermula pada tahun 2018 dan telah menamatkan Ijazah Sarjana ketika bekerja.
Saya merupakan seorang yang “multi-tasking” dan memang tidak pernah mempunyai banyak masa untuk berehat ataupun mempunyai hobi “leisure”.
Jika saya mempunyai masa yang lapang, saya akan membaca, memasak, bersukan ringan dan mengemas rumah; walaupun rumah hampir setiap hari saya akan kemas.
Pada hujung minggu, saya gemar memasak dengan kuantiti yang banyak dan akan menghantarnya ke rumah ahli keluarga atau rakan-rakan lain berdekatan. Ini merupakan cara saya untuk tidak duduk bersahaja dan untuk memastikan saya sentiasa “sibuk”.
Sikap saya ini saya mula cakna dari awal persekolahan lagi. Di sekolah, saya merupakan salah seorang ahli dalam badan tertinggi di kalangan pengawas, merangkap juga pelajar di kelas cemerlang di mana memang hampir setiap hari saya akan mengulang kaji.
Pada zaman “degree” juga, saya mengambil subjek minor walaupun kelas untuk kos major amat padat, di samping juga bekerja part-time di salah sebuah kafe pada waktu petang dan hujung minggu. Saya juga aktif dalam beberapa aktiviti kelab sosial di universiti.
Sehinggalah ketika tempoh menuntunt Ijazah Sarjana, saya telah diterima untuk bekerja di salah sebuah agensi kerajaan.
Hidup saya boleh katakan memang padat dan istilah ‘bosan’ memang tiada. Saya juga boleh katakan mahir dalam tidak mencampur adukkan urusan profesional/kerja dan urusan peribadi.
Namun, semua berubah apabila Covid-19 melanda negara dan PKP dilaksanakan.
Kami diarahkan untuk bekerja di rumah, dan pada yang sama, 2 orang rakan sekerja saya telah mula cuti bersalin dan bagi bahagian kerja kami, hanya saya seorang saja yang dikatakan layak untuk mengambil alih kerja-kerja mereka.
Bermula daripada pertenghan bulan Mac hingga Jun, sepanjang bekerja di rumah dan menanggung beban kerja 2 rakan sekerja saya;
Saya tidak langsung mempunyai rehat yang secukupnya di mana rutin harian adalah bekerja di depan komputer riba sejurus daripada bangun solat subuh sehinggalah selepas isya.
Boleh katakan saya akan hanya berhenti bekerja ketika waktu solat dan makanan pun jarang dijamah.
Saya masih ingat lagi pada satu ketika, saya hanya menjamah cereal sebagai brunch untuk 5/6 hari berturut-turut kerana tidak langsung mempunyai masa untuk masak.
Kadang-kadang saya puasa sunat dan hanya berbuka dengan maggi atau apa saja makanan yang ada di dapur.
Saya mula berasa amat tertekan dan tiada masa untuk rehat sepenuhnya. Telefon berdering sentiasa untuk penugasan kerja dan kadang-kadang ada juga pukul 3 pagi diminta untuk laporan kerja diserahkan segera.
Hujung minggu pula digunakan sebagai masa untuk siapkan lain-lain laporan dan minit mesyuarat.
Disebabkan saya tinggal seorang di rumah, saya tiada tempat mengadu dan ada kalanya ahli keluarga dan rakan-rakan akan bertanya khabar tapi saya terlalu tertekan untuk kongsi tekanan yang dihadapi kerana berpendapat mereka tidak akan faham tekanan dan stres yang saya hadapi.
Kepenatan dan tekanan ini sampai satu tahap untuk menangis pun memang tidak larat. Saya menjadi sangat lemah tetapi tetap juga bekerja seperti yang diperlukan.
Sehinggalah pada bulan Julai di mana kami mula bekerja seperti biasa semula, saya mula perasan saya telah kehilangan berat hampir 13kg dan mengalami sakit belakang dan lutut yang amat sangat.
Hampir setiap malam saya akan ke tandas 4 ke 5 kali kerana terasa kerap ingin membuang air kecil.
Pada mulanya saya boleh lagi menahan sakit tetapi setelah beberapa minggu, saya membuat keputusan untuk ke klinik.
Tiada masalah didapati pada ujian air kencing tetapi bagi ujian X-ray, doktor mengesyaki kemungkinan ada “slipped disc” di tulang belakang L4 dan L5. Saya kemudiannya dirujuk ke hospital bagi ujian MRI.
Di hospital, saya diwadkan dan telah disahkan mengalami slipped disc tahap ketiga serta mengalami tekanan darah yang rendah.
Yang paling menakutkan adalah apabila doktor menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan kecil atau dipanggil “Radiofrequency Ablation (RFA)”.
Ini kerana setelah MRI dibuat, slipped disc tersebut telah menekan saraf di bahagian pundi kencing yang menyebabkan saya selalu kerap ke tandas.
Sewaktu di wad, saya menjalani fisio dan disarankan untuk berehat selama seminggu. Ahli keluarga dan rakan-rakan ramai yang melawat dan mereka hairan bagaimana saya boleh jatuh sakit sebegitu. Saya sebelum ini memang jarang sakit dan itu adalah kali pertama saya masuk wad.
Berkenaan RFA, saya pada mulanya tidak berasa takut untuk mejalaninya tetapi setelah saya buat solat istikharah beberapa kali atas nasihat ibu, hati saya kuat mengatakan saya tidak perlu menjalaninya.
Saya mula rujuk beberapa kenalan ibu bapa yang merupakan pakar perubatan dan rakan-rakan doktor yang lain berkenaan slipped disc dan RFA.
Bagi pesakit slipped disc, cara untuk mengubatinya adalah bergantung kepada individu itu sendiri – mengikut tahap sakit yang dialami.
Secara peribadinya, sakit belakang dan kekerapan ke tandas itu masih lagi mampu saya kawal dan naluri kuat mengatakan saya tidak perlu menjalani apa-apa pembedahan atau prosedur.
Mungkin, inilah masanya untuk saya mula menjaga kesihatan sebetul-betulnya. Saya mula sedar akan tekanan yang saya alami untuk beberapa bulan yang lepas telah memberikan impak yang amat besar terhadap kesihatan.
Apabila saya bertanya kepada doktor apakah punca slipped disc tersebut, doktor pun tidak berapa pasti.
Saya telah membuat keputusan dan memberitahu doktor untuk tidak menjalani RFA, tetapi berjanji untuk mula mengubah gaya hidup saya.
Saya mula menjalani fisio 3 kali setiap minggu, mengamalkan diet seimbang, melakukan yoga hampir setiap hari dan mula mencari masa untuk berehat.
Alhamdulillah, kini badan saya bertambah kuat dan saya jarang mengalami tekanan walaupun bebanan kerja masih banyak. Tetapi saya sudah mula bertegas untuk sentiasa mengutamakan kesihatan dan jaga pemakanan.
Malah, ahli keluarga dan rakan-rakan juga turut mula mengubah gaya hidup mereka setelah saya berkongsi pengalaman saya ini.
Bapa saya yang dulu obes juga perlahan-lahan menurunkan berat badan dan menjaga pemakanan. Kini, beliau telah turun hampir 10kg dalam masa 4 bulan.
Sebagai penutup, stres dan tekanan mental bagi saya, merupakan titik permulaan bagi segala masalah terutamanya kepada kesihatan fizikal dan mental.
Saya bukanlah doktor dan jauh daripada kepakaran untuk berbincang isu tersebut tetapi pendirian yang saya pegang sekarang adalah jangan biarkan stres melarat walaupun bermula daripada isu yang amat kecil.
Jadi, saya berharap pembaca yang mula berasa tertekan dalam apa jua situasi yang dialami, untuk cepat mendapatkan bantuan.
Sekian, saya akhiri cerita saya.
Terima kasih.
– Bukan Doktor (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit