Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sekiranya luahan aku tersiar.
Aku Ana (bukan nama sebenar) berusia awal 30 an dan masih bujang. Maaf andai ayat aku berterabur kerana aku bukanlah seorang yang pandai mengarang ayat.
Mungkin juga disebabkan aku tergolong dalam golongan yang pendiam. Nak bersembang dengan orang lain pon kadang-kadang terpaksa aku karang ayat dalam otak dulu.
Tujuan aku tulis luahan ni sebab aku dah tak tahu macamana nak selesaikan masalah aku.
Aku ada penyakit was-was ketika solat. Penyakit was-was aku boleh dikategorikan sebagai kronik sebab aku akan angkat takbir berpuluh-puluh kali kerana merasakan cara aku takbir dan sebut kalimat Allahuakbar tu tak betul.
Dan aku sanggup berhenti ketika sedang solat walaupun sudah berada di rakaat yang terakhir kerana merasakan bacaan aku tidak betul.
Ya aku tahu berhenti solat secara sengaja adalah haram dan berdosa namun aku masih lagi akan berhenti solat soalah-olah ada suara yang menyuruh aku berbuat demikian.
Aku akan solat semula dari awal dan keadaan ini akan berulang beberapa kali untuk 1 solat fardhu. Solat yang sepatutnya boleh dibuat dalam masa 10 minit bagi orang lain akan mengambil masa 30 minit atau lebih bagi aku.
Dah bermacam-macam cara aku buat. Aku dah cuba untuk baca Istigfar dan surah An-nas sebelum solat namun hasil masih sama.
Aku dah cuba pelbagai cara dari ceramah yang aku tonton tapi masih tak berhasil. Kadang-kadang aku rasa down dan aku rasa Allah dah tak nak aku sembah Dia.
Dan sekarang penyakit aku bertambah kronik sebab aku sanggup tinggalkan solat disebabkan penyakit was-was ni. Aku akan qadha semula solat tu bila aku rasa confident untuk solat. Hinanya aku ya Allah.
Ya aku tahu meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa besar namun penyakit was-was ni membuatkan aku rasa takut untuk solat.
Aku cuma nak solat dengan baik dan kusyuk. Aku cemburu bila tengok orang lain dapat solat dengan baik tanpa ada penyakit was-was seperti aku.
Aku juga cemburu bila tengok orang lain solat berjemaah. Disebabkan penyakit was-was aku sanggup solat bersendirian walaupun jauh disudut hati aku teringin untuk solat berjemaah.
Aku mohon kalian untuk doakan aku sembuh dari penyakit ni kerana aku tahu ada diantara kalian yang makbul doanya disisi Allah. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Terima kasih.
– Ana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit