Dunia Mimpi

Assalamualaikum admin. Sekiranya ada manfaat tulisan saya ini, sudilah kiranya disiarkan.

Assalamualaikum dan hai semua. Saya terbaca pos pasal mimpi sebelum ni. Pos yang pasal mimpi pelik-pelik tu, (https://iiumc.com/ayat-manzil/). Di bahagian komen pun banyak yang cerita ada mimpi genre begitu.

Saya seorang perempuan yang dah berkeluarga, umur menghampiri 40. Saya cuma nak kongsi sedikit tentang apa yang saya hadapi sejak kecil dan macam mana setakat ini saya survive mental, emosi, dan fizikal.

Juga sedikit tentang beberapa adik beradik saya yang juga sekapal… Geng mimpi pelik-pelik, hihi. Saya pun tak pasti adakah ini masalah jin atau gen.

Apa kaitan mimpi dengan mental, emosi, dan fizikal? Yang mengalami tentu faham. Ada masa saya bangun tidur dengan kepenatan, badan sakit-sakit macam tak cukup tidur.

Dan saya ada masalah sakit belakang terutama pinggang sejak umur belasan tahun, bila tak sedap badan lagilah menjadi. Ada masa bangun tidur terus terkedu dan adakalanya sampai menangis.

Ada masa dok ingat butir mimpi tu tak lupa-lupa, kalau lupa pun perasaan masa mimpi tu tak hilang-hilang. Kadang-kadang kombinasi dua atau semua. Sekali sekala dapat tidur lena tak ada mimpi (atau tak ingat), masyaallah… alhamdulilah… Gembira rasanya bangun pagi dengan segar.

Ok saya cerita sikitlah contoh-contoh mimpi yang kerap bertandang. Mungkin bagi orang lain biasa saja.

Masa kecil dan remaja selalu mimpi jatuh tangga, jatuh dalam kolam, lari-lari kemudian jatuh… Pendek kata macam-macam jenis jatuh.

Mungkin juga akibat trauma sebab saya memang penah jatuh tangga, jatuh pokok, dan tenggelam dalam kolam. Bila dah dewasa mimpi terjun dari tempat tinggi pulak.

Mimpi berkaitan tandas. Masa kecil dulu mencabar betul bila mimpi tandas, haha. Dah dewasa ni bila mimpi tandas saya jadi stress sebab selalunya dalam mimpi tu tandas banyakkk tapi semuanya sama ada kotor atau tak sempurna.

Tak ada pintulah, terlalu rendah, terlalu tinggi, terdedah, tak ada air… macam-macam. Kadang mimpi yang sebelum tu dah jumpa tandas elok sikit, mimpi lagi sekali pergi ke tandas tu dah tak elok.

Mimpi berkaitan bayi. Tapi biasanya belum sempat saya pegang bayi tu saya akan terjaga. Kalau sempat pegang pun badan dan kepala bayi tersebut akan tercerai.

Mimpi ular. Banyak ular besar-besar di sekeliling saya. Biasanya tak serang saya tapi memang rasa gerunlah apahal banyak-banyak ular ni kan.

Pernah juga mimpi ular gigit saya… Gigit tau bukan patuk, tapi terasa tumpul. Dan banyaklah juga keadaan lucu-lucu lain bila mimpi ular.

Mimpi-mimpi genre dunia akan musnah. Yang ni macam-macamlah versinya… Perasaannya sangat real sebab biasanya lokasi akan bermula dari rumah keluarga saya di kampung. Contoh… Tiba-tiba suasana kecoh.

Saya keluar dari rumah tengok kat langit dah mula datang pesawat-pesawat ala alien canggih dah ready nak musnahkan semua yang ada. Jadi sepanjang mimpi tu saya dok lari dan lawan dengan squad pemusnah daratan. Bangun tidur memang badan penat.

Mimpi ada hantu. Hantu dalam mimpi saya biasanya semua muka mirip manusia… Ada yang saya tau tu hantu, ada yang macam jeng jeng jenggg… Oh kau pun hantu rupanya, kurang ajar betul.

Mimpi situasi dan lokasi (sungai/laut, bangunan, belukar/kebun, sekolah, seakan rumah keluarga dikampung dan sekitarnya) yang biasanya berulang-ulang.

Setiap situasi dan lokasi tu ada watak-watak dan haiwan-haiwan yang sentiasa ada dalam mimpi tersebut. Ada yang saya kenal ada yang tidak.

Ok cukuplah saya cerita pasal mimpi-mimpi saya nanti anda-anda yang baca pula yang pening, haha. Ada juga mimpi yang tak sesuai untuk dicatatkan. Saya masih tetap mimpi begini sampai sekarang.

Ada beberapa kakak saya yang geng mimpi pelik juga. Kalau bab mimpi bayi, 2 orang dah terima bayi dan susukan. Yang sorang tu bayinya siap dah jadi budak kecil.

Semua dalam mimpi saja ya. Sorang lagi (saya tak mau mention abang atau kakak nanti obvious sangat, hehe) boleh ‘rasa’ seseorang ada pendamping/saka bila tengok ke mata orang tersebut. Dia ceritalah, betul atau tidak wallahualam.

Kalau ikutkan mimpi-mimpi kami ada yang macam berkaitan dengan pendamping dan saka. Pernah juga siasat adakah generasi terdahulu ada membela atau mengamalkan apa-apa.

Tapi kami tak mahu berlebihan dalam beranggapan begitu sebab rasa seolah menfitnah tok nenek pula. Lagi pun alhamdulillah semuanya masih terkawal. Kadang-kadang mental dan emosi agak tercalar tapi terkawal.

Bagi saya benda-benda ghaib ni memang wujud. Namun begitu jin tak upaya beri manusia mudarat dengan sendirinya.

Jika betul pun keluarga saya ada pendamping atau saka, saya yakin kalaupun ada berlaku perkara tidak elok itu semua atas izin Allah yang akan sentiasa menguji hamba-hambanya setakat mana kita mampu. Ujian Allah tanda Allah masih sayang kepada hambanya.

Paling penting, sentiasa minta dan mengadu kepada Allah. Minta Allah beri kita kekuatan untuk menjaga iman, ilmu, dan amal supaya semuanya kerana Allah dan demi mendapat redha Allah, tiada yang lain.

Saya pun tak cukup baik sebagai manusia dan hamba Allah. Tapi sentiasa berusaha, insyaallah.

Selain itu… Saya seorang lucid dreamer (ada juga mimpi saya yang bukan lucid). Tapi tidaklah boleh kawal 100% mimpi lucid saya.

Yang pastinya saya masih boleh berfikir dan buat keputusan dalam mimpi saya terutama mimpi-mimpi yang berulang. Jadi saya boleh ‘explore’ lokasi dan ingat watak-watak dalam mimpi tersebut.

Best ke lucid dream? Hmmm… Macam mana nak kata ya. Saya kena selalu ingatkan diri saya untuk tidak terlalu ‘menikmati dan menghayati’ mimpi-mimpi. Bahaya.

Ada beberapa stage dalam hidup saya yang saya sampai terfikir kenapa dengan saya ni? Terutama bila saya sedar yang kawan-kawan saya tak mimpi bukan-bukan secara rutin, masa tu umur saya di awal 20-an. Ditambah lagi dengan perkara-perkara yang berlaku semasa jaga.

Jujur memang saya pernah terfikir yang saya ni ada keistimewaan apa-apa ke? Atau saya ni manusia aneh ke? Saya bakal jadi gila ke? Serabut dibuatnya.

Seingat saya, saya mula rasa ok secara berperingkat (berkaitan mimpi) bila saya tau ada adik beradik saya yang lain mengalami masalah yang hampir sama walaupun dengan intensiti yang berbeza.

Bila masing-masing dah nak tua ni kami jadi lebih terbuka untuk kongsi masalah terutama yang melibatkan kesihatan mental dan fizikal.

Macam mana setakat ini saya survive terutama mental dan emosi?

Ok, salah satunya itulah… Saya bercerita dengan individu-individu terdekat yang sabar ‘melayan’, haha. Syukur sangat-sangat saya ada suami dan sebahagian keluarga terdekat yang sentiasa cuba memahami.

Kalau tak boleh nak relate pun mereka dengar saja macam layan cerita dongeng tu, haha. Kemudian kami rasionalkan fikiran kami dengan menganalisis secara objektif dan mencari sisi positif… Dan sisi lucu.

Selain cuba buat amalan sebelum tidur secara islamik saya juga belajar untuk letgo dan lapangkan fikiran sebelum tidur. Sedikit sebanyak mengurangkan keextreman konten mimpi saya.

Sejak beberapa tahun lepas saya sangat berhati-hati memilih hiburan dan apa-apa input ke otak saya supaya fikiran saya lebih fokus dan jelas.

Saya elak dari menonton hiburan lagha dan efek-efek audio & visual berlebihan contohnya. Sebab ini semua boleh menambah rencah dunia mimpi saya. Saya pilih hiburan yang tenang-tenang saja.

Sejak beberapa tahun yang lepas juga saya mula redha je mimpi apa pun. Saya anggap macam dapat tengok movie atau saya sedang berlakon filem, atau saya sedang main game adventure. Bila terjaga dari tidur istighfar banyak-banyak dan bersyukur masih hidup dan masih waras.

Tentang sakit pinggang dan belakang saya… Saya kena selalu bergerak dan sesekali perlu berbaring luruskan badan. Ambil suplemen kalsium pun banyak juga membantu.

Tapi tak dinafikan ada masa tetaplah ada wujud perasaan semacam anxiety tu. Bila jadi macam tu memang saya menangis puas-puas lepas solat, minta kepada Allah s.w.t kasihani dan tenangkan hati saya.

Alhamdulillah biasanya lega. Tak semestinya terus lega tapi kena betul-betul yakin Allah dengar, tahu, dan pasti bantu.

Saya harap cerita saya ni beri sedikit sinar kepada anda-anda yang terperangkap dengan masalah mimpi-mimpi aneh.

Tapi kalau tak terkawal carilah cara untuk berubat. Saya rajin juga cari maklumat tentang perawat dan rawatan. Ada yang boleh percaya ada yang macam mengarut je.

Saya takut terjebak dengan perawat yang guna cara yang Allah tak redha, jadi selagi boleh saya stick dengan cara yang paling asas iaitu sentiasa berusaha jadi hamba yang Allah redha.

– Acik yang asyik mimpi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *