Aku seorang perempuan, usia menginjak 40an, aku bersyukur atas kurniaanmu Tuhan. Tidak sedikit pun aku menyesal atas kepayahan yang aku lalui, mujur aku tidak pernah terfikir untuknya.
Dari kecil aku sentiasa bercita-cita besar. Menonton Macaulay Culkin dalam ‘Home Alone’, aku meniru cara-cara untuk memerangkap perompak.
Aku juga mencipta cara menggoreng telur melalui mekanisme yang Macauley tunjukkan. Pada waktu itu semangatku untuk menjadi saintis sangat besar. Aku sketch ideaku di atas tilam, dan rambutku ditarik oleh bapaku.
Sewaktu bersekolah rendah, aku sering menumpang asrama kakak-kakak yang belajar di Sekolah Menengah Agama (Bukan kakak aku).
Aku diberikan dengan sebuah buku dan tak cukup dengan itu aku meminjamnya dan membaca berulang kali.
Tidak ingat judulnya, namun ada halaman-halaman fantasi yang menyebabkan ruang imaginasiku melangit. Ada pokok besar seperti pokok Baobab dengan makhluk yang comel dan mesra bukan seperti rasaksa.
Mereka menyambut kedatangan setiap penghuni baru dan setiap tingkatan dahan, buah-buahan yang ada semuanya berbeza. Naik satu lagi tingkatan (lapisan), buah-buahan yang merona terang dan manis tumbuh disetiap batang.
Aku senyum dan mendakap buku, ingin pergi ke alam situ. Dapat berkawan dengan makhluk itu dan merasa nikmat buah-buahan yang tidak dapat kurasai kerana keluargaku orang susah.
Sebelum tidur, aku memasukkan ruang imaginasi ini supaya mimpiku dapat merasainya.
Bertandang ke rumah sepupu, karya Enid Blyton aku telusuri. Bacaan Bahasa Melayu ‘Salma dan rakan-rakan’, karakter inggerisnya adalah si “Nancy Drew’. Dari situ aku berhajat menjadi pegawai penyiasat.
Sewaktu jiranku ditangkap untuk dimasukkan wad mental, aku menyusup ke dalam semak dan mengingat kesemua butiran. Ibu dan bapanya yang menangis tak tertahankan, serta pasukan perubatan yang menaiki ambulans dengan kekuatan 4 kakitangan.
Entah kain perca apa. Sewaktu aku menyelongkar almari lama, ada gambar kapal, peta dan juga (X) bagi menandakan disitu terletaknya harta karun. Imaginasi berdayung sedangkan itu kain yang dicetak dengan corak yang sama dari kepala hingga kaki kain.
Aku berkayuh basikal sejauh 30 Kilometer, meredah semak samun, mencari lokasi peta yang tidak ketahuan. Jika aku memperoleh harta karun, makanya aku akan senang, kaya raya dan tak perlu bantu ibu bapa mengangkat kelapa sawit setiap kali cuti sekolah bermula.
Karpet terbang dan orang mengayuh basikal di bulan menjentik imaginasi ku untuk berada di awan. Karpet terbang cerita Aladdin, orang mengayuh basikal dibulan terang sebelum sesuatu cerita bermula oleh Amblin Television, Warner Bros.
Aku cari mantera dalam kitab lama orang tuaku, namun tidak kedapatan.
Bapaku mempunyai banyak ilmu sufi, namun tiadalah mantera sebegitu. Ingin sekali aku meneroka putih salju bergabus biru diatas sana, namun itu khayalan masa kecilku.
Walau cita-citaku besar, keputusan akademik aku tidak pernah cemerlang. Aku dikatakan banyak berfikir dan kreatif tetapi menggapai banyak A didalam peperiksaan jauh sekali.
Mujur, keputusanku tidak terlalu rendah, tidak pula tinggi, ada 2 subjek gagal SPM dan semua B, C dan D okeylah kan?
Cikgu-cikgu kata aku pandai tapi kenapa keputusan tak pernah memberangsangkan?
Seawal 7 tahun aku sudah menyoal cikgu ‘kenapa ejaannnya SEBAB bukan SEBAP?’.. cuba cikgu sebut dan dengar. Terkulat cikgu menjawap pertanyaan aku dan pelbagai lagi cerita-cerita lain aku menakluk guru.
Aku pernah belajar tulisan tamil dan cina secara surat khabar dan juga mempelajari Bahasa tamil dan Bahasa Cina dengan hanya mendengarkan radio THR Gegar. Kerana cita-cita aku besar dan pelbagai, meningkat dewasa aku tidak pernah terfikir untuk menjadi apa.
Namun, aku menyanjung tinggi mereka yang belajar di Universiti dan aku ingin sekali berada disitu.
Keputusanku tidak melayakkan aku untuk menyambung pengajian ke universiti, lalu kuteruskan dengan STPM. Usai STPM, keputusanku juga sederhana namun semangat untuk ke universiti masih tinggi.
Aku tidak mengalah. Aku kemukakan rayuan, turun naik fakulti-fakulti menghantar surat sokongan berjumpa dekan, walau aku orang kampung yang tercengang-cengang memasuki bangunan gah, berhadapan dengan professor kenamaan.
Waktu itu sistem UPU diperkenal dengan nombor pin BSN, namun aku teruskan jua hajatku moga-moga harapan ku belajar ke universiti terlaksana.
Hikmah menjengah, aku diterima ke UiTM ambilan kedua dengan kursus yang dikatakan kursus buangan. Ramai yang mengikuti kursus ini dan berhenti dipertengahan jalan kerana katanya tiada masa depan.
Usai bergraduasi, hidup caca marba sekali. Mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan tidak pernah dapat namun kehidupan perlu diteruskan. Bermula episod menjadi tukang fotostat berbekal sijil ijazah Sarjana Muda.
Menangis dipenjuru meja kerana RM600 diberikan tidak cukup pun untuk keperluan, apatah lagi makan. Pelajar praktikal dilayan seperti raja, aku tukang fotostat disitu dilayan seadanya. Aku bukanlah siapa-siapa.
Sambil-sambil melakukan kerja fotostat bertimbun, aku pelajari selok belok organisasi. Maklumlah, kali pertama berada didalam dunia korporat. Sambil-sambil mencari kerja lain, akhirnya dapat bekerja kilang roti dengan 80% pekerja adalah OKU bisu dan pekak.
Seronok bersahabatkan mereka. Sambil-sambil aku mencari kerja, ratusan temuduga telah aku ikuti. Gaya percakapan, pembawakan diri, cara mendepani pertanyaan sinis, semua aku pelajari.
Dikala rakan-rakan yang lain gembira bekerja tetap sebagai kerani, ada satu noktah ku gariskan dalam diri.
Aku ingin menjadi seseorang selayaknya pemikiran aku yang ingin sentiasa ke hadapan. Aku pernah bekerja kerani, namun tidak sesuai dengan perwatakan, kemahiran dan kebolehan aku. Sambil bekerja sebagai kerani, aku mendaftar diri sebagai pelajar Sarjana.
Bermula kehidupan seorang kerani dan pelajar Sarjana sepenuh masa. Duit belajar ku tanggung menggunakan KWSP kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa.
Pernah aku keluar sendiri dari rumah sewa kerana tak mampu membayar sewanya lalu aku berumah di PETRONAS.
Hendak isi minyak motor pun tidak berduit. Mandi, makan yang asas sahaja iaitu roti sambil-sambil mencari pekerjaan lain. Beribu-ribu resume aku hantar, turun naik pejabat itu biasa. Ada satu ketika aku bertanya, “Ya Allah, aku ni nak jadi apa?’.
Akhirnya, aku mendapat pekerjaan yang stabil. Terlalu banyak liku-liku diriku. Disabotaj rakan sekerja, maklumat tidak disampaikan dan fitnah berpanjangan. Namun aku tidak pernah membalas dendam.
Namun realiti pekerjaan ini, adalah jenis rutin yang kurang pengembangan potensi diri.
Dikala kawan-kawan kata ‘sayangnya’ lagi sekali aku lepaskan dan menyambung pengajian PhD sepenuh masa.
Bukan gelaran Doktor yang kudamba tetapi untuk membantu masyarakat sekitarnya. Aku ingin mempelajari cara membuat kajian dan menaikkan kawasanku menjadi hub Pendidikan.
Cukup-cukuplah Sarjanaku mengambil masa 4 tahun, untuk PhD aku ingin habiskan mengikut tempoh waktu ditetapkan.
Duduklah aku dikampung, bertani dan berkebun. Tidak makan direstoren cukup setakat di warung. Kehidupanku sungguh biasa namun sangat dekat dengan ibubapa dan keluarga.
Usai aku viva, tempoh menunggu tidak lama sehingga aku mendapat pekerjaan sebagai pendidik di institusi swasta. Namun potensi diriku masih tidak berkembang kerana hanya Pengajaran dan Pembelajaran sahaja yang dititik beratkan.
Aku mencuba lagi sehingga ke Institusi Awam dengan niat ingin mengembangkan potensi diri. Kali ini, walau pelbagai onak dan rintangan aku lalui, namun aku gagah menghadapi. Aku berada ditahap selesa sekarang tanpa terlintas untuk bertukar karier lagi.
Aku didorong oleh rasa tidak pernah putus asa untuk menjadi aku yang sekarang ini. Apa yang aku tahu, setiap yang aku lalui sehingga sekarang disertai semangat juang yang sangat luar biasa. Semangat ingin terus ke hadapan dan boleh berkata dengan diri sendiri yang aku bangga.
Aku bangga tidur tersenyum simpul dengan memeluk buku makhluk comel dan pokok besar buah-buahan yang manis.
Aku bangga mata terpejam, fikiranku menerawang ingin berkayuh ke bulan, berkayuh ke atas awan. Aku bangga merempuh semak mencari lokasi harta karun yang tidak pernah wujud pun.
Aku bangga menconteng diatas katil dengan konon-konon mencipta mekanisme menggoreng telur. Imaginasi tanpa batas, ruang kemajuan sentiasa ada untuk diteroka. Usah sekali-kali berputus asa.
– Pena biru (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit