Assalamualaikum. Terima kasih admin dan pembaca.
Nama aku Sofea dan umur aku sekitar 28 tahun. Tahun yang mana mengikut kalender orang tuaku dah lanjut usia tapi belum bernikah. Sebelum kita masuk topik ‘aku bukan nak mengatalah.. tapi..’, ada baiknya aku set disclaimer awal-awal.
Apa yang aku akan kongsi adalah 100% pengalaman sendiri. Mungkin kebetulan. Mungkin juga suratan. Tapi pokok pangkalnya, jangan pukul rata semua orang. Tapi… itulah..
Baik… jom kita start.
Benda ni mula tahun lepas masa sebelum MCO lagi, aku dikenalkan dengan seseorang yang bernama ustaz. Bosanlah ustaz.. kita panggil dia Boss la.
Siapa yang kenalkan? Jawapan dia mudah. Parents ke parents. Tapi sebenarnya dia satu sekolah saja dengan aku dulu cuma aku tak pernah bercakap dengan dia sebab… sebab dia ustaz?
So kauorang boleh bayang siap-siap perangai dan ciri-ciri keustazan Boss ni dari zaman main ting-ting sampai ke zaman tiktok.
Senang cerita, sepanjang aku sekolah, dia ni orang pandang level malaikat. Soleh, tak pernah ada skandal, berakhlak mulia dan berjawatan tinggi masa sekolah. Habis sekolah, ntah.. mana aku tahu.
Dia pergi oversea study lepas tu tup2 ada balik dekat Malaysia.
Aku dulu biasa-biasa saja, memang orang tak kenal dan tak perasan kewujudan aku sampai tahap kalau aku hilang pun tak de orang cari… aku pernah ponteng program hari sabtu sebab aku nak pergi kursus lain dekat luar. Isninnya kawan tanya aku.
“Eh hari sabtu hari tu, aku ada pinjam pen kau kan? Nah..”
Aah sis.. memang aku ada pun sabtu hari tu.
Maka bermulalah bahtera perkenalan atau dalam bahasa arabnya taaruf. Aku start taaruf ni half hearted saja sebenarnya. Ni pun parents paksa dengan alasan
“Alah.. kenal saja dulu.. nanti kalau tak setuju, boleh tarik diri”
Start- start tu.. aku okaylah juga, kitaorang contact thru telegram. Aku minta rahsiakan taaruf ni. Nak bagitahu orang pun buat apa. Alangkan tunang pun tak perlu hebah.. taaruf lagi lah.
Tak sampai 2 minggu, tiba-tiba aku disapa oleh seseorang dalam twitter. Sajanuh jugalah aku fikir siapakah gerangan mahkluk yang dm aku dengan pertanyaan..
‘Sofea dah berpunya ke?’
Selang 3 minit, dia perkenalkan dirinya sebagai…hmm..kita anggap nama dia Yakuza. Light bulb dalam otak aku menyala. Ohh.. this guy haa..from my school which I never talk to also. Bukan sebab dia ustaz..tak. tapi sebab..
You guys don’t talk to all schoolmates right? Ingat mulut aku ada 10 nak bercakap dengan semua orang? Dan ingat sekolah tu ada 3 student saja aku nak tegur semua?
Dan aku balas dengan mengatakan aku tak free dan aku tengah bertaaruf dengan seseorang. Maka beliau pun kata..
‘Okayla.. kalau macam tu.. if tak menjadi taaruf tu. Sila bagitahu saya’
Kau siapa nak sila-sila? Ingat kau CEO?
Aku mula-mula macam… Yakuza ni sound fishy.. tapi tak pe. Kita lihat permainan dia.
Berbalik pada watak Boss. Lepas 2 bulan, ibu aku tanya dah ada jawapan ke belum? Nak teruskan taaruf ke tak.
Sebagai seorang wanita yang dalam kepalanya ada cerita korea, kerjaya dan kebahagiaan ahli keluarga, aku terus terang dengan ibu yang aku perlukan masa. Mengapa perlu tergesa-gesa? Ibu aku pada mulanya berkeras kata..
“Mana ada orang baitul muslim taaruf lama-lama. Sebulan tu paling lama dah. Lepas tu kena decide nak teruskan ke nak stop”
Aku pun menggaru belakang kepala yang terasa gatal. Kerana pertama, aku kurang setuju dengan instant relationship. Kedua, tak lari jodoh dikejar maka elakkan diri daripada menjadi bodoh. Ketiga, aku dah start rasa tak selesa dengan Boss punya style of texting.
Dont get him wrong. Dia text ayat biasa saja, takde lucah tak de apa. Tapi the contents somehow contradict to each other atau contradict dengan info-info luar daripada spy tak berbayar yang dilantik oleh aku.
Taklah.. aku tak pasang spy pun tapi spy tu yang volunteer nak spy Boss selepas kantoi yang Boss ni tidak bercakap benar. Okay watak baru; Spy. Untuk makluman, aku rahsiakan taaruf ni sampai bestie aku pun tak tahu. Spy ni senior bukan bestie sama baya.
Tapi yang ajaibnya, Spy ni tahu. Hebat tak? Aku tak bagitahu Spy at the first place sebab in case tak jadi.. then tak jadi aib untuk Boss dan aku. Dekat situ aku dah rasa… hmm.. this guy must be doing something behind me.. tak apa.. kita tengok sejauh mana dia pergi.
Dia tak menipu. Tapi dia tak bercakap benar.
Contoh. Contradiction antara mesej dia dan info daripada Ibu.
Info Ibu : Boss yang terlintas nama awak.
Text 101 Boss: Mak saya yang kenenkan dengan awak. Saya setuju saja.
Text 408 Boss: Saya suka kopi.
Info Ibu: Kopi bukan favourite Boss
Text 1001 Boss : Kita tak perlu rushing pun. Saya pun tak rushing.
Info Ibu: Cincin size apa? Mak dia nak beli dah ni..
Text 1020 Boss : *pura2 tanya pasal kerja*
Info Ibu : Hantaran nak berapa Sofea? Cuba bagitahu.
Aku rasa dia ni kalau jawab soalan personality nampak sangat tak ada stand. Dan kemuncak aku rasa ohh this Boss must be wearing different masks.. bila mana aku confront dengan dia. Apa lagi sebenarnya yang dia tak cakap benar dan direct dengan aku… cuba cerita.
Akhirnya dibulan ke 8, ibu aku naik suara macam Grand Queen Dowager Suwon.
“Ibu nak Sofea bagi jawapan minggu depan. Tak baik buat orang tertunggu-tunggu”
Aku tangkis serangan Ibu dengan perisai Captain America.
“Tunggu apa? Dia tak rushing pun. Relaxlah..”
“Siapa kata tak rushing. Dah bernanah mata baca mesej Mak dia tanya.. Dah 8 bulan taaruf tak ada jawapan lagi ke???”
Okay ibu.. calm down please. Aku janji bagi jawapan minggu depannya. Sebelum bagi jawapan aku buatla juga istikharah walaupun half of me nak stop saja taaruf yang aku tak rasa peaceful. Sentiasa ada benda yang tak kena. Lepas seminggu, aku pun say
‘NO’
Aku nampak wajah suram parents aku selama beberapa hari. Mungkin depa rasa sedih kut aku tolak orang yang baik daripada keluarga yang baik.
Tapi aku dah cukup rationalkan semua benda daripada keluarga, keturunan, education, lifestyle dan jawapan dia still ‘no’… nak buat macamana?
Aku kira tamat sudah ceritanya disitu. Tapi tidak tuan-tuan. Seminggu lepas tu, parents aku tanya lagi..
“Ni ha…anak Mak Bee ada tanya pasal kamu Sofea”
Ah sudah.. Mak Bee mana. Mak Bee aku kenal rojak buah tu saja. Selang 4 minit Ibu aku sebut nama dia.
“Yakuza.”
Excu… whatt??
Berpura-pura pekak, aku tanya lagi sekali.
“Iya.. Yakuza.. kawan sekolah kamu juga kan?”
Wait mother. Hold my root beer.
Sepantas kuda berlari, aku terus search sesuatu dalam semua laman sesawang media sosial. Dan research aku sepantas 10 minit sepertimana antivaxx membuat research, aku didedahkan dengan fakta bahawa Yakuza dan Boss merupakan kawan baik!!
Maka sel-sel otak aku berfungsi dan bersambung. Aku buat satu garisan, timeline pre covid sampailah hari ni. Aku letak beberapa titik.
Titik 1 : parents Boss ke parents. Taaruf dengan Boss. Mula.
Titik 2 : Text daripada Yakuza. Mula dan Tamat.
Titik 3 : Taaruf “sampai abang jamil kembali ke barzakh* dengan Boss.
Titik 4 : Back off.
Titik 5 : Parents Yakuza ke parents.
Aku ada dua persoalan. Are they playing a game? Or are they hunting a prey? Was I the prize or was I the cause?
There was no way this senario can be considered as coincidence.
Selesai menyiasat. Aku terus reject mentah-mentah perlawaan kali ni sebelum sempat ayat
“Kenallah dulu..” daripada Ibu terpancul keluar. Kali ni, aku nekad. Biar lah nikah lewat sikit dengan orang yang tepat daripada menjadi trofi dalam pertandingan KITA TENGOK SIAPA YANG DAPAT.
Kira-kira 2 bulan kemudian, selepas aku dah settle down, aku keluar makan-makan virtually dengan Spy.
Memandangkan Spy ni satu-satunya kawan yang tahu apa kejadahnya yang berlaku, aku bagitahu dia yang aku dah stop so called taaruf dengan Boss dan aku tolak terus Yakuza tu masuk gaung.
Guess what? Another cup of tea spilled. Macamana Spy ni boleh dengar cerita pasal aku dan Boss?
Sebab Boss share pasal aku dan dia dalam GROUP yang mana hampir 100% aku kenal dalam tu.
Aku ni bukan nak mengatalah.. tapi aku rasa tahap kejujuran dalam menyimpan rahsia dengan level kau sebagai ustaz tu macam.. baik kau simpan sajalah songkok jubah buku-buku agama daripada Timur Tengah kau tu.. simpan sajala.
Kau rasa aku ni apa eh? Kalau setakat taaruf kau dah kecoh satu dunia..kalau dah tunang, aku rasa ada dia buat press conference hari-hari macam MKN. Aku ni biasa-biasa saja kut. Aku lalu sebelah pun orang still tanya
“Mana Sofea?”
Aku tak glamour. Aku sumpah biasa saja. Mungkin korang akan rasa.
‘Hak alaahh.. itu pun kecoh. Biasalah lelaki. Mana simpan rahsia’
‘Mestila nak cerita dengan member’
‘Dia pun ada kawan gak sis nak bercerita dengar celoteh dia’
Ya tuan-tuan. Cerita dengan member sorang dua aku okay lagi. Tapi kau post dalam group tu jadah apanya? Kita tengah TAARUF saja KUT. Tak reti hormat prrivacy ke brother? Sekarang tak jadi..haa padan muka kau. Menjawablah.
Aku cubalah tak nak sterotaip kan orang yang bergelar ustaz ni walapun semua title PU Daie IM dah sapu bersih cerita-cerita yang tak menarik.
Walaupun cerita aku takde kaitan dengan orang ketiga, tapi kalau kau mulakan perhubungan dengan TIDAK JUJUR, kau SEBARKAN CERITA taaruf kita dengan ramai orang, kau mungkin BERTANDING dengan kawan baik kau, kau nak aku expect apa?
Brother.. aku ni bukan nak mengata, tapi itulah. Cubalah bagi gambaran yang baik sikit kepada rakyat marhaen macam aku ni haa. Buktikan title ustaz tu bukan sekadar title.
Sekarang bila orang bisik-bisik tentang seseorang dengan mengatakan si pulan ini baik.. si pulan ini jahat.
Aku senyum saja.
Brother and sisters, ketahuilah setiap orang ada dark side dalam diri dia. Aku pun ada. Tapi tak perlulah dicanang satu dunia.
Okay. Aku serahkan baton ‘aku bukan nak mengatalah.. tapi’ dekat insan yang memerlukan.
– Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit