Assalamu’alaikum. Salam sejahtera. Aku berumur awal 30an, mempunyai 2 orang anak. Usia perkahwinan hampir mencecah 4 tahun.
Aku baru diceraikan oleh suami, tapi belum disahkan di mahkamah lagi. Aku dan suami sudah hampir 2 tahun tinggal berjauhan (PJJ).
Dia kerja di kota raya, aku kerja di satu daerah kecil di negeri berlainan. Hasil perkahwinan dengan suami dikurniakan seorang cahaya mata. Anak pertama hasil perkahwinan dengan arwah suami pertama.
Selama 3 tahun perkahwinan aku bahagia bersama suami sekarang, sangat selesa bersama dia. Suami baik, tak pernah kasar dengan aku, tak culas bab nafkah.
Sebelum berjauhan, kami pernah duduk sebumbung selama setahun sahaja. Masa tu aku sorang bekerja, dia cuma cari rezeki dengan menjual barangan secara online, ada la rezeki sikit. Aku tak berkira dengan dia, sebab aku faham keadaan dia.
Bila dapat tawaran kerja di kota, aku tengah sarat mengandung. Jadi mak ayah nak datang ke tempat aku untuk tinggal bersama aku dan anak-anak.
Alhamdulillah, aku gembira. Selama setahun lebih berjauhan, kami tiada masalah. Suami selalu balik jumpa aku dan anak-anak. Kadang-kadang aku yang datang ke kota berjumpa dengan suami.
Sejak musim covid ni, kami dah semakin jarang dapat berjumpa disebabkan PKP dan sewaktu dengannya. Suami pula kerap kerja lebih masa (OT) untuk cari rezeki lebih buat kami.
Sampailah satu masa dia janji nak balik jumpa aku dan anak-anak, tapi tak jugak kesampaian kerana setiap minggu dia akan beli OT.
Awalnya aku redha lagi, tapi dah sebulan tak jumpa, aku mula tak sedap hati. Aku buat keputusan untuk pergi ke kota jumpa suami.
Biasala perempuan, merajuk sikit sebab janji tak ditunaikan untuk balik jumpa aku, jadi aku tak tegur dia sangat dengan harapan dia pujuk aku. Tapi apa pun aku tak dapat, dia leka dengan telefon dia.
Aku mula nampak perubahan dia sikit demi sedikit. Minggu seterusnya aku usaha untuk balik semula jumpa dia, tapi dia tetap dingin.
Akhirnya dia ajak aku berpisah. Katanya dah tawar hati. Benci dengan aku, nak bebas, seronok hidup bujang. Sebab tu dia sengaja tak nak balik jumpa aku. Katanya aku dah tak cantik.
Dia banyak merendahkan aku, hinakah aku? Bila ditanya dah ada orang lain ke, dia tak mengaku. Dia banyak salahkan aku. Kata aku tak sayang dia dah, abaikan dia. Kami PJJ, macamana aku nak jaga dia?
Rupanya aku dapat tahu dia ada orang lain, kawan sekerja. Dah selalu meluah dengan kawan tersebut. Dah pernah keluar sama beberapa kali. Dah kerap makan sama sebab selalu sama syif. Dah selalu saling tolong menolong di tempat kerja dan di luar tempat kerja.
Bila ditanya, jawabnya salahkah kami berkawan? Aku cuba untuk husnudzon. Berbulan aku makan hati dengan sikap dia.
Setiap kali aku WhatsApp, dia bagi bluetick saja. Jarang nak reply, kalau ada pun dingin saja. Tapi aku tetap sabar dan bagi dia ruang, peluang, serta turut saja kemahuan dia.
Aku pernah sampai jatuh sakit sebab terlalu tertekan dengan masalah ni. Aku pendam sorang, sampailah dah tak boleh buat apa, aku bagitahu family aku. Mertua pun tahu.
Mertua sering bertanya, tapi aku rahsiakan sampai tahap dah tak dapat nak rahsiakan lagi. Dia marah sebab aku libatkan family dia. Kalau aku tak buat macam tu, dia akan makin hanyut.
Bila dia dah mula posting di media sosial berkaitan skandal dia (tapi bukan secara terang-terangan. Hanya menggunakan caption dan simbol yang skandal tu suka yang tak pernah dia tuju kat aku sebelum ni),
Aku mula tercabar untuk mesej perempuan tersebut. Bila ditanya, dia mengaku sukakan suami aku. Mengaku pernah beberapa kali keluar sama naik kereta perempuan tu (sebab suami ada motor saja, kereta aku pakai).
Katanya tolong laki belikan barang naik kereta. Aku dah cakap elok-elok suruh jauhkan diri jika melibatkan hal peribadi, biarlah hanya urusan kerja sahaja.
Kalau suami minta tolong, biarlah dengan kawan lelaki sahaja. Tapi perempuan tu kata, dia tak boleh janji semua tu. Jangan percayakan dia. Tapi jangan jadikan dia punca rumahtangga aku runtuh.
Dia kata, salahkah mereka berkawan? Aku cakap elok dah, takde mencarut ke apa. Aku masih kawal bahasa aku. Aku tanya elok, ada perancangan dengan laki aku ke.
Dia kata buat masa ni takde, tapi takdir jodoh ketentuan Allah katanya, siapalah kita untuk menghalang semua tu. Bijak dia berkata-kata. Aku malas dah nak layan dia. Aku cuma ucap terima kasih saja.
Aku dah minta petunjuk dari Allah untuk rumahtangga aku. Allah tunjuk satu satu kecurangan suami. Kantoi sikit demi sikit.
Nama dan bio Instagram pun ubah guna emoticon dan ayat yang sama, nampak macam pasangan kekasih. Wallpaper WhatsApp pun guna gambar skandal. Tapi tetap nafikan dan kata salahkah berkawan. Kawan ke sampai macam tu?
Sejak dia lafazkan cerai bulan lepas, dia dah semakin kerap keluar dengan perempuan tu. Sampai tahap pergi balik kerja pun jemput perempuan tu.
Keluar dating jangan cakap, dah biasa dah. Dah makin berani dah buat kerja. Sampai tahap ke rumah masing-masing. Buat apa? Allah saja yang tahu.
Bila dah jadi macam ni, dia buat drama rindukan anak dengan family dia. Dulu masa tak layan aku, aku hantar gambar dan video anak setiap hari, tapi dia bluetick saja. Videocall pun aku jawab elok. Tapi bila dah jadi macam ni, aku dah tak layan, katanya aku halang dia jumpa anak.
Aku dah bagitahu, aku tak pernah halang. Aku cuma tak selesa dah nak jawab videocall dan reply mesej dia. Kalau rindu, datang jumpa anak. Jumpa kekasih setiap hari boleh je, jumpa anak takkan tak boleh.
Berat ujian aku, dianiaya dan ditipu sampai macam ni. Berat aku susut banyak, sampai kurus teruk dah aku.
Demi anak-anak, aku cuba untuk bangkit. Urusan mahkamah pun tak selesai lagi, dia dah bahagia dengan kekasih dia kesana kesini. Aku masih dalam tempoh iddah. Sebelum cerai dia pujuk aku kata kalau jodoh kuat kami rujuk semula.
Bodohnya aku percayakan kata-kata lelaki yang kononnya baik tu. Selepas cerai katanya anggap antara kita tak ada jodoh, yang ada hanya bodoh. Semudah itu dia buang aku. Apa tujuan dia kahwin dengan aku? Tak ikhlas kahwin dengan aku.
Tak ikhlas terima anak aku. Kesian anak aku, anak yatim, berharap kasih sayang seorang ayah. Anak kecil aku pulak memang dari lahir dah kurang kasih sayang ayah sebab kami PJJ.
Bila bersama suami tak pernah tolong basuh berak, mandikan anak, siapkan anak, buatkan susu anak. Aku faham, aku tak pernah berkira semua tu selama ni.
Tapi bila dia buat aku macam ni, aku nampak kenapa dia tak ada usaha untuk buat semua tu kat anak dia sendiri. Yang dia tahu, main dengan anak kejap, pastu siap pesan jangan kacau dia nak tidur, nak rehat.
Masa tu aku faham dia penat mungkin, tapi sekarang aku sedar hakikatnya dia bukanlah ayah dan suami yang baik.
Maaf sekiranya penceritaan aku kurang menarik, dan mungkin agak serabut untuk dibaca. Aku cuma perlukan kata semangat dan pendapat semua, apa perlu aku buat untuk terus kuat menghadapi semua ni?
Aku masih belum dapat move on lagi. Masih dihantui bayangan suami dan skandal dia.
Terima kasih semua…
– Seorang ibu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit