Kaya Itu Jahat?

Saya terbaca confession mengenai ketidakpuasan hati seorang adik terhadap abangnya yang kaya, yang dikatakan sombong dan tidak berbakti kepada keluarga (https://iiumc.com/along-kenapa-begitu/).

Saya tidak mengenali keluarga ini, tetapi hanya mahu bercerita dari perspektif seorang yang melalui liku-liku membina kejayaan secara kewangan hingga mampu termasuk dalam kategori jutawan.

Untuk capai RM1,000,000 pertama itu amatlah payah, tetapi langkah selepas itu ternyata lebih mudah. Itu semua kurniaan Allah Yang Maha Kaya. Kita semua kena akur, Dia pemilik segala yang ada termasuk nyawa dalam badan kita.

Jadi, apa bentukpun kekayaan yang dipinjamkan kepada kita ini tidaklah bermakna tanpa redha Nya.

Benarkah kaya itu jahat? Lepas jadi kaya, seseorang tu akan jadi tamak?

Faktanya, orang yang selalu bercakap “wang bukan segalanya” itulah yang selalu kemaruk untuk buat apa saja bagi mendapatkan secubit kekayaan.

Tipu OT, tipu claim, makan rasuah, dan merekalah yang paling jaki bila ada jiran dapat sedikit nikmat, walaupun tak ada kena mengena dengan hidup mereka pun.

Memang wang bukan segalanya, tetapi hampir segalanya memerlukan wang.

Bayangkan lepas dah beristeri, kita tinggal dengan mak ayah, tubuh badan sihat, tapi kita nak berpaut kepada mereka, kononnya, tanpa wang, kasih sayang kita hulurkan kepada mereka.

Boleh? Nak biarkan isteri, anak kita minta duit belanja dari ibu ayah yang dah dimamah usia? Kes semacam ni, selalunya berakhir dengan kejadian tidak baik.

Wang bukanlah pengubah sikap manusia. Ia hanya menguatkan sifat seseorang. Seorang yang pemurah ketika miskin akan lebih pemurah apabila kaya. Sebaliknya orang bakhil ketika miskin, amatlah bakhil ketika mereka kaya.

Cuba bayangkan antara mentaliti Kondo dengan mentaliti rumah flat, yang mana kita unlikely akan jumpa orang yang jelek? Rebut parking, buang sampah dari jendela.

Satu masa dulu, lama juga saya tinggal di rumah flat di ibukota. Bukanlah semuanya teruk, tapi likelihood untuk jumpa orang jelek amat tinggi jika dibanding tinggal di kondo mewah.

Seseorang yang memandang orang kaya dengan pandangan jelek, tentunya akan terus miskin. Ini kerana, minda mereka sentiasa memberitahu, jangan jadi kaya, sebab nanti akan jadi orang jahat.

Orang semacam ini, kalaupun mendapat durian runtuh, sejumlah besar wang, nescaya dalam masa singkat ia akan habis.

Umpama tertelan pil khayal, wang yang banyak menyebabkan mereka “high”, segala pelaburan yang mereka tak pernah ada ilmu tentangnya dirasakan diri sebagai pakar,

Segala macam perniagaan yang mereka rasakan sebagai peluang walaupun tak pernah faham tentang perniagaan, akhirnya wang itu lesap, mereka kembali miskin.

Malah, mungkin lebih miskin berbanding sebelum mereka mendapat durian runtuh tu.

Kaya itu mulia. Harta sepatutnya hanya di tangan untuk dimanfaatkan kepada kebaikan, bukan di hati hingga membutakan seseorang dari halal dan haram.

Zuhud bukanlah bererti kena jadi papa kedana, sebaiknya zuhud itu tidak meletakkan dunia sebagai matlamat, kerana mata sentiasa memandang negeri akhirat nun jauh di sana, yang kekal abadi.

Suka saya berkongsi tips untuk kaya dari pakar kewangan terkemuka di Malaysia:

1. Lengkapkan diri dengan ilmu kewangan.

2. Wujudkan pelbagai sumber pendapatan (orang kaya tidak hanya bergantung kepada satu sumber).

3. Tingkatkan simpanan.

4. Besarkan pelaburan.

5. Ulang langkah 1 hingga 4.

Memahami dan melakukan seluruh langkah ini secara bersungguh dan bertawakal,

Kemungkinan untuk berjaya itu amatlah besar dibanding mengeluh sebab orang lain yang diberi keluasan harta tidak menumpahkan harta mereka kepada kita. Tentunya ia tidak mudah, tapi bukan mustahil.

– Dealer Emas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *