Untuk part I, (https://iiumc.com/jurutera-buntu/).
Assalamualaikum warga iiumc, kalau masih ingat lagi nama aku Quli seorang jurutera dulunya berkhidmat di utara semenanjung malaysia. Aku pernah buat confession satu ketika dahulu sebelum PKP.
Selepas confession tu dah publish, aku dapatlah pelbagai reaksi dari pembaca. Ada yang memahami dan ada juga yang kritik.
Walaubagaimanapun, aku bersyukur dan berterima kasih kepada semua pembaca yang memberikan kata kata semangat yang memulihkan sedikit luka di hati. Aku rasa cukup muqaddimah setakat ni. Jom kita start!
Beberapa minggu selepas aku keluarkan confession, aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti kahwin 2 minggu yang agak lama dalam industri pembinaan.
Dalam masa cuti tu aku rancang nak berhijrah untuk memohon pekerjaan secara walk-in di luar daerah dan negeri.
Aku dah berterus terang dengan tunang yang aku akan diberhentikan kerja dan perlukah aku menangguhkan perkahwinan? Setelah berbincang, kami bersepakat meneruskan perkahwinan.
Alhamdulillah aku dapat seorang tunang yang sangat memahami dan menyokong aku dari belakang. Tanpa mengalah aku terus letakkan pengharapan pada Allah agar segala urusan aku dipermudahkan.
Sebelum aku bernikah aku telah menempah sebuah kereta tempatan untuk tujuan membuat perkhidmatan e-hailing sementara menunggu tawaran kerja.
Hari bersilih ganti, hari pernikahan yang dinanti telah tiba. Aku terpaksa bersedia apa pun soalan yang akan aku terima dari makcik makcik dan pakcik pakcik baik dari sebelah aku dan bakal isteri.
Aku mengambil keberkatan untuk bernikah selepas solat jumaat. Dikesempatan itu aku berdoa di antara dua khutbah agar dipermudahkan perjalanan hidup aku dan keluarga yang bakal dibina.
Setelah selesai menunaikan solat jumaat, aku bersiap memakai sepersalinan baju melayu putih dan juga songket bertona hitam.
Ketika aku sedang bersedia menuju ke kereta untuk bergerak ke rumah bakal isteri, aku telah menerima panggilan telefon dari seseorang. Dalam keadaan yang gementar dan bercampur baur (first time nikah kan hehe), aku menjawab panggilan tersebut.
Terdengar suara seorang perempuan yang membuat panggilan dari utara. Dia membuat panggilan bagi menetapkan tarikh temuduga di sebuah syarikat di ibu kota dan aku setuju untuk ditemuduga selepas majlis di sebelah isteri.
Alhamdulillah aku telah selamat bernikah dengan isteri dan majlis disebelah pihak perempuan berjalan lancar.
Seperti yang dijangka, ramai juga yang bertanya soalan soalan yang sudah aku jangka seperti “Lepas ni pjj ke?” “Sapa yang pindah nanti?” “Suaminya kerja apa?” dan banyak berbagai soalan lain.
Tapi dengan tenang aku jawab satu persatu. Untuk pengetahuan semua pembaca, pada masa tu keluarga mertua aku tak tahu yang aku bakal diberhentikan.
Setelah selesai majlis sebelah isteri, aku ke ibu kota untuk menemani isteriku bekerja dengan harapan dapatlah aku mencari kerja di sana. Beberapa set resume telah disiapkan untuk bekalan ke sana.
Hari temuduga telah pun tiba, aku ditemani isteri ke tempat temu duga. Sempat juga aku menghubungi kedua orang tua dan juga mertua aku untuk meminta restu.
Alhamdulillah proses temuduga berjalan dengan baik. Aku diberitahu jika di senarai pendek, aku akan dihubungi dalam masa seminggu.
Tanpa meletakkan harapan yang tinggi, aku pun meneruskan misi mencari kerja di tempat lain sehinggalah aku perlu pulang ke kampung bagi membuat presediaan majlis sebelah lelaki pula.
Isteri aku tak henti henti berikan kata semangat untuk mengembalikan keyakinan aku mencari kerja.
Alhamdulillah setelah selesai majlis di tempat aku, maka bermulalah cabaran kehidupan berumahtangga. Maklumlah, baru berkahwin serba serbi kekurangan dengan takda rumah sewa semua sebab sebelum ni aku dan pasangan bekerja di negeri yang berlainan.
Tak sampai seminggu, aku menerima panggilan di senarai pendek untuk menghadiri temuduga kali kedua di syarikat yang sama.
Aku pun kembali ke ibu kota bersama isteri untuk menghadiri temuduga kedua. Aku bertolak awal pagi untuk tiba disana pada masa yang dijanjikan. Dengan perasaan gementar aku meneruskan langkah ke tempt temuduga.
Aku di temuduga oleh pengurus syarikat pula. Proses temuduga aku berjalan dengan baik namun keputusan untuk diambil bekerja tidak diberitahu. Aku pulang semula ke kampung untuk selesaikan beberapa perkara yang tertangguh.
Isteri aku pun dah mulakan semula kerja setelah habis bercuti. Dia tinggal di bilik sewa seperti sebelum kahwin sementara aku masih menghabiskan sisa baki kerja sebelum dibuang syarikat pembinaan itu.
Kami memulakan kerja masing masing dengan jarak jauh. Tanpa diduga, kerajaan telah mengumumkan pkp disebabkan pandemik covid19. Aku kembali bercuti panjang dan isteri aku sempat pulang ke kampung.
Kami pun berpkp di rumah keluarga. Semasa dua minggu pertama pkp aku telah menerima tawaran kerja dari syarikat yang aku ditemuduga sebelum ni.
Disebabkan PKP, kemasukan aku ke syarikat itu ditangguhkan sementara menunggu arahan pihak kerajaan membenarkan pembukaan ekonomi semula.
Aku dan isteri mula melakukan rentas negeri setelah aku dipanggil untuk melaporkan diri di syarikat baru. Dengan tidak boleh melawat rumah sewa yang bakal kami diami, kami membuat pencarian secara atas talian sahaja.
Agak mencabar ketika itu dimana aku dan isteri berpindah ke rumah sewa dalam tempoh PKP. Setelah melaporkan diri, aku diterima baik oleh syarikat dan mula menjalankan tugas disana.
Tak sampai seminggu aku memulakan tugas, manager syarikat lama yang membuang aku dulu menghubungi aku semula untuk menawarkan kerja.
Aku tak angkat call, dia whatsapp. Aku tak balas whatsapp, dia call guna no bini dia. Aku dah tetapkan pendirian untuk terus ke depan tanpa menoleh lagi ke belakang.
Alhamdulillah urusan aku dipermudahkan dan sekarang aku lebih bahagia di tempat baru tanpa maki hamun dan suasana yang lebih positif. Untuk pengetahuan pembaca, aku telah pun diserap sebagai pekerja tetap di syarikat yang sekarang aku bekerja.
Jadi disini aku nak simpulkan beberapa perkara untuk ingatan aku sendiri dan juga para pembaca.
Pertama, sentiasalah berbuat baik walaupun dilayan buruk kerana selagi kita hidup, ibaratnya kita semua sedang berjalan tanpa tahu apa yang kita bakal tersandung dihadapan.
Kedua, bila menemui jalan buntu sentiasalah kembali kepada sang pencipta kerana Dialah sebaik baik penolong.
Walaupun aku tak kenal sapa yang memberikan komen positif dan mendoakan didalam komen untuk entri sebelum ni, aku ucapkan ribuan terima kasih kerana telah menyumbang sedikit sebanyak dalam perjalanan hidup aku.
Dalam keadaan pandemik yang serba mencabar sekarang ni, aku doakan semua pembaca agar diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. Aamiin.
– Quli (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit