Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua pembaca IIUM Confession.
Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat dan pengalaman bila membaca satu posting yang bercerita masalah rumahtangga angkara cinta pertama.
Benar, bukan semua antara kita berkahwin dengan cinta pertama kita atau kita adalah cinta pertama orang kita kahwini.
Namun semua orang mengakui, cinta pertama adalah cinta yang tidakkan kita lupa, apatah lagi cinta itu tidak bertepuk sebelah tangan. Hanya kerana tiada jodoh terjadi perpisahan samada dengan rela atau terpaksa.
Yang lebih memilukan jika cinta masih ada tetapi perpisahan berlaku bukan kerana hati yang berpaling arah tetapi situasi yang memaksa untuk berpisah.
Lalu masing-masing memilih jalan sendiri dan bertemu jodoh dengan jejaka/ dara yang lain. Maka itulah jodoh yang sudah ditakdirkan sejak azali.
Bagaimanapun, setelah beberapa tahun melayari alam perkahwinan, dikurniakan zuriat dan keadaan makin stabil tiba-tiba berlaku kejadian tidak disangka. Bertemu kembali cinta pertama.
Kenangan berputar kembali, masih terasaseperti semalam saat mata bertentangan dan bibir tersenyum. Hati bergetar dan impian bergema dalam jiwa. Itulah saat, jiwa merasa gelora cinta pertama.
Benar, ia satu perasaan yang seribu tahunpun takkan terlupa. Ia indah, lebih indah dari pelangi, membuai rasa dalam seribu bahasa hati.
Perlukah disalahkan cinta pertama?
Tidak, jangan salahkan cinta pertama. Yang salah adalah individu itu sendiri yang tidak dapat membezakan realiti dan ilusi. Tidak dapat antara membezakan kenyataan hidup dan kenangan lama.
Masalah berlaku bila mereka terbuai dalam cinta pertama, jika dulu cinta tidak kesampaian untuk memiliki, sekarang peluang masih ada untuk merealisasikannya.
Tidak cukup memiliki cinta di hati, biar batang tubuh juga dimiliki sebagai bukti. Untuk yang tipis iman, tiada kenal hukum dan dosa, mereka terbuai dalam godaan syaitan yang menjahanamkan.
Malang sekali, yang berlaku, perasaan yang murni dinodai dengan maksiat dan dosa.
Tidak, itu bukan salah cinta pertama. Yang salah adalah pelakunya. Yang perlu disedarkan kembali adalah pelakunya.
Hanya mereka berdua yang mampu untuk menghentikan perbuatan itu dan menyimpan perasaan itu kembali sebelum ia menjadi api yang lebih besar membakar semua yang ada di sekeliling.
Meruntuhkan keharmonian keluarga dan menjadikan pasangan dan anak-anak sebagai mangsa.
Saya mohon pada pembaca yang membaca coretan saya ini, jika ada yang terlibat dengan konflik cinta pertama, jangan jadikan cinta pertama sebagai alasan untuk curang. Bukan salah cinta pertama.
Yang salah adalah diri tuan dan puan, tidak berfikir secara waras, menentingkan diri sendiri, hanya memikirkan dalam dunia ini,
Hanya tuan puan yang harus hidup bahagia sedangkan tuan puan lupa janji dalam ikatan perkahwinan yang sah dimeterai atas perjanjian bertulis beserta tanggunngjawab dunia dan akhirat.
Itu yang tuan puan lupa, hingga meletakkan NAFSU lebih dari segala-galanya hatta agama. Itu bukan CINTA PERTAMA tetapi itu godaan nafsu yang menipu daya.
Cinta pertama itu seperti cinta Zainuddin dan Hayati, watak dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wick, bermaruah dan berteraskan adat dan agama.
Yang membaca akan menangis kerana indahnya CINTA PERTAMA dan teganya hati berkorban atas nama cinta.
Itulah cinta pertama yang sebenar, tidak menurut hawa nafsu, walaupun cinta itu buta tetapi tidak membutakan hati mereka untuk menyalahi adat dan agama.
Akhir kata, jangan salahkan CINTA PERTAMA, kerana cinta tidak pernah mengajar kita jadi durhaka.
Cinta mengajar kita untuk berkasih sayang dengan setulusnya, jika cinta tiada kesampaian, redhalah dengan takdir Allah, kembalikan semula rasa cinta itu kepadaNya, pemilik asal rasa cinta itu.
– Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit