Perigi Mencari Timba

Assalamualaikum. Terima kasih sekiranya confession ini diterima. Aku Ika. Aku nak minta pandangan daripada sahabat2 sekalian dan aku juga nak utarakan pandangan aku sendiri. Harapnya kita semua dapat menghargai pandangan masing masing.

Umur aku sudah mencapai usia yang mana soal jodoh sudah menjadi salah satu perkara yang aku perlu fikirkan. Dulu aku beranggapan bahawa sebagai seorang perempuan maka aku hanya perlu tunggu sahaja seorang lelaki datang meminangku.

Namun semakin aku meningkat dewasa aku makin memahami bahawasanya setiap apa yang kita inginkan perlukan usaha. Ia tidak akan datang bergolek. Begitu juga soal jodoh.

Bagi aku, mengharapkan seorang lelaki semata mata untuk datang meminang perempuan hanyalah mentaliti masyarakat yang mana lelaki perlu mulakan dahulu.

Sebab kita beranggapan bahawa kita ini wanita jadi kenapa kita perlu terhegeh hegeh. Kan? Lagipun kita sebagai wanita mempunyai satu perisai iaitu malu.

Namun, malu itu juga perlu kena pada tempatnya. Aku lebih berpendapat bahawa, seorang wanita seharusnya lebih bersungguh sungguh mencari calon suaminya.

Kita perlu tahu ciri ciri pemimpin bagaimana yang kita ingin jadikan sebagai peneman hidup kita. Wanita sepatutnya lebih lagi memikirkan soal perkara ini.

Seandainya dia sudah menjumpai lelaki yang benar benar dirasakan baik untuknya dari segi agama dan akhlaknya maka seeloknya dia perlu mula menyelidiki latar belakang lelaki tersebut kerana menjadi satu kerugian sekiranya dia membiarkan lelaki yang baik berlalu begitu sahaja.

Setidaknya kita perlu ada usaha untuk mendapatkan lelaki tersebut namun dengan cara yang berhemah iaitu menggunakan orang tengah contohnya atau kalau berani sikit cuba beritahu secara direct.

Kenapa kita para wanita yang perlu lebih serius mencari lelaki yang baik? Kerana bagi aku, kehidupan kita selepas berkahwin akan sepenuhnya di bawah pimpinan lelaki.

Jadi kita memerlukan seorang pemimpin yang baik untuk mengemudi diri kita dan pemimpin itu hasil daripada pilihan kita sendiri.

Cuma untuk mencari jodoh juga kita perlukan ilmu. Bukan mencari jodoh sekadar untuk mengubah status daripada single kepada married sahaja.

Ada masanya wanita perlu lebih berani dalam soal ini namun berpada pada lah. Jangan sampai memujuk rayu lelaki.

Walaupun kita perempuan, ada masanya kita perlu menggunakan ego kita juga. Jangan hanya menggunakan emosi.

Contohnya di saat taaruf. Jangan terlalu meletakkan emosi di hadapan. Jangan terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana setiap perkenalan adalah satu proses.

Sekiranya tiada jodoh maka anggaplah ia pengalaman yang ingin mematangkan kita. Sekiranya ada jodoh maka teruskan berdoa dan melakukan istikarah memohon supaya dia itu adalah yang terbaik buat kita.

Aku tak pasti samada pandangan aku ni betul atau pun tidak. Namun aku beranggapan bahawa perigi mencari timba bukanlah perkara yang salah. Kerana seorang lelaki apabila sudah tidak mempunyai hati dgn isterinya, mereka masih boleh pasang lain.

Namun wanita bukanlah semudah itu untuk terlepas dari genggaman seorang lelaki bilamana mereka sudah tiada hati pada si suami.

Rasanya tidak salah bagi seorang wanita untuk memulakan langkah terlebih dahulu ketika inginkan seorang lelaki yang soleh.

Namun para lelaki pula janganlah berasa bermegah disebabkan wanita menginginkannya. Sesungguhnya wanita itu sudah menebalkan muka dan membuang rasa malunya hanya kerana inginkan kalian.

Walau bagaimanapun, sudah pasti bukan wanita sendiri yang akan melamar lelaki. Yang aku maksudkan adalah wanita hanya memulakan langkah perkenalan dan sekiranya lelaki itu berminat maka langkah seterusnya perlu dimulai oleh lelaki.

Harap tiada yang salah faham dengan apa yang aku cuba sampaikan.

Ok apa yang aku ingin minta pandangan anda semua adalah.. Apa pandangan anda semua dengan pandangan saya ini?

– Ika (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *