Hai, assalamualaikum semua. Sedikit pengenalan berkaitan diri aku. Aku anak kedua dari tiga beradik.
Pada umur aku 20 tahun ayah aku telah berkahwin satu lagi. Isteri kedua ayah aku tua 5 tahun sahaja dengan aku. Berkaitan perkahwinan ayah aku bukan lah isi penting yang aku nak huraikan di sini.
Lepas ayah aku nikah satu lagi, hidup kami satu keluarga agak terumbang ambing dengan keadaan ibu aku yang sedih tak dapat terima hakikat dan kami tiga beradik yang marah pada ayah aku.
Tapi lama kelamaan ibu aku redha dan dapat terima dengan hati terbuka. Nak dijadikan rezeki lepas dua tahun ayah aku berkawin dengan isteri baru mereka dikurniakan zuriat. Lelaki, aku namakan dia A.
Semuanya ok cuma masing2 ada la memendam perasaan. Aku dengan adik perempuan aku masih susah untuk terima isteri baru ayah aku tapi kami cuba sebab tidak mahu mengeruhkan keadaan.
Pada tahun 2018 aku bernikah dan beberapa bulan selepas tu aku mengandung. Awal tahun 2019, aku dikurniakan zuriat. Lelaki cukup sifat. Alhamdulillah.
Dari awal perkahwinan aku pjj dengan suami aku. Jadi masa aku berpantang ibu aku yang uruskan. Suami aku ambil cuti hanya 2 minggu.
Semasa A membesar, boleh dikatakan dia dibesarkan dengan keadaan yang agak kasar. Ayah aku sejenis yang kalau bercakap suara tinggi. Kami tiga beradik boleh dikatakan baran dan kasar.
Jadinya tumbesaran si A dipenuhi dengan kekasaran. Didikan A banyak campur tangan dari keluarga aku. Cuma aku kurang masuk campur sebab aku sibuk dengan anak aku.
Bila anak aku dah besar sikit, biasa la anak kecil mereka nak berkawan. Tetapi disebabkan A jenis budak yang kasar dan ganas aku kurang berkenan nak bagi anak aku bergaul disebabkan jarak umur mereka hampir 2 tahun.
Tapi bila kadang aku agak overprotective dengan anak aku, keluarga aku akan cakap “alaa, jangan la nak risau sangat budak lelaki biasa la kasar2 main”. Jadi aku diam dan iyakan.
Sepanjang aku cuba untuk bagi anak aku bergaul banyak juga episod anak aku ditolak tanpa sebab. Anak aku bukan jenis kasar sama macam A jadi bila kadang A tolak dia, anak aku diam saja.
A juga jenis suka berebut mainan. Bila jadi macam tu aku lebih suka untuk bawa anak aku ke tempat lain sebab aku tak nak marah si A memandangkan tu anak orang lain. Walaupun sama ayah tapi aku tak nak marah2 anak orang. Takut nanti kang mak A terasa.
Ada sekali tu A kena marah aku kurang pasti sebab apa, tapi bila dia masuk rumah masa tu anak aku tengah main dengan suami aku, tiba2 dia sengaja menolak anak aku sampai jatuh terduduk.
Muka suami aku tegang sebab menahan marah. Nasib baik masa tu ibu aku masuk rumah cepat2 ambil A bawak tempat lain.
Kemuncak cerita ni bila satu kali tu anak aku baru pandai berjalan. Anak aku tengah main kereta yang ibu aku hadiahkan dekat anak aku.
A cemburu dan seboleh mungkin nak rampas kereta tu. Bila anak aku turun sekejap dari kereta tu A akan cepat2 amik kereta tu dan bawa lari. Anak aku meraung2 nangis nak balik.
Jadi aku angkat la A tapi tanpa sengaja aku macam terkepit sikit kat badan dia. Malam tu ibu aku tanya aku cubit A ke? Sebab mak A menangis2 bila tengok ada kesan merah dekat badan anak dia.
Ayah aku siap ambil gambar bagi dekat ibu aku. Aku cakap la tak ada tapi adik aku kata mungkin masa aku cuba angkat A dari kereta petang tu terkepit sebab masa tu A meronta berkeras nak kan kereta anak aku tu.
Aku masa tu sentap dan marah juga. Selama ni bila anak dia berkasar dengan anak aku, aku diamkan dan tak pernah sekali pun mak si A ni minta maaf dengan perangai anak dia.
Jadi masa tu aku cakap dengan ibu aku, “Dah cukup lepas nie aku tak ada nak bagi tolak ansur lagi”. Selepas tu aku memang larang anak aku kawan dengan A sekeras- kerasnya. Aku cuba untuk elakkan.
Satu pagi tu abang dengan adik aku bergaduh mulut, disebabkan abang aku menang kan si A dan adik aku menangkan anak aku. Adik aku larang si A kacau anak aku sebab nanti dia tak nak aku marah si A.
Masa tu aku dekat dapur. Tiba2 aku dengar ibu aku jerit lepas tu menangis. Ibu aku sedih sebab anak2 dia bergaduh.
Bila keadaan kacau bilau macam tu aku terus ambil anak aku bawa masuk bilik. Tak lama lepas tu ayah aku masuk rumah mengamuk. Dia cakap apa masalah sekarang nie ? Bila ada bergaduh ke apa ke mesti si A jadi punca.
Masa tu ayah aku ada terlepas cakap dekat aku kenapa sebelum anak aku lahir tak ada konflik tapi lepas anak aku lahir terus tak nak bagi kawan apa semua. Nak overperotective sangat.
Masa tu aku bergaduh juga dengan ayah aku. Lepas tu ayah aku bawa A dengan isteri baru duduk tempat lain.
Dalam beberapa minggu tu, ibu aku akan nangis sebab rindukan ayah aku. Memang ayah aku ada balik rumah tapi bila giliran sana ayah aku tak balik. Ibu aku sedih sebab ayah aku tak ada kat sisi dia.
Bila aku tengok ibu aku selalu nangis lepas tu diam saja, aku merintih dalam diam. Aku tak nak penting diri.
Jadi aku cakap dengan suami aku untuk pindah duduk dengan dia. Suami aku kata bagi masa sebulan untuk dia uruskan sebab gaji suami aku tak berapa besar.
Dipendekkan cerita aku pindah, aku nangis masa awal aku pindah sebab aku rasa aku hilang keluarga aku sebab orang luar, seolah- olah keluarga aku lebih memilih orang luar tapi aku cuba sedapkan hati untuk tak fikir bebukan.
Dilema aku sekarang ni, kalau nanti aku nak berpantang, aku nak berpantang kat rumah ibu aku tapi aku tak nak menghadap muka isteri baru ayah aku tu.
Kalau nak berpantang kat rumah aku sendiri, mak mertua aku dekat untuk tolong tapi mak mertua aku dah tua dan tak larat. Aku tak sampai hati nak suruh isteri baru ayah aku duduk asing sementara aku berpantang. Aku taknak ibu aku sedih lagi.
Mungkin ada sesetengah pembaca akan kata kenapa benda remeh nak dibesar-besarkan. Ntahlaa yang pasti bila anak aku dibuli ke apa takde sapa yang defend anak aku. Jadi takkan aku sebagai seorang ibu nak biar saja?
Kalau la A tu sama mak dengan aku memang aku boleh tegur dan didik tapi sekarang mak berbeza. Aku faham perasaan seorang ibu bila orang lain marah anak kita.
Jadi boleh tak bagi pendapat apa penyelesaian terbaik untuk aku buat ?
Terima kasih…
– Ira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit