Aku baru lepas bersalin anak ke 2, sikit lagi nak cukup sebulan. Orang kata, masih dalam tempoh berpantang.
Aku berpantang di rumah mak aku. Disebabkan rumah aku dan mak dalam daerah yang sama, mak minta aku untuk balik berpantang di rumah mak, sama macam waktu aku bersalin anak sulung.
Sedikit latar belakang tentang mak, mak memang seorang yang sangat mengamalkan pantang macam orang dulu-dulu.
Salah satu faktor, arwah nenek dulu adalah bidan kampung, tukang urut dan pembuat jamu. Jadi mak dah terbiasa dengan amalan pantang hasil dari ilmu yang diturunkan oleh arwah nenek.
Masa aku berpantang selepas bersalin anak sulung, boleh dikatakan aku sangat fobia nak mengandung dan bersalin lagi sebab tak tahan dengan amalan berpantang mak yang sangat ketat.
Antaranya; kena pakai bengkung 24 jam. Bayangkan duduk rumah kampung yang panas, kena berbengkung pulak sepanjang masa.
Sudahlah bengkung yang dipakai tu jenis tali yang panjang berjela, habis badan aku dililit ketat dengan bengkung macam lepat.
Ya, mak memang lilit ketat-ketat, dari bahagian rusuk bawah dada sampai bawah pinggul. Nak duduk pun susah. Kata mak, supaya rahim terletak elok dan tak bergerak-gerak dalam badan. Hmm, rahim tu nak pergi ke mana pulak?
Sebelum pakai bengkung, mak lumur dulu satu badan aku dengan bedak panas. Bedak panas ni rupa dia sama macam bedak sejuk yang orang tepek kat muka tu. Bezanya yang ni bedak panas.
Tujuannya, untuk pastikan badan sentiasa panas dan elakkan badan masuk angin. Kalau tak, nanti sakit-sakit badan.
Sepertinya angin boleh meresap masuk lalu kulit. Boleh bayangkan tak, badan disapu bedak panas, dililit ketat dengan bengkung, dalam cuaca panas.
Sudahnya, badan aku jadi naik ruam dan melecet. Cukupkan pakej, wajib pakai stokin juga 24 jam.
Dari segi makan minum pula, hanya boleh makan makanan berebus dan bakar sahaja. Langsung tak boleh sentuh makanan berminyak.
Telur dan ayam? Tidak sama sekali. Walau aku cakap luka aku tak gatal bila makan ayam (makanan hospital dapat lauk ayam), mak tetap cakap tak boleh makan ayam. Alasannya, darah nifas dalam rahim belum kering.
Masa pantang anak sulung, paling teruk sebab air minum pun mak catu. Mak cakap minum sikit bagi hilang kering tekak je. Kalau tak nanti alat sulit aku berlecak.
Tapi suami aku isi air dalam botol, bawak masuk & sorok dalam bilik untuk aku minum. Dengan cuaca panas, mana tahan nak kena catu minum pulak. Akibat catu air minum ni, aku dapat sembelit pulak sampai berdarah bila membuang.
Berpantang kali ni, memang aku minum je air takda catu-catu dah. Siap minum air sejuk lagi dari mesin coway tu.
Kemudian, kalau ikut pantang mak, aku tak boleh baring langsung. Boleh duduk je. Tidur pun kena duduk je. Bukan duduk bersila atau bersimpuh ye, tapi duduk menjulur kaki.
Ya Allah, penat sangat walaupun bersandar dinding. Mak cakap, kalau duduk bersila, atau terkangkang sikit, nanti alat sulit jadi herot/ terbukak luas.
Senang cerita, mungkin jadi longgar kot maksud mak. Aku turutkan je masa berpantang anak sulung, tapi tidak lagi kali ni.
Bila luka aku dah sembuh, dah tak rasa pedih lagi, aku mula duduk bersila. Ikut keselesaan aku bila aku nak susukan dan salin pampers anak aku.
Disebabkan aku terlalu menurut pantang mak aku masa anak sulung, emosi aku memang tak stabil. Tidaklah sampai tahap nak kena meroyan atau post-partum depression, tapi aku tak enjoy masa dalam tempoh berpantang.
Aku banyak mendiamkan diri, sebab aku bukan jenis yang berlawan cakap dengan mak. Jadi, aku tetap ikut semua walau dalam hati tak rela.
Berpantang kali ni, aku buat ja apa yang aku rasa boleh & tak mudaratkan diri aku. Mak membebel marah, aku tetap diam tak melawan. Tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Aku bukan tak bersyukur dengan kesanggupan mak nak jaga aku dalam pantang. Aku bersyukur sangat, sebab mak memang tak bagi aku buat kerja langsung.
Makan, mak masakkan. Baju, termasuk baju baby, mak basuhkan (masuk mesin la, bukan cuci tangan). Aku cuma tak tahan dengan amalan berpantang zaman dulu yang sangat ketat, aku rasa macam kena dera.
Ada lebih kurang dua minggu lagi untuk aku habiskan pantang kat rumah mak, doakan moga aku kuat. Dan moga emosi aku terjaga, dan emosi mak pun terjaga.
Sakitkan/ kecikkan hati mak paling aku nak elak, sebab mak dah banyak tolong aku dalam pantang ni.
– Mama (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit