Overthinking dan Percintaan

Assalamualaikum. Nama saya Zia. Seorang wanita berumur awal 30an. Sepanjang kehidupan saya, saya dah jumpa dengan ramai lelaki. Bermacam-macam orang saya dah kenal.

Dari yang seselekeh-lekehnya, hingga yang sekacak-kacak lelaki. Tapi ada satu perkara yang membuatkan saya sering gagal dalam percintaan.

‘Overthinking’. Saya tak pasti, adakah saya benar benar mempunyai masalah tersebut atau adakah sememangnya saya ditakdirkan untuk bertemu dengan orang yang salah berkali kali.

Setiap pertemuan saya dengan mana mana lelaki, akhirnya akan membawa kepada perpisahan. Dan saya juga seringkali dikaitkan dengan perkataan ‘overthinking’ ini oleh bekas teman lelaki saya.

Kadang kala saya pelik dengan diri saya sendiri. Takkan lah setiap kali saya jumpa dengan orang baru, saya akan menemui jalan yang sangat tidak menyeronokkan.

Sebab, di awal percintaan, semuanya baik baik sahaja. Bahkan ada antara mereka yang sudah pun menunjukkan usaha untuk memperisterikan saya.

Tapi, akan ada satu hari, mereka akan senyap tanpa khabar berita walhal malam sebelumnya, semuanya begitu baik dan tidak ada perkara tidak baik yang sebesar kuman pun terjadi.

Dan mereka akan terus senyap tanpa khabar berita pada keesokan harinya sehingga berhari hari.

Bila saya hubungi mereka untuk menanyakan hal yang sebenar, mereka akan sama ada terus senyap atau jawab acuh tak acuh sahaja seolah saya ini tidak mereka kenali.

Dan sebagai seorang perempuan, tentulah saya akan meluahkan apa yang saya rasa tentang hubungan yang kian hambar dan ketika itu lah mereka akan berkata kata sebegini..

“Awak ni overthinking sangat lah!”

Sebagai seorang yang mempunyai hati dan perasaan, salahkah saya bertanya mengapa saya diperlakukan sebegitu?

Ya, saya akui saya memang mudah berfikiran yang bukan bukan. Tapi, apa yang membuatkan saya mudah berfikiran sebegitu adalah sebab selalunya apa yang saya fikirkan itu memang benar benar akan terjadi.

Saya sudah perhatikan perkara ini selama bertahun tahun. Sebab itu, bila setiap kali ada benda buruk yang terdetik dalam hati dan fikiran saya, saya akan jadi risau yang amat dan seterusnya membuatkan saya menjadi seorang yang overthinking.

Bukan sahaja dalam percintaan, bahkan setiap perkara di sekeliling saya juga menjadi punca kepada sifat overthinking ini.

Saya dah cuba buang sifat ini. Tapi kadang kala saya kalah dalam keadaan dan pemikiran saya sendiri. Seolah olah saya terperangkap dan lemas dalam lautan emosi yang begitu dahsyat geloranya yang saya ciptakan sendiri.

Yang menjadi peliknya, jika bukan kerana sikap saya ini, takkanlah setiap percintaan saya gagal dengan alasan yang sama.

Semuanya mempunyai sebab yang sama! Dan setiap kali perkara sama berulang, saya akan berterusan menyalahkan diri saya sendiri sedangkan orang orang di sekeliling saya akan kata bukan salah saya sepenuhnya.

Baru baru ini saya dihampiri oleh seorang lelaki yang sudah lama saya kenali. Beliau berhajat untuk memperisterikan saya.

Saya terkejut dan hampir tidak percaya sebab saya tidak pernah terfikir pun beliau yang ada rupa paras yang kacak dan mempunyai kerjaya yang bagus rupa rupanya menyimpan perasaan terhadap saya yang tidak mempunyai rupa paras dan fizikal yang cantik.

Tapi, baru baru ini beliau menunjukkan ciri ciri saya sama dengan bekas teman teman lelaki saya yang lain : senyap dan tidak menghubungi saya seperti biasa.

Tapi, beliau ada menyatakan bahawa beliau sedang sibuk dengan hal pekerjaannya dan akan menghubungi saya apabila beliau sudah tidak lagi sibuk. Saya ambil ini sebagai janji.

Dan kali ini saya cuba sedaya upaya untuk tidak berfikiran yang bukan bukan dan lebih tenang mengendalikan perkara ini.

Saya cuma berharap, beliau tidak akan mungkir pada janjinya. Saya letih dan sangat penat untuk menghadapi mental breakdown dan rasa sedih bila hati saya dipermain mainkan.

Sudah puas saya merayu dan berdoa pada Allah untuk menemukan saya dengan kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

Saya tahu, setiap yang Allah beri pada saya ini adalah kerana Dia sayangkan saya. Saya tetap bersangka baik pada Takdir walaupun ianya kadang kala pedih untuk saya terima.

Maafkan saya sebab menulis tentang perkara yang tidak penting sebegini. Tapi saya merasakan disini saya boleh meluahkan apa yang saya rasa.

Dan saya mohon pada para pembaca yang budiman sekalian, jika sudi, doakan semoga saya terus kuat dan menemui kebahagiaan yang akan melenyapkan sunyi yang saya rasa dalam jiwa saya ini.

Dan saya juga mendoakan untuk mereka di luar sana yang menghadapi masalah seperti saya ini agar terus kuat melawan dan lebih tenang dalam menghadapi situasi yang menyedihkan, Insha Allah.

– Zia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *