Cerita ini adalah pengalaman saya sendiri dan tujuan saya kongsikan untuk minta pandangan dari anda semua, apa tindakan yang sewajarnya saya ambil atau hanya perlu berdiam diri sahaja.
Saya bekerja sebagai kerani di sebuah perusahaan yang kecil di mana saya satu-satunya pekerja mereka dan syukur saya telah bekerja enam tahun disini.
Ringkasnya, tiada masalah di tempat kerja dan majikan pon sangat baik walaupon berlainan bangsa dengan saya.
Apa yang saya nak cerita ialah pengalaman saya yang menjadi orang tengah untuk hulur “angpao” pada sesetengah orang yang beruniform.
Perkara ini telah berlaku sejak awal saya bekerja disini lagi tapi pada waktu itu, saya masih sangat muda iaitu lepasan SPM dan tidak sedar pon perbuatan saya itu salah sebab saya pekerja baru yang hanya menurut arahan majikan.
Pertama kali saya menjadi orang tengah dalam aktiviti ini sewaktu saya baru seminggu berkerja disini.
Ketika saya sedang ralit lakukan kerja, tiba-tiba majikan panggil saya sambil menghulurkan bungkusan yang berbalut kertas surat khabar dan mengarahkan saya bagi kepada kereta yang akan berhenti di depan kedai.
Saya pon hanya menurut tanpa bertanya apa-apa dan hanya berdiri di depan kedai sambil diperhatikan majikan,
Lima minit kemudian saya terkedu apabila sebuah pajero yang dinaiki 2 orang lelaki beruniform seperti polis berhenti betol-betol di depan saya dan hanya hulur tangan dari tingkap yang terbuka sedikit sahaja.
Dalam terkedu tu saya terus pandang majikan dan dia hanya angguk kepala pada saya tanda izin untuk saya serahkan barang.
Lepas saya hulurkan barang terus berdesup kereta itu beredar tapi sempat saya kerling logo yang ada di kenderaan itu bukan logo polis. Ketika itu dalam fikiran naif saya, majikan saya ini ada buat drive thru tempe ke?
Pada mulanya saya tak faham tapi lama-kelamaan saya faham. Kejadian itu berlaku berulang kali, dalam pelbagai situasi, dan pelbagai cara.
Kalau dalam musim perayaan, duit itu di isi dalam sampul angpao, kadang kala diselit dalam kotak buah atau tak sempat balut tisu je.
Makin lama saya bekerja disini, majikan pon lebih mempercayai saya. Kini saya bukan sahaja sebagai kerani di sini tapi boleh kata majikan berani serahkan urusan perniagaan ditangan saya bulat-bulat.
Majikan juga dah anggap saya macam keluarga sendiri dan kami selalu berkongsi cerita tentang semua perkara.
Saya juga yang menguruskan akaun syarikat dan melakukan online payment kerana majikan saya buta IT sebab dua-dua laki bini dah berusia lebih 60 tahun, anak pon tiada cuma ada seorang anak angkat yang bekerja di Singapore.
Kini, majikan hanya perlu cakap kod rahsia “Lembaga nak datang, pergi standby” saya dah faham apa yang perlu dibuat.
Jumlah “angpao” yang patot dihulur pon saya yang tentukan sendiri mengikut hasil jualan harian.
Kalau mereka datang segerombolan, selalunya saya hanya sediakan jumlah duit yang kecil untuk dihulur setiap seorang, kalau hanya dua atau tiga orang saya hulur lebih sikit.
Saya pernah bertanya pada majikan kenapa perlu beri kalau mereka minta? Kalau tak nak beri apa akan jadi?
Sebab perniagaan majikan lengkap mengikut undang-undang dengan segala lesen dari kerajaan sebab saya yang uruskan segala permohonan lesen, memperbaharui segala lesen syarikat dan segala bentuk syarat yang ditetapkan.
Tapi jawapan majikan saya sangat menganggu jiwa saya. Katanya, budaya ini dah lama, memang kene ikut kalau tak nanti susah dia kacau, mahu berniaga pon tak senang. Kalau ada bagi dia tak kacau.
Tapi memang itu hakikatnya, sebab saya orang berurusan dengan mereka ketika hendak memohon lesen syarikat.
Memang ada beza sebelom bagi dan selepas bagi. Kalau belom dapat kejap-kejap datang buat lawatan ke kedai dengan alasan ada aduan pada perniagaan kami dan segala segenap bucu dia semak nak cari salah tapi bila dah dapat senyum je lalu.
Terutama sekali waktu pandemik sekarang, makin kerap pula mereka datang. Saya faham sekarang semua orang pon susah tapi bukan macam ini caranya untuk cari rezeki.
Majikan saya walaupon dah berusia lebih 60 tahun tapi masih gigih bekerja sehingga basah kuyup baju dengan peluh angkat barang berat. Tapi sesetengah orang senang sangat buat duit hanya dengan kuasa dan pangkat.
Apa yang merunsingkan, suami saya merancang untuk membuka sebuah perniagaan selepas diberhentikan kerja kerana pandemik.
Jadi saya risau jika nanti situasi ini juga yang perlu suami saya berdepan apabila berniaga kelak.
Tapi saya buntu untuk mengadu pada siapa atau apa yang perlu dilakukan untuk menghentikan budaya ini. Saya bukan siapa-siapa. Takde kuasa atau pon harta.
Mohon para pembaca bagi pandangan. Terima kasih
– Rebung Buluh (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit