Dibesarkan Ibu Depresi

Nama aku Anis. Umur aku sudah hampir 40 tahun.

Aku mahu kongsi kisah kesan pada diri aku bila kami adik beradik dibesarkan oleh seorang ibu yang depresi. Tiada niat membuka aib ibu, tapi jadikanlah pengajaran dalam hidup kita semua.

Ibu, Sudah makin tua. Setiap hari menghabiskan masa dengan beribadat. Sebab waktu muda ibu sangat sibuk dengan kerja. Kerja ibu memenatkan. Membesarkan anak-anak seorang diri memang buat ibu tekanan.

Dari kecil kami adik beradik dimarah, ditengking sekuat hati, dipukul walaupun hanya untuk remeh temeh.

Mungkin adik beradik lain tak pernah nak luahkan perasaan mereka, tapi aku sangat tertekan. Pernah saja meronta-ronta rasa ingin mati.

Mahu saja aku mati kerana tak boleh jadi seperti ibu mahu. Apa yang ibu mahu? Ibu mahu aku dapat A dan jadi orang berjaya. Semua ibu mahukan anak berjaya kan?

Cuma apa kesannya pada diri aku bila dipukul ditengking selalu walaupun hal remeh temeh sejak kecil?

Orang kata budak zaman sekarang biadap sebab berlemah lembut.Budak zaman dulu kena getah paip, tengking terus dengar cakap.

Berapa ramai sekarang antara kita juga mengalami anxiety dan depresi disebabkan cara didikan ibu ayah kita dahulu? Semua diamkan diri tak mahu bercerita pun kan?

Memang aku membesar dengan emosi yang sangat teruk.

Sejak sekolah tadika aku langsung tak faham apa cikgu ajar di depan. Aku sendiri tak boleh tumpukan perhatian. Tak boleh fokus. Setiap hari pergi sekolah hanya kerana takut ibu.

Ingat lagi, aku hanya tahu beli karipap di kantin sekolah. Sebab itu saja ibu ajar beli kali pertama ke sekolah rendah. Aku takut nak bercakap dengan orang, nak beli makanan seperti orang lain.

Setahun kemudian aku mula tiru kawan di depan beli makanan. Aku sentiasa rendah diri, takut.

Begitu juga dalam bilik darjah. Aku duduk barisan hadapan, tapi aku tak faham apa-apa. Sudah diajar berkali-kali, juga tak faham. Kalau suara cikgu kuat terus otak aku blank!

Bagaimana aku boleh belajar sepanjang sekolah dan universiti? Aku cuma menghafal.

Aku tak pernah faham apa-apa di sekolah. Tapi aku ada memori yang ok sikit bila menghafal. Aku belajar hanya untuk puaskan hati ibu dan jadi seperti ibu mahu.

Setiap apa cikgu ajar, pensyarah ajar, aku cuma nampak kosong. Semua maklumat tak boleh lagi diproses. Aku tak tahu apa apa. Aku cuma belajar sendiri dengan buat soalan spot saja.

Kalau menghafal surah, aku tulis rumi sahaja. Kalau matematik, prinsip akaun, aku tak pernah faham apa-apa. Ibu hantar aku tuition sejak kecil pun tak pernah aku faham apa.

Betul, aku hanya menghafal dan tukar saja nombor semula. Pendek kata tak pernah faham dan tahu apa. Otak aku lembab dan bodoh!

Bila tak dapat result seperti ibu mahu, ibu menangis, marah, bezakan dengan adik beradik lain.

Kesan ibu buat begini, bila dewasa makin teruk sebenarnya pada aku.

Sekarang aku juga nampak kakak kedua aku depresi. Kesan tu bila dah tua ni baru nampak sebenarnya. Semua memori hitam tak pernah padam. Semuanya sangat menyakitkan.

Kalau ada diantara pembaca suka marah anak, ingatkan kesan pada otak anak. Aku memang takkan ulang lagi pada keturunan aku. Sebab sakit tu aku tahu macamana.

Marah, pukul biarlah berpada. Kan Rasulallah sudah ajarkan pada kita? Bukan bila tekanan, pukul tengking anak. Kemudian dalam masa yang sama mahu anak jadi orang berguna dan berjaya.

Aku sudah maafkan ibu aku. Sebab aku juga seorang ibu jadi aku faham kenapa ibu begitu.

Cuma kesan pada diri aku ni memang teruk. Tak ada self confidence, ketakutan, anxiety dan depressi sangat teruk, gagal dalam banyak situasi disebabkan diri sendiri tak pandai bawa diri.

Akhirnya A yang ibu mahu itu hanya sekadar puaskan hati ibu. Sebab aku sendiri belajar hanya kerana terlalu takutkan ibu dan puaskan hati ibu.

Maafkan Anis Ibu sebab tak dapat jadi seperti anak yang ibu mahu.

Maafkan Anis.

Anis sayang sangat Ibu.

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *