Assalamualaikum semua.. Nama aku Black Rose. Pertama kali aku menulis disini untuk meluahkan rasa hati aku. Selalu aku jadi pembaca confession saja tapi kali ini aku rasa ingin berkongsi.
Aku bukanlah ingin membuka aib tetapi aku rasa sudah lama aku bertahan dan perkara yang sama masih berulang dan berulang. Aku hanya mampu bersabar sehingga sekarang. Maaf kalau penulisan aku berterabur. Aku memang tak pandai mengarang.
Untuk pengetahuan, aku tinggal bersama ibubapa mertua aku. Jadi, setiap perbuatan aku juga terbatas dan perlu juga menjaga hati mertua.
Tapi kadang-kadang terlepas juga perangai burukku. Pinggan adakala aku tak sempat basuh, baju berbakul tidak terlipat kerana penat bekerja dan sibuk uruskan anak aku.
Aku juga seorang yang berulang alik jauh dari tempat kerja aku. Setiap hari aku akan travel 42km sehala yang mana mengambil masa 40-50 minit perjalanan. Jadi aku penat berganda-ganda.
Penatnya ditempat kerja, penat dalam perjalanan pergi dan balik kerja dan penat bila balik memikirkan kerja rumah yang menanti.
Walaupun aku tinggal bersama mertua, tapi kerja rumah aku masih buat sendiri. Cuma memasak, mengemas rumah saja aku tidak sempat. Anak suami semua aku uruskan. Tapi selalu juga aku biarkan saja pinggan mangkuk disinki kerana aku penat.
Hari minggu aku luangkan untuk melipat baju-baju, membersihkan rumah dan memasak.Hanya yang pernah tinggal dengan mertua saja tau macam mana keadaan ditempat aku.
Bila bermula PKP 1. 0, suami dan anak aku berada dirumah. Pada masa itu, kebetulan adik ipar aku terkandas tidak dapat balik kerumahnya. Adik ipar aku ni perempuan. Maka, adik ipar aku pun ada bersama sewaktu PKP 1. 0.
Sepanjang PKP dia ada dirumah mertua aku. Mungkin adik ipar aku pun perasan yang aku ni selalu sibuk dan jarang membuat kerja rumah. Tapi aku tidak lah duduk saja.
Kalau mak mertuaku berada didapur, aku juga turut masuk ke dapur, tolong mana yang patut. Memasak juga aku buat.
Mengemas rumah juga aku buat tapi dimana silap aku, aku tidak pasti sehingga adik ipar aku menyindir sinis kepada aku sebelum dia pulang ke rumahnya disebuah negeri lain.
Aku masih ingat ayatnya. “Siapa yang nak tolong mak kalau Ika dah balik sana nanti?”.. adik ipar aku menyatakan ayat itu didepan aku dan didepan ibu mertua aku.
Pada masa itu aku tidaklah merasa apa-apa sebab aku tidak pernah terfikir dia akan mengeluarkan ayat itu.
Sebelum ini, hubungan aku dengan adik ipar aku baik saja. Tapi mungkin disebabkan terlalu lama dia berada dirumah emaknya itu, maka nampak lah keburukan aku. Bila aku berfikir balik, barulah aku perasan rupa-rupanya kata-kata itu memang dituju kepada aku.
Tinggal dirumah mertua bukanlah kehendak aku kerana kami telah pun ada rumah sendiri yang dekat dengan tempat kerjaku.
Terjadi sesuatu peristiwa yang berpunca dari suami aku sehingga kami terpaksa menumpang dirumah mertua untuk sementara waktu.
Suami pun berpindah ke tempat kerja baru disebabkan peristiwa tersebut. Maka, bermula lah aku travel setiap hari untuk ke tempat kerja.
Telah berkali-kali aku mengajak suami aku untuk balik kerumah kami kerana aku tak mahu bebankan mak ayah merua aku tetapi suami aku enggan.
Bila aku tanyakan kenapa suamiku tidak mahu balik semula kerumah kami, suamiku tidak memberi jawapan. Diam seribu bahasa.
Yela, aku cuma menantu. Gerak geri aku terbatas dirumah mertua aku. Pemakaian aku juga perlu dijaga. Ibubapa mertua aku semua baik-baik. Tapi selama mana mereka mampu bertahan?Emak mertua aku mula menunjukkan perubahan.
Baju-baju aku yang aku tak sempat dijemur, baju aku masih didalam bakul untuk 2-3 hari sehinggalah aku sempat jemur sendiri.. Kalau dulu mak mertua aku tak pernah berkira.
Tetapi sekarang, aku perasan perubahan mak mertua aku. Baju-bajunya diasing dan dijemur berasingan. Sebelum ini, baju kami sama-sama diampaian.
Baju yang kering pun mak mertua aku hanya kutip baju-bajunya saja. Baju-baju aku, suamiku dan anak aku ditinggalkan diampaian walaupun bakul baju aku hanya disebelah ampaian.
Sebelum ini, tiada apa pun yang berkira. Disitu aku nampak cara mak mertua aku memprotes. Kalau hari minggu, selalu kami akan masak sama-sama. Aku akan menolong mak mertua aku didapur. Ibu mertua aku yang masak.
Aku bukan malas memasak tapi kalau aku masak, selalunya masakan aku tak habis. Aku tak pandai masak.
Lagi pula, mak mertua aku seorang yang suka mengkritik masakan orang lain yang tak kena dengan tekaknya. Disebabkan itu, aku jadi takut untuk memasak. Risau masakan aku tak sedap.
Suami aku juga lebih suka maknya memasak berbanding dengan masakan aku. Mungkin sebab dah biasa masakan maknya.
Pernah baru-baru ini, aku menyapa mak mertua aku didapur tetapi mak mertua aku diam saja. Masa tu aku ajak mak mertua aku sarapan.
Dua kali aku mengajak mak mertua aku sarapan, namun mak mertua aku terus membisu dan buat tidak tau saja dengan muka masam mencuka. Serba salah aku dibuat begitu. Aku tau mak mertua aku marah pada aku tapi aku tidak tau punca.
Bermula dari hari itu, aku terus berdiam. Ada juga aku cuba menyapamak mertua aku tetapi masih sama.
Mak mertua aku cuba mengelak dari aku. Makan pun mak mertua aku sorok-sorok. Tidak makan dimeja makan sehingga anak aku perasan kenapa nenek tak makan dimeja sama-sama. Masakan aku pun mak mertua aku tidak jamah.
Aku pernah menyuarakan tentang mak mertuaku kepada suamiku dan ajak suami aku duduk dirumah berasingan tetapi suamiku masih enggan.
Katanya aku sibuk mengajaknya pindah rumah dalam keadaan maknya tidak sihat. Tapi mak mertua aku ok saja. Aku pula dimarahi oleh suami aku kerana mengajak suami aku untuk duduk dirumah lain.
Aku buntu! Aku stress dengan keadaan itu. Suami aku tidak faham keadaan aku alami. Itu maknya. Maka, suami aku tidak nampak perubahan maknya. Hanya aku nampak! Cara protes pun mak mertua aku tidak tunjuk kepada suamiku.
Pernah juga mak mertua aku marah suamiku tapi aku dapat rasa marahnya itu sebenarnya bukan pada suamiku tapi pada aku!
Aku buntu! Hampir beberapa minggu aku tidak bertegur sapa dengan mak mertua aku. Aku akan memasak dan mengajaknya makan. Tetapi tidak diendahkan oleh mak mertua aku.
Kehidupan aku begitu lah sehingga aku mengalami keguguran untuk zuriat keduaku yang berusia 10 minggu.
Aku mengandung zuriat ke-2 ku selepas sekian lama menanti kehadirannya. Hanya sampai usia itu saja zuriatku bertahan sebelum aku mengalami pendarahan.
Sepanjang tempoh hamil, aku masih mengajak suami aku untuk duduk berasingan dengan alasan tidak mahu menyusahkan ibubapa mertuaku dan travel jauh sepanjang hamilku. Tetapi hampa..
Aku sentiasa doakan agar suamiku terbuka hatinya untuk balik ke rumah kami dan duduk dirumah kami sendiri. Menjalani kehidupan berkeluarga kami tanpa mengharapkan orang lain.
Aku boleh menguruskan sendiri kehidupan berkeluarga kami. Supaya tidak ada lagi peristiwa bermasam muka dengan mertua hanya kerana salah faham.
Aku juga mengharapkan doa-doa dari kalian yang sudi membaca confession aku ini. Doakan semoga aku tabah menghadapi semua ujian Allah. Semoga lembut hati suamiku untuk tinggal dirumah kami sendiri.
Terima kasih atas kesudian kalian membaca confession aku. Aku hanya mengharapkan sokongan dari kalian untuk bertabah dengan keadaan aku.
Hanya mereka yang tinggal dengan mertua saja tau keadaannya. Mungkin kehidupan kalian lebih baik dari aku. Dan mungkin juga ini bahagian aku yang Allah uji. Doakan aku kuat ye?
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit