Salam sejahtera, terima kasih jika admin approve kan confession aku ni.
Baiklah, aku rasa baik aku mulakan dengan latar belakang kehidupan aku sebelum aku sampaikan inti confession ini sesuai dengan tajuk.
Aku seorang lelaki berumur sekitar 20-an. Dilahirkan sebagai Melayu Muslim dan kedua-dua ibu bapa aku adalah Muslim juga.
Seperti biasa dengan apa yang berlaku dalam keluarga Muslim, pendidikan awal semasa aku kanak-kanak diajar dengan bacaan Quran, solat dan segala perihal asas dalam Islam,
Supaya apabila aku besar dengan harapan ibu bapa aku bahawa aku akan jadi seorang Muslim dewasa yang baik.
Semakin meningkat usia, sekitar awal remaja aku sudah mulai minat dengan hal-hal agama terutama sekai berkaitan perbandingan agama. Selalu juga aku baca dan kaji tentang aliran-aliran dalam Islam yang luar dari apa yang aku sendiri pegang.
Sebagai contoh, Islam yang aku pegang kini adalah Islam dari aliran Sunni, tetapi aku tidak menutup minda aku untuk memahami aliran lain, aku tetap juga terbuka dalam mengenal Islam menurut aliran lain, serta kepercayaan-kepercayaan mereka.
Dalam usia begini juga lah, aku dah mula bertanya dalam diri soal pengertian agama dalam kehidupan aku,
Disebabkan aku menganut agama Islam, aku cuba mendalami apa pengertian hidup dalam Islam dan aku juga berprinsip bahawa untuk mengenal diri dan agama ini jalannya perlu direntas secara peribadi, tak ada siapa yang boleh ganggu jalan masing-masing termasuklah ibu bapa sendiri.
Berbalik kepada pendidikan awal agama Islam dalam rumah tangga, sebagai contoh perintah solat sudah dikenakan kepada anak-anak oleh ibu bapa. Berlaku pada masa awal kanak-kanak aku juga sering diperintah solat sebanyak 5 kali sehari.
Kalau dekat sekolah, majoriti Muslim dengan cikgu Muslim pun akan buat perkara sama, balik rumah pulak mak ayah suruh solat.
Bila difikirkan balik, apa yang aku faham pada usia awal kanak-kanak dengan solat 5 kali sehari secara rutin? disamping bacaan-bacaan solat pun aku tak faham sebab baca dalam bahasa Arab.
Disini aku dah mula fikir, untuk apa orang dewasa baik dari cikgu-cikgu sampailah ibu bapa suruh aku buat benda yang aku tak faham, 5 kali sehari pulak tu..
Kalau aku faham bahasa Arab pun bacaan sama dibaca dengan rutin setiap hari 5 kali, boleh jadi orang Arab sendiri pun bosan buat kerja macam tu..
Inilah fikiran aku muncul seawal usia remaja, aku tak rasakan yang aku solat 5 kali sehari adalah atas niat aku sendiri, tetapi lebih untuk mematuhi perintah orang tua saja, kalau tak ikut samada kena marah atau kena sebat.
Bila tiba masa aku malas nak solat, kalau ada ibu bapa atau cikgu, terpaksa juga lah aku solat walaupun hati keberatan, atau aku sambil lewa lewat sikit solat diherdik ibu bapa supaya segerakan solat,
Keadaan ini menambahkan persepsi aku solat dalam agama Islam hanyalah suruhan, lagi dipaksa lagi tambah aku kurang gemar dengan agama.
Ini baru soal solat, belum lagi perintah baca quran, berpakaian, pergi solat jumaat,
Dan yang paling berat dalam semua hal ini apabila aku cuba ekspresikan pandangan peribadi agama aku kepada ibubapa aku, ustaz ustazah mahupun orang awam Muslim, sebab aku jangka mesti kena pangkah habis atau paling teruk mungkin aku disesatkan.
Oleh itu aku tak pernah ekspresikan pandangan aku, aku senyap dan aku ikut saja dalam masa sama hati aku meronta. Apa yang aku tampil sebagai Muslim adalah bukan diri aku sendiri.
Lepas habis sekolah menengah, sekitar usia aku dah mencapai 18 tahun, iaitu usia awal belia dan mengorak langkah ke usia dewasa. Aku mendapat tawaran belajar di sebuah ipta dalam bidang kemahiran.
Sistem di institut itu juga sama je macam zaman aku sekolah menengah, tambah lagi bila masuk asrama dah tentulah ada penekanan aktiviti buat pelajar Muslim, hari-hari diwajibkan solat di surau.
Proses yang berulang dari zaman kanak-kanak, atas alasan untuk menjadikan anak Muslim membesar dengan solat, tetapi hakikatnya tidaklah begitu, ramai anak-anak Muslim apabila menjelang dewasa juga meninggalkan solat dan akhlak pun tak semua yang bagus.
Perintah solat dengan mendidik dari awal usia 7 tahun sehingga 17 tahun, lebih kurang 10 tahun mendidik solat dari sekolah dan ibu bapa pada aku tak berkesan, maaflah jika kenyataan ini mengguriskan hati, tetapi itulah pemerhatian peribadi aku.
Sehingga kini aku memang terpahat dalam prinsip aku berdasarkan dari mata kepala dan usia aku membesar, memang perintah agama ini dikawal selia oleh manusia, sejak kecil lagi aku dah takut dengan agama,
Apabila agama diatur menjadi satu pemerintahan sehingga ke peringkat negara contohnya soal syariah, sejujurnya memang aku dah ucapkan selamat tinggal buat agama Islam, aku dah tak nak perintah-perintah agama dikenakan kepada aku dan aku nak bebas.
Mungkin ada yang fikir aku adalah seorang anti Islam, tetapi bagi aku jika aku tinggal di negara Kristian dan berlaku hal yang sama pun aku fobia dengan agama. Segala bentuk agama yang cuba dijadikan perintah sosial memang aku bangkang dan tak bersetuju.
Banyak sebetulnya soal agama dalam kehidupan aku yang aku masih tak berpuas hati, aku pun dah banyak kali join bermacam-macam jemaah Islam.
Dan setiap Jemaah tu pun ada rules of law mereka sendiri, bila dah ada dalam Jemaah pun diri kita akan diserahkan kepada rules of law jemaah tersebut, jika membangkang akan dihukum atau keluar jemaah.
Soal jemaah ini pun tidak relevan bagi aku. Dan yang paling teruk jika hampir satu family atau sanak saudara berada dalam satu Jemaah,
Ini lagi bahaya kerana Jemaah akan menggunakan sentimen keluarga untuk mengawal ahli, lagi tinggi bilangan ahli keluarga dan sanak saudara berada dalam satu Jemaah, lagi senang Jemaah akan kawal ahlinya.
Sebab ahli Jemaah yang terdiri dengan jumlah ahli keluarga dengan bilangan besar, mereka dah ikat keluarga dan jemaah tersebut,
Oleh itu apabila generasi keluarga yang muda nak keluar jemaah dia akan 10 kali sebab hampir 90% dari mak bapak, pakcik makcik, saudara mara dia adalah ahli jemaah, kalau dia keluar tak ada siapa tolong dia… so dia rasa baik stay je lah dalam Jemaah.
Ok setakat ni sajalah dulu aku nak luahkan soal agama dalam kehidupan aku, kalau ada yang nak bangkang aku bersifat terbuka saja, tetapi harus diingatlah aku juga akan berpegang pada prinsip,
Aku terima saja pandangan dari sesiapa juga tak kisah tentang apa sahaja pun dalam soal beragama..
– Muhajjir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit