Bicara Rasa

Aassalamualaikum, aku tak pandai nak mengarang panjang² ni, maaf kalau agak berterabur.

Pertama sekali nama aku Isya, mempunyai 4 orang adik beradik, dan aku mempunyai seorang abang, dan dua orang adik kembar, tetapi kedua-duanya sudah meninggal dunia.

Ayah aku pun sudah tiada sewaktu aku di sekolah rendah. Mak aku masih ada, dah Alhamdulilah masih sihat walaupun sudah berumur.

Cukup lah itu sebagai pengenalan. Apa yang aku nak luah ini, sebahagian dari isi hati aku, yang sudah lama aku pendam.

Oh ya, umur aku sekarang dalam lingkungan 20-an, beza hanya 3-4 tahun sahaja dari abang aku. Aku dibesarkan dalam keluarga sederhana, Alhamdulilah masih cukup makan pakai.

Hidup aku jadi susah selepas ayah aku meninggal. Ayah ku tidak meninggalkan apa² harta, hanyalah sebuah rumah tempat kami berteduh.

Dan kami terpaksa jual rumah demi menampung perbelanjaan harian kami, rumah yang ditinggalkan bukan lah rumah banglo tetapi hanya rumah kecil, yang cukup muat untuk keluarga kami.

Walaupun begitu, Allah itu sangat baik, kerana ada sahaja rezeki untuk kami, walaupun mak kami tidak mempunyai punca pendapatan yang tetap.

Ini sewaktu aku sekolah rendah, apabila sudah masuk ke sekolah menengah, kami berpindah ke Kedah dan tinggal bersama atuk, aku akui memang aku suka duduk di sana, kerana mempunyai rakan-rakan yang sangat baik dan supportive.

Ibu dan bapa saudara aku juga selalu mengambil berat tentang kami.

2017, aku mendapat keputusan yang agak baik dalam SPM, tetapi keputusan yang aku dapat itu hanyalah mengembirakan hati aku sahaja bukan orang lain.

Dan sekarang aku menuntut di salah sebuah university tempatan dalam ijazah sarjana muda. Aku tidak pernah merasa kemesraan, gurauan dalam keluarga.

Kadang-kadang aku cemburu apabila melihat orang lain bergurau senda dengan adik beradiknya.

Mak aku bukan lah tidak sayang kepada aku, tetapi selalu melebihkan atau paling tepat memanjakan abang aku.

Abang aku mempunyai satu sikap yang tidak menyenangkan, mulutnya terlalu lancang apabila berkata, suka mencari salah orang,

Kadang boleh menimbulkan pergaduhan walaupun dengan sesiapa sahaja, kerana merasakan dirinya sahaja yang betul.

Kadang aku rasa tertekan dan malu dengan orang lain akan sikapnya. Sampai aku juga terkena tempias dek sikapnya itu.

Selepas atuk aku meninggal, kami pindah semula ke tempat asal kami. Abang aku mendapat pekerjaan di sini, perpindahan ini tidak rancang, kerana waktu itu aku berada di universiti.

Dan aku dapat tahu hanya dari telefon. Aku iyakan sahaja, kerana aku tidak selalu berada dirumah, memandangkan aku sedang menuntut di Universiti.

Tetapi apa yang membuat aku tertekan, apabila terpaksa belajar secara online dirumah, kerana kes Covid yang semakin lama semakin tinggi.

Dirumah, aku tidak mempunyai tempat yang orang kata proper lah untuk belajar, tapi tidak mengapa asal ada tempat untuk berteduh.

Apa yang membuat aku kecewa dengan sikap mak dan abang aku. Aku memang banyak mengadap laptop, kerana padat dengan kelas online serta menjalakan jualan atas talian.

Apabila ada waktu free, aku cuba untuk tolong buat kerja rumah, basuh pinggan, lipat baju, kemas rumah, tapi apabila aku mahu membuat semua itu, pasti dihalang oleh mak.

Baju yang aku lipat, tempat yang aku kemas pun akan di buat balik oleh mak. Mungkin tidak sekemas yang beliau buat.

Aku positif je, tetapi kadang² terasa juga. Tetapi apabila ada orang puji aku, mak aku akan bidas balik, “buat kerja rumah pun tak pernah”, dan aku hanya tersenyum.

Mak aku layan anak lelakinya bagaikan raja, balik kerja disambut, makan dihidang, pinggan dibasuh. Walaupun, anak lelakinya selalu buat hal, dan kadang tidak menghormatinya itu lah yang di sayang dan di sanjung.

Mak aku selalu sebut “kesian” pada anak lelakinya, kerana kena bekerja, penat apabila tengok anak lelakinya bekerja,

Tetapi bagi aku itu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil alih menyara keluarga, apabila ayah ku sudah tiada. Lebih lebih lagi apabila dia merupakan anak lelaki dan sulung.

Apabila ada orang datang ke rumah, mak akan menceritakan semua kebaikan yang dibuat oleh anak lelakinya, seolah olah anak lelakinya yang terbaik.

Tetapi tiada sedikit pun apa yang aku buat dipuji, dan dari situ orang akan memandang serong kepada aku.

Setiap kali waktu membayar sewa rumah, pasti ada sahaja alasanya.

Aku terpaksa dahulukan duit lebih PTPTN aku untuk membayar sewa rumah yang kami duduk sekarang selama beberapa bulan. Abang aku hanya membayar bil utiliti yang tidak sampai RM100.

Barang keperluan rumah juga, seperti makanan bahan mentah, aku dahulukan duit aku sendiri, untung RM20-30 daripada jualan online aku.

Dia selalu berkata aku hanya duduk goyang kaki sahaja dirumah, seolah olah aku tidak membuat apa-apa hanya makan tidur. Kadang aku juga tertekan dengan pelajaran tambah lagi masalah dirumah.

Aku tidak ada tempat untuk luah, hanya dengan Allah aku selalu mengadu. Pendam segala rasa.

Sungguh aku hanya mampu diam dan tersenyum apabila orang berkata buruk tentang aku, dan tidak mampu untuk melawan, kerana aku seorang anak dan seorang adik.

Apa yang aku imipikan, sebuah keluarga yang bahagia, yang ada gurau senda, bukan yang hari-hari dipenuhi kata-kata cacian dan makian.

Banyak lagi yang aku ingin ceritakan, tetapi aku rasa cukup sampai sini sahaja dulu.

Mungkin bagi sesetengah orang, hal ini hanya kecil sahaja, tapi bagi aku ujian ini betul betul memberi kesan yang dalam pada diri aku.

Mungkin aku bukan sakit dari segi fizikal, tapi sakit dari segi mental, kerana hari-hari perlu mendengar kata² cacian dan makian dan tidak mampu melawan.

Doakan aku kuat untuk lalui hari hari aku dengan penuh sabar. Aku juga ingin mencari kerja apabila tiba cuti sem ini, doakan urusan aku dipermudahkan.

– Isya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *