Mencari Kebebasan

Sila rujuk confession : https://iiumc.com/agama-dalam-kehidupan-aku/

Saudara Muhajjir jelas menzahirkan keinginan untuk bebas dari perintah-perintah agama seperti solat. Namun persoalan yang ingin saya utarakan adalah mengapa berhenti di situ?

Sebagai manusia kita jika kita mengikuti perintah agama sekalipun, kita akan tetap terikat dengan peraturan-peraturan lain.

Sebagai contoh, peraturan di tempat kerja dan peraturan negara. Jika kita melanggar peraturan tersebut kita mungkin akan dibuang kerja atau masuk penjara. Peraturan ini ditetapkan oleh manusia maka kita akan panggil ia peraturan manusia.

Kita juga terikat dengan peraturan alam. Jika kita hendak hidup kita perlu makan dan bernafas. Jika kita hendak berjaya kita perlu bersusah-payah dahulu dan berusaha. Mengapa Muhajjir tidak pula mengeluh dan ingin bebas dari peraturan manusia dan peraturan alam?

Ramai dari kita tidak kisah untuk berusaha mencari rezeki untuk hidup (peraturan alam) dan membayar cukai dari hasil rezeki tersebut (peraturan manusia) kerana kita sudah pun berlapang dada untuk menerima bahawa ini lah peraturan yang kita tidak akan dapat lari dari hidup ini.

Seseorang yang tidak ingin berusaha tetapi mahu berjaya atau seseorang yang kaya tetapi tidak mahu membayar cukai ialah seorang yang angkuh. Hakikatnya itulah kedudukan mereka yang mahu bebas dari peraturan.

Manakala orang yang berjaya mengikuti peraturan, berlapang dada dengannya malah mempertahankannya, adalah orang yang benar-benar bebas.

Saidina Ali memberi ungkapan orang yang bebas seperti ini adalah orang yang beribadah bukan kerana takut neraka atau inginkan syurga, tetapi dia beribadah kerana dia bersyukur akan nikmat yang diperolehinya.

Maka apakah yang boleh kita lakukan untuk berlapang dada dalam menerima peraturan-peraturan ini?

1. Ketahui bahawa peraturan Tuhan mengatasi peraturan manusia mahupun peraturan alam. Ini kerana Tuhanlah yang mencipta kita. Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita.

Terdapat banyak kecacatan dalam peraturan manusia, sebab itulah peraturan manusia perlu sentiasa dikaji dan diubah.

2. Fahami kenapa peraturan ini wujud dan hikmah-hikmah disebaliknya. Peraturan di tempat kerja bertujuan memastikan etika dalam organisasi sentiasa terjaga, manakala hasil cukai boleh digunakan untuk membangunkan negara.

Ambil sedikit usaha untuk memahami pertauran-peraturan Tuhan juga. Jika tidak faham bacaan solat cuba pelajari maknanya dan kenapa ia dibaca begitu. Ikuti kelas-kelas penghayatan solat.

Adalah tidak logik untuk kita membenci sesuatu jika kita tidak memahaminya terlebih dahulu.

3. Sedarlah kenapa umat Islam perlu bersolat. Jawapannya hanya satu; kerana Tuhan suruh kita melakukannya.

Jika suatu arahan itu datang dari Tuhan yang menciptakan kita, yang melangsungkan hidup kita, dan kepada Tuhan lah kita akan kembali, maka apa jua arahan dari-Nya kita ikuti sebaik mungkin. Sudah tentu kita mahu mempersembahkan amalan ibadah yang terbaik untuk-Nya?

Setiap manusia berbeza. Ada yang bersolat kerana takutkan neraka, ada yang menjadikan syurga sebagai motivasi mereka. Ada juga yang solat kerana orang di sekelilingnya bersolat.

Apa jua motivasi kita, hakikatnya kita tidak dapat lari dari peraturan ini. Tinggal kita sahaja yang akan melakukannya ataupun tidak.

– Umar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *