Cemburu Dengan Anak Sendiri

Assalamualaikum semua.. Terdetik aku nak tulis kisah aku ni bila keluar satu kisah baru-baru ini seorang artis cantik berkahwin, dan mengatakan ibunya tak sehaluan dengannya. Aku rasa macam sangat dekat dengan kisah aku.

Tujuan aku menulis di sini bukan nak burukkan mak aku. Sungguh, aku sayang sangat kat mak aku. Pada pandangan aku, mak aku tidak ada cacat celanya. Satu-satunya ratu dalam hati aku, dulu kini dan selamanya.

Kalau hal berkaitan rumah tangga, mak aku jenis sangat cekap buat kerja. Seorang yang pengemas, teratur, pembersih. Memang bertuah sangat ayah aku dan kami adik beradik sebab mak pun pandai masak.

Aku dah kawin, anak dua dan bekerja di sektor kerajaan. Kerja apa biarlah aku rahsiakan. Disebabkan beberapa sebab dan jodoh tak panjang, rumah tangga aku musnah sebelum bermulanya PKP 1.0 tahun lalu. Allah Maha Kaya, semoga ada rezeki lain yang lebih baik untuk aku dengan anak-anak.

Sebelum tempoh itu juga aku lihat pengorbanan mak ayah aku yang sanggup datang dari kampung tunggu aku dan anak-anak di Kuala Lumpur seminggu sekali kerana risaukan keselamatan kami anak beranak. Aku terharu.

Mungkin asbab rezeki, perancangan Allah itu lebih baik maka pertukaran aku ke kampung diluluskan bermula awal tahun ini. Ini masanya aku balas balik jasa mak abah aku bila bujang semula.

Kalau ikutkan aku takut juga sebenarnya duduk dengan mak. Perasaan teruja, gembira, risau bercampur baur. Sepengalaman aku, aku berbaik dengan mak paling lama seminggu. Aku tak tahu mana punca, lepas tu ada sahaja benda yang buat mak tak puas hati dengan aku.

Kadang-kadang mak boleh marah aku macam budak kecil. Aku dah 30-an. Dah dewasa..Sedangkan adik-adik aku mak nak tinggi suara pun tidak. Mak takut dengan anak-anak mak yang lain. Walaupun ada kalangan adik beradik aku yang buat mak terasa hati.

Kadang-kadang aku terasa juga, sebab selalu kena marah. Tapi aku jarang simpan dalam hati. Sebab aku sayang mak aku.

Aku jenis lembut hati. Kalau tengah drive nak sampai rumah tiba-tiba mesej mak masuk pesan beli barang dapur, aku sanggup patah balik walau badan dah penat. Walau jauh tempat nak cari barang tu.

Apa yang mak nak aku cuba usahakan. Aku buat sebab aku nak balas jasa mak ayah. Aku ada anak, aku yakin suatu masa nanti anak- anak aku juga akan buat baik macam mana aku buat baik dengan mak abah.

Pernah sekali, aku tengah solat Maghrib, masa tu balik kampung bercuti. Lepas solat aku mengaji sekejap dalam bilik. Mak jerit sambil selak langsir bilik,

“Budak-budak ni bila nak bagi makan!?” Sambil merungut-rungut. Terkejut aku sebab kena tengking tiba-tiba. Mak suruh aku bagi makan anak-anak sedangkan mak nampak aku dah suap anak makan tadi.

Aku bangun, tutup Quran. Walaupun hati terasa dengan perlakuan mak. Kenapa perlu tengking, marah-marah? Aku mengaji… bukan buat benda jahat. Sedangkan aku dah susun elok- elok jadual.

Petang sebelum masuk waktu aku dah siapkan anak-anak. Bagi makan, bagi mandi, bagi susu supaya aku nak fokus Maghrib Isya untuk mengaji.

Lepas Isya sebelum tidur aku bagi lagi makan, memang aku pastikan berisi perut anak-anak sebelum nak tidur walaupun makan sedikit je. Jadi memang waktu itu anak-anak aku jarang meragam.

Aku sungguh-sungguh terasa hati, kenapa mak macam seolah dengki sangat kat aku. Aku buat salah apa?

Ada pernah satu masa kami pergi majlis kenduri kahwin, kawan mak tegur aku. “Cantiknya kamu…” Aku salam sambil senyum. Muka mak lain sambil jawab, “Alah.. kita dulu masa muda pun cantik!”
Aku dah mula syak kat situ, mak tak suka rupa paras aku ke?

Kalau aku bersiap kemana-mana mak akan tarik muka. Bersungut-sungut dia kalau aku lambat siap. Dia dah duduk dalam kereta sambil buat muka masam kat tempat duduk belakang.

Aku lambat sebab aku siapkan anak-anak. Memang balik kampung dari dulu suami(belum berpisah ketika itu) jarang ikut.

Jadi kalau nak kemana-mana memang aku kalut siapkan anak-anak, baru aku bersiap last sekali. Mak pernah ada anak kecil, aku ingat mesti mak faham. Rupanya tak.

Aku bukan pekak, aku dengar mak merungut-rungut dengan adik perempuan aku berbisik- bisik. Kadang- kadang aku nak menjawab juga, adik tu single, dia siap sorang memanglah cepat. Aku ni nak prepare susu..beg pakaian..anak mandi semua, perut dah berisi baru senang hati.

Kadang- kadang anak aku ni jenis dah bersiap semua, tengah kalut nak masuk kereta, dengan fikirkan muka masam mak aku lagi, boleh nak membuang pulak. Tak kan aku nak bagi anak aku tahan perut. Kesudahnya memang lambat.

Sikap mak nampak pilih-pilih kasih bila adik aku ada balik sekali. Waktu tu layanan pada aku berbeza. Adik aku buat silap mak aku diam je. Tapi aku? Macam aku tanya, apa salah aku kat mak?? Banyak kali aku menangis sorang-sorang. Pendam rasa.

Memang kalau majlis kenduri kawin mak jarang- jarang ajak aku. Dia selalu ajak adik perempuan aku saja. Aku tak syak apa-apa. Mungkin sebab aku ada anak kecil.. Payah nak bawa rumah orang.

Tapi sampai anak aku dah besar, dah boleh bawa diri, masih sama. Baru aku tahu, mak tak suka orang puji aku. Dia tak suka tengok aku bersolek, cantik depan mata orang.

Aku bukan nak angkat diri, tapi rupa aku lebih sikit dari adik aku. Walaupun aku dah kahwin dan sekarang dah pun berpisah dan pernah bersalin, aku suka jaga badan dan jaga penampilan.

Sebab aku bekerja yang perlu berjumpa dan berhadapan dengan macam-macam orang, menyebabkan penampilan sangat aku titikberatkan.

Untuk adik aku, aku pernah kongsi tips dengan cara jaga muka, jaga penampilan tapi dia buat tak endah. Bukan dia tak cantik, cuma perlu bersiap. Aku nak dia cepat bertemu jodoh. Itu doa aku dari dulu untuk adik aku. Tapi entahlah. Cara dia, dia tak nak aku tolong agaknya.

Aku suruh mak nasihatkan, tapi aku balik kena marah dengan mak. ” Kau makan itu ini, rebus air itu, minum air ini, kau ingat elok sangat? Nak sangat jaga badan, nak diet ingat elok sangat kurus tu? ”

Pada aku aku bukan nak kurus macam lidi, aku nak sihat. Kalau aku sakit siapa aku nak harap bela nasib anak-anak aku?

Untuk pengetahuan pembaca, aku pernah sakit teruk beberapa tahun lepas asbab orang tak suka sebab rupa paras aku. Bukan seorang, tapi beberapa individu berbeza sihirkan aku sebab tak suka tengok rupa paras aku. Dari saudara terdekat sampailah jiran dan rakan sekerja.

Pusat rawatan Islam yang terkenal tu dah jadi rumah kedua aku. Badan susut, anak-anak terabai asbab sihir bomoh Siam dan Asli yang dihantar berulang.

Ustaz -ustaz bertungkus lumus rawat aku masa tu sampai dicadangkan aku untuk pakai niqab sebab nak elakkan aku disihir lagi dan untuk elak fitnah.

Kata perawat-perawat tu, ramai sangat yang dengki pada aku. Dan aku tahu, dari segi layanan, mak aku pun cemburukan benda yang sama. Cuma bezanya tak ada sampai nak sihirkan aku.

Banyak lagi yang mak aku buat sampai aku rasa mak aku tak sayang aku. Aku mengadu kat ayah aku kadang-kadang. Tapi selalunya aku pendam sendiri. Rupa paras aku macam ini hasil baka baik mak abah juga. Patutnya mak bersyukur..

Ada anak cantik hasil zuriat dan darah daging mak sendiri. Patutnya mak bersyukur,aku mampu jaga nama keluarga dan maruah diri sebagai anak perempuan mak. Bukan iri hati pada anak sendiri. Hanya sebab yang kecil pun aku kena marah.

Dan jenis aku, aku selesa berkongsi semua hal peribadi dengan mak. Yang buat aku sedih mak tak reti simpan rahsia. Semua dijaja pada saudara mara termasuk hal rumah tangga aku.

Benda ni yang buatkan aku nekad, aku akan zip mulut, tak kan kongsi lagi dengan mak melainkan yang betul-betul perlu. Tapi aku tak protes.. Aku layan baik mak aku macam biasa. Sebab aku sayang sangat kat mak aku.

Dalam pada itu aku yang tak sihat tak duduk diam, aku buat rawatan Islam dan hospital.

Allah Maha Kaya, Dia makbulkan doa aku nak besarkan anak-anak dalam keadaan sihat walafiat. Dan alhamdulillah, aku kini dah balik kampung, rasa tenang, semakin pulih bila duduk dengan mak abah, anak-anak depan mata, dan jauh dari orang yang berhati busuk dekat aku.

Mungkin mak aku kasihan tengok aku sakit, dia tengok depan mata sendiri aku menderita sakit, aku perasan dia jarang marahkan aku lepas berpindah ni. Agaknya mak insaf, ramai sangat cemburukan anak dia. Mak jarang marah-marah sekarang. Nampak perubahannya. Alhamdulillah.

Aku sayang mak aku.. Mak aku baik sebenarnya. Ujian sakit yang Allah bagi pada aku sebenarnya Allah nak bukakan hati mak aku untuk berubah.

Apa yang aku nak pesan kat sini ialah sebagai ibu, jangan cemburu pada anak sendiri. Doakan yang baik-baik. Perkataan yang keluar dari mulut seorang ibu ialah doa. Katakan yang baik-baik untuk anak. Doa ibu tiada hijab dengan Allah.

Kedua, tak perlu cemburu dengan kelebihan orang lain. Semua dari kita Allah dah jadikan dengan pelbagai kelebihan masing-masing. Kelemahan kita juga Allah bagi sebagai ujian. Terimalah dan bersyukurlah.

Kadang-kadang apa yang berlaku pada aku menyebabkan aku fobia nak ada anak perempuan pada masa depan, takut aku mewarisi sikap mak, cemburukan anak sendiri. Nauzubillahiminzalik..Semoga dijauhkan.

Ada sahabat yang nasihatkan aku, berkahwinlah. Semoga tertutup semua pintu-pintu fitnah. Pada aku ada jodoh adalah. Tak ada, cukup aku besarkan anak-anak dan jaga mak ayah aku depan mata aku.

Aku mohon para pembaca, doakan mak ayah aku sihat walafiat. Doakan juga agar adik aku bertemu jodoh yang baik2. Dan jika ada jodoh, doakan aku juga bertemu lelaki yang baik-baik untuk aku dan anak-anak menumpang kasih.

Semoga kita semua dijauhkan dari segala kejahatan dunia dam akhirat.

Redha, Ikhlas, Bersyukur

– Naura El Mujahidah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *