Tak Mahu Jadi Jahat

Assalamualaikum semua. Tak tahu nak mula macam mana, nak cerita dari awal berbelit. Saya harap semua jelas dengan kedudukan saya sebagai orang yang pernah menjadi kebencian keluarga mertua, kini saya pula yang menjaga orang yang sangat bencikan saya dahulu.

Saya ni kadang-kadang cepat sangat berlembut hati (cepat kesian) pada masa sama cepat sangat rasa nak marah. Cepat naik angin. Untung ada suami yang cukup bersabar dengan sifat saya ni.

Bila saya marah, dia diam dan cuba tenangkan saya. Saya ni marahnya kejap je, tapi bila reda seolah-olah macam tiada apa-apa yang berlaku. Itulah sikap saya yang selali buat jiwa saya rasa celaru.

Kalau saya marah, saya rasa marah sangat membuak-buak, meluap-luap. Tapi bila mood agak okay, mood baik macam tak percaya pula saya ni seorang yang agak berangin.

Ringkas cerita. Sekarang ni saya sedang menjaga orang tua kepada mertua saya. Kenapa? sebab suami pernah berada dalam jagaan datuk & neneknya sewaktu kecil dahulu.

Pada asalnya memang saya ikhlas sangat nak jaga, sebab suami saya memang niat nak balas jasa besarkan dia, sekolahkan dia sehingga berjaya seperti sekarang. Cumanya, perasaan ikhlas tu semakin hilang bilamana macam-macam perkara dah jadi.

Kadang ikhlas, kadang jadi tak ikhlas. Saya jadi ikhlas bila mengenangkan tiada siapa yang sudi nak jaga. Mertua saya sudi, tapi tuan badannya (nenek) tak selesa berada di rumah mertua saya.

Dia selesa tinggal dengan suami saya. Saya okay sahaja. Memang betul-betul sangat ikhlas nak jaga pada awalnya. Cuma saya tak tahan bila datang penyakit mengada-ngada. Tak sakit, tapi buat-buat sakit.

Depan saya elok dan baik-baik sahaja (saya surirumah), suami balik kerja mulalah macam sakit sangat. Ini yang buat saya rasa cukup stress. Banyak kali juga saya mengadu perihalnya, tapi suami saya selalu suruh bersabar.

Orang tua begitulah, nak buat macam mana. Memang sejak dia muda, memang begitulah perangainya. Sengaja nak bermanja.

Saya tekankan disini, saya adalah orang yang pernah dibencinya (benci sebab bukan kerja kerajaan, benci sebab bukan menantu pilihan) suatu ketika dahulu,

Jadi saya tak rasa yang benci tu hilang macam tu je. saya rasa sikit banyak pasti masih ada. Ini fikiran saya sahaja, betul atau tidak saya tidak tahu.

Pada saya, kalau orang pernah benci kita, takkan semudah abc saja dia nak tiba-tiba suka dengan kita. Dan perkara ni buat saya risau sangat kalau-kalau suami dah hilang kepercayaan kepada saya.

Saya selalu terasa saya ni orang luar, walaupun dah bertahun berkahwin dengan suami. Saya tak nafi suami saya sangatlah baik, bukan nak puji tapi memang hakikat. Kalau tak, masakan dia nak menjaga orang yang pernah berjasa dengannya kan.

Saya tak tahu nak cerita macam mana. Maaf kalau berbelit. Bila tengok nenek ni, saya rasa kesian sebab bila di usia tua ni terpaksa berada jauh dari kampung halaman. Kesian sebab masing-masing tolak tak mahu jaga.

Tapi tak kurang juga kadang-kadang memanaskan hati saya yang kurang sabar ni. Saya betul-betul tak tahu sampai bila saya mampu bersabar lagi. Saya harap sangat janganlah nenek buat perangai lagi.

Orangnya tidaklah nyanyuk, sihat walafiat walaupun memang ada perlu makan ubat dari hospital. Sihat, alhamdulillah. Duduk rumah kami tak perlu buat apa-apa. Tak payah penat memasakatau basuh baju.

Betul-betul hanya jaga diri sahaja. Boleh solat, boleh urus diri sendiri. Tak perlu pemantauan rapi, cukup kami sediakan keperluan dia seharian dan dia tak berseorangan dalam rumah. Saya siapkan segala-galanya untuk dia.

Bilik sendiri, keperluan lain serba serbi lengkap. nak apa belikan, nak itu ini kami cari sampai dapat. Cuma, masalahnya bila ada berita tak seronok dari kampung dan orang tersayang (pilih kasih) nenek jadi moody.

Cucu sana demam, anak sana kurang sihatlah, tak lalu makanlah. Jadi apa sahaja yang menimpa orang kesayangan dia, dia pun sama juga demam, sama juga tak lalu makan. Sihat orang tu, sihatlah dia.

Sakit orang itu, sakitlah dia. Pening kepala saya. Yang hadapnya saya. Yang tengok perubahan angin monsoon nenek saya juga.

Depan saya sihat, melangkah bertenaga, suara jelas bila berbicara, gelak ketawa bila orang kesayangan telefon, tapi bila depan suami, sakit ntah mana datanganya tiba-tiba menjelma. Kusut jadinya kepala saya.

Ini mungkin ujian buat saya. Saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bersabar. Saya mampu bersabar, cuma bila apa-apa sahaja yang buatkan saya hilang sabar, saya lebih suka berdiam diri.

Banyak cakap lagi banyak dosa. Saya suka diamkan diri, kalau sepatah, sepatah saya balas. Saya memang tak boleh tengok muka siapa2 pun bila saya marah. Tapi sampai bila? Saya satu bumbung, satu rumah.

Sampai satu tahap fikiran saya kata, nak benci bencilah. Nak komplen komplenlah. Nak kutuk, kutuklah. Banyak bunyik sangat korang jaga. Sampai macam tu punyalah jahat hati saya ni.

Tapi saya 100% yakin, walau apa pun jadi, nenek ni akan tetap berada bawah jagaan suami sampai masanya tiba. Rasa berdosa juga, mestilah berdosa kan. Saya pun tak tahulah. Perasaan tak ikhlas ni bukanlah sepanjang masa.

Dalam sebulan adalah sekali angin pasang surut dia. Tapi nak hadap angin pasang surut tu, saya selalu lepaskan kemarahan pada suami. Bila dah lega, baru fikir perasaan suami.

Bila marah, dah cakap itu ini baru rasa taubat. Tapi tulah, suami diam je kalau saya tengah memuncak-muncak rasa marah. Kadang, sekecik-kecik perkara pun jadi masalah.

Kalau mula-mula dulu jaga juga adab depan keluarga mertua. Tapi sekarang dah serumah, walaupun surirumah, bila saya ada mood nak kemas baru kemas. Masak masih macam biasa, apa saya makan nenek makan.

Mula-mula dulu 3x masak. Nenek lauk lain, anak lauk lain, suami lauk lain. Terus terang tak larat. Saya stop. Masak apa yang ada. Terasa nak makan itu ini, kena cakap. Kalau tak cakap, makan sahajalah apa yang terhidang.

Saya tak mahu stress, malam tak boleh tidur. Bila saya stress, saya akan makan dengan kerap. 15kg yang saya berjaya turunkan, naik sekelip mata bila saya stress. Saya tak tahu stress tu nak nilai macam mana.

Cuma bila saya serabut, saya akan makan, marah, makan ,marah. Jadi walaupun surirumah, segala kerja rumah kecuali urusan di dapur kalau saya rasa nak buat, saya buat. Kalau tak ada rasa memang saya biar berhari-hari sampai saya sendiri rasa tak tahan. Lol.

saya buat sepah tak apa, jangan orang lain. Tapi tulah, sampai bila nak macam ni. Saya sendiri tak suka dengan diri saya kadang-kadang. Nangis pun tak guna, merajuk pun tak kuasa.

Kena diri sendiri bertenang, baru boleh jalan. Kalau tak mampu bertenang, memang melenting jelah kejanya setiap masa.

Saya nak luah pada family saya malu. Lagipun, masalah macam ni muncul jarang-jarang. Bila semuanya okay, saya sayang semua orang. Walaupun orang tu benci saya tetap saya rasa sayang.

Sebab tak tahu kenapa, saya cepat rasa kesian. Saya tak boleh benci orang lama-lama. Mulut je kata tak suka itu ini, tapi hati ni tidak. Nampak je saya macam tak peduli, tapi sebenarnya setiap apa yang berlaku buat saya risau.

Saya pun tak suka nak membangkit-bangkit lagi-lagi melibatkan orang tua. Dah malas. Saya dah tak peduli apa nenek fikir, apa orang sana (kampung) fikir. Saya benarkan mereka bersikap judgemental.

Setakat ni masing-masing belum berani komen apa-apa, fobia kot kalau tiba-tiba kena jaga. Masing-masing lebih arif perangai nenek (darah daging sendiri), jadi masing-masing mesti dah tahu nenek macam mana. Jadi legalah diorang kan sebab saya dah galas beban diorang.

Doakanlah saya ni supaya saya tak jadi orang jahat. Saya rindukan suasana kami sekeluarga macam dulu. Just 3 of us. Saya, suami, anak. Bebas nak gelak ketawa. Bebas nak berhibur bila-bila masa, gurau senda suami isteri.

Sekarang dah tak boleh macam tu sebab tak selesa bila ada yang memerhati. Nak bercakap rahsia sikit, kena wasap kena bisik kena dalam bilik. Nak bergaduh sikit, kena kat bilik. Nak bergurau kasar sikit semua kena dalam bilik.

Saya dah tak rasa bebas walaupun rumah sendiri. Sampai satu masa, saya lebih banyak memerap dalam bilik. Nak marah anak lagilah, sekarang ni saya marah je. Marah bila buat kesalahan.

Marah sebab nak didik. Didikan keluarga suami jenis lemah lembut, saya kasar. Cara didikan pun dah kontras sangat-sangat. Saya berlembut untuk kali pertama dan kedua je. Kali ketiga memang saya kena cakap kuat-kuat.

Tapi kalau didikan sebelah suami memang penuh kelembutan, bebel pun lembut sepanjang masa. Saya tak boleh macam tu. Mungkin sebab nilah, kesabaran saya tak sama level dengan kesabaran suami.

Cuba juga berlembut, tapi budak sekarang ni advance betul. Makin kita berlembut, makin naik minyak. Sekali sekala kena garang menyinga kan?

Doakan saya jangan jadi jahat ya. Saya harap saya mampu bersabar dan terus bersabar. Syukur nenek masih sihat, tak perlu berpampers. Cuma tulah, kadang-kadang perangainya kalah budak.

Budak kita boleh marah, tapi orang tua memang tak boleh. Saya minta maaf kalau ada pihak tak selesa dengan confession saya ni. Saya cuma nak luahkan perasaan sahaja. At least, saya dapat release sedikit tekanan yang saya rasa sekarang ni.

Kalau ada yang nak kecam, saya terima sahaja. Saya cuma harap, awak yang kecam saya tak berada dia tempat saya ataupun berada di tempat nenek suatu hari nanti.

Apa yang saya luah disini hanyalah 10% sahaja dari keseluruhan cerita. Jadi, saya tak boleh nak salahkan sesiapa. Saya pun banyak sangat silapnya, mana boleh nak halang orang dari berfikir yang bukan-bukan.

Saya harap bila saya tua, saya tak susahkan anak menantu saya untuk jaga saya. Saya harap bila saya tua, saya tak mengadu domba burukkan menantu dan anak cucu saya. Saya harap bila saya tua, saya kekal sihat sampai Allah ambil semula nyawa saya.

Saya harap saya dapat jadi tua sebab saya nak tengok anak tunggal saya membesar beranak pinak dan berjaya serta bertanggungjawab pada anak isterinya. Doakan saya supaya jangan jadi jahat.

Doakan juga supaya saya tak menjadi contoh buruk buat anak saya. Terima Kasih. Semoga Allah makbulkan doa kalian. Aamiin.

– Pasrah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *